Home Cerpen Cinta Aireen
Aireen
Isha Idiaz
29/8/2013 13:34:43
6,361
Kategori: Cerpen
Genre: Cinta

Cerpen : Aireen

Oleh : Isha Idiaz

*****

AIREEN duduk di atas kerusi goyang itu sambil menikmati pemandangan laut yang terlihat jelas dari chaletnya. Memang tidak dapat dinafikan. Indah ciptaan Tuhan. Angin sepoi-sepoi bahasa menampar lembut pipinya yang putih bersih itu.

Azmal melihat Aireen sambil tersenyum. Secawan mug berisi Milo panas dibawa bersama. Perlahan dia merapati Aireen yang leka melihat burung-burung camar terbang di awan waktu itu.

Drinks for you,” ujar Azmal sambil meletakkan mug berisi Milo tadi. Tangan kirinya dilingkarkan di bahu Aireen sambil mengelus lembut rambut isterinya itu.

Aireen menoleh. Sekuntum senyuman terukir di bibirnya.

“Terima kasih,” ujar Aireen lembut.

“Kasih diterima,” Azmal membalas lembut.

Aireen menyandarkan kepalanya di bahu Azmal apabila lelaki itu duduk disebelahnya. Dia merasa selamat bersama lelaki ini.

“Abang…” lirih suara Aireen memanggil Azmal.

“Hmm...”

“Terima kasih sebab abang sudi menjadi suami Aireen,” ujar Aireen sayu. Berkaca kolam matanya waktu itu. Dadanya sebak tiba-tiba. Entah kenapa.

Azmal merangkul erat pinggang Aireen ke dakapannya.

“Terima kasih juga sebab sayang sudi menjadi isteri abang.”

Sebuah kucupan hinggap di dahi sang isteri.

Bahagia. Mereka ditakdirkan bersama. Perkenalan singkat membawa mereka ke jinjang pelamin pada akhirnya.

*****

MALAM sudah melabuhkan tirainya. Peluh membasahi dahi Aireen. Satu-persatu kenangan silam menghantui fikirannya. Aireen berlari ke sudut bilik. Dia duduk menyorok di situ. Di balik langsir. Badannya menggigil. Jantungnya berdegup laju. Kedengaran derap kaki menuju ke bilik itu. Aireen semakin takut. Dipegang kepala lututnya kuat.

“Aireen…” Suara di luar memanggil namanya.

Aireen diam tidak berketik. Tidak menjawab panggilan itu. Dia masih duduk di sudut bilik itu ketakutan.

“Aireen…” Sekali lagi suara di luar memanggil namanya.

Aireen menekup telinga dengan kedua tangannya. Satu-persatu peristiwa lama menghantui kembali dirinya.

“Aireen, buka pintu ni sayang. Abang nak masuk,” pujuk suara di luar.

Kedengaran tombol pintu dipulas dari luar. Aireen tidak tentu arah. Semakin lama, semakin keras tombol pintu itu cuba dibuka dari luar.

“Jangan masuk! Jangan masuk!” laung Aireen dari dalam.

“Aireen kenapa sayang? Aireen sakit ke?”

Aireen sudah menjerit-jerit dari dalam. Azmal sudah tidak senang hati di luar. Mundar-mandir lelaki itu di luar apabila mendengar isterinya menjerit dari dalam. Dan akhirnya suara Aireen sudah tidak kedengaran.

Langkah kaki Azmal terhenti. Cepat-cepat dia merapati pintu bilik.

“Aireen!” laung Azmal dari luar.

Tiada respons. Azmal merempuh pintu bilik dari luar.

“Aireen!” jerit Azmal apabila melihat Aireen kaku di sudut bilik. Cepat-cepat dipeluk tubuh Aireen yang keras dan dingin itu. Tangannya menggosok-gosok badan Aireen berharap dapat memberikan kehangatan kepada isterinya itu.

“Ya Allah… Kenapa ni sayang?” lirih suara Azmal. Tubuh isterinya itu digendong. Dia harus membawa isterinya ke hospital.

*****

AIREEN merenung ke luar jendela. Air mata menitis lagi buat kesekian kalinya. Dia tidak boleh hidup begini. Suara tangis yang mulanya perlahan semakin jelas kedengaran. Terhenjut-henjut bahu Aireen menahan tangisannya.

Azmal menjenguk dari pintu. Ini pertama kali Azmal melihat Aireen seperti itu. Azmal menyandarkan badannya ke dinding. Rambutnya yang jatuh ke dahi dikuak ke belakang. Kelibat Doktor Rabiah menarik perhatiannya. Cepat-cepat Azmal mengikuti doktor itu dari belakang.

