Home Novel Komedi/Romantik Komedi Janda 916
Janda 916
Raihan Zaffya
27/12/2013 12:33:43
139,578
Kategori: Novel
Genre: Komedi/Romantik Komedi
Bab 34


34

“AIYAAA… muka banyak sedih. Apa kena amoi?” Poh Chong menegur Melah yang langsung tidak senyum.

“Tak ada apalah, Umar. Kepala sakit sikit ni.” Melah memicit-micit dahinya dengan jari.

“Tak sihat ka? Duduk rumahlah. Tak mau jual emas. Ada order, call pun boleh ma.”

“Duduk rumah kepala makin sakit. Lebih baik saya kerja, cari duit.” Matanya pula ralit melihat barangan kemas yang bersusun. Melihat emas yang banyak sudah menjadi satu kepuasan buat Melah. Sudah lama dia jatuh cinta kepada emas 916. Hanya kewangan yang tidak mengizinkan untuk dia memiliki semua itu.

Ejul pula hanya menghadiahkan dua bentuk cincin semasa perkahwinan mereka. Melah tidak suka meminta, dia lebih suka berdikari. Memiliki sesuatu dengan hasil usaha sendiri adalah satu kepuasan buat dirinya.

“Lu banyak rajin, amoi. Sebab tu wa suka sama lu… tapi lu sudah kahwin. Wa tak boleh jatuh cinta sama lu lagi,” seloroh Poh Chong.

Melah tersenyum. “Satu hari nanti Umar akan jumpa juga gadis yang baik, rajin.”

“Amoi… nama wa sudah tukar Umar. Wa ingat Zara datang sini cari wa. Dia marah-marah. Perempuan banyak gila!”

Poh Chong terkenangkan Zara yang telah datang ke kedai emasnya pada minggu lepas. Tauke kedai emas itu sudah tidak berasa pelik dengan sikap Zara. Anak dara itu memang cukup dikenali di sekitar kampung hingga ke Pekan Kemboja. Zara yang lepas laku.

“Kenapa dia marah?”

Sengaja Melah bertanya sedangkan dia sudah tahu jawapannya. Semuanya gara-gara Zara cemburu sesudah mengetahui Melah menukar nama Poh Chong kepada Umar. Hanya Melah tidak menyangka, Zara nekad berjumpa Umar.

“Dia marah nama wa sudah tukar Umar. Wa kata, wa punya nama Poh Chong. Lu saja panggil Umar… ha ha ha, lu mau tau ka, amoi?” Beria-ia Poh Chong.

“Apa dia?”

“Dia ajak wa kahwin. Wa kata tak mau potong… ha ha ha.” Poh Chong merasakan kisah itu sangat lucu. Menyepet matanya bila beria-ia ketawa.

Melah cuma ketawa kecil. Otaknya masih serabut. Dia tidak dapat melupakan begitu saja kebiadapan Arief dan Zara. Dia tidak boleh berdiam diri, Arief akan naik lemak nanti.

“Umar… saya teringin nak beli rantai tangan yang ni. Cantik.” Jari telunjuk Melah menuding ke arah seutas rantai emas. Sebelum Poh Chong mengarut lebih lama lagi, lebih baik dia bercerita tentang perkara lain. Bukan boleh dilayan sangat tauke emas itu.

“Boleh… boleh. Amoi punya pasal, wa bagi diskaun.” Cepat Poh Chong mengeluarkan rantai tangan itu daripada bekasnya lalu diberi kepada Melah untuk dibelek-belek.

“Berapa harga, Umar?” Melah mengenakan pada tangannya. Padan!

“3k… ini wa sudah kasi kurang. Wa bagi amoi harga cash, tapi bayar bulan-bulan ma.”

Berkenan sungguh Melah. Dia tidak menawar harga kerana percaya Poh Chong memberinya harga murah. Dia mencongak-congak. Berapa RM yang mampu dibayar untuk sebulan. Dia tidak mahu meminta Ejul untuk membayarnya. Prinsipnya, berdikari. Jika Ejul memberi duit saku, duit itu akan disimpan di dalam bank.

“Hmm… simpan untuk saya, Umar. Saya tak mau hutang, biar saya simpan duit dulu.” Rantai diserahkan semula kepada Umar.

Rantai tangan itu diambil oleh Poh Chong. Dia merenungnya, kemudian melihat Melah pula. Beberapa saat selepas itu, rantai tangan itu disorong semula di depan Melah.

Melah hanya memerhati tanpa mahu menyentuhnya lagi. Bila tiba masa, barulah akan menjadi haknya.

“Amoi boleh pakai sekarang.” Poh Chong senyum.

