Bab 3
“Eh,
mabuk ke perempuan ni?” soal Hud terkejut sewaktu melihat Ruqiyyah
melangkah senget-senget, menghampiri kereta yang dipakirnya di depan
pintu gerbang hotel. “Apa pulak aku nak jawab kat papa dia nanti?
Sejak bila dia belajar minum? Campak dalam laut baru tau,” bebelnya
sendirian.
Setelah
diperhatikan betul-betul barulah dia beroleh jawapannya. Ruqiyyah
bukan mabuk arak. Sebaliknya mabuk asmara. Padanlah badannya
menyenget, hendak bersandar pada Reza. Macam dah tak ada tulang
belakang lagaknya. Si Reza pun satu, miang! Semua perempuan
dikejarnya.
Hud cepat-cepat melangkah turun, membukakan pintu kereta belakang
luas-luas buat anak majikannya.
“Dah
nak balik, Cik Kiah?” soal Hud sambil tersengih lebar.
Bola
mata Ruqiyyah terjegil lagi, memprotes nama yang Hud gunakan untuk
memanggilnya. Nak dimarah, takut pula Reza akan terkejut dengan lagak
garangnya. Dia menahan saja geram di dalam dada. Semakin lama dia
bersama Hud, semakin dalam benci yang menjalar ke dalam hatinya.
Mendengar suara Hud saja sudah boleh membuatkan dia marah.
“Reza,
you hantar I sampai sini sajalah. I balik dulu ya,” ucap Ruqiyyah
dalam nada yang manja.
Loya
tekak Hud mendengarnya. Apatah lagi sewaktu melihat lenggok manja
Ruqiyyah yang jelas kelihatan dari fabrik sendat di tubuhnya. Hud
melontarkan pandangannya ke lain. Dia teringat bicaranya dengan teman
sekolahnya dulu, sewaktu mereka sedang menjejak usia muda yang penuh
kenakalan. Sewaktu mereka cuba mentafsir di mana letaknya keindahan
seorang wanita.
Kata mereka, seksi seorang gadis timur bukan dengan pakaian sendat
dan pendek yang cuba mencuri tumpuan mata. Seksi itu lebih jelas
dilihat apabila gadis itu berbaju kurung, lembut melangkah. Seksi itu
sewaktu angin lembut membelai tubuhnya, menampakkan gaya langkahnya
yang penuh tertib, sopan. Seksi itu pada lunak suaranya ketika lembut
berbahasa sambil senyuman manis menguntum di bibir. Itulah seksi di
mata lelaki-lelaki seperti mereka. Seksi yang pasti jauh bedanya
dengan definasi sekarang.
Mungkin mereka yang ketinggalan zaman ataupun budak-budak sekarang
yang sudah terlalu moden. Ah, terserah pada pendapat masing-masing!
Malas hendak Hud fikirkan sekarang. Memprotes apatah lagi. Nanti tak
pasal-pasal kasut tumit Ruqiyyah melayang ke kepalanya.
“Tak nak I hantarkan?” soal Reza.
Hati Ruqiyyah melonjak gembira. Tetapi belum sempat dia menjawab, Hud
berdehem dulu, cuba meraih perhatian.
“Cik Kiah, malam ni datuk balik ke rumah. Agaknya dah sampai dah
sekarang. Abah saya pergi ambik datuk kat airport tadi. Kalau dia
tahu Cik Kiah keluar selewat ni dan pulang pula dengan lelaki…”
ucapnya, seakan cuba mengugut.
Ruqiyyah menjeling geram.
“Tak apalah, sayang. I balik dengan driver I aje. Nanti dia makan
gaji buta pulak,” ucap Ruqiyyah menyindir. Dia melangkah masuk ke
dalam kereta, melepaskan genggaman erat tangan Reza.
Daun pintu dikatup Hud.
“Hud,” panggil Reza perlahan.
Hud mencangak sekejap, memandang Reza yang tinggi sedikit darinya.
Anak mata mereka saling bertikam. Hud mengalihkan perhatiannya dari
Raza dulu. Pandangannya dilontar kepada Ruqiyyah di dalam kereta yang
kebetulan turut sama memandang kepadanya. Barangkali gadis itu
tertanya mengapa mereka belum lagi bertolak pulang. Mujurlah Ruqiyyah
tidak menurunkan cermin tingkap. Dia hanya bersandar sambil
menjeling.
