Home Novel Cinta Bougainvillea! Kerana Kau Bunga Larangan
Bougainvillea! Kerana Kau Bunga Larangan
ainRAZAK
21/11/2020 14:23:26
54,006
Kategori: Novel
Genre: Cinta
Bab 8

HIDUP Qaseh Mawaddah berubah 360 darjah sejak dia dikecewakan oleh Muazzam. Dia menjadi seorang yang pendendam. Dia rapat dengan semua lelaki yang mahukan dirinya. Langsung nama Muazzam dibuang jauh dari hidupnya.

Zaidi?

Hmm ... lelaki itu pun sudah termakan pujuk rayu Syira. Nama pun lelaki. Pantang digoda. Pantang dicuit sedikit, pasti rasa itu akan timbul semula. Tambah pula dengan gadis yang memang menjadi pujaan hati.

Qaseh Mawaddah? Dia sudah malas hendak pedulikan apa yang dilakukan gadis itu pada Zaidi. Dia mahu mulakan hidup baru. Hidup baru yang akan menghancurkan berkeping-keping hati jejaka idaman malaya.

Dan mungkin Zaidi juga bakal tersenarai sebagai salah satu mangsanya nanti. Bersiap-sedia wahai Syira! Qaseh Mawaddah akan membalas satu demi satu perbuatan gadis itu dan Muazzam.

Tangan Qaseh Mawaddah digenggam erat. Dia memerhatikan Syira yang menggesel-gesel badannya pada Zaidi yang sibuk menekan papan kekunci komputer riba untuk memasukkan coding ke dalam software final project mereka.

Orang lain sibuk bertungkus lumus hendak menyiapkan final project, dia pula sibuk mahu bercinta. Sanggup membuntuti Zaidi ke mana sahaja lelaki itu pergi. Sudah habis agaknya kisah antara dia dengan Muazzam?

Huh, dasar kaki lelaki!

Daripada memerhatikan merpati dua sejoli itu, lebih baik Qaseh Mawaddah meneruskan kerja-kerjanya yang tertangguh tadi. Tetikus dilarikan ke kiri dan ke kanan.

"You ... I penatlah. Jom kita pergi minum dulu. Please?" rengek Syira manja. Dia duduk bersilang kaki di atas kerusi. Tangan pula disilang ke dada.

Dari tadi Zaidi asyik menumpukan perhatian pada project yang dibuat hasil cetusan idea dari Qaseh Mawaddah. Dia rasa geram apabila membayangkan hal itu. Rengekannya langsung tidak dilayan.

Menyampah!

"Saya sibuklah Syira. Awak pun, takkan dah siap final project awak kut. Deadline kita dah dekat. Kita ada masa 2 bulan saja lagi. Nak buat slide presentation semua. Saya tak sempat nak keluar berfoya-foya dengan awak," tutur Zaidi panjang. Matanya langsung tidak memandang Syira. Malas mahu melayan perangai gadis itu yang suka mengongkong dan mendesaknya.

Syira mengetap bibir.

"Zaidi, kau datang tengok sini. Aku rasa ada errorlah dekat coding ni. Bila aku klik, dia tak masuk dalam page database student kolej pun," Qaseh Mawaddah menggamit Zaidi yang sedang khusyuk menatap skrin komputer riba.

Pantas Zaidi berpaling dan menyeret kerusi beroda ke arah rakannya. Skrin komputer di hadapan Qaseh Mawaddah ditenung lama. Dia mengambil alih tetikus. Sesekali tetikus dilarikan ke kiri dan kanan, kemudian ditekan beberapa kali.

"Kau silap masukkan link database ni. Cuba kau tengok coding link yang aku bagi lepas tu compare dengan coding link yang kau buat. Sama tak?"

Qaseh Mawaddah yang turut memandang skrin komputer di hadapan mereka. "Oh, patutlah. Aku yang tersilap. Aku ingat tak kena letak underscore ni. Patutlah tak boleh nak masuk page database. Pandai eh kau. Bijak-bijak." Qaseh Mawaddah memuji. Tangannya sudah menepuk-nepuk bahu Zaidi.

Syira berdehem kuat.

