Home Novel Thriller/Aksi Skuad Taring Nusa (Sudah Terbit)
Skuad Taring Nusa (Sudah Terbit)
Meja Editor
14/11/2023 15:05:04
4,834
Kategori: Novel
Genre: Thriller/Aksi
Senarai Bab
Bab 2

Makati, Filipina

29 Julai 2018 - 7.00 pagi

MANILA, ibu kota bagi Filipina yang terletak di timur pulau yang paling besar di Filipina iaitu Kepulauan Luzon. Terkenal sebagai sebuah bandar raya yang padat dengan penduduk. Menduduki tangga keenam sebagai bandar raya yang paling ramai penduduk di dunia dengan jumlah penduduk seramai 21 juta orang.

Antara kawasan yang sering sibuk di Manila ialah Makati yang menjadi tempat terletaknya pejabat kedutaan Malaysia. Pejabat kedutaan Malaysia di Filipina menempatkan 25 orang pegawai dan kakitangan. Sebahagian daripada mereka ini mendiami unit rumah di bangunan yang sama.

Seperti biasa, suasana pagi di jalan Tordesillas, Makati penuh dengan kenderaan yang berbaris berpusu-pusu di atas jalan raya menuju destinasi masing-masing. Pengangkutan awam Jeepneys sarat membawa warga Manila yang bermacam ragam.

Jeepneys sangat terkenal di Manila kerana mudah, cepat dan murah. Namun Jeepneys jugalah antara punca yang menyebabkan kesesakan yang amat teruk di Makati.

Ruang pejalan kaki juga tidak kurang sibuknya. Orang ramai bergerak pantas ke hulu dan ke hilir. Ada yang menuju ke pejabat. Ada yang mahu ke sekolah dan menuju pelbagai destinasi yang lain.

Begitulah suasana yang sudah menjadi kebiasaan setiap hari di hadapan bangunan kedutaan Malaysia di Filipina. Salman menarik nafas panjang. Namun hidung dan dadanya agak ketat. Udara pagi di Makati tidak seperti kampung halamannya di Kepulauan Palawan. Kepulauan Palawan masih terpelihara dengan alam semulajadi dan pantainya yang bersih. Udara yang segar di Kepulauan Palawan benar-benar menggamit kerinduannya.

Berbeza dengan udara di Makati yang pekat dengan asap karbon dan bermacam-macam lagi. Dia menuruni tangga perlahan-lahan. Selaku penyelia pengawal keselamatan, sudah menjadi rutin tugasannya untuk meninjau dan memeriksa keadaan pagar di hadapan bangunan kedutaan setiap pagi.

Dia juga memeriksa keadaan kamera litar tertutup (CCTV) yang dipasang pada tempat-tempat strategik sepanjang pagar bangunan kedutaan. Sesekali tangannya juga menyentuh kawat duri yang dipasang pada bahagian atas pagar bagi mengelakkan pencerobohan dari luar.

Tidak jauh dari kedudukan CCTV nombor lima, dia terlihat ada sebuah gerai penjaja yang ditinggalkan di tepi pagar bangunan kedutaan. Aneh. Sepatutnya tiada gerai penjaja sebegini di hadapan pintu pagar kedutaan. Perasaan ingin tahu telah mendorong Salman untuk memeriksa gerai penjaja berkenaan.

Namun belum sempat diamelangkah untuk mendekati gerai penjaja berkenaan, bunyi letupan yang kuat danbingit menangkap telingan. Kedua-dua matanya terbeliak. Bebola api besar yangmarak menyambarnya. Tiada apa yang mampu dilakukan oleh Salman selain terpaku dan menunggu kehadiran Malaikat Maut.

***

ASP SHAZRIN berdiri kaku. Matanya terkena sinaran letupan yang berlaku 200 meter dari arahnya. Plastik yang mengandungi sarapan pagi terlepas daripada tangan. Dia menggigil. Dadanya berombak laju.

Saat itu, dia hanya terbayangkan wajah isteri dan anak perempuannya.

"Ainul, Kasih!" Dia menjerit dan mula berlari ke arah letupan yang baru berlaku.

Dia berlari di celah-celah kenderaan yang terhenti dan dalam kalangan manusia yang sedang gawat dan terpinga-pinga.

Jalan Tordesillas yang hiruk-pikuk dengan kenderaan dan manusia sebentar tadi serta-merta berubah menjadi zon bencana. Debu-debu berterbangan sekali gus menghalang sinar cahaya matahari. Loceng keselamatan bangunan dan penggera kenderaan nyaring bersilih ganti. Jeritan dan laungan manusia menambahkan lagi kegawatan dan kekecohan sedia ada.

