Home Novel Cinta ISTERI CEO VIRAL (SUAMI KU CEO VIRAL)
ISTERI CEO VIRAL (SUAMI KU CEO VIRAL)
Batiah Hadi
13/2/2020 23:02:04
12,201
Kategori: Novel
Genre: Cinta
Bab 15

 Dia mengeleng-ngeleng melihat kelibat Farouk yang berlalu. Kemudian pandangannya tertumpu ke arah Bella yang nampak ketakutan. Dia kini menghampiri Bella lantas tersengeh sinis. Seperti tidak percaya.

“Awak lagi?” soalnya tegas bila wajah Bella jelas di matanya. Bella tersentak ditanya begitu. Bella mengangguk. Sekarang dia pasti itulah lelaki bertopi di gerai burung puyuh tadi dan juga lelaki yang sama menyelamatkannya di Zouk.

“Ya, saya. Kita jumpa lagi nampaknya,” ujar Bella dengan suara hampir tidak terkeluar. Malunya! Tadi bukan main lagi dia bergaduh dengan lelaki itu. Padahal lelaki itulah yang menyelamatkan dia. Dua kali. Sekali di Zouk dan sekarang dari Farouk. Bella rasa sungguh serba-salah di saat itu. 

“Itulah yang menghairankan saya. Apa pasal awak ni mesti nak menyusahkan saya?” soal Ben.

“Saya tak sengaja. Maaf,” ujar Bella. Dia menundukkan kepala. Rasa bersalah berganda-ganda saat itu. Lelaki itu terdiam kemudian dia menarik nafas. Wajah Bella yang tunduk itu direnung seketika. Dia membiarkan sahaja kata maaf dari Bella itu. 

“Hmm awak ok?” soalnya pada Bella. Bella mengangguk pantas. Mata lelaki itu lekat seketika pada kesan merah di pipi Bella. Keningnya berkerut.

“Itu...” tunjuknya pada pipi Bella yang kemerahan sebelah. Bella pantas meraba pipinya yang rasa pijar. Kening Bella berkerut menahan sakit.

“Oh ini? Tiada apa-apa, saya ok,” ujar Bella cuba meyakinkan lelaki itu.

“Betul ke ni? Biar saya hantar ke hospital,” pelawa Ben.

“Eh tak payah. Apapun terima kasih kerana selamatkan saya tadi,” ucap Bella. Ben merenung wajah polos gadis itu seketika. Dia bernasib baik terdengar jeritan gadis itu apabila dia lalu di situ. Kalau tidak, tidak sanggup dia bayangkan apa yang berlaku kepada gadis itu dengan persekitaran sangat gelap di kawasan parkir itu. Tadi dia sudah mahu balik selepas membeli burung puyuh tersebut tetapi tersedar yang dia terlupa untuk beli buah-buahan. Itulah sebabnya dia datang semula.

“Tak perlu nak terima kasih. Mana-mana wanita pun saya akan selamatkan kalau berlaku perkara macam ni,” ujarnya menjelaskan tindakannya seolah berkias yang semua itu hanya atas dasar perikemanusiaan. Suaranya bersahaja. Seolah-olah semua itu tidaklah bermakna sangat kepada dirinya.

“Ye, saya pasti awak akan buat begitu. Macam di Zouk dulu,” jawab Bella mengiakan. Lelaki itu terdiam seketika. Matanya masih pada wajah Bella. Teringat kisah di Zouk itu. Terbayang bagaimana dia menarik tangan Bella masuk ke dalam keretanya. Ya, peristiwa gadis itu mahu menyelamatkan diri.

“Ye sudah tentu. Hanya atas dasar peri kemanusiaan,” ujarnya. Bella mengangguk-angguk

“Betul ke awak ok? Tak perlu kan apa-apa rawatan? Untuk pipi atau apa-apa kecederaan lain?” soalnya lagi kini memandang wajah Bella dan kemudian fizikal Bella atas bawah.

“Jangan risau, saya baik-baik saja,” ujar Bella. Lelaki itu mengangguk.

