Daftar   |      Log Masuk   |   Terlupa password
Home Novel Travelog DOKTOR LOVE
Bab 11;Nurul Farhana Fadhil @ Dr Asmara

BAB 10: AKU @ NURUL FARINA BT. FADZIL

10

Rencana yang aku cuba siapkan kali ini seolah memerah separuh tenaga dalaman daripada mindaku. Rencana yang mengupas isu petempatan guru di Kuantan. Aku harapkan rencana ini tidak akan menjadi satu isu sensitif kepada pihak yang terlibat. Sebagai pengamal media, melaporkan isu dan berita sebenarnya terletak di bahuku. Tetapi di satu pihak yang lain, penulisan pengamal media tidaklah seolah-olah mahu secara sengaja mahu memburuk-burukkan pihak kerajaan pula. Sudah banyak yang telah dijalankan oleh kerajaan Malaysia dalam usaha memberi yang terbaik kepada rakyat dalam negara ini.Satu dua kelemahan dalam perlaksanaan perkhidmatan adalah satu perkara yang biasa.

Suara temanku, Noor Zihan atau Zi bagaikan menyambar kokleaku, “Aduh Far, kau punya pak we romantik giler!”

“Pak we?”

“Ha’ah. Pak we.Kalau bahasa kampung dipanggil dengan Mamat Cintun. Kalau Bahasa Inggerisnya Boy friend! Kalau dalam bahasa lain, aku belum belajar lagi!”

“Pak we?” Aku bertanya lagi.

“Kalau nak perkataan yang bagus sikit, boleh kata hero.”

Aku berpaling sambil tersenyum, “Sayangku jambu, hero tu perkataan inggeris.Perkataan kita, wira.”

Dia tergelak, “Lagi bagus kalau ditambah, Adi wiraku.”

Ketawa kami terlerai bersama-sama..

“Habis, Far memang ada Adi wiralah?”

Aku terus menggelengkan kepala. Jemariku pula leka menaip akan berita yang sepatutnya kusiapkan petang ini juga. Sedikit sebanyak, pertanyaannya memang mengganggu fokusku terhadap rencana ini. Aku masih lagi meneruskan usaha untuk menamatkan penulisanku, dengan berusaha untuk tidak berpaling ke arahnya.

“Ala, pak we! Buat tak tahu pulak si Far ni! Lelaki pilihan kau tu.” Sekali lagi pernyataan yang menyambar kokleaku, sekali ini dia berjaya membuatkan aku cuba berpaling ke arahnya.

Aku menoleh ke arah sigadis, rakan sekerjaku yang kugelar ‘Cik jambu’ dengan penuh rasa kehairanan. Ialah, kalau aku sendiri tidak kenal pak we yang dikatakan wujud, entah bagaimana pulak ‘Si Jambu’ ni tahu yang aku berpak we.Tuan punya badan pun tidak mengetahui yang hatiku sudah dipunyai, alih-alih dia punya cerita sensasi. Nampaknya, dia ni perlu menukarkan gelarannya kepada ‘Miss Gosip’ yang meletup!

“Pelik sikit la Jambu, macam mana pula kau tahu wujudnya pak we aku ni? Aku sendiri tak tahu dia wujud?” Sepasang mataku memerhatikan wajahnya lagi. Wajah bujur sireh dengan sepasang mata galak. Sekuntum senyuman dia lakarkan dengan sepasang bibirnya yang penuh. Seksi bagiku, mata galak dan bibir yang penuh, bagaikan bibir heroin Hindustan, Kareena Kapoor. Dia sebaliknya tidak menghiraukan pandangan mataku yang merenung ke arah wajahnya. Dia segera berpaling membelakangkan aku, dan aku hanya mendengar hilai ketawa panjangnya. “Ala, kau yang tak mahu mengaku dia wujud, itulah sebabnya. Jual mahal sangat!”

“Apa yang mahal? Aku jual mahal?”

“Ya lah. Kau lah. Kau yang jual mahal”

“Pasal jual mahal aku tak tahulah. Tapi… Aku memang la mahal.” Jawabku selamba. Kata-kata Zihan menjadikan kerjaku segera terhenti. Fokusku ternyata terarah kepada ayat-ayatnya yang dimuntahkan daripada sepasang bibir ala-ala Kareena Kapoor.

“Berapa mahal diri kau tu Far?”

Eh dia ni, main-main pulak, dengan soalan yang pelbagai. Idea baru mencurah datang bertalu.“Kau nak nilai harga aku dalam Vietdong ke? Manat ke? Rupiah? atau Rupee?”

