Home Novel Cinta ISTERI CEO VIRAL (SUAMI KU CEO VIRAL)
ISTERI CEO VIRAL (SUAMI KU CEO VIRAL)
Batiah Hadi
13/2/2020 23:02:04
181,745
Kategori: Novel
Genre: Cinta
Bab 4

Selepas makan malam bersama Erinna, Ben mula melangkah untuk pulang. Banyak perkara yang dia bincangkan bersama Erinna. Kemudian mereka bercerita pula mengenai kenangan dulu sewaktu mereka masing-masing di sekolah menengah. Kenangan lalu memang amat manis untuk dikenang. 

Ben baharu saja masuk ke dalam keretanya bila telefonnya berbunyi. Pemandunya Radhi melirik ke wajah Ben. Seperti biasa mahu tahu ke manakah arah Ben. Sama ada pulang atau ke tempat lain. Ben memberi isyarat tunggu dulu.  Di skrinnya saat itu terpapar nombor Kay setiausahanya.  Ben pantas menekan di skrin. Manalah tahu kalau-kalau ada yang perlukan respon pantas. Terutamanya hal yang berkaitan dengan perniagaannya.

“Ada apa?” soal Ben.

“Bapa Boss. Dia cari Boss. Katanya dia perlukan bantuan. Adik tiri Boss, Mimi. Tak balik rumah sejak semalam,” jawab Kay di hujung talian. Ben gulung biji matanya. Geram dengan perangai adik tirinya itu.

“Dia nak saya buat apa?” soal Ben kembali dengan suara bosan. 

“Dia minta boss cari Mimi. Manalah tahu ada kenalan bos yang tahu di mana Mimi berada,” katanya.

“Hmm...tengoklah,” jawab Ben acuh tak acuh. 

“Bapa boss minta tolong sangat. Mereka semua di banglo itu risau Mimi tak balik-balik,”  tambah Kay lagi. Ben mengeluh.

“Kenapa saya juga yang kena cari dia ni?” ujar Ben mengeluh.

“Boss la yang paling boleh diharap agaknya. Kalau Jeff dia pun dua kali lima sahaja dengan Mimi tu,” ujar Kay. Ben maklum benar dengan adik beradik tirinya itu. Entah apa yang silap mereka berdua sentiasa mengundang masalah. Hanya si kecil Kiera sahaja yang setakat ini tiada masalah. Mungkin sebab masih kecil. Baru berusia sepuluh tahun. Antara mereka bertiga, Ben lebih rapat dengan Kiera yang mulut becok. Mimi 25 tahun dan Jeff 27 tahun punya ibu bapa tetapi perangai mereka seperti anak-anak terbiar. Mereka suka berpeleseran di luar dan pulang lewat. Sentiasa berhibur hingga tidak sedar diri. 

Mimi pula seawal umur 22 tahun sudah bercerai dengan suaminya seorang ahli perniagaan berusia 50 tahun. Sekarang dia sedang memburu cinta lelaki sekali lagi. Sejak bercerai juga dia bertukar-tukar teman lelaki. Semua teman lelakinya adalah lelaki berusia yang rasa teruja bila dapat teman wanita muda seperti Mimi. 

Dengar-dengarnya Mimi sedang berkasih dengan suami seorang selebriti entah yang mana satu. Ben selalu hairan apakah yang Mimi harapkan dari lelaki yang berusia seperti itu. Sudahlah jarak umur sangat jauh dan lelaki itu pula sudah ada isteri. Mengapa sanggup merosakkan atau menganggu keharmonian wanita lain dengan cuba menggoda suaminya. Nak kata tentang duit atau harta, Mimi bukan dari keluarga yang tidak bernasib baik. Keluarga mereka ada perniagaan sendiri di mana wang tiada masalah untuk mereka semua. Bahkan berapa banyak pun Mimi mahu dia boleh minta sahaja dari bapa mereka Prof Idris.

Ben akhirnya menghubungi bodyguardnya Kadir. Dia tahu Kadir yang ramai kenalan pasti ada sahaja cara untuk dia mencari Mimi. Entah ke mana pula adik tirinya itu pergi. Entah apa yang gadis itu kejar di luar malam-malam begitu. Tapi hubungan Ben dengan adik tirinya itu bukan baik pun. Kalau berjumpa mereka pasti bergaduh tetapi bila Ben bertegas kadang-kadang Mimi takut juga. Dengan Jeff pula kadang-kadang mereka hampir bertumbuk. Sebenarnya Ben tidak mahu kisah pun dengan kehidupan adik beradik tirinya itu tetapi dia selalu dipaksa selesaikan masalah oleh bapanya. Kata bapanya Profesor Idris, Mimi dan Jeff hanya hormat Ben. Mungkin ada juga benarnya kerana Ben cukup tegas dengan mereka.