“Doktor, boleh saya tahu apa sakit isteri saya?” soal Azmal ingin tahu.

“Encik Azmal boleh ikut saya ke bilik sekejap?” Doktor Rabiah meminta persetujuan.

Azmal mengangguk dan mengikuti langkah Doktor Rabiah.

“Silakan duduk Encik Azmal,” pelawa Doktor Rabiah.

Azmal terus duduk tanpa membuang masa. Dia ingin tahu apa yang terjadi pada Aireen isterinya.

“Encik Azmal, saya ingin tanya Encik Azmal beberapa soalan,” ujar Doktor Rabiah tenang. Wanita itu menyandarkan badannya ke kerusi.

Azmal mengangguk laju. Apa sahaja maklumat yang dia tahu dia akan kongsikan dengan doktor ini agar dia tahu apa sakit yang dialami oleh Aireen.

“Sudah berapa lama Encik Azmal bernikah dengan Puan Aireen?”

Azmal tidak tahu jika soalan ini ada kaitan dengan penyakit Aireen. Namun, jika doktor sudah bertanya, pasti ada kaitannya.

“Baru seminggu doktor. Dan kami sedang berbulan madu sekarang ini,” ujar Akmal jujur.

“Hmmm. Maafkan saya ya Encik Azmal jika soalan ini agak kasar kedengarannya. Tetapi kalau tidak keberatan, boleh saya tahu, sudah berapa kali Encik Azmal menyentuh isteri encik?”

Azmal terkedu. Namun dia menjawab juga pertanyaan doktor itu.

“Belum pernah doktor.”

Azmal melihat Doktor Rabiah membuka medical record yang tertera nama Aireen di hadapannya. Tidak berapa lama selepas itu, Doktor Rabiah meletakkan kembali medical record itu di sudut meja.

“Encik Azmal, saya berharap Encik Azmal dapat menerima berita yang saya sampaikan ini dengan sabar,” ujar Doktor Rabiah tenang.

Dada Azmal sudah berdebar. Mahu saja dia menjerit saat itu.

“Encik Azmal, Puan Aireen isteri encik mengalami genophobia,” terang Doktor Rabiah.

Genophobia?” soal Azmal inginkan kepastian.

“Ya,” ujar Doktor Rabiah.

Dan setiap penjelasan yang keluar dari mulut Doktor Rabiah setelah itu umpama kaca yang merobek-robek hatinya. Hancur hatinya mendengar penjelasan Doktor Rabiah. Namun apakan daya, dia juga mencintai Aireen. Walaupun hatinya sakit, dia harus membantu isterinya itu. Ya, isterinya.

*****

AIREEN, gadis itu gadis pertama yang dikenalinya menerusi seorang teman. Gadis kecil molek yang tidak banyak bicara. Yang hanya bicara apabila ditanya. Gadis yang seolah-olah hidup dalam dunianya sendiri.

“Aireen,” bisik Azmal lembut ke telinga isterinya.

Aireen menoleh. Secalit senyuman mekar di bibirnya. Azmal membalas senyuman Aireen. Pesanan Doktor Rabiah kembali menerjah mindanya.

“Encik Azmal, genophobia adalah ketakutan fizikal atau psikologi tentang hubungan seksual atau persetubuhan.”

Berkerut dahi Azmal mendengar penjelasan Doktor Rabiah.

“Tadi Encik Azmal beritahu encik dan Puan Aireen sedang berbulan madu bukan? Tetapi Encik Azmal belum pernah menyentuh Puan Aireen?”

Azmal mengangguk mengiakan kata-kata Doktor Rabiah.

“Jadi, basically pesakit dengan genophobia biasanya datang ke kami dengan sejarah persetubuhan yang menjadikan mereka trauma seperti mangsa rogol, mangsa cabul, orang yang pernah melakukan sumbang mahram ataupun mereka yang tidak mempunyai keyakinan diri atau bimbang terhadap sesuatu.”

Azmal menundukkan kepala.

“Dalam kes Puan Aireen ini, kami syak Puan Aireen pernah menjadi mangsa perkosaan sebelum Puan Aireen menjadi isteri Encik Azmal,” jelas Doktor Rabiah.

“Kami telah melakukan pemeriksaan dan kami dapati hymen atau selaput dara Puan Aireen sudah terobek.”

Azmal tidak tahu apa yang harus dilakukannya sekarang. Hatinya hancur. Benar-benar hancur. Aireen tidak pernah memberitahunya mengenai hal ini sebelum mereka bernikah.