Dia hanya ketawa kuat. “Banyaknya nilai matawang. Mana-mana pun kan sama saja.”

“Manalah sama Cik Jambu ooi.Kalau Viet-dong, rupee atau rupiah, kenalah sampai berbilion.Kalau setakat juta saja, manalah aci. Kau ingat, harga aku ni macam harga anak ayam ke? Dua-tiga ringgit seekor?”

Dia menyambung ketawa. “Iya juga. Aku lupa yang nilai matawang tu lagi rendah daripada Malaysia.” Dia meyambung ketawanya. Entahlah istilah manalah yang lucu sangat!

“Sebenarnya Zi, yang aku sebut, itu hanya harga semasa meminang aku. Bukan harga diri aku. Harga kita ini infiniti. Tidak ternilai. Betul Cik Jambu?”

“Setuju.” Dia berkata berulang kali sambil terangguk-angguk.Agak lucu melihat gelagatnya yang begitu.

Aku kembali mengalihkan pandanganku kepada skrin komputer di hadapanku. Jemariku ligat menaip sambil sesekali memandang ke arah i-padku yang mengandungi informasi dan fakta yang telah aku siapkan sebelum ini.

“Eeeh, jadi kau tak naklah ni?” Sekali lagi soalan cepu emasnya berjaya mengalihkan fokusku lagi.

“Apa yang nak? Apa pulak yang aku tak nak? Aku tak fahamlah Zi. Boleh cakap dalam bahasa yang aku faham!” Memulangkan pertanyaan. Semakin lama berbual, semakin pelik komunikasi ini dihalakan. Aneh sangat bunyinya.

“Jadi memang tak nak lah ni? Kalau tak nak, ambik je barang tu, yang lain, aku simpan dan makan.”

“Eh jambu, makin peliklah kau ni.” Aku menjawab kepadanya tanpa menoleh. Jemariku semakin ligat menyiapkan berita. Satu perenggan yang cuba aku habiskan dengan gangguan daripada Cik Jambu sejak tadi.

“Apa yang barang? Apa yang makan? Aku tak fahamlah Zi!”

“Betul kau tak tahu?”

“Adoiii Cik Zihan Jambu. Memang-memang tak faham langsung la.Sekejap kau kata barang. Sekejap kata makanan. Apa yang aku tahu? Apa pulak yang aku tak tahu?”

Zihan tersenyum semula. “Ooo, jadi tak fahamlah ni… Maksud aku, kau betul-betul tak tahulah ni?”

Aku hanya menggelengkan kepala. Yang sarat dalam fikiranku hanyalah jawapan, kepada soalan, kenapa dia diberi gelaran jambu?

Pertama, disebabkan wajahnya yang masih seolah-olah keanak-anakan. Walaupun sudah berusia pertengahan dua puluhan, wajahnya manis persis gadis yang baru berusia lewat belasan tahun. Manis bersari, kata boss kami. Kedua, kebetulan dia pula gemar memakai baju merah jambu. Seminggu barangkali, dua tiga kali memakai baju merah jambu. Hari-hari lain, walaupun mengenakan pakaian daripada warna lain, pasti terselit warna merah jambu kepada pelengkap pakaiannya, tas tangan, atau barangkali sepatu merah jambu. Dan bukan itu sahaja, mejanya juga dihiasi dengan perhiasan berwarna merah jambu pelbagai.Alasnya yang berwarna merah jambu dengan corak garis putih yang memang sedap mata memandang.

Aku hanya mampu menggelengkan kepalaku, memang patutlah dia dipanggil dengan nama ‘Cik Jambu’. Memang jambu kiri dan kanan. Meja, baju, malah make up pun masih berwarna merah jambu. Walaupun solekannya hanya senipis, selapin nipis yang dioles ke wajah, warna merah jambunya memang jambu! Memang selayaknya, dia digelar Minah Jambu!

Dan apa lagi, ‘jambu’ jugalah gelaran yang diberi kepadanya.Pun begitu, hanya aku yang boleh mengelarkan dia jambu. Jika teman-teman kami yang memanggilnya ‘jambu’, dia pasti melenting.

“Kau tu yang pelik Cik Far?”

“Aku pulak yang pelik?Aku dah makin pening ni Zi. Tolong jelaskan betul-betul. Mula-mula aku rasa kelabu je, blurr, lepas tu rasa macam kelabu asap dah!”

“Ialah Far, memang kau pelik. Penat-penat orang beri, kau tak nak ambik pulak.”

