Keesokan hari Melah keluar rumah pada awal pagi lagi. Hari itu dia hendak ke pekan untuk menyimpan saki-baki
duit yang tinggal. Kalau biskut raya, orang kata cuma tinggal serdaknya saja. Biarlah
dia bersusah payah ke pekan asalkan duitnya yang sedikit itu tak dikebas orang lagi.
Sampai
depan padang bola Kampung Kemboja Melah berhenti. Matanya liar memerhati ke
sekeliling. Tak nampak sesiapa yang berada di padang bola itu. Yang ada cuma 3
ekor kambing sedang meragut rumput yang baru hendak tumbuh di tepi padang.
Rumput
di tengah padang pula sudah botak di sana sini. Maklumlah padang bola kampung.
Kadang-kadang ada perlawanan kecil antara kampung-kampung. Kerap kali pula cuma
jadi padang ragut lembu dan kambing.
“Manalah
Jelan ni? Isyyy... dah merata tempat tunggu tak ada jugak dia.”
Melah
masih tetap dengan keinginan hendak berjumpa Jelan. Entah kenapa hatinya selalu
mendesak-desak. Kalau dalam masa satu jam Jelan tak juga muncul, Melah tak
boleh tunggu lagi. Dia tak mahu lambat sampai ke pekan.
Sedang
matanya melilau, Melah nampak Ejul dan Khairil sedang berlari-lari. Rajin betul
dua sekawan itu berjogging. Segan
pula Melah kalau-kalau mereka menegurnya nanti. Lebih-lebih lagi Ejul yang suka
mengusiknya.
“Amboi,
nak ke mana ni cik puan kita pagi-pagi ni?”
Kaki
Ejul macam ada brek angin. Terus berhenti berlari bila sampai depan Melah.
Khairil pula terus berlari perlahan ke depan sedikit sebelum berhenti lalu
membuat lompat bintang. Dia terus bersenam tanpa mahu mengganggu urusan Ejul.
Melah
memerhati Ejul. Seluar trak berwarna hitam berline merah di tepinya membuat cikgu muda itu nampak segak. T-shirt tebal yang dipakai mungkin untuk
memudahkan badan berpeluh. Apa saja yang disarung ke badan Ejul nampak ‘kena’
saja dengan pemakainya.
“Nak
ke pekan.” Tiga patah perkataan yang keluar daripada mulut Melah. Malu. Dia tunduk memandang tanah. Ejul senyum-senyum penuh makna.
“Kalau
nak ke pekan, buat apa kat sini?” Berbunga-bunga hati Ejul bila dapat mendengar
suara Melah.
‘Alaaa...
banyaknya soalan dia!’ sungut Melah dalam hati.
“Errr...
tunggu Jelan. Ada hal nak jumpa dia kejap.” Terpaksa juga Melah menjelaskan.
“Jelan?
Alamak!” Ejul nampak cemas. Dipandang Khairil yang beria-ia bersenam. Selepas
itu dia menggaru-garu kepala.
‘Kenapa
dengan dia ni? Gelisah semacam je.’ Melah pelik melihat Ejul yang tiba-tiba
jadi tak menentu.
“Ya...
saya nak jumpa Jelan. Kenapa?” Melah memberanikan diri bertanya.
“Errr...
tak ada apa. Ermmm... macam ni... awak tunggu je sini. Dalam 15 minit lagi
Jelan akan datang.” Yakin betul Ejul. Melah pula rasa semakin pelik. Ditambah
pula bila sikap Ejul yang gugup tak menentu.
“Macam
mana cikgu tau Jelan akan sampai dalam masa 15 minit lagi?” Kali ini Melah pula
yang menggaru kepala. Tak faham sungguh dia dengan cikgu muda itu.
Soalan
Melah membuat Ejul bertambah gugup. Untuk menyorokkan perasaan serba tak
kenanya, Ejul buat-buat bersenam. Lompat setempat, tarik nafas dan hembus
nafas. Penat pula Melah melihatnya. Penat juga menunggu jawapan untuk
pertanyaan yang Ejul belum jawab.
“Saya
beransur dulu ya... Melah tunggu je sini. Nanti Jelan datang.”
Bila
Ejul sedar Melah sedang memandangnya dengan muka pelik, cepat-cepat dia minta
diri. Dia berlari-lari anak ke arah Khairil. Sampai di tempat Khairil berdiri,
cepat ditarik tangan kawannya itu. Khairil mengikut saja. Kedua-duanya berlari
pecut dengan laju.