“Mimi ada di Zouk, boss,” ujar Kadir memberikan laporan bila ditanya. 

“Dengan siapa?” soal Ben sambil mendengus.

“Seorang dato dari Utara Semenanjung boss,” jawab Kadir. Ben buat muka bengang.

“Kau awasi dia hingga aku sampai,” arah Ben kepada Kadir.

“Baik boss,” ujar Kadir akur. Ben memberi isyarat kepada pemandunya. 

“Jom. Kita ke Zouk,” kata Ben. Pemandunya Radhi mengangguk. Kini kereta mewah berwarna hitam itu mula membelah jalanraya ke destinasi yang dikatakan oleh Ben. Ben maklum benar di mana Zouk kerana kadang-kadang syarikat yang menjadi pelanggannya suka mengadakan parti di situ terutamanya di akhir tahun atau ulangtahun syarikat. Zouk juga sebuah tempat hiburan berprestij dengan bayaran agak mahal. Kadang-kadang ada pesta mandi buih di situ. Malika ada mengajaknya tetapi Ben tak dapat hadir kerana ada hal syarikat sewaktu itu.

Sesampai Ben di Zouk, Kadir dan rakan-rakannya telah pun ada di kawasan parkir. Radhi terus memarkir kereta berhampiran mereka. Ben membuka pintu lantas terus mendapatkan mereka. 

“Aku mahu kau dan kawan-kawan kau, terus terjah ke dalam sana dan bawa Mimi keluar. Lepas tu kita bawa dia balik. Jumpa aku di parking lot ini nanti,” arah Ben. Kadir dan rakan-rakannya mengangguk.

“Baik boss. Kami akan bawa Mimi ke sini,” ujar Kadir. Kemudian mereka berempat pun beredar dari situ. Ben masuk ke dalam keretanya semula.

Ben terus menunggu di parking lot Zouk bersama pemandunya sambil memerhatikan telefon bimbitnya. Enjin kereta dipadamkan seketika kerana mungkin akan ambil masa yang lama. Ben membuka kotnya dan meletakkannya ke tepi. Dia melipat lengan baju kemejanya yang berwarna putih. Ben kemudiannya meneliti akaun fbnya dan juga instagramnya. Dia juga memeriksa twitternya. Jelas semua sedang viral disebabkan oleh TedXnya tadi. Ben tersenyum bila melihat beberapa mesej dari pengikutnya. Semuanya teruja dengan sessi TedXnya tadi. Banyak komen di insta dan retweet di twitter untuknya. Ben senyum puas hati. Nampaknya strategi bercakap di TedX telah menambah viral perniagaan dan juga imejnya kepada netizen. Itulah kuasa memberi tidak kisah inspirasi atau wang atau khidmat. Ia pasti memberikan pulangan yang menguntungkan.


Ben mengangkat wajahnya sambil tersenyum puas. Dia menebar pandangannya ke sekeliling parkir yang hampir penuh itu. Tiba-tiba kelihatan seorang gadis bertudung dengan slack hitam dan kemeja lengan panjang keluar dari Zouk dengan gopoh - gapah. Nampak seperti mahu melarikan diri. Dari dalam kereta Ben boleh nampak yang gadis itu dikejar oleh beberapa lelaki yang kelihatan dari jauh. Nampak sangat gadis itu sedang panik kerana lelaki-lelaki yang mengejarnya sudah hampir nampak di mana dia berada. Gadis itu kemudian berlari-lari anak. Kemudian dia menyorokkan dirinya dengan berjalan menunduk hingga berada di sebelah kereta Ben. 


Gadis itu nampak panik bila melihat tembok di belakang kereta itu. Dia maklum yang dia tidak dapat melarikan diri lagi. Dia tahu kalau dia keluar dari sisi kereta itu pasti mereka nampak dirinya. Kalau dia bertahan di situ pasti mereka akan nampak juga akhirnya bila mereka lalu di situ. Gadis tu memandang keliling. Ben dapat lihat wajah cuak gadis itu. Cermin kereta Ben gelap diluar tetapi amat jelas dari dalam. Ben ambil kesempatan renung gadis itu. Mata kuyu, hidung mancung dan bibir penuh. Gadis itu merendahkan badannya sama tinggi dengan pintu kereta dan kemudian menyorok di tepi kereta itu. Jelas gadis itu tidak nampak Ben dan pemandunya yang berada dalam kereta di sebelahnya itu kerana cermin kereta Ben yang gelap dan silau dek lampu di kawasan parkir. Bila kelibat sekumpulan lelaki yang mengejar itu hampir tiba, Ben tiba-tiba membuka pintu kereta di bahagian belakang. Terlopong mulut gadis itu yang sedang mencangkung di tepi kereta Ben. Matanya bulat memandang Ben.