"Kau dah kenapa? Tekak kering ke? Kalau tekak dah kering, pergilah cafe. Cari minuman. Jangan lupa tapau air untuk kita orang sekali'" perli Qaseh Mawaddah. Gadis itu membalas kata-katanya dengan jelingan maut. Dia tidak peduli. Tumpuan kembali pada skrin laptop.

"Mujur aku partner dengan kau, Zaidi. Boleh juga aku belajar buat database dengan budak pandai macam kau. Asyik menghadap komputer rosak aje, lepas tu kena create network bagai. Jemu dah. Belajar programming system macam ni pun seronok juga kan?"

"Ha, baru kau tau aku pandai. Rugi kau tak grab aku awal-awalkan? Kan dah melepas!" Zaidi sudah ketawa kuat. Ketawanya mengundang jelingan maut Syira, Mungkin gadis itu cemburu.

"Hai, Waddah. Awak sibuk ke?" Seorang lelaki datang menghampiri mereka. Kerusi di sebelah Qaseh Mawaddah ditarik lalu dia duduk di situ.

"Hai ...," balasnya pendek.

"Dengan I, you tak nak ber 'hai' ke Zuhaiyr? Takkan dengan Waddah je?" sampuk Syira berbaur cemburu.

Qaseh Mawaddah sudah menjeling Syira. Dia mencebik. Pastinya Syira tidak senang duduk melihat ramai pemuda kacak seperti Zuhaiyr cuba mendekati dia semenjak tahu dia 'solo'. Syira ingat, dia tidak ada peminat?

"Dengan kau buat apa nak ber-hai bagai. Buang masa aku je. Aku tegur Waddah sorang aje dekat sini. Kan Waddah?" Zuhaiyr mengenyitkan matanya pada gadis di hadapan dia.

Zaidi berdeham. "Wey! Aku dekat sini okey. Korang dah kenapa? Berkenyit mata sakan. Dah macam orang bercinta pula," Zaidi hairan, takkanlah secepat itu Qaseh Mawaddah sudah dapat pengganti kekasih dia? Dengan Zuhaiyr Annas pula itu. Belum serikkah dia ditipu?

Siapa yang tidak kenal Zuhaiyr? Top student dan lelaki hidung belang di kolej mereka. Siapa tidak terpikat kalau sekali pandang. Jangankan perempuan, lelaki pun ada yang berminat dengan Zuhaiyr Annas.

"Eh, taklah. Nak bercinta celah mana pula. Tak masuk dalam senarai aku langsung," Qaseh Mawaddah mencebik. Dia dengan Zuhaiyr Annas? Mereka bercinta? Tidak mungkin. Lelaki itu cuma salah satu objek untuk dia balas dendam.

Dia pun sebenarnya bukan kenal sangat dengan Zuhaiyr. Mereka hanya kebetulan sahaja terserempak ketika berada di kedai asrama. Ketika itu Qaseh Mawaddah tidak cukup duit untuk membayar baki. Jadi Zuhaiyr yang tolong bayarkan.

"Memanglah sekarang belum bercinta lagi. Mana tahu depan-depan nanti terjatuh hati, lepas tu bercinta, lepas tu berkahwin ...," Zuhaiyr Annas sudah mula memasang angan-angan.

"Panjang sangat angan-angan tu. Takut tak tertunai saja nanti,"

Zuhaiyr mahu ajak dia kahwin? Dia alergi dengan perkataan "kahwin". Sama naik dengan bencinya pada janji sehidup semati yang dicanang oleh kaum lelaki. Lengan lelaki itu ditampar kuat.

"Kenapa? Saya salah cakap ke?"

Zuhaiyr menjungkit kening. Tidak faham apakah yang dimaksudkan oleh Qaseh Mawaddah. Dia masih menagih jawapan gadis di hadapannya. Bagi Zuhaiyr, Qaseh Mawaddah amat sukar ditebak rasa hatinya biarpun gadis itu mudah didampingi. Bagai ada rahsia yang tersembunyi.

"Saya allergic dengan perkataan kahwin. Tak suka dan takkan suka!" balas Qaseh Mawaddah selamba. Dia menjeling Zuhaiyr dengan pandangan mata yang tajam. Mereka salin bertatapan.

