Home Cerpen Cinta Jangan Bilang Tidak
Jangan Bilang Tidak
Isha Idiaz
17/9/2013 23:22:57
8,441
Kategori: Cerpen
Genre: Cinta

Cerpen : Jangan Bilang Tidak

Oleh : Isha Idiaz

*****

Dedikasi buat dia yang tak pernah aku suka.

Maafkan aku.

Aku harap kisah kita takkan berakhir macam kisah mereka.
*****

Janganlah kamu mencintai sesuatu secara berlebihan, karena bisa saja esok yang kamu cintai justru menjadi yang paling kamu benci. Dan janganlah kamu membenci sesuatu secara berlebihan, karena bisa saja esok ia menjadi sesuatu yang paling kamu cinta.’

*****

TERSEDAK Zakiah apabila nama lelaki itu disebut oleh Hawa. Cepat pula tangan Hawa mendarat di pundak Zakiah dan mengurut lembut di situ.

“Kau sebut nama siapa tadi?” soal Zakiah apabila gatal di kerongkongnya sudah mulai reda. Tangannya mencapai gelas yang berada di atas meja lalu menyisip penyedut ke dalam mulutnya.

“Zafir,” ulang Hawa sepatah. Melihat respon Zakiah dengan lebih teliti kali ini. Zakiah tidak tersedak, cuma dia sudah buat muka sepuluh sen.

“Heh. Kau ni, berapa kali aku nak beritahu dekat kau Hawa, jangan sebut nama budak tu depan aku,” ujar Zakiah berbaur amaran.

Hawa hanya menjungkit bahu apabila Nita dan Anis sudah mula mencuit-cuit pahanya seolah-olah bertanya, apa-masalah-si-Zakiah-ni-dengan-Zafir-tu. Sebelum mula bertanya, Hawa menarik nafas panjang.

“Apa masalah kau dengan budak tu Zack?” Hawa akhirnya melontarkan pertanyaan yang dah tiga tahun lamanya dia simpan.

Pertanyaan Zakiah hanya dibiarkan di bawa oleh angin lalu. Bukan sengaja dia buat begitu. Zakiah mahu sekali menjawab pertanyaan itu, namun, dia sendiri tidak tahu apa jawapannya.

“Hah, macam tulah kau, setiap kali aku tanya kenapa kau tak suka dia, mesti kau buat bodoh je. Buat macam tak dengar soalan aku tu,” Hawa mula mengomel.

Zakiah mencapai buku kuliah yang dibawa. Malas mahu melayan kerenah rakan-rakannya ini. Ada ke patut tanya soalan macam tu padanya.

“Eh Zack, kau nak pergi mana tu?” laung Hawa, Nita dan Anis apabila menyedari Zakiah mula meninggalkan mereka bertiga terpinga-pinga di situ.

“Pergi cari pasal,” laung Zakiah ringkas tanpa menoleh ke arah mereka bertiga.

Hawa, Nita dan Anis berpandangan antara satu sama lain. Masing-masing terkesima dek jawapan yang diberikan oleh Zakiah tadi. Namun sebentar kemudian, ketiga-tiga mereka seolah dapat meneka maksud yang ingin disampaikan oleh Zakiah sebentar tadi.

Damn!” jerit Hawa sepatah.

“Kita kena cari Zack cepat,” usul Nita.

“Aku telefon dia sekarang,” ujar Anis dan langsung mengeluarkan telefon bimbitnya dan mendail nombor telefon Zakiah.

*****

MERIAH susur gajah di universiti itu dengan poster kempen pilihanraya untuk jawatan Pengerusi Kolej Kediamansesi 2006. Dan sepanjang susur gajah itu juga Zakiah rasa anak matanya macam nak terkeluar dari soket apabila melihat seraut wajah itu yang tergantung dan tertempel di mana-mana.

‘Isy… Apa ke halnya gambar mamat ni ada di mana-mana!’ Zakiah meluahkan rasa tidak puas hati kepada dirinya sendiri.