Azmal memeluk erat tubuh Aireen dalam dakapannya.

‘Kenapa sayang tak pernah beritahu abang? Sampai bila sayang nak simpan seorang rahsia ini?’ bisik hati Azmal.

*****

DOKTOR Rabiah memeriksa Aireen pagi itu. Setelah memberikan nasihat kepada Aireen, Doktor Rabiah meminta diri untuk memeriksa pesakitnya yang lain. Belum sempat Doktor Rabiah berlalu, tangan Aireen lebih cepat menyambar tangan doktor itu. Tangan Doktor Rabiah dipegang kejap.

“Doktor,” ujar Aireen perlahan.

Doktor Rabiah menoleh. Tangan Aireen disambut. Wanita itu mengangguk.

“Suami saya dah tahu?” soalan itu keluar dari mulut Aireen.

Doktor Rabiah memaut bahu Aireen ke dalam dakapannya.

“Awak sudah lama menyimpan rahsia ini seorang diri Puan Aireen. Tak salah jika Puan mahu berkongsi dengan Encik Azmal. Saya yakin Encik Azmal faham situasi Puan. Berterus-terang lebih baik daripada Puan pendamkan perasaan itu sendiri.”

Air mata Aireen mengalir lagi. Deras. Doktor Rabiah mengusap lembut bahu wanita itu. Semoga Allah berikan Aireen kekuatan menghadapi ujian ini.

*****

AIREEN mengambil sebatang pen dan beberapa helai kertas. Untuk bertemu dengan Azmal, dia tidak punya kekuatan. Bukan sahaja kekuatan, malah dia rasa teramat malu. Dia bukannya isteri yang sempurna buat Azmal.

Jari-jemari Aireen berlari laju di atas kertas itu. Mencoret semua yang harus dia beritahu kepada Azmal selama ini. Seharusnya sebelum mereka mendirikan rumah tangga. Dan untuk menyingkap kembali semua memori tersebut, Aireen terpaksa bermandi air mata.

“Hei perempuan!” jerit seorang lelaki di hujung jalan. Aireen tidak menoleh. Dia tahu lelaki itu lelaki yang menganggu perempuan di perhentian bas tadi. Namun kerana Aireen mengherdik lelaki itu di hadapan orang ramai, lelaki itu terus menghentikan perbuatannya yang memalukan itu. Dia tidak sangka lelaki ini mengekorinya sekarang.

Hari semakin gelap. Aireen mempercepat langkah kakinya. Lorong menuju rumah sewanya ini agak sunyi. Kebanyakkan rumah juga tidak berpenghuni. Badannya berkeringat dingin.

“Kau fikir kau superwomen?” lelaki itu melaung dari jauh.

Aireen tidak betah untuk berjalan saat ini. Lelaki itu masih mengekorinya dari belakang. Aireen berlari sekuat hati. Namun dia dapat dengar derapan kaki lelaki itu semakin menghampirinya.

Belum sempat Aireen mengunci pintu rumahnya, lelaki itu lebih dulu menolak pintu tersebut hingga Aireen jatuh terduduk di sudut ruang tamu rumahnya. Badannya menggigil. Dia takut melihat senyuman lelaki yang tidak dikenalinya itu.

“Keluar!” jerit Aireen kuat.

“Kalau aku tak nak keluar macam mana?” soal lelaki itu dan merapati ke arah Aireen.

Aireen semakin tidak tentu arah. Dia ketakutan. Lelaki itu ketawa berdekah-dekah.

“Kau kan superwomen. Takkan sekarang takut kot. Perempuan tadi tu tak adalah cantik sangat pun. Kau lagi cantik. Badan kau ni buat aku rasa lapar,” ujar lelaki itu.

Melihat Aireen yang ketakutan, lelaki tersebut semakin berani mendekati Aireen dan akhirnya tubuh Aireen berada dalam dakapannya. Aireen menolak sekuat hati namun tenaganya tidak sekuat mana.

Lelaki itu menggendong Aireen. Tubuh Aireen dilempar ke atas sofa di ruang tamu itu. Satu-persatu pakaian Aireen ditanggalkan. Aireen tidak mampu melawan. Akhirnya Aireen tewas ditangan lelaki bernafsu haiwan itu.

Lelaki itu tersenyum puas melihat Aireen yang menangis teresak-esak di sudut ruang tamu tanpa sehelai urat benang pun di tubuhnya.

“Aku suka kau. Sedap. Kalau tak ada orang nak kahwin dengan kau, kau telefonlah aku. Aku boleh kahwin dengan kau setiap malam,” ujar lelaki itu kuat. Tawanya yang kuat itu menyakitkan telinga.