“Ambik. Ambik apa? Siapa yang beri apa? Kenapa pulak aku yang pelik?” Pelik bercampur ragu. Kenapa pulak dia mesti mengeluarkan kata-kata yang begitu?

Cepat-cepat aku mengeluarkan telefon bimbit daripada tas tanganku. Skrin yang aku lihat tidak menunjukkan kedatangan sms baru atau panggilan yang tidak berjawab. Bermakna, tiada pemberitahuan tentang, apa-apa jenis pemberian sesiapa. Aneh sangat kata-kata Cik Jambu sebentar tadi.

“Oooohhh, jadi Far tak tahulah ni?”

Aku memusingkan kerusiku yang beroda mengarah kepadanya. Apatah lagi mejaku dan mejanya hanya berselang satu kotak kubikel. Kali ini mataku terus memandang dia yang leka memandangku.

“Tahu apa?”

“Memang sah tak tahu ni?”

“Memang sangat-sangat sah Cik Propa!” Aku menggelengkan kepalaku berterusan. “Adui si gadis jambu, janganlah berteka-teki lagi. Apa dia? Cakaplah, apa yang tak kena?”

Sigadis jambu yang pada hari ini juga, memakai baju merah jambu, terus tersenyum.Dan sepasang mataku terpandang akan bibirnya, yang tentunya tercalit warna bibir merah jambu.

“Tak ada apa yang tak kena.Kau tu Far yang berjaya mengena.”

“Adoii. Tak fahamlah Mona. Boleh tak kau terangkan sikit.”

“Tak payah terang-terangkan lagi. Ikut aku. Nanti bila kau nampak … tu, baru kau ‘terang lagi bersuluh’.”Ayat Zihan memeningkan kepalaku.

“Aku kena siapkan rencana ni hari ni juga, satu jam lagi perlu hantar kepada editor. Kalau kau tak kacau aku, 30 minit aku boleh semak dan habiskan ayat terakhirku.”

“Ala lima minit je. Lepas tu kau buatlah kerja kau, aku tak kacau lagi.”

“Janji Jambu?”

“Janji.” Jawapan pendeknya memjadikan aku merasakan bahawa janjinya adalah benar belaka. Mahu tidak mahu aku hanya bangun dan bergerak bersamanya. Melayan dia selama lima minit lebih baik daripada membiarkan dia mengganggu kerjaku selama mungkin. Nampaknya dia berjalan laju menuju ke tangga.

“Ke mana kita?”

“Ikut aje lah.”

Aku hanya mengikutnya menurui anak-anak tangga menuju ke ruang bawah, ke bahagian penyambut tetamu. Dua puluh anak tangga lagi, kami akan sampai ke ruang bawah. Lagilah pelik! Perasaan yang berbaur-baur. Perasaan berombak dalam kepala. Aku bimbang, kalau-kalau si Mamat tu sudah menunggu di ruang hadapan. Tetapi, mana pula si Zihan ini akan berkomplot dengan si mamat tu? Mana pulak dia tahu nombor telefon si Zihan @ Cik Jambu aku ini.

‘Jangan-jangan…’Terasa cuak sungguh dalam hati.

“Apa sebenarnya Zi?” Aku menyoal dia lagi.

Dia tersenyum. “Isskhh, tak sabar sungguh kawan aku ni?Sabarlah. Kan kau selalu kata sabar tu separuh daripada iman.”

Akhirnya kami tiba ke tempat penyambut tetamu. Lega melihat sesusuk tubuh itu tiada di situ. Nada jazz yang berlagu dalam dada mulai tenang kembali, bagai tenangnya ombak sebaik laut mulai surut. Jantung yang berdebaran seakan berdegup dengan nada perlahan kembali. Tidak lagi perlu rasa berdegupan laju. Si penyambut tetamu yang baru sahaja bekerja minggu lepas hanya tersenyum memandang kami.

“Ini Cik Farina ni.” Mona cepat-cepat menyatakan kepada si Manis yang berada di kaunter.

“Ni ada jambangan bunga dan coklat untuk Cik Farina.” Dia menghulurkan jambangan dan sekotak coklat.

“Cik Farina, sila tandatangan di sini.” Dia menghulurkan sebuah buku kecil untuk ditandatangan.

“Terima kasih.”

Aku segera menyerahkan jambangan bunga ke tangan Zihan yang sejak tadi sibuk, cuba membelek nama pengirim yang mungkin ditulis di atas kad yang dikirimkan kepadaku.