“Lambat lagi, Umar. Awak simpan dulu.” Melah bersuara lemah.

“Kita kawan, ma. Wa percaya sama amoi. Ambil barang dulu, ada duit amoi bayarlah. Kalau letak sini, nanti ada orang lain mau beli.” Kelihatan Poh Chong begitu bersungguh.

“Biar betul! Kalau saya lari macam mana?” Melah pula yang garu kepala. Seperti tidak percaya dengan apa yang didengarnya.

“Wa sudah kata, percaya sama amoi. Amoi lari wa pun tak panggil polis, ma.” Tauke emas itu ketawa lagi.

Naluri kewanitaan yang sukakan barangan kemas menggoda Melah. Design rantai emas itu benar-benar menarik minatnya. Sesudah dicampur tolak, darab dan bahagia, Melah nekad menerima tawaran Poh Chong. Dia yakin akan mampu membayarnya.

“Saya ambil. Nanti Umar kira berapa saya kena bayar.” Seronok bukan main Melah. Rantai itu sudah menjadi miliknya tanpa perlu membayar terlebih dulu.

“Cantik! Cantik!” puji Poh Chong sebaik Melah mengenakan rantai itu pada tangannya.

“Oh ya, sebenarnya saya datang nak ambil barang untuk pelanggan saya. Ada sorang kakak beli cincin… cash.”

Sama seperti ketika berdepan dengan Arief, Melah juga tidak mahu berlama-lama dengan Poh Chong. Baginya, lelaki tetap lelaki. Tidak manis kalau terlalu diberi muka. Cepat-cepat dia mengeluarkan katalog daripada beg hijau untuk ditunjukkan kepada Poh Chong.

“Yang ni.” Melah menunjukkan kod cincin yang dibeli oleh pelanggannya.

“RM932, ma…” kata Poh Chong.

Melah angguk.

Taukeh emas itu mengeluarkankalkulator dari dalam laci. Dia mengira bahagian yang akan diberi kepada Melah. Beberapa keping duit kertas dikeluarkan dari laci simpanan. Poh Chong mengira sekeping demi sekeping. Melah hanya memerhati.

“Ini amoi punya… RM186.40.” Duit dihulurkan kepada Melah.

Melah menerima dengan gembira. “Banyak juga ni, Umar.”

“Rajin-rajin jual, ma. Boleh dapat lebih banyak lagi.” Poh Chong memberi semangat.

“Sudah tentu. Hah, saya nak Umar simpankan rantai kaki kanak-kanak kod C734. Dah ada yang booking. Umar jangan bagi pada orang lain.”

Melah menunjukkan helaian katalog yang lain. Poh Chong angguk lalu mencatatkan sesuatu pada buku rekodnya. Urusan bersama Poh Chong sudah selesai. Melah mahu bergegas pulang untuk memasak. Sudah tentu Ejul akan kelaparan bila balik ke rumah nanti.

“Okey, Umar. Saya balik dulu. Ada katalog baru, WhatsApp saya ya,” pesan Melah sambil bangkit dari kerusi pusing.

“Okey, amoi… baik-baik jalan, ma.” Poh Chong juga memberi pesanan. Dia menganggap Melah sebagai seorang kawan yang baik.

Melah mengucapkan terima kasih dan melangkah meninggalkan kedai. Dia mengerling rantai tangan barunya sambil tersenyum lebar.

‘Hi hi… cantiknya rantai tangan baru aku.’ Rasa sakit hati Melah terhadap Arief dan Zara terpujuk oleh rantai tangan barunya.

Dia berharap Ejul pun akan suka dengan rantai tangan yang menjadi pilihannya itu. Langkahnya diatur pantas. Takut ketinggalan bas. Kalau dia ketinggalan bas yang akan tiba 15 minit lagi, bermakna dia akan menunggu lebih lama lagi untuk bas seterusnya.

‘Sejak aku balik dari Tanjung Aru, aku dah tak pernah nampak Jelan lagi. Mana dia dah pergi? Kenapa selama ni aku tak pernah ambil tau mana dia duduk. Mana satu rumah dia.’

Hati yang ceria berubah hiba pula. Dia masih gagal membuang ingatan terhadap pemuda itu. Setiap kali mengingatinya, ada denyutan sakit pada dadanya. Denyutan rindu. Rindu yang tidak seharusnya ada. Rindu yang terlarang. Semua itu membuat Melah terseksa batinnya.

‘Tak dapat bercakap dengan dia, cukuplah kalau aku nampak kelibatnya. Aku akan puas hati walaupun cuma mengintai dia dari jauh.’ Sambil berjalan, Melah melayan perasaan.