“Masuk cepat,” suruh Ben. Gadis itu kelihatan serba-salah. Lelaki-lelaki yang mengejarnya kian rapat. Gadis itu seperti teragak-agak. Dia seperti antara dua. Mahu terima tawaran lelaki kacak yang membuka pintu kereta mewah itukah atau hadap sahaja lelaki-lelaki yang mengejarnya. Gadis itu memandang Ben ke atas ke bawah kemudian kepada kelibat lelaki-lelaki tadi yang makin mendekat. Ben mendengus. Dia tidak sabar melihat gadis itu tercangak-cangak begitu. Dia tahu gadis itu tidak boleh buat keputusan. Mungkin tidak mempercayai Ben juga. Manalah tahu Ben sama bahaya dengan lelaki-lelaki di luar itu. Ben buat muka bosan. Dia harus lakukan sesuatu sebelum lelaki-lelaki itu tiba. Perempuan, kau memang lambat buat keputusan,getus hati Ben geram.


Sepantas kilat Ben mencapai tangan kanan gadis itu lantas menarik gadis itu. Satu tarikan yang padu membawa gadis itu terdorong masuk ke dalam kereta. Tenaga Ben yang kuat telah menyebabkan gadis itu mengenai dada Ben. Ben kemudiannya menarik dan memeluk gadis itu sewaktu dia mahu menutup pintu kereta. Kerana itu sahaja cara yang pantas sebelum disedari oleh lelaki-lelaki itu. Ia juga gerakan pada masa yang tepat supaya lelaki-lelaki tadi tidak sempat nampak dan terdengar bunyi pintu kereta itu tertutup.  


“Boss,” bisik Radhi dari cermin kereta di hadapan. Ben meletak jari ke bibirnya melalui cermin kereta. Dia beri isyarat untuk Radhi tundukkan badan. Radhi mengangguk dan akur. Ben juga merendahkkan badannya bersama gadis itu. Gadis itu seperti mahu memprotes namun Ben rangkul kemas gadis itu. Mereka harus senyap dan tidak bergerak supaya lelaki-lelaki diluar tidak nampak gerakan di dalam kereta. Gadis tadi kini mengangkat wajahnya dari dada Ben. Wajahnya pucat. Matanya bulat. Ben meletak jari ke bibir gadis itu “tunduk,” bisik Ben kepada gadis itu, menekan sedikit kepala gadis itu. Gadis itu mengeleng. Matanya bulat menentang wajah Ben. Ben mendengus. Dia jegilkan matanya dan kemudian menguatkan pelukannya. Wajah gadis itu kembali ke dada Ben walaupun jelas gadis itu tidak rela. Wajahnya bergerak ke kiri dan kanan kerana memprotes. 

Ben tarik sedikit dagu gadis itu. Wajah gadis itu terdongak. Mukanya yang polos kemerahan  nampak bengang. “Tolong jangan gerak, boleh tak?” bisik Ben dengan nada tegas. Giginya diketapkan. Gadis itu menjeling. Ben hela nafas geram. Degil! Ben kemudiannya sengaja peluk gadis itu lebih erat lagi. Padan muka dia, nak melawan sangat, desis hati Ben. Cara Ben itu berkesan juga kerana gadis itu tidak bergerak ke kiri ke kanan lagi selepas itu. Pasti takut dengan tindakan Ben itu. Hanya nafasnya sahaja terasa hangat. Sekurang-kurangnya Ben tahu gadis itu masih bernafas. Risau juga kalau lemas pula.


Ben terpaksa buat begitu apabila melihat lelaki yang mengejar gadis itu sedang berada hampir dengan kereta. Mereka cuba melihat ke dalam tetapi tidak berapa nampak kerana tiada pergerakan. Ben bimbang kalau-kalau mereka ternampak dia dan gadis itu. Jenuh pula dia menghadap mereka. Kalau boleh saat itu Ben tidak mahu terlibat dengan masalah. Terutama dengan lelaki-lelaki gangster itu. 


Previous: Bab 3
Next: Bab 5

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.