“Pelik sungguh. Kad ni kosong saja?” Aku merungut. Mana pernah pengirim mengirimkan kad kosong, tanpa nama. Malah sepatah ayat pun tidak dititipkan di atas kad ini.

“Alamak Far, tak de nama pulak atas ni. Agaknya adalah tu secret admire ni!” Dia mengusik lagi. Dia mulai mereka dengan perkataannya sendiri, membaca perkataan demi perkataan yang kononnya tertera di atas kad tersebut kuat-kuat.

“Ayat powerla Far! Mantop! Meletup!”

“Ayat power atuk kau Zi. Kau ni kan, dah macam orang tak der kerja.Kalau ada pun orang yang syokkan aku, takkan nak susah payah hantar macam ni? Entahlah kalau ada yang meletup-letup mahu kat aku ni!” Aku terasa malas mahu melayan kerenah si Cik Jambu [email protected] Noor Zihan. Kepalaku ligat memikirkan rencana yang perlu aku tamatkan segera.

“Dah la, jangan banyak songeh lagi. Aku nak habiskan kerja aku ni.” Tangganku segera memberi dia jambangan bunga dan sekotak coklat yang hanya dibalut dengan plastik jernih, serta berikat reben yang berwarna merah menyala. Merah Ferrari atau dikenali dengan nama ‘Red Ferrari.’

Dan kami cepat-cepat kembali ke meja kerja kami.“Tolong beri aku masa, nak siapkan cepat ni, sebelum editor mula ‘ring-ring lagi’.” Kali ini aku seolah merayu dirinya.

“Okay. Aku tak kacau lagi. Aku nak pergi beli goreng pisang di gerai bawah sana.Far nak tak?”

“Pergilah beli, lama-lama sikit. Kau ni kan jambu, ganggu konsentrasi aku sajalah.”

Dia hanya tersengih menampakkan pendakap giginya yang dihiasi dengan warna-warni.Katakanlah apa sahaja, dia nampaknya tidak kisah dengan apa sahaja gurauan yang keluar daripada mulutku. Katanya dahulu, “Aku sudah lali dengan kaulah Far. Semua kata-kata kau, dah tak lut lagi.”

“Nah.” Segera aku menghulurkan dua keping duit berwarna biru cair kepada dia.

“Tak payah, aku pun ada duit la.”

“Tak pe lah, kita kongsi. Nanti pasti ada tetamu yang akan singgah ke meja kita ni.”

Melihat dia, ‘Si Jambu’ yang melirik pergi menjadikan aku segera menyiapkan rencanaku yang sepatutnya dihantar segera ke editor bagi membolehkan rencana disemak dengan kadar segera. Maklumlah, akan ada lagi tugasan baru yang akan ditugaskan untukku nanti.

“Fokus Cik Far. Fokus. Kalau tak siap nanti Cik Puan akan marah-marah aku nanti. Fokus.” Aku segera memberi amaran keras kepada diriku sendiri. Sebenarnya sekadar memberi amaran palsu kepada diri sendiri agar cepat melaksanakan tugasan yang diberi. Dan tiba-tiba fikiran segera memberi signal pantas, “Alamak, Kak Ana pulak nak balik rumah mama malam ni. Kena cepat ni.” Bukan senang untuk mendapat kesempatan bersama-sama, ramai-ramai begini.

Fokus selama jangka masa tanpa gangguan Cik Jambu benar-benar memberi ruang dan peluang agar aku melunaskan tugasan dengan segera. Saat yang berlalu bagaikan tidak terasa.

Jari telunjukku segera menekan perkataan ‘hantar’ ke alamat emel ketua editorku dengan perasaan berlapang dada. Segera jemari mendail ke nombor telefon ke mejanya, sekadar memberitahu aku sudah menghantar tugasanku, walaupun aku sedar, dia pasti tahu jika ada emel dia yang baru singgah lagi.

Segera memberi salam apabila mendengar suaranya di hujung gagang. “Puan, saya Farina. Saya baru saja menghantar tugasan.”

“Saya kenal suara awak Far. Okay. Terima kasih.”

Mendengar suara itu bagaikan mengangkat beban batu berat yang digalas di atas puncak kepala.Lega. Tenteram rasanya di jiwa. Jam di tangan kiri segera diperhatikan. Sudah agak dua puluh minit rupanya Cik Zihan ke kedai mamak di hadapan bangunan tempat kami bekerja.

“Hai, lama pulak Cik Jambu ni pergi. Takkanlah kedai yang hanya 10 meter pun ambil masa lama untuk ke sana?”