Zakiah berjalan sepuluh tapak lagi ke hadapan. Wajah itu menerjah lagi penglihatannya. Dan setiap kali, Zakiah akan membuat muka tidak puas hati.

“Empat, lima, enam, tujuh, lapan, sembilan,” Zakiah meneruskan pengiraan setiap kali dia melihat wajah itu sepanjang susur gajah.

Tidak tahan melihat wajah itu, Zakiah akhirnya berhenti di satu selekoh susur gajah itu. Dia berdiri betul-betul di hadapan seraut wajah yang dibencinya itu. Merenung wajah itu dalam-dalam.

“Aku tak tahu apa dosa kau pada aku,” ujar Zakiah rendah. Seolah-olah dia benar-benar bercakap dengan empunya wajah itu.

“Tapi aku benci dekat kau,” Zakiah menghabiskan ayatnya di situ.

Gambar itu direnung lagi. Entah kenapa, setiap kali dia melihat seraut wajah itu, hatinya tiba-tiba jadi sakit. Dia dihurung perasaan benci. Macam kek yang dihurung dek semut. Walaupun dia tidak pernah mengenali pemilik wajah itu secara rapat, dia tetap membencinya sepenuh hati. Pelik, tapi benar.

Perlahan-lahan tangan Zakiah mengeluarkan sebilah gunting dari begnya. Kemudian, dia memulakan Ops-Ban-Ben untuk hari itu. Ops-Ban-Ben adalah kependekkan bagi Operasi Banteras Benci yang dilakukan oleh Zakiah setiap kali dia melihat seraut wajah itu.

Hawa, Nita dan Anis berlari secepat yang mungkin apabila melihat kelibat Zakiah di susur gajah menghala ke Kolej Kediaman mereka itu. Namun, belum sempat mereka menghampiri Zakiah, Zakiah lebih dulu memotong tali rafia yang menggangtung poster wajah paling dibenci oleh Zakiah itu.

“Maafkan aku,” ujar Zakiah ketika tangannya lincah memotong tali rafia pertama.

Sepuluh tapak ke hadapan, Zakiah menggunting lagi. Kali ini tiada kata maaf di bibirnya. Kata-kata lain bermain di bibirnya kini.

“Aku tak tahu kenapa aku benci kau,” ujar Zakiah dan memotong tali itu tanpa belas ikhsan. Poster yang sudah digunting itu, diheret sepanjang perjalanan. Siswa siswi yang melihat kejadian itu hanya berbisik sesama mereka. Tidak ada yang berani menegur perbuatan Zakiah itu.

Hawa, Nita dan Anis hanya boleh melihat Zakiah memutuskan setiap tali rafia yang menggantung poster wajah itu sepanjang perjalanan kembali ke kolej kediaman. Dan di hadapan pintu masuk kolej kediaman, Zakiah menggumpal poster-poster tadi dan membuangnya ke dalam tong sampah.

“Aku memang benci kau,” kata-kata itu sempat ditangkap oleh telinga mereka.

Dan tanpa rasa bersalah, Zakiah mendaki anak tangga dan kembali ke biliknya. Hawa, Nita dan Anis masing-masing tidak berani berbicara apatah lagi bertanya. Sudahnya, semua membiarkan Zakiah melayan perasaannya.

*****

Tiga tahun kemudian…

“EH, kau tak boleh ke duduk tempat lain?” bentak Zakiah seraya menghempaskan buku di atas mejanya. Berselerak buku-buku anatomi dan fisiologi di atas meja tersebut. Malah ada juga nota yang terhambur keluar dan jatuh di atas lantai.

Zafir sudah buat wajah pelik. Ini bukan pertama kali Zakiah memarahinya tanpa sebab. Kalau dihitung dengan jari, tak cukup rasanya kejadian ini menimpa dirinya. Yang peliknya, hanya Zakiah yang memperlakukan dirinya seperti itu.