“Baguslah tak ada apa-apa,” ujarnya. Bella mengangguk.

“Awak ni pun satu. Dah tahu tempat ini gelap kenapa datang seorang diri? Tempat begini tak sesuai untuk perempuan. Patutnya kena datang berteman. Awak ingat awak tu kuat sangat ke?,” bebelnya dengan nada sedikit tinggi. Bella terasa seperti dimarahi pula. Namun, mulutnya terkunci untuk menjawab. Dia tahu inilah masa lelaki itu mengenakannya pula. Salah dia juga datang ke situ. Patutnya dia ajak Hatta sebelum Hatta balik tadi.

“Awak tak sepatutnya berada di tempat yang sunyi dan gelap macam ni. Kalau berlaku lagi mungkin awak tak bernasib baik seperti hari ini tahu!,” ujarnya lagi tiba-tiba memandang wajah Bella. Bella hanya mengangguk. Dia sedar betapa dia bernasib baik. Terjumpa lelaki itu lagi.

“Betul...memang salah saya. Semua ini salah saya,” ujar Bella dengan nada sedih. Ada air mata bergenang di kolam mata. Tiba-tiba Bella rasa sedih atas apa yang berlaku. Bila wajah Bella berubah sedih, entah mengapa hati lelaki itu juga sedikit terkesan dengan perubahan itu. 

“Awak kenal ke lelaki tu?” soal lelaki itu kali ini dengan nada sedikit rendah. Rasa simpati terbit di hatinya. Dia memandang tepat ke wajah Bella yang pucat dan merah sebelah. Tergamak lelaki tadi mengasari gadis itu. Bila dia perhatikan lagi hatinya makin tersentuh. Wajah muram dengan mata redup Bella itu seolah-olah membayangkan banyak masalah yang membebani dirinya.

“Kenal. Dia tinggal di kejiranan saya,” jelas Bella tiba-tiba acuh tak acuh. Lelaki itu tersentak. Jiran? 

“Awak nak report polis? Saya boleh bawa awak ke balai polis,” cadangnya. Bella mengeleng-ngeleng. Bella tidak mahu membuat laporan polis. Bella mahu elak masalah. Kalau sudah dilaporkan sudah tentu ada soal siasat nanti. Dia teringat kisah seseorang lima tahun yang lalu. Melaporkan sesuatu seperti itu tetapi akhirnya semuanya jadi sia-sia bila yang menuduh pula dipersalahkan. Stigma wanita bersalah bila diperkosa atau dirogol ialah kecelakaan itu berlaku  kerana si wanita tidak pandai menjaga diri. Tidak pandai menjaga aurat dan menjaga batas. Lagipun Farouk bukan orang lain pada Bella. Bella pernah menganggap pakciknya itu seperti ayahnya.

“Tak mengapa,” tingkah Bella. 

“Awak patut laporkan dia supaya dia tak kacau awak lagi. Bahaya lelaki macam itu!,” cadang Ben  lagi dengan bersungguh. Wajah Bella yang polos direnung lagi. 

“Tak mengapa. Apa pun terima kasih Encik,” ujar Bella tidak mahu lagi mendengar cadangan Ben itu.

“Jom kita ke balai polis!,” ajak Ben lagi. Dia merenung wajah Bella yang tunduk itu.

“Tak apa. Saya tak apa-apa,” bantah Bella. Riak tidak puas hati terpapar di wajah lelaki itu. Dia kelihatan bengang.

“Kenapa awak degil? Perkara macam ini tak elok awak diamkan. Kesalahan dia tu serius. Dia hampir nak ...” namun kata-katanya terhenti bila Bella menekup dua tangannya ke telinga sambil pejam mata. 

“Tolong...jangan sebut. Tolonglah!!” tiba-tiba Bella bersuara keras. Kemudian dia terus mengorak langkah yang laju menjauhi lelaki itu. Lelaki itu tersentak. Dia terkejut dengan tindakan Bella itu dan juga suara itu. Suara Bella menjadi keras dan nyaring tiba-tiba.


Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.