Dia melihat ke luar jendela. Melihat
pemandangan sawah padi yang terbentang luas. Sawah padi yang telah menjadi
sumber pekerjaan turun temurun yang di warisi dari nenek moyang sebelah ayah.
Sawah yang selama ini menjadi tempat permainannya sejak dari zaman kanak-kanak.
Setiap kali matanya melihat ke arah sawah itu hatinya menjadi tenang.
Kadang kala terfikir juga adakah dia
juga akan menjadi pesawah seperti ayahnya? Adakah dia sanggup menahan terik
mentari sehingga menggelapkan warna kulitnya yang cerah itu? Adakah dia sanggup
keringatnya bercampur dengan lumpur? Adakah dia sanggup berdepan dengan risiko
kerugian akibat daripada bencana alam seperti hujan dan kemarau yang tidak
menentu akhir-akhir ini? Dan sanggupkah dia tinggal di kampung ini melihat
rakan seusianya berhijrah mencari rezeki di bandar?
Sungguh dia tak sanggup. Dia ingin kerja
di bandar. Ingin bekerja di tempaat berhawa dingin. Dia ingin menjadi ketua,
ingin menjadi pengurus. Dia mahu semua orang memandang tinggi kepadanya. Dia
mahu orang hormat kepadanya. Dia mahu mendengar semua orang memanggilnya dengan
gelaran ‘Tuan’. Dia mahu orang yang selama ini memandang rendah kepadanya
menunduk setiap kali terpandang kelibatnya terutama sekali Zahid dan Ehsan. Ya,
terutama sekali Zahid dan Ehsan.
Zahid dan Ehsan sebaya dengannya. Cuma
mereka sudah berhenti sekolah. Sebetulnya diberhentikan sekolah kerana membuli
dan memukul seorang pelajar tingkatan dua sehingga patah tangan. Mereka memang
kali buli. Semalam dia ditampar ketika pulang dari sekolah oleh Zahid. Dia
ditampar kerana tidak membeli rokok yang yang dipinta.
“Bukan aku tak nak beli. Aku tak boleh
nak beli. Hari ni kedai tu Pak Bakar yang jaga bukan anak dia. Dia cakap kalau
aku pergi lagi kedai dia beli rokok dia nak report
dekat bapak aku.” Dia mengusap pipi kanan yang pedih di tampar Zahid. Selalu
Zahid tidak pernah menampar atau memukulnya. Mungkin dia baru sahaja dimarahi
bapanya kerana selalu merayap serta mengusik anak gadis kampung ini
membuatkannya lekas naik angin lalu menampar dirinya.
“Bila aku cakap kau bodoh kau marah.
Tapi bila aku tengok kau bengap macam ni baik kau berhenti sekolah aje. Jadi macam kami ni. Bebas. Tak
payah nak penatkan otak belajar entah apa-apa kat sekolah tu. Lagipun kau pergi
sekolah pun bukannya kau boleh jadi pandai pun. Lain kali kau pergilah beli
deka kedai Ah Chong tu.” Zahid menolak kepalanya dengan hujung jari. Ehsan
hanya diam dan bertindak sebagai pemerhati. Hatinya menahan marah.
Mahu sahaja dia menumbuk muka Zahid yang
berjerawat dan menyepak perut buncit Ehsan. Tapi dia tetap cuba mengawal riak
mukanya supaya mereka berdua tidak dapat melihat perasaan marah yang bersarang
dalam hatinya ketika ini. Dia tidak boleh marah. Mereka berdua sahabat
karibnya. Kerana mereka berdua, tidak ada siapa pun yang berani membuli atau
mencari pasal dengannya disekolah. Dengan saiz badannya yang agak kecil itu dia
sering menjadi mangsa buli. Tetapi setelah dia berkawan dengan Zahid dan Ehsan
tidak ada siapa lagi yang berani menyentuh dirinya. Bila dia berkawan dengan
mereka berdua dia merasa dirinya berkuasa.