Melah
cuma melihat dari belakang kemudian ketawa sendiri. Memang betul-betul pelik
sikap Ejul. Entah apa pula yang hendak dikejarnya dengan berlari selaju itu.
“Setau
aku yang tak betul dalam kampung ni cuma Jelan sorang je. Tak sangka pulak cikgu
tu pun macam tak betul jugak.”
“Haishhh!
Jelan ni mana pulak?” Melah mula gelisah. Hendak ditunggu lagi atau tak?
Hatinya mula berbelah bagi.
Dia
tak boleh lama di situ. Takut motosikal cabuk yang semput akan datang lagi
dengan tuannya yang selalu berlagak muda. Melah sudah tak kuasa hendak berdepan
dengannya lagi.
Jam
di tangan dijeling. Hmmm... kalau mengikut kata Ejul, Jelan akan muncul dalam
masa 15 minit lagi. Perlukah percaya pada cakap-cakap Ejul? Entah bila pula
cikgu muda itu sudah bertukar kerjaya menjadi tukang ramal pula.
“Nak
tunggu ke tak ni? Jelan pun satulah!” Muka Melah sudah berkerut. Bosan.
“Baik
aku jalan pelan-pelan. Kalau aku tertonggok kat sini adalah nanti mulut yang
kata aku cari jantan. Susah kalau jadi janda ni,” bebel Melah tak sudah-sudah.
Payung
merah jambunya dibuka walaupun cuaca masih belum cukup panas lagi. Dia sengaja
melangkah lambat-lambat sambil berkali-kali menjeling jam tangannya. Melah
hendak cuba mempercayai kata-kata Ejul... Jelan akan muncul 15 minit lagi.
Lima
minit sudah berlalu. Debaran Melah mula laju. Tujuh minit, dia terus berjalan
dengan lemah. Hatinya masih mengharap. Ah! Sembilan minit yang sia-sia. Cuma
berbaki beberapa minit saja lagi. Melah memujuk hati... lupakan saja tentang
Jelan. Enam minit yang tinggal, Melah tak meletakkan harapan lagi.
“Aku
pun satu... yang ditunggu orang yang tak sihat akalnya. Cari penyakit betul aku
ni.” Sambil berjalan dimarahi diri sendiri pula.
“Bus stop
pun dah dekat. Ke pekan teruslah aku.” Melah berkira-kira.
Diam-diam
dia berjanji tak akan melakukan kerja bodoh lagi. Lebih-lebih lagi dengan mengharapkan
kemunculan Jelan yang kurang akal itu. Dalam masa yang sama matanya masih
mencuri-curi menjeling jam tangannya. 15 minit sudah berlalu dan kakinya sudah
memijak lantai bus stop.Dia
meletakkan punggung di bangku batu dengan malas.
“Ermmm...
bodohnya aku.” Kesal dengan diri sendiri. Nafas ditarik lalu Melah merenung
jauh ke sebelah sana jalan. Debarannya juga sudah mengendur.
“Bodoh
kenapa?” suara dari belakang membuat debaran Melah merasuk semula. Terangkat sekejap punggungnya. Terkejut
betul dia bila tiba-tiba saja mendengar suara. Cepat Melah berpaling.
“Jelan!
Kau ni muncul dari mana?”
“Dari
rumah!” balas Jelan sambil menggaru-garu rambut yang serabai.
Berbunga-bunga
senyuman hati Melah. Kupu-kupu yang berwarna-warni berterbangan mengelilingi
bunga-bunga yang tumbuh di hatinya. Ada yang hinggap pada kuntuman bunga. Ada
yang terbang tinggi dan cuba menyentuh pelangi.
‘Betul
jugak kata Ejul... ermmm, cuma Jelan lambat dua minit aje,’ bisik Melah.
“Jelan!”
“Hah!”
garang betul Jelan... tapi Melah senyum besar.
“Aku
nak cerita kat kau. Kau mesti dengar. Kalau kau tak suka... dengar jugak. Boleh
tak?” Sesudah memaksa, bertanya pula boleh tidaknya. Melah... Melah.
“Dengar?
Boleh! Boleh!... dengar. Cerita... dengar, boleh! Boleh!” Jawapan Jelan
tunggang-langgang.
