Home Novel Cinta Bougainvillea! Kerana Kau Bunga Larangan
Bougainvillea! Kerana Kau Bunga Larangan
ainRAZAK
21/11/2020 14:23:26
53,930
Kategori: Novel
Genre: Cinta
Bab 3

JAM di pergelangan tangan dikerling sekilas. Masa sudah menunjukan angka 5.00 petang. Berbaki 10 minit saja lagi buah hati dia akan sampai. Itu pun jika Muazzam tidak terperangkap dalam kesesakan lalu lintas. Jika ya, lambatlah mereka bertemu.


Qaseh Mawaddah mempercepatkan langkahnya. Tergesa-gesa dia meninggalkan kawasan asrama yang dihuninya. Dia melintasi bangunan yang ditulis blok C. Di sebelah kanannya pula, terdapat padang yang luas.


Dia berselisih dengan beberapa orang pelajar yang baru tiba dari kampung. Masing-masing dihantar oleh keluarga setelah seminggu bercuti sempena sambutan Hari Malaysia.


Dia hanya menegur mereka dengan senyuman sahaja. Malas mahu bersembang ramah. Lagi pula, dia sudah kesuntukan masa. Dibuatnya Muazzam tiba lebih awal, tidak ke buah hatinya itu tertunggu-tunggu.


"Hoi, Waddah! Laju benar kau jalan. Nak pergi mana tu?" tegur satu suara ketika Qaseh Mawaddah melintasi kawasan tempat letak kereta. Dia segera menoleh.


Terjengul wajah seorang lelaki yang berpakaian santai dengan topi di kepala. Lelaki itu sedang tersengih memandang dia.


Itu Zaidi! Rakan satu aliran dengannya. Juga merupakan satu-satunya rakan baik dia di kolej ini. Mereka sama-sama memilih bidang Computer Networking.


Dia mengukir senyuman saat menoleh ke arah wajah lelaki itu. Langkahnya dimatikan seketika. Dia menanti Zaidi yang semakin mendekat.


"Kau nak pergi mana segak-segak ni? Kau nak jumpa buah hati eh?" tegur Zaidi sejurus berdiri di hadapan Qaseh Mawaddah.


Kening Qaseh Mawaddah bertaut. "Eh, kau ni. Suka hati akulah nak jumpa dengan sesiapa pun. Yang kau sibuk dah kenapa? Tak pernah tengok aku pakai segak macam ni eh?" kasar Qaseh Mawaddah menjawab.


Memang begitu gaya bahasa dia bila bercakap dengan Zaidi. Hilang segala kesopanan yang mak dan ayah terapkan dalam diri dia selama ini.


Zaidi berbalas pandangan. "Aku rindu dekat kaulah mangkuk! Lama sangat aku tak tengok kau. Tiga bulan praktikal, satu mesej pun kau tak hantar dekat aku. Apa kes? Kau merajuk ke?" soal Zaidi dalam nada marah yang sengaja dibuat-buat.


"Hahaha!" Qaseh Mawaddah sudah melepaskan tawa. Kelakar pula dia rasa dengan soalan Zaidi. Macamlah lelaki itu tidak tahu. Gila mahu hantar mesej pada Zaidi, cari mengamuk si mata air lelaki itu nanti.


"Eleh! Paku dulang, paku serpih. Mengata orang dia pun sama aja deh. Kau lagilah, satu baris ayat pun kau tak hantar dekat aku. Tertunggu-tunggu jugalah kalau-kalau kau rindu aku ke, kau nak bertanya khabar ke ...." Meleret Qaseh Mawaddah bersuara. Sengaja memulangkan paku buah keras.


Zaidi melebarkan senyuman. Mempamerkan barisan giginya yang putih bersih dan tersusun rapi. Segak. Sebab itu ramai perempuan terpikat dengan kekacakan Zaidi walaupun lelaki itu kurus macam lidi.


"Makin lawa aku tengok kau eh? Nampak macam chubby-chubby sikit. Kau pergi praktikal ke kau pergi bina badan, Waddah?" komen Zaidi pedas.


Qaseh Mawaddah mencebik. Adakah patut Zaidi cakap dia gemuk. Bukan Zaidilah kalau tidak menyakitkan hati dia. "Dua-dua." Balasnya geram.


Zaidi sudah ketawa. Bergerak tulang rahang lelaki itu. "Yang tu pun kau nak ambil hati. Aku gurau jela. Lama dah aku tak gurau dengan kau," ujarnya sebaik mematikan tawa.


"Iya lah tu gurau. Dahlah wey. Aku nak keluar jap. Jumpa buah hati sayang. Kau pun mesti dah rindu sangat dengan buah hati kau si Syira tu, kan? Ha! Itu dia. Dia dah melenggang kangkung mai dah." Qaseh Mawaddah menjuih bibir ke arah seorang gadis yang sedang berjalan menghampiri mereka.


Zaidi turut memandang ke arah yang dimaksudkan. Dia menepuk dahi. "Kaulah ni, seru sangat nama dia. Kan dah muncul," rungut Zaidi perlahan.


"Itu namanya panjang lagi jodoh kau dengan dia." Qaseh Mawaddah ketawa geli hati. Habislah Zaidi, si sotong Syira sudah datang.


