Home Novel Komedi/Romantik Komedi Panggil Aku Kiah
Panggil Aku Kiah
liza nur
1/3/2014 20:57:42
30,107
Kategori: Novel
Genre: Komedi/Romantik Komedi
Beli Sekarang
Bab 2a

Nama aku Hud. Hud bin Salleh, nama yang selalu aku bangga-banggakan. Ya, namaku persis seorang nabi. Sampaikan lagu popular yang selalu didendangkan di radio pun ada menggunakan nama aku. Sampai sekarang rangkap lagu ‘Tanya sama itu Hud-hud’ nyanyian M.Nasir masih melekat di ruang ingatan. Nama burung pun ada gunakan namaku tau, burung hud-hud. Jangan main-main! Kata ibu, nama ini pemberian arwah nenekku. Nama yang harus kupelihara kesuciannya, jangan sampai tercemar. Nama yang suci, nama yang indah. Hanya ada tiga hurufnya, jadi senanglah kalau aku perlu mengisi borang. Tak luak dakwat pen kilometrico yang selalu aku gunakan.

Impianku ada enam. Yang pertama sekali, memandangkan aku anak Salleh, aku sememangnya mahu cuba menjadi anak yang soleh dan taat untuk kedua-dua orang tuaku. Orang tua yang aku maksudkan adalah abah dan emak yang membesarkan aku dari kecil. Bukan mereka yang hanya memegang gelaran ayah dan ibu tetapi tak pandai menjalankan kewajipan sebagai orang tua. Lelaki yang paling aku hormati adalah Sulaiman. Bagi versi perempuan pula, pastilah ibu kesayanganku, Sarimah.

Yang kedua, aku mahu menamatkan pengajian ijazahku dengan cemerlang. Zaman sekarang kalau tak ada kelayakan yang secukupnya, susah untuk aku mendapatkan pekerjaan yang baik. Bukan aku tamak sangat dengan duit ringgit. Cuma sekurang-kurangnya aku mahu pekerjaan yang membolehkan aku menyara keluarga. Aku tak mahu abah dan emak bekerja sampai ke usia senja. Aku ini anak lelaki sulung. Aku mahu melindungi dan menyara keluarga aku, menjalankan kewajipan aku sebagai anak dengan sebaik-baiknya.

Yang ketiga, aku mahu jadi orang besar dan berkuasa di SMouse Sdn Bhd, syarikat teknologi yang sedang melonjak-lonjak naik harga sahamnya. Aku mahu abah dan emak mendabik dada di depan dunia, berbangga dengan pencapaianku. Bagi mereka yang memandang rendah pada kemampuanku selama ini, pastikan kamu semua tunggu dan lihat kejayaanku nanti. Aku akan buktikan pada dunia yang Hud bin Salleh mampu berjaya seperti anak-anak muda yang lain.

Keempat, aku mahu memiliki rumah yang mempunyai laman. Almaklumlah, aku dilahirkan dan dibesarkan di rumah flat yang sempit, tidak berlaman untuk berbakti pada tanah. Tiap hari, aku disuruh tidur di ruang tamu, atas tikar mengkuang yang sudah berlubang. Perit rasa kulitku digigit si tiruk-tiruk betina lahap. Jangan katakan tiruk, kekadang aedes pun suka merayau-merayau dalam rumah aku. Kalau bukan kerana lingkaran fumakila, agaknya sudah lama aku dijangkiti denggi.

Di tangga ke lima adalah aku mahu menjadi seorang penternak yang berjaya. Memang mudah kalau setakat nak jadi seperti adik kecilku, Ghafur yang menjadi penternak ikan gapi yang ditangkapnya dari longkang. Tetapi, aku mahu menternak sesuatu yang boleh memberikan hasil. Kalau boleh, aku mahu menjadi penternak lembu. Almaklumlah, harga lembu sekarang melambung-lambung tinggi sampaikan orang-orang yang nak buat kenduri pun pening kepala dengan kos membeli daging. Aku suka tengok lembu melata di tanah lapang, meragut rumput-rumput hijau sambil menikmati angin petang yang damai. Aku yakin itu akan memberikan aku ketenangan tiap kali aku mahu lari dari hiruk-pikuk kota.