Aireen melempar apa sahaja yang dapat dicapai oleh tangannya waktu itu sehingga lelaki itu meninggalkannya di rumah sewanya itu. Dia benci lelaki itu.

Aireen menghela nafas panjang. Pen yang dipegang sejak tadi diletakkan di atas meja setelah dia meletak tanda noktah di hujung ayat dalam surat itu. Air mata yang dari tadi mengalir diseka dengan hujung baju. Perlahan Aireen melipat kertas itu dan memasukkan ke dalam sebuah sampul surat.

Beg yang sudah siap dikemas diangkat. Cadar yang sedikit renyuk ditegangkan kembali. Bantal kepala disusun rapi. Sampul surat tadi diletakkan di atas katil. Aireen sudah mengambil keputusan. Dia harus meninggalkan hospital ini. Dan dia juga harus meninggalkan Azmal.

*****

SEPUCUK surat ditemukan oleh Azmal di atas katil Aireen di hospital itu. Sewaktu dia masuk ke wad itu, dia lihat katil Aireen sudah kosong. Cepat sampul surat itu dikoyakkan. Surat dengan tulisan tangan Aireen itu dibaca dengan berhati-hati.

Assalammualaikum abang,

Semoga abang sihat hendaknya. Maafkan Aireen kerana tidak pernah berterus-terang dengan abang sebelum kita menikah. Aireen tidak berniat nak menipu abang. Apa lagi nak buat abang kecewa. Aireen cuma tidak punya kekuatan untuk berhadapan dengan abang dan beritahu abang tentang hal ini. Mungkin abang sudah tahu duduk perkara sebenarnya. Namun, di sini Aireen tidak mahu menjadi seorang yang pengecut juga. Jadi Aireen harap abang dapat baca isi surat ini hingga akhir kerana di sinilah bermula semua cerita.

Azmal melepaskan keluhan setelah membaca keseluruhan isi surat yang ditulis oleh Aireen. Air mata lelakinya menitis juga. Dia merasa bersalah. Memang awalnya apabila Doktor Rabiah memberitahunya mengenai Aireen, hatinya hancur. Fikirannya mula menuduh macam-macam terhadap Aireen. Namun setelah membaca surat ini, Azmal merasa dia yang tidak adil kerana telah menghukum Aireen tanpa mengetahui cerita sebenar.

Azmal berlari ke tempat parkir kereta. Dia harus segera mendapatkan Aireen. Dia harus meminjamkan sedikit kekuatan buat isterinya itu. Teringat pesan Doktor Rabiah agar dia menjaga Aireen baik-baik memandangkan keadaan emosi isterinya itu susah difahami.

Setelah dua puluh minit meredah jalan raya, akhirnya Azmal memakirkan keretanya di tempat parkir. Tanpa berlengah, Azmal berlari menuju ke chalaet yang mereka duduki sepanjang tempoh bulan madu ini. Pintu chalet dibuka.

Azmal mencari Aireen di setiap ruang. Tidak ada. Di mana lagi harus dicari Aireen jika isterinya tidak ada di chalet itu. Azmal buntu. Sehingga bayu laut berpuput lembut menampar wajahnya. Azmal memandang ke arah balkoni. Dia melihat Aireen berdiri di situ.

Pantas Azmal berlari mendapatkan Aireen. Tubuh Aireen dipeluk perlahan dari belakang. Aireen terkejut namun setelah melihat wajah Azmal, dia membiarkan pelukan itu.

“Maafkan abang sayang,” bisik Azmal di telinga Aireen.

Aireen menoleh ke belakang. Wajah Azmal di tatap penuh kasih.

“Maafkan sayang sebab tak pernah berterus-terang dengan abang,” ujar Aireen sebak.

Cepat Azmal meletakkan jari telunjuknya di bibir Aireen.

Pinggang Aireen dirangkul erat. Kedua-duanya masuk ke dalam chalet. Pintu chalet di tutup rapat. Langsir tingkap juga ditutup rapat. Malam ini harus menjadi milik mereka tanpa gangguan sesiapa. Aireen harus dibantu dalam apa jua cara. Azmal akan memberikan malam yang terindah buat Aireen agar isterinya itu dapat melupakan semua kisah berdarah dalam hidupnya. Paling penting, istilah genophobia itu dapat dihilangkan dari kamus hidup Aireen.

“Aireen takut abang,” bisik Aireen.

“Kan abang ada,” ujar Azmal sambil merangkul erat tubuh Aireen dalam pelukannya.

*****

©Hak Cipta Terpelihara : Isha Idiaz

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.