Qaseh Mawaddah menampar kasar bahu temannya itu. "Baik aku blah dulu. Awek kau dah nampak. Nanti tak pasal-pasal berperang dengan aku. Bergegar pula satu hostel."


Qaseh Mawaddah meninggalkan Zaidi dalam keadaan tergesa-gesa. Malas dia mahu berdepan dengan Syira. Dia boleh nampak jelingan maut si Syira dari jauh. Sebelum keadaan menjadi lebih huru-hara, lebih baik dia cepat-cepat larikan diri.


Syira itu sebenarnya, bekas teman sebilik dia. Sombongnya bukan main lagi. Mentang-mentanglah berasal dari keluarga yang kaya. Semua orang kena ikut cakap dia. Orang lain semua salah, dia seorang saja yang betul.


Maaflah! Qaseh Mawaddah bukan sejenis manusia yang suka ikut telunjuk sesiapa terutamanya berperangai gedik macam Syira. Akan ditentang habis-habisan kalau tidak kena dengan jiwanya.


Berbulan-bulan juga dia tidak bercakap dengan Syira semenjak gadis itu menuduh dia mencuri sejumlah wang. Memang cari nahaslah. Dia bukan seorang yang panjang tangan. Pantang melihat barang orang, nak mencuri bagai.


Duit pinjaman belajar dan duit belanja yang diberi ayahnya pun, sudah lebih dari cukup. Tidak ingin dia hendak mengambil hak orang. Nak-nak pula, perempuan macam Syira. Berlagak!


Qaseh Mawaddah kembali berjalan melewati bangunan dewan makan dan beberapa bangunan yang menempatkan bilik-bilik kuliah dan makmal komputer. Sehinggalah dia tiba di pondok pengawal.


Setelah menulis nama dan nombor kad pelajar, dia terus menuju ke perhentian bas seperti yang dijanjikan kepada Muazzam tadi. Sesekali dia membelek pakaian yang dipakainya. Blaus berlengan panjang berwarna biru cair, dipadankan pula dengan tudung bawal navy blue yang dililit pada kepala.


Tampak kemas dan ringkas. Kena sangat dengan kulitnya yang tidak terlalu cerah. Memang menyerlah. Dia juga memilih seluar jeans dari warna yang senada untuk dipadankan dengan baju dan tudung. Sempurna!


Patutlah Zaidi cakap dia segak. Dia tersengih. Hendak jumpa buah hati, perlulah dia berdandan. Masakan dia mahu berpakaian selekeh berjumpa dengan Muazzam.


Setengah jam kemudian, sebuah kereta Suzuki Swift berwarna kelabu berhenti betul-betul di depan perhentian bas. Semerta dia mengoyak senyuman.


Cermin kereta diturunkan. Terjengul wajah tampan milik Muazzam Syafiullah. Lelaki itu menghadiahkan senyuman kepada dia. Senyuman yang Qaseh Mawaddah rindukan saban malam.


Dia membalas mesra. Teringat waktu pertama kali dia bertemu dengan Muazzam, terbit rasa kasih yang tidak terjangka. Rasa yang tidak pernah dia alami hatta dengan mana-mana lelaki.


Makanya di saat Muazzam melamar dia sebagai sang kekasih, dia terus menerimanya. Kerana dia juga sukakan lelaki itu sejak kali pertama mereka bertemu. Bak kata pepatah inggeris, love at first sight.


"Masuklah," ajak Muazzam.


Suara lelaki itu menarik semula dia ke alam nyata. Segera Qaseh Mawaddah memboloskan diri masuk ke dalam perut kereta. Malas dia mahu berlama-lama di perhentian bas.


Tadi pun, dia sudah ditegur oleh beberapa rakan yang baru saja tiba dengan bas. Jenuh memikirkan jawapan pada pertanyaan mereka.


"Sayang, rindu awak sangat-sangat. Rasa macam dah lama tak jumpa," luah Muazzam sebaik saja buah hatinya menutup pintu.


Qaseh Mawaddah tersengih. "Baru tak jumpa seminggu bang, takkanlah dah rindu dekat Waddah kut?" soalnya sekadar ingin menguji hati lelaki itu.


Muazzam memandangnya tajam. Eh! Dia ada tersalah bicarakah?


"Hmm ... orang tu yang tak rindu dekat kita sebenarnya. Maklumlah, dah masuk kelas, dah jumpa kawan-kawan lama. Terus lupa kita. Kita kan orang bishe-bishe aje." Muazzam sudah menarik muka masam.


Qaseh Mawaddah mencebik. Dah tua-tua pun mahu merajuk dengan dia? Mengalahkan perempuan pula perangai Muazzam. "Siapa cakap tak rindu? Kalau tak rindu, Waddah tak keluar jumpa abang tau. Rindu sangat-sangat dekat baby besar Waddah ni." Pantas Qaseh Mawaddah mencubit pipi buah hatinya. Mekar kembali senyuman di bibir lelaki itu.


Serta merta moodnya bertukar ceria.






BERSAMBUNG ....






Previous: Bab 2
Next: Bab 4

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.