“Okey...
aku cerita. Kau dengar baik-baik.”
Melah
menarik nafas. Dia mesti bercakap dalam bahasa yang Jelan mudah faham. Susah
juga. Sambil-sambil itu dia memerhati pakaian yang tersarung pada badan Jelan
hari itu. Eh! Lain macam saja. Jelan tak memakai pakaian yang selalu tersarung
pada badannya.
“Jelan...
trak suitkau sama macam yang Cikgu
Ejul pakailah! Kau nampak lainlah hari ni. Mana seluar panjang sebelah kau?”
Melah sudah terlupa tujuan asalnya. Semua gara-gara Jelan yang tak macam Jelan.
Sepantas
kilat Jelan melihat seluar traknya. Alamak! Betul kata Melah. Seluarnya cantik
dan bersih, tak pendek sebelah macam selalu. Jelan jadi gelabah. Ditepuk
dahinya berkali-kali. Warna mukanya agak kelabu. Serba tak kena.
“Aku
pinjam Ejul... lepas tu Ejul pinjam aku... lepas tu aku pinjam Ejul lagi...
Ejul...”
“Dah!
Dah! Adoi, pening aku!” pintas Melah yang sudah pusing dengan jawapan Jelan.
“Kita
lupakan fasal seluar kau. Ni... dengar aku nak cerita.”
Jelan
angguk-angguk. Tangannya mengusap dada, lega sebab Melah hendak melupakan saja
kisah seluar yang dipakainya. Jelan duduk di hujung bangku sebelah sana. Dia
bersila sambil menghadap Melah. Menunggu cerita dari Melah.
“Jelan...
aku sedihlah. Suka-suka hati aje orang kampung ni nak gelar aku macam-macam.
Sedangkan aku ni tak buat pun benda tu semua. Aku terpaksa keluar hari-hari
sebab cari rezeki... tapi dorang kata aku nak menggatal.” Bermulalah cerita
Melah. Jelan fahamkah?
Dia
tak dapat bercerita secara terperinci, takut Jelan tak akan faham. Sewaktu
meluahkan semua itu, hati Melah jadi pilu. Sebak tak terkata. Sesekali nafasnya
ditarik berat. Bahagian hidupnya tak segembira mana tapi dia selalu mencuba
untuk terus tersenyum dan ketawa.
Bila
berdepan dengan Jelan, Melah sedar ada orang lain yang lebih kurang bernasib
baik berbanding dirinya. Sudah tentu hidup Jelan sangat membosankan. Tak ubah
macam budak yang belum cukup umur. Pak Sood pula suka menghina tak tentu fasal.
Mungkin
disebabkan itu dia suka berdampingan dengan Jelan. Dalam Jelan tak sedar, dia
sudah menjadi penguat semangat untuk Melah terus berdepan dengan masyarakat.
“Kesiannn...” balas Jelan sepatah.
Jelan nampak sedih. Muram saja dia. Mungkin dia dapat membayangkan keperitan hidup Melah yang selalu menjadi umpat keji orang. Melah pula senyum bila ada tindak balas dari Jelan walaupun reaksinya agak lambat.
“Dahlah
macam tu, bekas suami aku selalu kacau aku. Ganggu mak mertua aku. Aku tertekan
bila tengok dia macam dah gila talak,” sambung Melah.
“Kesiannn...”
Sama macam tadi. Jawapan Jelan tetap sepatah. Muka Jelan semakin mendung. Baginya kisah Melah memang menyedihkan. Melah masih juga senyum. Dia tahu
Jelan sudah mendengar ceritanya. Itu sudah memadai dan dia puas hati. Sebaknya
beransur pergi.
“Aku
ni kan Jelan... kalau dibagi pilihan, aku tak nak jadi janda. Tapi dah takdir
aku macam ni.”
“Kesiannn...”
Jawapan masih tetap sama. Tak kisahlah. Melah senang hati. Apa yang terbuku di dada
sudah berkurangan.
“Kalau
boleh aku nak cepat-cepat kahwin supaya tak jadi buah mulut orang lagi,” luah
Melah tanpa ragu-ragu. Pada pendapatnya, tak rugi bercerita dengan Jelan sebab
Jelan tak tahu apa-apa. Dia cuma mahukan pendengar yang mendengar ceritanya.