“Kau apa hal ni Zack?” soal Zafir lembut. Nota Zakiah yang bersepah di atas lantai dikutip satu-persatu.

“Kau macam tak ada tempat lain nak duduk kan? Punyalah banyak tempat dalam kelas ni, yang kau nak duduk sebelah aku ni apa hal?” ujar Zakiah kasar.

Zafir hanya menggeleng perlahan. Zakiah kalau sudah marah, memang haru-biru jadinya. Seisi kelas sunyi sepi dan memfokuskan pandangan ke arah mereka berdua saat itu. Rasa macam jadi superstar pula.

“Zack, cuba kau bawa bertenang. Tarik nafas dulu,” Zafir cuba memujuk. Nota yang dikutip tadi diletakkan di atas meja Zakiah.

“Hei, kalau aku tak tarik nafas, aku dah mati berdiri dah dekat sini,” herdik Zakiah tanpa belas kasihan.

“Yelah, aku minta maaf. Aku duduk tempat lain,” ujar Zafir dan berlalu meninggalkan barisan hadapan itu.

Zakiah pula tidak henti-henti mengomel meluahkan rasa tidak puas hatinya apabila Zafir cuba duduk berhampiran dengan mejanya hari itu. Hawa, Nita dan Anis hanya menjadi pendengar setia.

Kisah Zakiah dan Zafir ini tidak mereka tahu bila aka nada penamatnya.

*****

ZAFIR menarik nafas panjang. Langkah kaki diatur menghampiri Zakiah yang dilihat duduk sendiri di kafeteria tengah hari itu. Walaupun dia berasa teragak-agak untuk melakukan hal ini, namun dia perlu mencari jawapan kepada setiap persoalan yang bermain dimindanya sepanjang tiga tahun lepas. Mungkin juga persoalan teman-teman mereka.

“Assalammualaikum,” sapa Zafir sebaik sahaja dia berdiri di hadapan meja Zakiah.

Zakiah angkat muka tiga saat dan kemudian menatap kembali buku notanya. Hatinya menjerit mahu memaki hamun lelaki itu saat ini. Kakinya pula rasa dah macam nak jalan cepat-cepat tinggalkan lelaki ini. Namun, kerana laluannya di halang oleh lelaki itu, Zakiah terperangkap di tempat duduknya.

“Apa hal?” soal Zakiah tegas. Tunduk tidak menatap wajah Zafir.

Zafir tersenyum. Hari ini, mahu atau tidak, Zakiah harus menjawab pertanyaannya. Kerusi di hadapan Zakiah ditarik dan Zafir duduk di situ.

“Kan lagi elok kau jawab salam aku tu daripada ambush aku dengan soalan dua patah perkataan kau tu,” tegur Zafir selamba.

Dalam hati, Zakiah sudah menyumpah seranah dirinya. Tak pasal-pasal dah terkena balik. Niat hati tadi nak buat garang-garang. Sekarang rasa dirinya dah tukar jadi mode perempuan-melayu-terakhir bila kena tegur macam tu dengan Zafir.

Namun, yang namanya manusia bernama Zakiah, tak pernah nak tunduk dengan kata-kata lelaki bernama Zafir. Maka, dengan lantangnya Zakiah menjawab, “Aku tak tahu pula kalau kau boleh dengar aku jawab dalam hati,” tempelaknya.

Sebaris gigi putih milik Zafir kini menghiasi pandangan matanya. Tidak cukup itu, sempat pula dia mencuri pandang ke arah lesung pipit yang ada di kedua belah pipi lelaki itu.

‘Hmmm, boleh tahan juga manis muka budak ni,’ bisik hati Zakiah.

Zafir hanya memerhati tindak-tanduk Zakiah yang kehilangan kata-kata bila hanya berdua dengannya. Selalunya, Zakiah tidak pernah se’jinak’ ini. Ini kali pertama dia dapat melihat wajah Zakiah secara dekat. Lain hari, jangan haraplah.