Banyak bangunan telah terjejas termasuklah bangunan yang menempatkan pejabat kedutaan Malaysia. Separuh daripada bangunan berkenaan musnah. Api begitu besar dan marak membakar bangunan yang boleh dikatakan hampir musnah itu. Cermin kaca berserakan dan begitu juga dengan bongkah batu bata bangunan yang terjejas dengan letupan itu.

ASP Shazrin tiba di hadapan bangunan yang bukan sahaja menjadi pejabat kedutaan Malaysia tetapi juga rumah untuk keluarganya. Hanya runtuhan konkrit yang menyambutnya. Matanya mula berair. Dia terduduk. Bahang api yang terjadi akibat letupan sedikit pun tidak diendahkan.

Dia bangun dan mula memanjat runtuhan yang masih terbakar dan berdebu.

"Ainul, abang datang!"

"Kasih! Ayah datang."

Hatinya sudah tidak keruan. Dia cuba mencari laluan masuk dan pada masa yang sama menjerit nama isteri dan anaknya.

"Sayang, sayang kat mana?"

ASP Shazrin masih cuba membolosi masuk ke dalam bangunan bagi membolehkan dia mencari isteri dan anaknya. Namun usahanya sia-sia. Api semakin marak. Suaranya tenggelam dalam keributan yang sedang berlaku.

Kehadiran pasukan penyelamat telah disedari. Namun dia tidak mempedulikan pasukan penyelamat berkenaan. Tekadnya hanya satu, menyelamatkan Ainul dan Kasih.

Tanpa ragu-ragu dia cuba menerjah masuk ke dalam runtuhan bangunan. Namun tiba-tiba seorang anggota penyelamat memeluknya dari belakang.

"Encik, jangan! Terlalu bahaya." Anggota penyelamat itu menghalang ASP Shazrin daripada menerpa masuk ke kawasan letupan.

ASP Shazrin terus meronta. Badannya yang tegap berbanding anggota penyelamat memudahkannya melepaskan diri. Akhirnya dia berjaya. Dia tekad kali ini dan terus meluru masuk ke arah runtuhan bangunan. Namun, tidak sampai lima langkah dia maju, satu letupan kecil telah berlaku.

Kaboom!

Saat itu, ASP Shazrin merasakan badannyaterangkat dan melayang. Dia memejamkan mata. Dia terpelanting lebih kurang lima meter akibat letupan itu. Badannya jatuh ke atasjalan raya. Dia membuka matanya, hanya langit kelam dengan asap dan debu yangmenangkap padangannya. Beberapa saat kemudian, darah mengalir pada muka.Perlahan-lahan matanya tertutup lemah. Gelap!

***

Pejabat Perdana Menteri

Putrajaya, Malaysia

TAN SRI ARIFF menggenggam kuat tangannya. Wajahnya kemerahan. Matanya bersinar dan jelas memaparkan perasaannya ketika itu. Khabar duka dari Filipina yang baru diterima benar-benar merentap perasaannya. Pada ketika ini, beberapa individu sedang berada di hadapannya iaitu Menteri Luar Negeri, Menteri Pertahanan (MINDEF) dan Panglima Angkatan Tentera (PAT). Masing-masing sugul dan hanya berdiam diri. Mereka hanya menunggu YAB Perdana Menteri bersuara.

Berdasarkan laporan tidak rasmi yang diterima, seramai 17 orang rakyat Malaysia yang bertugas di pejabat kedutaan Malaysia di Filipina telah terbunuh. Serangan bom pada awal pagi tadi bukan hanya meragut nyawa rakyat Malaysia, tetapi juga 170 orang rakyat Filipina.

"Datuk Sobri, pihak Kementerian Pertahanan (MINDEF) ada apa-apa info berkaitan serangan ini?" Tan Sri Ariff memandang Datuk Sobri, Menteri Pertahanan Malaysia.

"Tan Sri, kami masih mengenal pasti pihak yang bertanggungjawab. Namun, berdasarkan maklumat awal perisikan, serangan ini didalangi oleh Masud Army Group atau singkatannya MAG yang aktif di selatan Mindanao. Mereka juga adalah antara dalang yang terlibat dengan insiden di Lahad Datu beberapa tahun lepas." Datuk Sobri bersuara.