“Yang
itu aku setuju! Elok kau kahwin cepat. Takkan kau tak ada calon... tapi kalau
tak ada, Cikgu Ejul tu kan ada.” Bertambah laju jawapan Jelan. Kali ini
panjang, padat dan tepat.
“Jelan,
kau cakap apa?” Malangnya jawapan Jelan sudah memberi kejutan buat Melah. Melah
tak menyangka percakapan Jelan kali ini tak ubah macam orang yang tak gila.
Dengan kata lain, NORMAL alias WARAS!
‘Erkkk!
Apa aku dah cakap tadi? Alahaiii... apalah aku ni?” tempelak Jelan dalam hati. Dia
marah pada diri sendiri. Kali ini hatinya pula yang berdebar-debar bila melihat
perubahan Melah.
“Jelan...
Jelan. Nasib baiklah kau biol. Kalau tak, nak jugak aku kahwin dengan kau. Bila
tengok lama-lama kau ni dalam kategori lawa jugak. Tapi tulah... dah nasib kau
kan. ALLAH jadikan kau tak sempurna.” Perlahan saja suara Melah.
‘Fuuu...
lega aku! Dia tak fikir bukan-bukan tentang aku. Selamat!’ bisik Jelan lagi.
“Kahwinlah
dengan aku. Aku suka!” Bila sudah lega, lapanglah dada Jelan.
“Ha
ha ha... Jelan, Jelan. Aku memang suka kau tapi kita tak boleh kahwin.”
Senyuman Melah tetap ada setiap kali habis bercakap. Seronok dapat berbual-bual
dengan Jelan. Lenyap semua masalah.
“Kenapa
tak boleh?” Jelan membongkok lalu mengambil seketul batu kecil. Batu itu
ditimang-timang dan dibaling ke sebelah sana jalan.
Kenderaan
yang lalu-lalang tak terlalu sibuk. Macam itulah keadaan jalan kampung. Yang
memenuhi jalanraya cuma kenderaan kecil. Bas yang ditunggu masih tak nampak
bumbungnya. Bagus juga. Bolehlah Melah berbual-bual lama sedikit dengan Jelan.
“Tak
bolehlah... sebab kau tak sihat.” Melah menjawab sejujurnya. Bezanya dia masih
tak mahu menggelar Jelan sebagai orang gila. Itu perkataan yang dia paling tak
suka.
“Nanti
aku carikan kau orang yang sihat ya... namanya Cikgu Ejul!” teruja betul Jelan bila
menyebut nama Ejul.
“Ejul
lagi,” sahut Melah pula. Cepat Jelan mengangguk... senyum dan angguk lagi.
Muka Jelan direnung lama. Melah mahu mencari apa kelebihan yang ada pada Jelan. Ah! jelan senget memang lawa. Cuma mukanya comot dan hitam di sana sini. Percakapannya juga tak menentu, sekejap main cakap saja, sekejap lagi macam orang yang berfikir juga. Entah apalah yang membuat dia jadi gila. Renungan Melah membuat Jelan tersipu-sipu. Geli hati Melah melihatnya.
"Kau nak tau tak Jelan? Aku ni kalau boleh nak kahwin dengan orang yang betul-betul ikhlas. Sayangkan aku yang miskin dan tak ada orang tua ni. Aku tak nak orang yang nakkan aku sebab nafsu aje. Aku dah penat dengan semua tu." Melah meluahkan lagi.
"Aku tak kisah orang tu tak kaya. Aku pun tak kisah kalau dia tak lawa. Yang penting mesti sayangkan aku," sambungnya.
Hendak saja Jelan meluahkan isi hatinya tapi takut-takut Melah akan pitam bila mendengarnya. Melah tak tahu dalam hati Jelan, dia sukakan Melah. Sayangkan Melah. Kalau boleh hendak kahwin dengan Melah. Sungguh! Jelan tak tipu.
Tentu Melah tak akan percaya. Lebih-lebih lagi cakapnya yang tak menentu. Cakap-cakap Jelan selalu merapu. Cuma sekali-sekali saja Jelan nampak macam orang pandai.
"Aku sayang kau!" suara Jelan tegas dan jelas. Dia hendak mencuba nasib. Sayangnya Melah cuma ketawa.
"Yalah Jelan... aku pun sayang kau. Kita kan kawan. Kau kawan baik aku." Jawapan Melah membuat Jelan tunduk. Hampa. Kenapalah Melah tak faham isi hatinya?