“Aku nak tanya,” ujar Zafir memulakan bicara. Sengaja dia membiarkan ayatnya tergantung di situ untuk memancing reaksi dari Zakiah.

Zakiah sudah berdebar. Ini macam soal hidup dan mati. Fokusnya hilang. Tiba-tiba rasa macam dirinya kecil. Kalau boleh, masa ini juga dia mahu bertukar jadi semut dan cepat-cepat merayap turun ke bawah meja dan tinggalkan kafeteria itu.

“Apasal berpeluh?” tegur Zafir apabila melihat manik-manik jernih membasahi dahi Zakiah. Sejurus kemudian, sehelai tisu dihulur kepada Zakiah. Zakiah pula tanpa berfikir panjang mencapai tisu tersebut dan mengelap peluhnya.

Belum pun lama, Zakiah sudah memaki dirinya. Kenapa dia ambil tisu yang dihulurkan oleh lelaki yang paling dibencinya itu. Kenapa tiba-tiba dia rasa macam takut sangat dengan lelaki ini padahal lelaki ini yang selalu diherdik oleh dirinya.

“Aku nak tanya, kenapa kau benci sangat dengan aku?” soal Zafir tenang. Badannya disandarkan ke kerusi. Rasa lapang sedikit hatinya apabila soalan itu sudah keluar dari mulutnya.

Zakiah menutup buku. Pandangannya betul-betul jatuh ke anak mata Zafir. Pandangan mereka berlaga. Zakiah fokus, Zafir pula tidak mahu mengalah. Akhirnya, Zakiah melepaskan keluhan.

“Aku pun tak tahu kenapa aku tak suka kau Fir,” ujar Zakiah rendah.

Zafir merenung wajah Zakiah dalam-dalam. Zakiah gadis pertama yang mencuit hatinya. Kerana gadis ini, tidur malamnya tidak lena. Wajah polos milik Zakiah direnung lama. Mencari keikhlasan dari gadis itu.

“Mesti ada sebab kenapa kau tak suka kau Zack. Kau cakap je, aku boleh dengar,” ujar Zafir cuba berdiplomasi.

Zakiah menggenggam kain baju kurungnya di bawah meja. Sebenarnya, hal ini yang paling ditakuti oleh dirinya sejak tiga tahun yang lalu. Dia takut Zafir akan bertanya mengenai hal ini satu hari nanti dan dia tidak sangka, hari itu adalah hari ini. Bukannya apa, dia sendiri tidak punya jawapan untuk soalan itu.

“Tak ada sebab. Sebabnya cuma aku benci kau. Maafkan aku,” ujar Zakiah jujur. Kepalanya ditundukkan menatap meja.

“Aku pun nak mintak maaf juga Zack,” ujar Zafir rendah sambil menghulurkan telefon bimbitnya kepada Zakiah. Zakiah terpinga-pinga melihat tindakan spontan Zafir itu.

‘Maaf untuk apa?’

‘Kenapa nak mintak maaf?’

‘ Telefon ni nak buat apa?’

Sejurus Zakiah mendekatkan telefon itu ke telinga, suara papanya menampar gegendang telinga. Zakiah memandang Zafir dengan pandangan pelik. Namun, panggilan papanya di hujung talian disahut.

“Zakiah, papa nak beritahu, papa dah terima pinangan daripada keluarga Zafir,” ujar papanya di hujung talian.

Zakiah panik. Ini drama apa pula ni.

‘Apa kes pinang meminang?’

‘Dan what? Siapa yang pinang? Keluarga Zafir?’

“Zack, jangan bilang tidak,” ujar Zafir rendah. Nadanya seakan-akan memujuk. Dia berharap Zakiah sudi menjadi suri hidupnya walaupun risiko untuk dia sering dibuli oleh Zakiah sangat besar.

*****

BERITA gempar keesokan harinya adalah Zakiah adalah tunang kepada Zafir. Dan berita itu tersebar ke seluruh pelusuk bumi tempat dia duduk kini. Kira hit carta berita paling popular minggu itu.

