Home Novel Cinta Bougainvillea! Kerana Kau Bunga Larangan
Bougainvillea! Kerana Kau Bunga Larangan
ainRAZAK
21/11/2020 14:23:26
14,771
Kategori: Novel
Genre: Cinta
Bab 35

Qaseh Mawaddah memandang Puan Juriah yang sibuk menyusun bunga telur yang sudah siap digubahnya ke pahar. Wajah tua ibu saudaranya nampak berseri-seri. Pasti gembira kerana apa yang diimpikan bakal jadi kenyataan. Umar bakal melangsungkan perkahwinan!


Lincah sungguh tangan Puan Juriah biarpun usia wanita itu sudah menginjak 55 tahun. Sekejap sahaja sudah berjaya menyiapkan 100 gubahan bunga telur. Memang patutlah mendapat gelaran juara gubahan bunga telur dikampungnya setiap tahun anjuran Kelab Wanita Mithali.


"Banyak lagi ke Mak Ngah?" soal Qaseh Mawaddah sekadar berbasa-basi. 


Dia duduk bersimpuh dihadapan ibu saudaranya. Tangan mencapai satu gubahan bunga telur dan dibeleknya. Kemas! Macam beli dikedai. Tapi rasanya lebih kemas dari dibeli di kedai.


"Tinggal tak banyak dah. Lebih kurang 100 pokok lagi nak kena gubah. Rasa macam dah dekat sangat Waddah. Risau tak sempat habis" ujar Puan Juriah meluahkan rasa.


"Mana tak dekatnya Mak Ngah, bulan depan je kan. Insya-Allah sempat Mak Ngah" balas Qaseh Mawaddah. Dia  tersenyum hambar. Hatinya bagai terusik dengan kenyataan itu.


Umar bakal menamatkan zaman bujangnya tidak lama lagi dengan gadis pilihan lelaki itu sendiri. Ternyata Umar memang tidak dijodohkan untuk bersama dengan dia. Jodoh Umar sudah ditentukan bersama Raihan.


Qaseh Mawaddah melepaskan nafas berat.


"Kenapa Waddah?" soal Puan Juriah pelik. Dari tadi anak saudaranya nampak sedikit terganggu. Tak sihatkah gadis itu?


Qaseh Mawaddah menggelengkan kepala.


"Waddah okey je Mak Ngah. Perut ni ja. Rasa tak berapa sedaplah. Selalu period memang rasa sakit habis seluruh badan" dalih Qaseh Mawaddah.


Lagipun memang dia rasa sakit seluruh badan dari semalam lagi memandangkan dia datang bulan. Mujur hari ini dia cuti. Jadi tak adalah scene bergolek atas lantai dalam bilik solat di premis kedai lesen majikan dia.


"Waddah ada ubat tak? Ke nak Mak Ngah telefon Umar minta supaya bawa balik ubat tahan sakit?" ujar Puan Juriah cemas. Dekat rumah ni pun dah kehabisan stok ubat.


Qaseh Mawaddah pantas menggelengkan kepala. Dia tidak mahu menyusahkan lelaki itu.


"Waddah dah ada ubat. Mak Ngah jangan risau. Waddah okey ja. Lagipun tadi Waddah dah makan ubat. Kejap lagi okeylah tu" tipu Qaseh Mawaddah. 


Sebenarnya ubat tahan sakitnya dah habis. Dia terlupa mahu singgah ke farmasi pulang dari kerja kelmarin. Habislah dia kalau senggugutnya kembali menyerang malam ni. Kalau dia diserang senggugut, mesti sampai mengerekot atas katil menahan sakit. 


Pernah dulu sewaktu Encik Rizqi masih ada, Qaseh Mawaddah kehabisan ubat. Hampir hendak pengsan. Terus dia dibawa ke klinik. Lepas makan ubat, terus rasa sakit beransur-ansur hilang.


Ah ... rasa rindu pada ayahnya kian datang. Lepas  habis period nanti, dia bercadang mahu menziarahi kubur awah Encik Rizqi.


"Assalamualaikum" suara orang memberi salam kedengaran dari luar. Segera mematikan perbualan antara Puan Juriah dan Qaseh Mawaddah.


Dua pasang mata menoleh kearah pintu. Terjengul wajah Encik Halim dimuka pintu dengan dahi yang dibasahi peluh. Pasti baru pulang dari kebun. Duga Qaseh Mawaddah.


Bapa saudaranya itu sememangnya suka menghabiskan masanya dengan berbudi pada tanah. Hasilnya, Mak Ngah tidak perlu lagi membeli sayur di pasar. Jimat perbelanjaan. 


Di tangan Encik Halim terjinjit 2 beg yang dipenuhi sayur kangkung dan bayam. Puan Juriah bangun lalu mendekati suaminya. Beg plastik yang berada ditangan Encik Halim disambut lalu diletakan diatas meja makan. 