“Aku
nak dengar cerita kau pulak, Jelan. Boleh?” Minta Melah sesudah melihat Jelan diam saja.
Cepat-cepat Jelan memandang tempat lain. Dadanya tiba-tiba jadi berat. Sebak. Kisah lalunya sudah cuba dilupakan. Tiba-tiba Melah bertanya. Jelan mengambil masa untuk berfikir. Haruskah dia menceritakannya kepada Melah?
“Sedih.” Sudahnya Jelan mula bercerita.
“Apa
yang sedih?” Melah membetulkan kain yang hendak tersingkap bila ditiup angin.
Nasib
baik dia cepat bertindak, kalau tidak sudah tentu Jelan akan nampak kakinya
yang putih melepak.
“Memang
sedih,” ulang Jelan. Melah penat mendengar jawapan yang sama.
“Kenapa
kau jadi tak sihat, Jelan?” lalu dia bertanya hal yang berbeza.
Muka
Melah ditatap. Melah menghadiahkan senyuman untuk Jelan. Kembang sedikit hati
Jelan. Kalaulah hari-hari dia dapat melihat senyuman mak janda itu, bahagia
rasa hatinya. Tentu luka lamanya akan dapat diubati. Renungan tajam Jelan membuat Melah pula yang tersipu. Merona mukanya.
“Aku
mati kekasih.”
“Kekasih
kau meninggal?” Melah mahu memastikan.
“Ya...
dia dah kena tanam. Aku sayang dia!” jelas Jelan.
Air
matanya jatuh tiba-tiba. Jernih dan laju turun ke pipi. Jelan tunduk lama.
Tangan kanannya mengesat air mata yang datang tak diundang. Melah yang melihat
jadi sebak. Bagi Melah air mata orang gila sangat jujur dan tulus. Sudah tentu
terbit daripada hati yang bersih dan tanpa niat mahu meraih simpati.
“Sabar
ya Jelan... ALLAH sayang dia tu.” Melah berharap pujukannya akan melegakan
Jelan.
“Aku
dah nak kahwin... seminggu lagi majlis kahwin.” Jelan masih mahu bercerita
lagi.
“Ya?
Lepas tu apa jadi?”
“Kekasih
aku kena langgar masa balik kerja. Orang yang langgar tu terus lari. Dia mati
kat tempat kejadian.”
Jelan
sedang dibawa kepada kenangan lalunya. Dia bercerita dengan pandangan mata yang
merenung jauh entah ke mana. Matanya sayu tak bercahaya. Di tepian mata masih
ada baki air mata yang tersekat dan ditahan daripada mengalir keluar.
‘Jelan
ni kadang-kadang pandai jugak bercerita. Tersusun aje cakap-cakap dia.” Puji
Melam diam-diam.
“Memang
sedih kisah kau, Jelan. Tak apalah... sabar aje ya.” Pujukan kedua Melah
diharap akan menjadi.
“Ha’ah...
sabar. Kau pun sabar ya Melah.” Jelan membersihkan sisa air mata.
“Aku
pun akan cuba sabar. Kita sama-sama sabar.” Melah senyum... entah kali ke
berapa. Jelan angguk dan senyum juga.
“Bas
pun lambat sangat datangnya.” Barulah Melah terasa bas yang ditunggu lambat
tiba.
“Bas
memang lambat. Naik kereta tak lambat.” Jawapan jelan macam budak-budak semula.
“Aku
tak ada kereta.”
“Oh!
Tak ada ya?”
“Tak
ada.”
“Kau
tunggu sini je. 15 minit lagi ada kereta tumpangkan kau.” Yakin betul Jelan.
Sama yakin dengan Ejul yang mengatakan Jelan akan muncul dalam masa 15 minit
lagi.
“Mana
kau tau?”
“Aku
taulah.” Serentak dengan itu Jelan bangkit lalu berlari laju meninggalkan Melah
yang terlopong sendiri. Pelik betul Jelan. Sama pelik dengan Ejul.
Melah tak mahu menunggu. Bila bas sampai saja dia akan terus masuk ke perut bas. Baginya masa itu emas. Lebih berharga daripada emas 916. Tak boleh disia-siakan. Lagi pula dia malas hendak menumpang Ejul. Melah mahu menghindari fitnah.