“Betul kau tunang dengan dia?” soal Hawa inginkan kepastian.

Zakiah angguk.

“Bukan kau benci dia ke?” Nita pula bertanya.

Zakiah angguk lagi.

“Dah tu macam mana boleh tunang?” Anis mahu mencelah juga.

Zakiah jungkit bahu.

Zafir yang mendengar dari jauh menghampiri Zakiah dan rakan-rakannya. Hawa, Nita dan Anis cepat-cepat memberi laluan kepada Zafir. Zakiah pula hanya memandang ke arah Zafir.

“Jom pergi makan,” pelawa Zafir.

Tidak banyak bicara, Zakiah berdiri dan berjalan beriringan dengan Zafir meninggalkan Hawa, Nita dan Anis terpinga-pinga.

*****

“KENAPA sayang tak suka abang dulu?” soal Zafir buat kesekian kalinya.

Zakiah hanya tersenyum setiap kali Zafir melemparkan soalan itu kepadanya. Dia akui dahulu dia tidak tahu jawapan pada soalan itu. Namun, setelah dia bergelar isteri kepada Zafir selama sebulan ini, dia rasa dia sudah tahu jawapan pada soalan itu.

“Belum ada jawapan lagi?” soal Zafir.

Zakiah menggeleng. “Dah ada,” ujarnya ringkas.

Mendengar kata-kata Zakiah itu membuat Zafir duduk tegak.

“Ha, kenapa?” soalnya tidak sabar.

Zakiah tahu jawapannya tidak logik. Tetapi itulah hakikatnya kenapa dia membenci Zafir.

“Sebab abang ada lesung pipit,” ujar Zakiah sambil tertawa.

Zafir yang tidak percaya dengan apa yang didengarnya tadi menyuruh Zakiah mengulang kembali jawapannya.

“Sebab abang ada lesung pipit,” ujar Zakiah sekali lagi. Kali ini lebih jelas dan nyata.

“Apa hal dengan lesung pipit abang sampai sayang jadi benci dekat abang?” soal Zafir lagi.

Zakiah jungkit bahu.

“Mungkin sebab sayang takut abang ramai peminat kot sebab abang ada lesung pipit tu. Tu sayang benci abang,” ujar Zakiah lagi.

Zafir hampir tidak percaya. Zakiah memang gila. Alasannya entah apa-apa. Tapi sebab lesung pipit miliknyalah Zakiah kini bersamanya.

“Ingat masa abang duduk depan sayang waktu dekat café masa tu?”

Zafir mengangguk.

“Masa tu baru sayang tahu, sayang tak boleh tengok abang senyum. Sebab setiap kali abang senyum, sayang nampak lesung pipit abang dekat pipi tu. Dan setiap kali tu sayang rasa macam berduyun-duyun jemanusia yang jatuh cinta dengan abang sebab lesung pipit tu.”

Zafir terdiam sejenak.

“Dan sebab tu sayang gunting dan buang semua poster manifesto abang masa pilihanraya kolej tu?”

Zakiah angguk.

Zafir tarik muka masam.

“Sebab sayanglah abang kalah teruk masa tu. Masa malam baca manifesto tu, banyak orang cakap, betul ke abang ni salah seorang calon sebab tak ada pun poster abang dekat univerisiti tu,” ujar Zafir dalam nada yang sengaja dibuat sedih.

“Tapi kan sekarang abang dah menang,” ujar Zakiah separa memujuk. Kepalanya dilentokkan ke bahu Zafir.

“Sayang sayang abang?” soal Zafir tiba-tiba.

Sepi.

“Jangan bilang tidak dekat abang sayang,” ujar Zafir.

“Tidakkkkkkk,” jerit Zakiah kuat.

Ketawa mereka pecah saat itu juga. Zafir mengusap lembut rambut Zakiah. Zakiah memegang jari-jemari Zafir erat.

*****

©Hak Cipta Terpelihara : Isha Idiaz

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.