‘Astaghfirullah… Ya ALLAH. Berdosanya aku mengingati lelaki lain selain suamiku. Ampunkan aku, Ya ALLAH.’

Cepat-cepat Melah membuang ingatan itu ke dalam longkang. Biar mengalir bersama air longkang dan dibawa pergi ke mana saja. Dia perlu mengosongkan semula kotak fikirnya. Sesudah kosong, perlu diisi pula dengan satu nama… Ejul, Ejul dan Ejul.

“Eh, macam kenal je dorang tu.” Sedang dia berjalan, matanya tertancap pada dua orang yang sedang bercakap-cakap di tepi sebuah gerai buah-buahan.

Langkah kaki Melah terhenti. Seakan ada brek angin yang membuat dia berhenti mengejut. Diperhatikan dua orang perempuan yang tidak asing pada penglihatannya. Kejutan itu sudah dijangka. Hanya dia tidak menyangka ia akan berlaku secepat itu.

“Ada juga dia! Kurang ajar punya Zara! Geram betul aku. Nanti kau Zara! Yang ibu dengan dia tu, kenapa pula?”

Di bawah matahari yang semakin meninggi, terasa hendak meledak kemarahan Melah. Dengan dua biji mata, dia melihat Zara dan Mak Chah di gerai buah-buahan. Sejak bila pula Zara begitu rapat dengan orang tua itu?

Melah mahu bersemuka dengan Zara. Mahu membuat perhitungan. Melah meramas-ramas buku lima. Gigi atas dan gigi bawahnya hampir berlaga. Kali ini, kesabarannya benar-benar teruji. Yang menjadi persoalan, adakah Mak Chah juga terlibat?

“Nanti kau!” Mukanya berkerut-kerut, marah.

Melah membatalkan niat untuk ke perhentian bas. Dia berpatah balik untuk menuju ke deretan gerai menjual buah-buahan. Dia mahu bertemu empat mata dengan Zara. Apa yang telah dilakukannya bukan satu perkara remeh.

Maruah dan harga dirinya sebagai isteri Ejul telah dipermain-mainkan. Apa yang lebih menyakitkan hati, sanggup Zara bersekongkol dengan dudanya yang tidak berguna itu. Dia menyangka semua masalah akan berakhir setelah berkahwin dengan Ejul. Malangnya, lain pula yang terjadi.

“Eeii… geramnya aku tengok! Tergelak-gelak, tersengih-sengih. Memang dasar gedik kau, Zara. Kena sangatlah dengan duda aku yang sememeh tu.” Sungutan Melah seiring kakinya melangkah.

Ponnn! Ponnn! Sebuah kereta membunyikan hon bila melihat kecuaian Melah sewaktu hendak melintas. Melah terlupa untuk menoleh ke kiri dan kanan terlebih dulu. Mujur dia sempat undur semula. Kalau tidak, mungkin akan melayang nyawanya.

“Apa aku dah buat ni?” Melah mengurut dada. Terkejut dengan amaran daripada kereta yang lalu tadi.

Bunyi hon telah menarik perhatian Zara. Mereka menoleh ke seberang jalan. Dalam masa yang sama, Melah sedang memandang ke arah mereka. Melah terasa mahu menjerit dan memaki mereka. Terpaksa ditahankan kerana tempat dan keadaan tidak sesuai.

“Hei! Tunggu aku! Korang nak lari ke mana tu?” jerit Melah sebaik melihat Zara menarik tangan Mak Chah untuk meninggalkan tempat itu.

“Itu Melah!” Tuding Mak Chah bila terdengar suara Melah dari seberang jalan.

Wanita tua itu mahu berhenti dan mendapatkan Melah. Zara tidak mengendahkan. Tangan Mak Chah ditarik dengan keras. Mak Chah terpaksa juga melangkah mengikut Zara. Melah yang sudah berjaya melintas, cuba berjalan dengan laju. Zara mesti didepani.

“Kurang asam! Tau pun takut!” bebel Melah bila mendapati Zara sudah semakin jauh meninggalkan tempat itu.

“Hisy! Ibu pun bukan main lagi!” Melah kesal.

Apabila Zara dan Mak Chah menghilang di satu lorong kedai, Melah berhenti menjejak. Dia berpatah balik untuk ke perhentian bas. Kemarahannya belum surut, tapi ada hal yang lebih penting lagi perlu difikirkan. Dia perlu memasak untuk Ejul.

“Kau tak akan selamat kalau buat kerja jahat, Zara. Suatu hari nanti ALLAH akan tunjukkan kebenaran.” Melah pasrah.


Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.