Home Novel Cinta ISTERI CEO VIRAL (SUAMI KU CEO VIRAL)
ISTERI CEO VIRAL (SUAMI KU CEO VIRAL)
Batiah Hadi
13/2/2020 23:02:04
181,619
Kategori: Novel
Genre: Cinta
Bab 10

Gerai yang menjual burung puyuh itu berada di bahagian agak hujung berdekatan dengan kawasan perumahan. Tempatnya agak strategik dan bau gorengan yang harum menyebabkan gerai itu memang antara gerai paling ramai dikunjungi. Sewaktu Bella tiba, ada lebih kurang 10 orang sedang menunggu di situ. Bella hanya tersenyum. Memang biasa beratur panjang seperti itu. Minggu lepas lagi panjang. Rasanya orang ke 15. Terfikir juga entah apa agaknya ramuan rahsia pemilik gerai itu. 

Semua yang digoreng di gerai itu rasa sedap semua. Dan sosnya juga sedap. Boleh teringat-ingat. Gerai itu menawarkan ayam, sotong dan juga puyuh goreng. Kalau ayam ada macam-macam bahagian. Sebut saja. Mahu goreng kfc atau goreng berempah semua ada. Namun, yang paling Bella suka ialah puyuh goreng berempah dengan sos barbeku pedas. Memang tidak ada yang serupa itu di mana-mana. Harganya pula agak murah. Disebabkan itu Bella sanggup menunggu untuk mendapatkan makanan kegemarannya itu. Setiap hidangan ada nasi dan juga sayur jeruk serta kuah barbeku. Memikirkannya sahaja buat Bella kecur air liur. Terus sahaja perutnya rasa lapar. Ah, perut. Sabarlah, desis Bella sendiri 

Bella memerhati sekeliling. Bella terfikir bagusnya kalau gerai sayurnya orang beratur ramai-ramai seperti itu. Orang makin ramai mengunjungi pasar malam itu. Kini di belakangnya sudah mula ada empat lima orang juga. Terasa seketika juga untuk sampai giliran. Namun Bella tidak kisah demi mendapatkan burung puyuh kegemarannya. 


Bila hampir giliran Bella, Bella ingin ke hadapan tetapi kehadiran satu tubuh seorang lelaki berpakaian kemas dan tegap menghalang langkah Bella. Baju kemeja hijau dan seluar slack putih dengan loafer senada. Entah dari mana terus lelaki itu menyelit. Tingginya lelaki itu sehingga menghalang pemandangan Bella. Dia juga bertopi. Kepala Bella hanya setakat bahu lelaki itu. Kemeja lengan panjangnya dilipat hingga ke siku. Menampakkan lengannya yang sasa. Rambutnya yang tebal sedikit ikal tersisir kemas. Tangan kirinya terseluk ke dalam poket seluar berwarna putih. Dia kelihatan bersahaja walaupun jelas dia telah memotong giliran. Bella tidak dapat melihat wajahnya. Hanya bahagian belakangnya yang tegap sahaja. 

“Pesanan saya tadi,” ujarnya dengan suara garau kepada anak gadis pemilik gerai itu. 

Gadis tersebut terus membungkuskan beberapa ekor burung puyuh untuk lelaki itu. Lelaki tersebut mengeluarkan beg duitnya lantas membayarnya. Si gadis mengucapkan terima kasih dengan wajah terlebih manis. Kedengaran beberapa rungutan di belakang. Hati Bella jadi hangat. Bella di belakang lelaki itu terus bercekak pinggang. Dia rasa teraniaya. Jelas lelaki itu telah berlaku tidak adil. 

“Tak belajar sivik agaknya!” bisik Bella geram. Beberapa pembeli yang menunggu di belakang Bella juga berkata benda yang sama. Bella terus bersemangat. Dia tahu ramai yang akan menyokongnya. Bella mahu ke hadapan namun lelaki itu tiba-tiba berundur sedikit, seterusnya menghalangnya. Badan Bella terlaga dengan lelaki itu. Malahan hidungnya terlanggar belakang lelaki itu yang tegap. Sakit juga. Badannya kental macam separa besi. Bukan itu sahaja bau maskulin menerjah hidung Bella. Tapi, bau itu seperti dia pernah bau sebelum ini. Ah, mustahil! Pantas Bella berundur. Wajahnya terus hangat dan merah. 

“Hei!” jerit Bella geram. Si lelaki tidak nampak tersentak pun bila dijerit begitu. Dia selamba memusing tubuhnya. 

“Oh hai. Sorry. Kenapa ni?” soalnya hairan. Matanya dari bawah topi tajam memandang Bella. Bella hala wajah bosan. 

“Awak tahu tak awak dah buat apa?” soal Bella geram. Matanya menjeling kepada lelaki itu. Lelaki itu memandang Bella dengan wajah kehairanan. 

“Do tell,” jawabnya sinis. Di bibirnya ada senyuman sindiran. Speaking pulak. Bella tambah bengang bila melihat lelaki itu senyum begitu.

“Tak reti nak beratur ke? Saya sampai dulu dan awak senang-senang sahaja potong barisan. Kami semua dah penat beratur dari tadi,” ujar Bella menghala tangannya kepada semua pembeli yang beratur di belakangnya. Matanya kini kembali pada wajah lelaki itu. Dia bercekak pinggang.

“Kak...” sampuk suara anak gadis pemilik gerai itu tiba-tiba. Bella menoleh geram kepada gadis itu.

“Awak diam ye...kenapa awak bagi dia potong barisan?. Awak memang tak bertimbang rasa,” marah Bella memberi amaran kepada anak gadis pemilik gerai. Terus wajah gadis itu kelihatan serba-salah. 