Jemari segera menekan telefon bimbit Black Berry, segera mencari nama Zihan-si jambu dan segera menekan panel telefon untuk menghantar mesej kepadanya.

Jambu- apa yang lama sangat!

Belum sempat jari telunjuk menekan perkataan ‘send’, kelibat dia sudah mulai menjengah ruang hadapan meja kami.

“Apa yang lama sangat Cik Jambu?”

Zihan hanya ketawa mendengar nama panggilan manjanya lagi. “Ala, sajalah aku lambat-lambatkan.Kalau cepat-cepat, ada pulak orang yang tak habis kerja!” Dia memulangkan ‘ayat pedas’ tetapi dengan secebis senyuman.

“Adoiii, bisa ooi.Bisa sungguh, kata-kata tu.”

“Bisa macam gigit dek semut je. Aku takkan bagi bisa kala jenging dekat hang Far ooi.” Dia ketawa terus.

“Kau ngorat mamak kat kedai tu ka?”

“Ngorat! Kalau ngorat Mamat Bangla kat kedai tu pun, tak akan ambil masa 20 minit Far. Seminit pun aku akan berjaya ajak dia dating.” Dia tergelak-gelak lagi.

“Amboii. Mudahnya ngorat!” Aku melirikkan pandangan mataku ke arahnya lagi.Dia hanya tersenyum simpul lagi.

“Aku nak balik cepat ni. Kak Ana nak datang rumah!”

“Belum jam lima lagi la.Kot iya pun kalau mummykau tak panggil pasal tugasan tadi.” Sempat Cik Zihan menyebut lagi pasal rencana tadi. Aku berdoa dalam hati perlahan agar rencana yang kuhantar tadi akan memuaskan hati ketua editor, jadi, bolehlah aku pulang ke rumah dengan senang hati.

“Zi, doakan sama untuk aku!” aku merayu dia. Aku mengharapkan dia mendapat mesej yang aku cuba sampaikan.

“Doa yang mana?”

“Rencana aku tidak ditolak, mahu pun kena rombak secara besar-besaran. Aku nak balik rumah cepat.”

“Oh rencana, aku ingatkan kau nak minta aku doakan sekali, pemberi bunga ni cepat-cepat masuk meminang kau Far!”

“Bunga?”

Zihan tersenyum lagi. “Eiikk, dah lupa pulak.”Dia segera bergerak kembali ke mejanya.Jambangan bunga yang aku terima tadi dia letakkan di atas mejanya bersama sekotak coklat.

“Sibukkan bunga yang aku dapat je! Mana pisang goreng tadi?”

Zihan bergerak kembali ke mejanya. Segera dia menghampiri mejaku dengan sepinggan kecil goreng pisang, siap beralaskan pinggan kaca berwarna coklat gelap.

“Kau makan dulu Far. Rumah kau dekat je, apa nak kisah. Lagipun kalau jalan jem, surehati panas beb!”

Sedang kami leka berbual, telefon di mejaku berdering lagi. Dalam hati berdebar, ‘Janganlah puan editor meminta aku merombak rencanaku lagi.Dah tak kuasa mahu menunggu, sedangkan hatiku sudah lama singgah ke Vista Angkasa.’

“Hello.”

“Tahniah Farina. Rencana yang sangat menarik dan berkesan di jiwa. Ini rencana terbaik awak bulan ini. Tahniah sekali lagi. Sebab tu saya minta awak yang siapkan tugasan ni.” Kata-kata azimat yang melegakan sukma.

“Kenapa Far?” Jelingan Zihan seolah pelik dan meragukan.

“Puan. Bukan sekadar puas hati, siap ucapkan tahniah lagi.”

Zihan tersenyum sama, tentunya dia turut merasa seronok. “Tahniah Far. Bolehlah kau balik dengan senyuman sampai ke telinga.”

“Kau sebut pasal balik, jadi aku nak baliklah Zi.” Aku cepat-cepat mengemaskan mejaku dan cepat-cepat bangun daripada kerusi empukku.

“Aku belum habis cakap dengan kau Far.” 

Dia masih merayu-rayu agar aku menunggu dan berbual dengannya. Aku sedar, ada perkara yang ingin dia bongkarkan. Betul-betul macam ‘geng propa.“Esok sambung okay.” Aku cepat-cepat berlalu tanpa menghiraukan lagi suaranya yang masih memanggilku. Di tanganku menjinjing beg kertas yang mengandungi jambangan bunga dan sekotak coklat tanpa nama. Hati di dalam bagaikan bergendangan, tertanya siapakah pengirim tanpa nama tersebut.

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.