"MAG telah diketuai oleh seorang rakyat Afghanistan yang memakai nama Sheikh Masud. MAG dikatakan adalah pecahan daripada sebuah kumpulan bersenjata yang terlibat semasa serangan oleh tentera Amerika Syarikat di Afghanistan. Kebelakangan ini mereka mula bertapak di selatan Filipina dan mempunyai ribuan pengikut."

Datuk Sobri berhenti seketika.

"Buat masa ini, kami telah berhubung dengan pihak Filipina dan angkatan tentera kita juga telah bersiap sedia daripada semua aspek," sambungnya lagi dengan tenang.

"Saya serahkan kepada Datuk dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) untuk kendalikannya. Kenal pasti pihak yang terlibat. Mereka telah melampaui batas!"

Tan Sri Ariff menggenggam tangannya. Kegeramannya tidak terbendung lagi.

"Jika perlu, hantar saja anggota kita ke sana untuk hapuskan mereka supaya lenyap terus dari muka bumi ni. Nyawa perlu dibalas nyawa!" Suara Tan Sri Ariff bergetar.

"Kami akan ambil tindakan sewajarnya Tan Sri," balas Datuk Sobri.

Dia tidak pernah melihat Tan Sri Ariff benar-benar marah sebegini. Sepanjang bertugas di bawah kabinet pimpinan Tan Sri Ariff, inilah kali pertama dia melihat kemarahan sebenar Perdana Menteri itu. Arahan Tan Sri Ariff bukan boleh dibuat main-main.

"Bagaimana pula saluran diplomatik kita dengan kerajaan Filipina?"

"Saya telah berhubung dengan Menteri Luar Filipina. Mereka memberi jaminan akan mengheret pihak bertanggungjawab ke muka pengadilan Tan Sri." Datuk Nauzer membalas pertanyaan Tan Sri Ariff.

Tan Sri Ariff meneguk air suam di atas mejanya. Dia merasakan satu tekanan yang amat berat untuk dipikul kali ini. Dia sedar yang kali ini dia perlu bersedia 100 peratus untuk berhadapan dengan rakyat dan juga media. Malah dia juga perlu memberi sembah taklimat kepada Yang di-Pertuan Agong. Sebentar tadi wakil dari Istana Negara baru menghubunginya.

"Datuk Sobri, Datuk Nauzer... saya tugaskan MINDEF dan Wisma Putra untuk selaraskan tindakan. Saya mahu taklimat penuh di pejabat saya jam 4.00 petang ini."

"Baik Tan Sri." Datuk Sobri dan Datuk Nauzer membalas serentak.

***

"TAN SRI jelas dengan arahan YAB Perdana Menteri tadi?" Datuk Sobri bertanya kepada Jeneral Ridzuan, Panglima Angkatan Tentera Malaysia sebaik sahaja keluar dari pejabat Perdana Menteri.

Jeneral Ridzuan menyerahkan dokumen yang dibawanya kepada Kolonel Adly yang sedang menunggu di luar Pejabat Perdana Menteri.

Dia berjalan beriringan dengan Datuk Sobri dan mencari tempat sesuai untuk terus berbincang. Akhirnya mereka duduk di satu ruang menunggu. Hanya Datuk Sobri, Jeneral Ridzuan dan Kolonel Adly sahaja yang berada di situ.

"Datuk, saya sangat jelas dengan apa yang Perdana Menteri cakapkan tadi. Pasukan perisikan kita sedang giat mengumpulkan maklumat daripada pelbagai sumber," jelas Jeneral Ridzuan.

Datuk Sobri mendengar dengan tenang.

"Untuk makluman Datuk juga, angkatan tentera kita juga sudah bersiap siaga dan sedia diatur gerak bila-bila masa," ujarnya lagi.

"Maksud Tan Sri?" Datuk Sobri mahukan penjelasan lanjut.

"Datuk, pertahanan kita di sebelah timur Sabah juga telah diperketatkan. Batalion ke-26 Rejimen Askar Melayu Diraja (RAMD) telah menambah pos kawalan sepanjang pantai perairan Sabah dan Sarawak. Pada masa yang sama 10 buah pesawat tempur kita juga telah bersedia di Pangkalan Tentera Udara Labuan. Armada tentera laut kita juga telah belayar bagi mengukuhkan pertahanan perairan kita." Jeneral Ridzuan memperincikan tindakan yang telah pihak ATM ambil.