"Hello! Kalau kau orang nak bercinta bagai nak rak, tolong pergi jauh dari sini. I nak termuntah tengok drama sebabak you all yang entah apa-apa," celah Syira yang dari tadi hanya menjadi pemerhati. Hatinya sakit melihat lelaki yang pernah menjadi kekasih dalam diam dia sedang bergurau mesra dengan musuh yang dibenci.

Qaseh Mawaddah mencebik. Pasti Syira cemburu. Kerana dari tadi lagi Zaidi tidak mempedulikan kehadiran dan rengekan gadis itu. Mungkin sebab itu dia berasa iri hati dengan Qaseh Mawaddah.

Dia memandang ke arah Zaidi. Rakannya itu sedang mengemas komputer ribanya serta beberapa buah buku yang dijadikan bahan rujukan mereka tadi. Kemudian dimasukkan ke dalam beg galasnya.

"Dah habis ke kerja kau?" soal Qaseh Mawaddah hairan. Macam nak lari saja gaya rakannya itu. Nampak kalut lain macam. Beg sudah tergalas di belakang.

"Yup, dah habis. Lagipun malas aku nak tengok kau orang. Naik bersemut dah mata aku ni." Mulutnya dijuihkan pada Zuhaiyr. Lelaki itu menjungkit bahu sambil mengoyak sengihan nakal.

"Okey, nanti kita run sama-sama program tu tau. Kita tengok kalau-kalau nak perbetul apa yang patut," ujar Qaseh Mawaddah serius.

Dia tidak peduli apa yang Zaidi rasa. Sama ada lelaki itu rasa terkongkong dek perangai Syira atau pun memang benar Zaidi mencemburui hubungan dia dan Zuhaiyr. Ah! Abaikan saja. Dia dan Zaidi hanya sahabat. Hubungan mereka tidak lebih dari itu. Dan tidak akan pergi jauh.

"Orite, aku jumpa kau nanti," balas Zaidi sebelum bergerak meninggalkan makmal komputer. Begitu juga kekasih hatinya. Terkedek-kedek Syira membuntuti Zaidi dari arah belakang.

***

"AWAK nak bawa saya pergi mana pula ni?" soal Qaseh Mawaddah ketika dia dan Zuhaiyr memboloskan diri masuk ke dalam kereta. Lelaki itu menghidupkan enjin kereta.

"Hari tu kan awak ada cakap nak ganti duit saya. Jadi sekarang ni, saya tak nak duit. Saya nak minta benda lain dari awak." Ujar Zuhaiyr serius lalu menggerakkan keretanya.

"Okey, apa yang awak nak minta? Belanja makan? Tengok wayang?" soal Qaseh Mawaddah pantas. Kalau itu yang Zuhaiyr inginkan, dia boleh saja berikan. Tetapi lelaki, boleh dipercayai ke?

"Taklah, nanti saya bagitahu apa yang saya nak," ujar Zuhaiyr masih berteka teki. Dia membelok kereta yang mereka naiki melepasi pondok pengawal.

Cermin tingkap kereta diturunkan. "Saya nak bawa sepupu saya keluar jab, cari barang," jelas Zuhaiyr ketika dia didatangi oleh seorang pengawal lelaki.

Pengawal itu mengangkat tangan dan terangguk-angguk. Kemudian besi penghadang jalan dinaikkan. Laju kereta yang dipandu Zuhaiyr membelah jalan raya.

"Sepupu? Sejak bila pula saya jadi sepupu awak?" Qaseh Mawaddah tersenyum sinis. Matanya kembali memandang Zuhaiyr. Menagih jawapan.

"Yalah, kalau saya cakap dekat pak gat tu awak kekasih hati saya, mahunya pak gat tu ligan kita keliling kolej ni," kata Zuhaiyr seraya ketawa.

Lagipun, memang peraturan di sini pelajar lelaki tidak dibenarkan menaiki kenderaan bersama pelajar perempuan di dalam kawasan asrama. Kecuali saudara mara. Untunglah jadi anak kakitangan kolej. Banyak kelebihan yang Zuhaiyr dapat.







BERSAMBUNG ...


Previous: Bab 7
Next: Bab 9

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.