“Kak...sebenarnya...” si gadis bersuara lagi namun pantas dipotong Bella.

“Tak payahlah nak terangkan. Penat aje saya beratur tapi orang lain entah dari mana boleh terus beli. Memang tak adil awak ni!” rungut Bella. Sekarang matanya dihalakan pula pada lelaki yang memakai topi di hadapannya itu. 

“Awak memang tak reti beratur ye?” soal Bella. Lelaki itu hanya senyap. Hanya matanya memerhatikan Bella ke atas ke bawah. Dia tidak jawab pun kata-kata Bella. Bella makin rimas. 

“Tak reti beratur ke?” soal Bella lagi. Geram bila lelaki itu diam tapi pandang dia atas bawah. Sudahlah nampak muka separuh sahaja dengan topinya yang agak bawah itu. Hanya dari hidung mancungnya ke mulut sahaja. Mulut yang berbibir penuh sedikit kemerahan. Ada kumis nipis di atas bibir. Tiba-tiba lelaki itu mendekat pada Bella. Ada senyum sinis di bibirnya.

“No! I dont!” jawabnya pendek seolah mengejek Bella. Dia merapatkan diri kepada Bella. Spontan Bella berundur. Bella tahu lelaki itu sengaja buat begitu. Ada niat mahu menakutkan dia dengan muka misteri bertopi itu dan juga dengan merapatkan dirinya sebegitu memberikan rasa terancam. Ditambah dengan ketinggian dan susuk tegap lelaki itu. Bella segera kawal diri untuk tidak rasa cuak.

“Kenapa tidak? Apa istimewanya awak hingga awak tak perlu beratur hah?” soal Bella lagi. Merah-merah wajahnya kerana marah dan juga rasa kurang selesa. Tiba-tiba si lelaki bertopi itu mendengus. Dia seperti hilang sabar. Dia berpaling kepada gadis pemilik gerai itu.

“I don’t have time for this. Adik, thank you,” ujar lelaki itu menunjuk kepada plastik di tangannya. Gadis itu mengangguk dengan muka serba-salah. Lelaki itu mahu berlalu tetapi Bella terus halang dengan tubuhnya. Lelaki itu terhenti. Dia halakan wajah bosannya yang bertopi pada Bella. Bibirnya diketapkan menunjukkan kesabarannya kian tipis. Ah, tapi Bella peduli apa.

“Don’t have time? Amboi! Berlagak sungguh. Kulit tu kulit Melayu jugak tapi bukan main speaking. Let me tell you Mr diva tak reti beratur.  Dalam dunia ini kalau awak berlagak macam ni esok-esok mesti ada balasannya. Awak ambik hak orang nanti Allah ambil hak awak pulak. Walaupun hanya giliran beratur tahu tak?,” soal Bella. Lelaki itu terdiam. Dia merenung Bella dengan muka bosan dia lagi. Bella turut merenung. Dia tak mahu kalah. 


       Namun kesannya hati dia pula jadi berdebar. Haih, apa pasal pula? Macamlah dia tidak pernah lihat wajah lelaki kacak. Hatta pun kacak jugak. Tapi yang ini hanya nampak hidung dan mulut sahaja sudah menggentarkan. Jenis misteri tapi membahayakan. Tidak pasti apa tindakannya tetapi Bella rasa gerun dengan cara dia memandang dari bawah topinya. Pandangannya buat Bella rasa hangat sampai ke tulang. Leher dan dahi Bella sudah merecik peluh. 


    Renungan berbekas lelaki itu dari bawah topinya  seolah-olah memberikan isyarat yang dia akan nekad untuk berbuat sesuatu yang bakal mengancam Bella. Bella terasa kecut hati lalu menjauhkan dirinya sedikit demi sedikit. Kalau perlu dia akan lari. Tak adil. Lelaki itu boleh lihat keseluruhan wajahnya tapi Bella hanya boleh lihat mulut dan hidung lelaki itu sahaja. Itu yang buat dia makin cuak.


Bella ingat lelaki itu ingin buat sesuatu. Hati Bella terus cuak tapi dia masih di situ. Menghadap apa sahaja yang bakal berlaku. Namun, diluar jangkaan Bella, tiba-tiba lelaki itu mencapai wallet di belakang poket seluarnya. Dia mengeluarkan beberapa not ungu kemudian memberikannya pada gadis pemilik gerai itu yang sejak tadi berwajah bersalah. Bulat mata Bella. Banyak ratus juga kalau dikira not-not ungu itu.


“Saya belanja mereka semua dari cik kak ni sampai pakcik di belakang tu,” katanya pada gadis pemilik gerai sambil menunjuk kepada Bella dan semua yang ada di situ sehingga kepada seorang lelaki berusia yang sedang beratur paling hujung. Cik kak? Dia panggil aku Cik Kak? Melampau!  Desis hati Bella geram. Bella membulatkan mata seperti tidak percaya. 


Namun, semua yang beratur tersenyum suka. Malahan mereka bertepuk tangan. Manakan tidak. Jimat mereka hari itu. Terus mereka tak jadi marah. “Terima kasih bang,” ada yang ucap terima kasih. Kemudian kedengaran beberapa yang lain turut ucap terima kasih. Si lelaki bertopi tersenyum. Memancarkan lesung pipitnya. Manis senyuman yang menampakkan giginya yang rata itu. Tapi Bella renung lelaki itu seperti mahu dimakan.


Previous: Bab 9
Next: Bab 11

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.