Qaseh Mawaddah hanya memerhati bapa saudaranya. Tiba-tiba dia terkenangkan arwah Encik Rizqi. Rindu dia pada ayah kembali menggebu.


Sudah 2 bulan pemergian ayah tersayang, hidupnya bagai kosong. Tersangat kosong tanpa keluarga. Dia juga rindukan Puan Hanim. Dia rindukan gurau senda ibunya.


Kerana rasa rindulah setiap hari pasti Qaseh Mawaddah pulang kerumah pusaka arwah ayahnya. Ditatap wajah tua ibunya dari jauh puas-puas sebelum dia pulang semula ke rumah Puan Juriah.


"Banyak abang bawa balik sayur hari ni. Takde order ke?" ulas Puan Juriah yang baru tiba dari dapur dengan segelas air suam.


Dihulurkan pada Encik Halim. Suaminya menyambut lalu disua ke bibir mulut. Selesai menyebut kalimah 'bismillah', Encik Halim meneguk air perlahan-lahan.


"Ada, Musa kedai simpang tiga pekan tu dah ambil dekat kebun tadi. 3 raga penuh. Mujur Rusdi anak Pak Lang Meon tolong tadi. Tak menang tangan jugalah kami berdua" ujar Encik Halim sebaik saja meletak gelas diatas meja.


Terangguk-angguk Puan Juriah mendengar suaminya bercerita. Dia duduk bersebelahan suaminya dimeja makan.


"Yang plastik satu lagi tu, untuk Mak Jang. Nanti suruh Umar tolong hantarkan" terang Encik Halim. Ditudingnya kearah plastik kuning yang berisi bayam dan kangkung.


"Banyak tu bang. Larat ke Kak Hanim nak makan seorang?" 


"Tadi abang nampak kereta Angah dekat laman. Mesti dia balik. Rumah Mak Jang ramai. Bagi saja. Rezeki Mak Janglah tu" 


Puan Juriah terangguk-angguk mendengar penjelasan suaminya. Nanti dia akan temani Umar pergi ke rumah Puan Hanim untuk menghantar sayur-sayur itu.


Qaseh Mawaddah hanya mendengar perbualan ibu dan bapa saudaranya. Dia tahu kakak keduanya balik kampung. Dia tidak mahu mencelah. Rasa sakit perutnya tiba-tiba menyerang. Dia terus meminta izin untuk masuk kebilik.


"Kenapa dengan Waddah?" soal Encik Halim sebaik sahaja anak saudaranya itu menghilang ke dalam bilik.


"Dia tak berapa sihat bang. Dari tadi lagi saya tengok pucat semacam. Bila ditanya, dia cakap okey" jelas Puan Juriah. Encik Halim menganggukkan kepala tanda faham.


••••••


"Waddah mana umie?" soal Umar sebaik saja duduk dimeja makan. Dia yang baru selesai menunaikan solat isyak. Kepalanya masih lagi berkopiah dan berbaju melayu berkain pelikat.


"Ada dalam bilik. Tak sihat" jawab Puan Juriah sambil ligat tangannya menyendukkan nasi kepinggan.


"Tak sihat?" 


"Ha ah. Lupa umie nak bagi tahu Umar petang tadi. Kalut nak ke rumah Mak Jang sampai lupa nak bagi tahu"


Umar menganggukkan kepalanya. Tak sihat rupanya. Sewaktu dia pulang dari kerja petang tadipun dia tidak nampak kelibat Qaseh Mawaddah. Ingatkan gadis itu keluar atau pergi ke mana-mana. 


"Waddah sakit lagi ke umienya?" giliran Encik Halim pula menyoal. Dia mengambil tempat dihujung meja makan.


"Ye bang, saya panggil pun tak mahu keluar. Terperap saja dalam bilik" 


"Sakit apa umie? Dah makan ubat?" Umar mencelah. Dahinya berkerut.


Dah lama rasanya sepanjang Qaseh Mawaddah tinggal disini gadis itu tidak pernah sakit mahupun demam. Dia berasa hairan.


"Dah makan ubat katanya petang tadi. Tapi umie rasa kalau makan ubat, mesti dah baik. Ini dari tadi terperap" Puan Juriah meluahkan rasa risau.


"Nanti lepas makan, umienya pergilah jenguk sekali lagi. Mana tahu boleh tolong urut-urut hilangkan rasa sakit tu" cadang Encik Halim kemudian. 


Puan Juriah terangguk-angguk. Dia menghulurkan pinggan kepada Encik Halim dan Umar. Air dituang lalu diletakkan ditepi. Dia duduk bersama menyertai makan malam bersama suami dan anaknya.

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.