Home Novel Komedi/Romantik Komedi Panggil Aku Kiah
Panggil Aku Kiah
liza nur
1/3/2014 20:57:42
30,111
Kategori: Novel
Genre: Komedi/Romantik Komedi
Beli Sekarang
Bab 2b

“Eh, Garpu! Bangunlah! Abang ketuk kepala tu baru tau! Menghabiskan minyak aje!” marah Hud sebaik saja daun pintu dikuaknya.

Ghafur menyenget ke sebelah kiri sekejap, cuba lari dari jeritan Hud yang kuat menyucuk telinga.

“Garpu!”. Hud menengking.

“Abang ni bisinglah,” rungut Ghafur.

“Hah, menjawab! Menjawab!” cetus Hud.

“Ala, bukan selalu saya dapat tidur pasang air-cond. Saya ni kan kena duduki SPM tahun ni. Cubalah bagi galakan sikit. Ini tidak, asyik nak marah aje,” balas Ghafur sambil menggosok matanya.

“Ah, galakan? Tak ada maknanya galakan sampai tidur dalam kereta orang lain. Ni dah kira salah guna kuasa! Nasib baik abang tak kena tangkap dengan BPR. Keluar! Keluar! Abang nak kena ambik si Kiah tu,” cetus Hud dalam nada yang kasar meski hatinya berulit rasa kasihan melihat Ghafur terkocoh-kocoh keluar bersama nota Kimia yang belum habis ditelaahnya.

“Apa kena mengena dengan BPR pulak? Merepek betul abang ni,” ngomel Ghafur perlahan.

“Garpu!” panggil Hud sewaktu melihat adiknya yang masih mamai melangkah lambat-lambat ke bawah flat.

“Ada apa lagi, bang?” soal Ghafur, berpatah balik.

“Nah, ambik duit belanja esok. Jangan mintak kat mak. Mak kena hantarkan duit untuk Kak Dila kau. Kau guna ajelah duit abang ni,” luah Hud sambil menghulurkan beberapa not ringgit Malaysia kepada adik bongsunya.

“Saya ada duit lagilah,” bohong Ghafur.

“Tak apa, ambiklah. Simpan buat belanja,” suruh Hud.

“Abang ada duit lebih ke? Nanti abang nak berbelanja macam mana?” soal Ghafur.

“Ada. Pandai-pandailah abang nanti. Kau tu belajar rajin-rajin. Score dalam semua subjek SPM Abang nak tengok kau berjaya. Soal duit nanti abang usahakan,” luah Hud sambil menepuk bahu adiknya.

“Terima kasih, bang,” ucap Ghafur lemah.

Ghafur menggenggam duit di tangannya sambil menahan sebak. Dia tahu senipis mana duit yang ada dalam wallet abangnya. Hud tak pernah merungut walaupun sekali. Hud tak pernah menyalahkan takdir. Sejak kecil, Hud rela berkorban demi adik-adiknya. Dibiarkan perutnya merintih lapar, asalkan perut Ghafur dan Dila berisi. Dia rela memakai baju berlubang asalkan adik-adiknya dibelikan baju baru. Tak ada abang yang mampu dibandingkan dengan Hud di mata Ghafur.

“Mestilah. Ghafur kan best student!” ucap Ghafur angkuh sambil cepat-cepat melangkah meninggalkan Hud, tak mahu abangnya mengesan air mata yang bertakung dalam kolam matanya.

“Macam itulah adik abang! Belajar rajin-rajin!” laung Hud sambil tersengih.

“Bisinglah, abang! Dah malam ni!” pekik Ghafur semula dalam nada suara yang sedikit bergetar. Dia melarikan langkah laju, menaiki anak tangga untuk ke atas. Air matanya yang tertumpah ke pipi disapu dengan tapak tangan.

Hud tersenyum puas sambil melangkah masuk ke ruangan pemandu. Not sepuluh ringgit dalam walletnya yang hanya bersisa sekeping diperhatikan dengan senyuman. Tidak terbelit rasa kecewa di hatinya biarpun terpaksa menempuh titian miskin hidup yang seakan tidak berpenghujung. Selagi baktinya dirasakan berbaloi, selagi itulah ia akan terus-menerus dilimpahkan. Harapnya, Dila dan Ghafur berjaya. Kalau boleh, pencapaian mereka biarlah sampai melebihi pencapaiannya sendiri.

“Ya Rabbi, Kau lindungilah adik-adikku. Limpahkanlah kurniaMu pada mereka. Amin,” doa Hud sendiri. Dia menghidupkan enjin sebelum membelokkan kereta ke jalan utama.

Previous: Bab 2a
Next: Bab 3a

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.