“Ingat tempat kau,” luah Reza.
“Saya sentiasa ingat di mana tempat saya, Encik Reza. Usah bimbang.
Saya tak berminat ambil hak sesiapa macam sesetengah orang,” lontar
Hud sinis.
“Hud!”
Suara Reza meninggi. Tangannya dijatuhkan atas bahu Hud yang
memandang dengan pandangan kosong.
“Maaf, Encik Reza. Saya kena bawa Ruqiyyah pulang. Nanti datuk
marah pulak,” luah Hud sopan.
Tangan Reza diturunkan dari bahunya. Dia tahu dirinya tampak kerdil
di mata Reza, tampak hina. Tetapi dia tidak merasa dirinya rendah
biarpun secara fizikal dia memang rendah sedikit dari Reza. Semua
makhluk sama di sisi Tuhan. Pandangan sinis Reza takkan mampu
mencemar rasa cintanya pada jasad yang dipinjamkan
Tuhan kepadanya, pada keturunannya yang suci.
“Kau tau ni bukan tentang Chanelle,” balas Reza.
“Habis?” soal Hud sambil mengangkat sebelah kening meskipun dia
sudah dapat menduga apa yang Reza maksudkan.
“Victory,” jawab Reza sepatah.
“Ambiklah. Tak nak pun,” balas Hud acuh tak acuh.
“Hud, kau jangan angkuh sangat. Aku tau lelaki macam kau.
Berpura-pura baik tapi sebenarnya gila harta,” tuduh Reza.
Hud menguntum senyum sinis sambil menggelengkan kepalanya sekali.
Siapa sebenarnya yang gila harta? Hud ataupun Reza sendiri. Hud tak
pernah mengimpikan harta dunia yang berjuta-juta. Dia hanya mahu wang
yang halal untuk menyara diri sendiri dan keluarganya.
“Ingat, kau takkan dapat Victory,” ucap Reza angkuh. Ditujahnya
hujung jari ke dada Hud.
Hud tidak membalas kemarahannya.
“Jumpa lagi, Encik Reza. Terima kasih sebab temankan Cik Kiah,”
ucap Hud, berpura-pura tidak mendengar kata-kata angkuh Reza tadi.
Hud melangkah masuk ke ruangan memandu. Handbrek yang diangkat tadi
diturunkan semula. Kereta yang baru sekejap tersadai dibelok keluar
menuju ke jalan raya semula.
“Kau cakap apa dengan Reza tadi? Kau jangan masuk campur hal aku,
boleh tak? Kau sedar tak diri kau tu siapa?! Kau tu hanya driver,
pecacai aku!” tempelek Ruqiyyah dengan tidak semena-menanya.
Sangkanya kedua-dua lelaki itu berdebat di luar dek kerana berebut
untuk menghantarnya pulang.
“Saya tak cakap apa pun pasal Cik Kiah. Jangan kata cakap, fikir
pun jauh sekali,” jelas Hud.
“Jangan nak menipu. Kalau kau cari pasal dengan Reza lagi, siaplah
kau nanti,” ugut Ruqiyyah.
“Yelah, Cik Kiah,” balas Hud, acuh tak acuh. Mampukah syarikat
gergasi seperti Victory dibandingkan dengan gadis kecil seperti
Ruqiyyah? Hud malas hendak berhujah. Dia tak suka bertekak. Apatah
lagi dengan Ruqiyyah yang hanya pandai bercakap kosong, tidak
mempunyai isi padu yang boleh menjadi jamuan akal fikiran.
Suasana sepi tanpa bicara. Ruqiyyah tidak menyuarakan kemaafan. Hud
pula tidak berniat untuk merayu kemaafan bagi kesalahan yang tidak
pernah dilakukannya. Ah, persetankan saja. Dia lebih tenang tanpa
suara jerkahan Ruqiyyah. Biarlah malam yang mengulit terus sunyi,
sepi. Lebih indah fikirannya melayang mengenangkan Nur Mahani dari
bertegang leher dengan anak kesayangan majikannya.