Yang terakhir tapi tak kurang pentingnya, aku mahu nikahi anak Mak cik Bedah yang duduk di groundfloor flat yang aku diami sekarang. Nur Mahani namanya. Suaranya lembut, cantik tutur bahasanya. Orangnya pun manis, bukannya garang macam si Kiah, anak majikan abah. Kalau aku dapat Mahani, aku rasa akulah manusia yang paling beruntung dalam dunia ini. Pasti semua lelaki di luar sana akan mencemburuiku. Ah, bangganya! Cetus hati kecil Hud.

“Hud! Hoi, Hud! Kau berangan apa tu, hah?!” panggil Sarimah sambil menampar belakang Hud yang sedang duduk mencangkung di atas koridor kerdil rumahnya, tersengih-sengih seorang diri.

“MasyaAllah, mak ni! Terkejut saya. Orang nak berkhayal kejap pun tak boleh,” keluh Hud sambil menanggalkan kopiah atas kepalanya. Ubun-ubunnya yang gatal digaru sekejap sebelum bangun menghadap ibunya.

“Berkhayal macam orang tak betul. Tersengih sekejap. Tergelak kejap. Jadi gila betul-betul baru tau,” usik Sarimah.

“Janganlah cakap macam tu. Apa yang mak cakap tu satu doa. Doa seorang ibu kan afdal,” ujar Hud, takut-takut.

“Iyalah. Anak mak ni masih waras, bijak,” bicara Sarimah, menukar kenyataannya tadi. “Eh, Hud, tadi kau kata nak balik tukar baju, solat Maghrib kejap aje. Ni dah lepas Isyak, tak gerak-gerak lagi. Nanti lambat pulak. Kau kan kena ambik si Cha..Cha..” bebel Sarimah yang tak dapat disudahkan. Lidahnya seakan terbelit tiap kali dia cuba menyebut nama panggilan anak kesayangan majikan suaminya.

“Panggil Kiah sudahlah mak. Itu kan nama dia,” balas Hud. Langkahnya dihayunkan ke meja depan, mencari di mana letaknya kunci kereta mewah Datuk Fuad yang dipakir di bawah sana.

“Hud, jangan suka ambil mudah amanah yang orang bagi. Nanti kalau kena pecat kan susah. Nak bayar yuran program jarak jauh kau tu bukannya murah. Mak dengan abah banyak keluar duit untuk si Dila dengan Ghafur tu. Datuk Fuad gajikan kau pun dah kira cukup baik tau,” nasihat Sarimah yang risaukan sikap Hud.

“Yelah, saya pergi sekarang ya, mak,” luah Hud sambil menyalami dan mengucup tangan ibunya.

Tangan Sarimah yang sudah berkerut seribu itu sudah banyak menyumbang jasa ke dalam hidupnya. Hud bersyukur kerana tangan itu yang membesarkannya, mencurah kasih sayang yang nilainya tak terbanding tujuh lautan bumi. Kasih sayang yang takkan mampu Hud bayar dengan wang ringgit, dollar mahupun yen. Hanya kesetiaannya saja yang mampu dihulurkan buat Sarimah di saat ini.

“Sayang, mak,” ucap Hud sambil mengucup pipi Sarimah sebelum berlari anak ke muka pintu.

“Kunci dah ambik?” soal Sarimah pelik melihat tangan anaknya yang kosong, tidak berisi dengan gugusan kunci yang tersangkut pada key chain gambar parlimen yang dibawa pulangnya tadi.

“Saya letak atas tu tadi,” ujar Hud.

“Habis, mana perginya? Hilang?” soal Sarimah takut-takut.

“Mak, takkanlah mak tak faham lagi. Kalau dah kunci tu tak ada kat atas meja, mestilah budak kecik tu dah ambik. Mesti dia tengah tidur dalam kereta sambil pasang air-cond,” cetus Hud sambil menyarungkan kasut ke kakinya. Dia menapak turun dari flat yang didiami keluarganya. Sampai saja di bawah, dia terus melajukan langkah ke kereta Datuk Fuad.

Previous: Bab 1b
Next: Bab 2b

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.