“Alif, aku suruh kamu belajar! Bukan
suruh kamu termenung berangan tepi tingkap tu!” Dia tersentak mendengar
jerkahan dari bapanya. Dia tidak sedar bapanya telah berada di situ sejak tadi
lagi memerhatikannya.
“Alah, abang ni… Bagilah budak tu
berehat sekejap. Dari tadi saya tengok dia asyik mengadap buku tu. Dia pun tahu
penat juga.” Ibunya menyampuk dari arah belakang. Dia sangat sayang dengan
ibunya yang cantik itu. Ibu seorang yang memahami bukan seperti ayah yang
garang dan hanya tahu memaksanya untuk belajar.
“Belajar apanya? Dari tadi saya tengok
halaman buku tu tak berganjak pun. Beranganlah tu gamaknya.Apa nak jadi dengan kamu ni Alif? Belajar malas, Yang
kamu tahu berangan. Kamu ingat berangan tu yang nak tanggung hidup kamu nanti?
Ini semua awaklah, manjakan sangat budak ni.” Dia menundukkan kepala memandang
lantai. Rasa bersalah kerana ibunya pula yang dimarahi.
Kenapa
ibu harus berkahwin dengan ayahnya yang miskin dan jelik itu? Sedangkan ibunya
seorang yang sangat cantik. Kalaulah ibunya jadi berkahwin dengan Omar orang
kaya itu sudah tentu hidup mereka lebih baik. Di limpahi dengan kemewahan dan
kemegahan. Pasti semua orang akan hormat kepada mereka anak beranak.
“Tengok tu… Saya tengah bercakap ni pun
dia buat tak tahu saja. Kamu dengar tak apa yang ayah cakap ni? Kamu ni jangan
la asyik berangan aje. Belajar. Kamu
tak malu ke nanti bila tengok kawan-kawan kamu semua ke universiti? Kalau tanpa
pelajaran, tanpa ilmu kamu nak buat apa? Nak ke kamu jadi macam ayah membanting
tulang empat kerat setiap hati di sawah tu? Cubalah kamu ingat masa depan kamu
tu sikit. Tengok anak-anak arwah Pak Ngah kamu tu, semuanya rajin. Si Sofea tu
asyik pegang buku je. Tak lama lagi
dia dah nak ke England sambung belajar.” Mendengar sahaja nama Sofea kepalanya
terus diangkat melihat wajah bapanya.
“Hah, sekejap lagi abang pergi ambil
Fatimah dekat airport ke?” Ibunya
cuba mengalih perhatian ayahnya. Dia tahu ibunya juga sudah bosan setiap hari
terpaksa mendengar bapanya meleteri dirinya. Tapi pertanyaan ibunya menarik
perhatiannya. Mak Ngah Fatimah nak balik? Maksudnya Sofea juga pasti ikut
pulang bersamakan?
“Tak. Dia cakap dia ambil teksi aje. Dahlah. Saya nak ke kedai beli
barang dapur sikit untuk diorang.”
Dia hanya melihat bapanya berlalu pergi ke muka pintu dan keluar menaiki motorsikal
Honda Cup buruk yang selalu dinaikinya untuk ke sawah. Dia melangkah menuju kea
rah ibunya yang sedang melipat kain baju mereka tiga beranak.
“Mak, Mak Ngah dengan anak-anak dia
balik ke?” Dia mengambil pakaian
sekolahnya. Pakaian itu akan digosok sendiri malam nanti. Kasihan melihat
ibunya letih seharian di kebun kemudian pulang ke rumah menunaikan
tanggungjawab sebagai ibu dan isteri.
“Ya… Mereka nak ke Pulau Langkawi
sebenarnya. Bercuti. Kebetulan lalu sini, singgahlah dulu semalam dua. Lagipun
Sofea tu nak sangat menziarah kubur arwah ayahnya tu sebelum ke England.” Dia
membayangkan sepupunya yang berkulit putih kemerahan itu. Pasti dirinya tampak
lebih comel mengenakan woolen sweater
dan juga skaf di dileher.