Datuk Sobri memandang ke luar tingkap pejabatnya. Ada satu lagi perkara yang masih berlegar-legar di fikiran. Dirasakan agak mustahil, namun dia harus bertanya juga kepada Jeneral Ridzuan.

"Tan Sri, apa pandangan Tan Sri berkenaan arahan YAB Perdana Menteri sebentar tadi supaya kita menghantar tentera kita untuk menghapuskan musuh yang terlibat?

"Arahan ini jelas Datuk."

"Adakah mustahil untuk kita hantar pasukan tentera kita ke Filipina?" Datuk Sobri cuba mencari kepastian.

"Tidak mustahil Datuk. Tentera kita bukan sembarangan. Kepakaran dan kebolehan yang dimiliki sering menjadi rujukan tentera negara lain. Malah Amerika Syarikat juga turut mengiktiraf kebolehan anggota kita semasa di Somalia dan Afghanistan."

Sebagai pemimpin tertinggi angkatan tentera, dia perlu menambahkan keyakinan barisan pimpinan negara dan juga orang awam. Lebih-lebih lagi Menteri Pertahanan yang bertanggungjawab ke atas mereka.

"Tan Sri, yang Somalia tu saya tahu. Black Hawk Down. Tapi, yang Afghanistan tu saya tak pernah maklum."

"Datuk, anggota kita pernah menyelamatkan tebusan dalam misi yang paling sulit yang pernah dilaksanakan di Afghanistan dua tahun lepas." Jeneral Ridzuan tersenyum melihat Datuk Sobri yang dibelit dengan pelbagai persoalan.

"Sebenarnya Datuk, dua orang rakyat kita yang bekerja dengan syarikat milik Amerika Syarikat di sana telah ditawan oleh pengganas. Tentera kitalah yang telah selamatkan dan bawa mereka pulang ke tanah air."

"Saya pernah dengar cerita ini. Tapi ramai yang anggap ia hanyalah dongeng semata-mata."

Jeneral Ridzuan masih tersenyum.

"Datuk, tidak semua kebenaran dapat kita beritahu kepada umum. Kadang-kadang kita terpaksa berselindung di sebalik dongeng yang tersebar."

"Jadi siapa yang akan terlibat nanti Tan Sri? Grup Gerak Khas? Pasukan Khas Laut (PASKAL?)" Datuk Sobri meminta jawapan.

"Kami akan hantar Skuad Taring Nusa, Datuk," balas Jeneral Ridzuan, pendek.

"Skuad Taring Nusa?" Datuk Sobri sekali lagi dipermainkan dengan tanda tanya.

"Mereka ini lebih terkenal sebagai 'hantu'. Muncul hanya apabila perlu. Nanti akan saya 'brief' Datuk semula tentang sebuah rahsia besar negara. Rahsia yang boleh membangkitkan kemarahan pemimpin negara lain dan mengancam keselamatan negara kita."

"Hantu? Negara lain akan menyerang kita?" Bertambah lagi tanda tanya dalam minda Datuk Sobri.

"Datuk mungkin pernah dengar berita tentang kematian Carlos Guzman, Raja Dadah Mexico tidak lama dulu. Itulah antara kerja hantu ini. Bayangkan jika Mexico tahu tentera kita pernah sampai ke sana secara rahsia. Datuk serahkan pada saya hal MAG ini. Penjelasan lanjut akan saya susuli nanti."

Datuk Sobri memandang Jeneral Ridzuan.

"Baiklah. Saya beri kebenaran penuh kepada Tan Sri dan Skuad Taring Nusa. Semoga mereka yang bertanggungjawab dapat dibawa ke muka pengadilan."

Jeneral Ridzuan tersenyum. Dia berpaling memandang Kolonel Adly yang dari tadi berdiri dan hanya menjadi orang 'pekak' semasa dia dan Datuk Sobri bercakap.Jeneral Ridzuan langsung tidak bimbang sekiranya Kolonel Adly menjadi 'radio buruk' yang akan menyebarkan cerita.

Kolonel Adly baginya adalah seorang yang telah menumpahkan taat dan setianya kepada tanah air. Agak sukar untuk seseorang mendapatkan sesuatu maklumat daripadanya.

"Adly. Pastikan Aidan dan Munzir ada di hadapan aku petang ni. Tempat biasa."

"Baik Panglima!" Kolonel Adly pantas mengeluarkantelefon pintar dan mula mendail.

-----

Prapesan Skuad Taring Nusa di: https://www.karangkrafmall.com/k-lit-skuad-taring-nusa

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.