Home Novel Cinta Bougainvillea! Kerana Kau Bunga Larangan
Bougainvillea! Kerana Kau Bunga Larangan
ainRAZAK
21/11/2020 14:23:26
54,016
Kategori: Novel
Genre: Cinta
Bab 4

PERTEMUAN pertama, kedua, ketiga dan seterusnya menghiasi hari-hari indah seorang gadis seperti Qaseh Mawaddah. Manakan tidak, punya kekasih hati yang selalu mengambil berat tentang diri dia.


Langsung dilupa pada keluarga yang menanti di kampung. Lupa pada ayah dan mak yang menantikan khabar gembira darinya. Ingin dilupa juga wajah Umar yang bikin jiwanya tidak keruan kerana masa lalu.


Bunyi getaran telefon yang diletak di dalam beg galas menggugat lamunan Qaseh Mawaddah. Dia segera menutup buku tebal yang tertulis 'Internet Protocol Address"


Senyuman terlakar diulas bibirnya tatkala membaca sebaris ayat yang tertera di skrin telefon. Mesej dari buah hati tersayang tidak pernah buat dia kecewa. Ada saja perkara yang menggembirakan hatinya.


Seperti biasa, janji temu diatur seperti minggu-minggu yang sebelumnya. Sudah menjadi rutin untuk Muazzam datang menjemput dia di kolej dan bawa dia keluar bersiar-siar tiap kali hujung minggu.


"Hoi! Mengelamun! Lepas tu senyum sorang-sorang. Kau buang tabiat ke apa?" bahunya ditampar secara tiba-tiba. Pantas dia mendongak.


"Kau memang suka kan kalau aku mati? Selalu buat aku terkejut," balas Qaseh Mawaddah sambil menggosok bahunya yang pedih. Tangan orang lelaki memang kasar.


Zaidi tersengih. "Sorrylah geng. Aku ingat kau tak terkejut tadi. Mana aku tahu, yang kau terkejut tahap gaban," pujuk Zaidi seraya menggosok semula bahu sahabatnya.


"Hoi! Haram, jangan sesuka hati nak sentuh eh. Aku karate tangan kau nanti," tepis Qaseh Mawaddah laju. Sesuka hati saja Zaidi mahu menyentuh dia.


Jejaka itu masih tersengih. Kedua tangannya diangkat ke atas. Tanda memohon maaf. "Kau dah kenapa? Tersengih je aku tengok dari tadi. Laporan dah siap?" soal Zaidi sambil menarik bangku lalu duduk bertentangan dengan sahabatnya.


Buku di hadapan Qaseh Mawaddah ditarik lalu dibuka. "Wah, dah sampai sini kau buat. Bak aku satu salinan," pantas tangannya mengeluarkan telefon bimbit dari kocek seluar. Mahu mengambil gambar.


Qaseh Mawaddah segera menarik semula bukunya. "Eh, mana boleh. Kau carilah sendiri. Banyak pilihan buku dekat rak. Kau ambil satu, kau cari. Takpun kau google je, habis cerita," bantah Qaseh Mawaddah.


Inilah orang lelaki, salah satu sikap yang dia tidak berkenan. Suka sangat 'copy paste' tugasan saja. Bukan mahu berusaha cari dan taip sendiri.


"Eleh, kedekut. Kau tak bagipun takpe. Aku dah siaplah," cebik Zaidi. Sebenarnya dia sengaja mahu mengusik Qaseh Mawaddah. Tugasan itu, dia sudah siapkan dari awal lagi.


Qaseh Mawaddah tersengih. "Sebab itulah aku tak nak bagi dekat kau, aku tahu kau dah siap," dalih Qaseh Mawaddah tidak mahu kalah. Dalam hatinya memuji-muji kepantasan Zaidi.


Padahal baru saja sebentar tadi dia merungut tentang tabiat dan sikap kaum lelaki. Cepat sungguh hatinya berubah.


Senyumannya terlakar sekali lagi. Hanya seorang saja yang baik di mata Qaseh Mawaddah. Dalam hatinya terukir satu nama. Siapa lagi kalau bukan Muazzam, kekasih sejiwanya.


"Aku rasa kau ni memang dah parahlah Waddah. Sekejap tersengih, sekejap tersenyum. Baik kau pergi jumpa pakar psikiatri sebelum terlambat," omel Zaidi lantas bangun.