“Sofea ingat lagi ke dekat aku?” Dia cuba menyoal dirinya sendiri. Teringat sewaktu
kecil dia, Sofea dan Amer abang kepada Sofea sering menghabiskan masa di tali
air yang tidak jauh dari bendang bapanya. Kadang kala mereka memancing dan
kadang kala mereka hanya mengisi masa dengan melakar impian masing-masing.
Dahulu sebelum sepupu-sepupunya itu berpindah ke Bandar, mereka merupakan
sahabat baik. Tetapi sekarang semuanya telah berubah. Sepupu-sepupunya itu
lebih suka membuat hal sendiri setiap kali pulang ke kampung.
Dia menghentikan lamunan. Pakaiannya
dibawa ke bilik. Dia meminta izin ibunya untuk keluar sebentar. Alasan ingin
mengambil angin petang untuk menghilangkan stress belajar. Sebenarnya dia ingin
bertemu dengan Sofea. Terasa rindu pula setelah lama tidak bertemu. Walaupun
Sofea lebih tua 2 tahun daripada dirinya, namun dia tetap suka kepada gadis
tinggi lampai berkulit putih kemerahan persis wanita Arab. Langkah kaki dihayun
sambil kepalanya mengenang kembali zaman kanak-kanak mereka.
Sampai sahaja di rumah keluarga Sofea,
dia mengambil keputusan untuk menyembunyikan diri di belakang pokok asam
memerhatikan dahulu keadaan sekeliling. Melihat sekiranya bapanya ada disitu.
Mujurlah bapanya tidak sampai lagi. Mungkin berhenti sebentar di warung berbual
dengan rakan-rakannya. Dia melihat Sofea keluar menuju ke arah kereta Honda
Civic milik ibunya, memunggah barang untuk dibawa ke dalam rumah. Tiada siapa
di sampingnya ketika itu. Ahli keluarganya yang lain berada di dalam rumah. Dia
menapak perlahan menuju ke arah Sofea.
“Biar Alif tolong.” Hampir terlepas beg
plastik yang dipengang Sofea. Muka gadis itu pucat kerana terkejut.
“Alif? Buat apa kat sini?” Tanya Sofea
sambil memerhati Alif mengangkat beg-beg plastik itu ke muka pintu.
“Saja datang nak jumpa Sofea. Sofia…”
Belum sempat dia menghabiskan kata sebuah kereta BMW berhenti di hadapan rumah
Sofea. Seorang lelaki berkaca mata keluar sambil menghadiahkan senyuman kepada
gadis itu. Sofea berlari lalu memaut lengan lelaki dengan manja. Dia hanya
mampu memandang kehairanan.
“Sayang… ingatkan you tak jadi datang tadi. Mesti you penat drivekan? Jom masuk jumpa family
I. Alif terima kasih tolong Sofea. Sofea masuk dulu ye…” Sofea menarik tangan lelaki itu menuju ke dalam rumah
meninggalkan Alif yang masih terpinga-pinga.
Siapa lelaki itu? Apa hubungannya dengan
Sofea? Sejauh mana hubungan mereka? Pelbagai lagi persoalan bermain di benak
fikirannya. Dia bergerak perlahan ke sebuah tingkap di rumah itu. Dari situ dia
melihat kemesraan antara Sofea dan lelaki itu. Tak sanggup melihat kemesraan
yang terjalin, langkah kaki dihayun ke rumah sambil tangan menggengam penumbuk.
Malam itu dihadapan meja belajar dia
masih memikirkan Sofea. Sofea pasti menyukai lelaki kaya dan berpelajaran. Ya.
Pasti semua gadis pun begitu. Siapa yang mahu bersama dengan orang miskin dan
bodoh? Buku Sains dibuka. Dia mahu tekun belajar supaya dapat memegang jawatan
tinggi dengan ilmu yang dimiliki. Selepas ini dia tidak perlu lagi mengejar
Sofea kerana gadis yang lebih cantik lagi akan melutut untuk bersamanya. Sehingga
pukul 2 pagi halaman buku Sains itu masih tidak berubah. Dia sibuk memikirkan
bagaimana kehidupannya setelah menjadi orang kaya kelak.