Malas mahu bersembang dengan orang yang angau macam Qaseh Mawaddah. Bikin sakit hati saja. Langsung tidak dihiraukan sahabat sendiri.


Tap! Satu jentikan halus singgah ke dahi Qaseh Mawaddah tiba-tiba. Dahinya berkerut menahan pedih. "Zaidi!" bingit jeritannya memenuhi ruang perpustakaan. Zaidi segera menghilangkan diri dengan sengihan yang tidak lekang dari bibir.


Qaseh Mawaddah mendengus geram. Zaidi memang suka menyakat dia, macam seseorang. Siapa lagi kalau bukan lelaki itu.


***


UMAR terbatuk kecil. Dia segera capai botol air mineral yang dihulurkan oleh Doktor Syafiq. Diminum seteguk dua bagi menghilangkan perit ditekak.


"Kau okey ke tidak?" Dr Syafiq sambil mengusap-usap belakang sahabatnya. Teruk benar Umar tersedak. Terbongkok-bongkok tubuhnya.


Umar mengangguk. "Terima kasih wey, maaflah kalau aku matikan selera kau. Baru je kau nak makan, dah terganggu," ucap Umar perlahan. Dia kembali menutup bekas makanannya.


"Kenapa? Dah takde selera ke?" soal Doktor Syafiq saat memandang perlakuan sahabatnya. Dia cepat-cepat menghabiskan sisa makanan tengah harinya juga.


"Haah, aku teringat pada dia lagi. Agaknya dia pun tengah ingat dekat aku kut," Umar meluahkan rasa. Tangannya ligat memasukkan bekas makan ke dalam beg plastik.


"Hendak diingatkan apa lagi Mar? Orang tak sudi, takkan kita pula yang terhegeh-hegeh nak munculkan diri,"


Umar tetap mendiamkan diri. Dia bersandar semula ke kerusinya. Ada betul juga apa yang dicakapkan oleh Doktor Syafiq. Kenapa dia mahu mengingati gadis itu sedangkan Qaseh Mawaddah sendiri menolak dia dari hidup gadis itu.


"Carilah gadis lain yang lebih menghargai kau Umar. Buat apa ditunggu bintang yang takkan gugur. Bintang yang kau hanya dapat lihat dari jauh saja, tak pantas untuk dipetik, apatah lagi untuk memiliki," sambung Doktor Syafiq berfalsafah.


Dia kasihankan sahabatnya. Dia kenal sangat dengan Umar, mereka menuntut bersama-sama sewaktu di luar negara dahulu. Sepanjang masa Umar, hanya dihabiskan dengan memuja satu nama sahaja. Qaseh Mawaddah.


Namun, gadis itu tetap memencilkan diri. Entah di mana silapnya hubungan mereka, sehinggakan mengundang persengketaan tanpa bicara. Doktor Syafiq sendiri keliru.


"Kalaulah semudah itu aku boleh lupakan dia ...,"


"Kau boleh Mar! Cuma kau kena lorongkan hati kau untuk menerima kehadiran orang lain. Dibuang rasa itu terus, jangan lagi diingat,"


Umar lantas mengeleng. "Kau tak faham dan takkan faham. Banyak kenangan aku dengan dia Fiq. Aku memang tak boleh lupakan dia,"


Doktor Syafiq mendengus. "Umar Al-Khattab, rasa cinta, rasa kasih ini, Allah yang anugerahkan. Kau mintalah pada Allah. Andai kata jodoh kau sememangnya dengan dia, mohonlah Allah dekatkan hati korang. Andai bukan, jauhkan rasa tu. Jangan kau siksa lagi perasan kau, Mar,"


Ujar Doktor Syafiq lantas bangun dari duduknya lalu meninggalkan Umar sendirian. Sudah berbuih mulutnya menasihati sahabatnya. Tetapi langsung tidak dihiraukan.


Dia bukannya apa, dia tidak sanggup melihat Umar tersiksa dan menutup pintu hati jejaka itu terhadap gadis lain. Dia mahu Umar gembira dan menikmati hidupnya sendiri.





BERSAMBUNG ...







Previous: Bab 3
Next: Bab 5

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.