Home Novel Cinta A LOVE TO KILL
A LOVE TO KILL
Farhah Aiddin
27/7/2021 11:07:15
3,547
Kategori: Novel
Genre: Cinta
BAB 12

“Tak payah tayang muka bengis kau tu Haqqi. Hati aku tak lut.”

“Kau tak ada hati. Memang tak akan lut.” Bidas Haqqi berbaur mengejek. Geram betul dia dengan tindakan tidak perikemanusiaan milik sepupunya itu. Gadis itu tak ada buat salah apa-apa pun. Sempat bercakap dengan Eiyad pun tidak. Ada ke patut Eiyad melemparkan hinaan terhadap orang yang tidak berdaya dan tidak sedarkan diri? Suruh bawa ke klinik atau hospital, lagilah mustahil! Mungkin berbakul lagi hinaan bakal dilemparkan.

“Orang lain, aku akan fikir dulu sama ada nak tolong atau tidak.Tapi kalau budak tadi tu, sorry to saylah. Sampai bila-bila pun aku takperlu berfikir untuk tolong dia. Hati aku tak akan terdetik langsung.” Selamba sahaja Eiyad menyatakan bicara itu tanpa perlu menapisnya terlebih dahulu.“Haqqi, tak semua orang kita boleh tolong. Contoh macam budak tadi tu. Orang macam dia, butakan mata dan tulikan telinga. Jalan terus ke hadapan.”

“Dia pernah tolak cinta kau?” Sinis persoalan yang dilontarkanHaqqi. Teruk sangat kebencian yang Eiyad lemparkan. “Aku tak nampak benda lain lagi selain kau pernah direject oleh dia. Kan?”

“Wooo… bro, benda lain kau fikir, aku tak kesah tapi jangan pernah letak perkataan cinta itu antara aku dan budak tadi tu. Nonsense! Jijik!” Handbreak diangkat dan gear D bergerak ke P setelah kereta Ferrari merahnya selamat masuk ke parkiran. Tangan kiri dihala pada Haqqi seraya jari telunjuk kanan berlari di atasnya. “Kau nampak ni? Meremang bulu roma aku! Telinga aku pun berdesing lain macam!”

Pipi Eiyad yang bertukar rona merah menahan rasa buatkan dahi Haqqi berkerut. Apa sebenarnya terjadi antara Eiyad dan gadis tadi? “Kenapa kau benci dia seteruk ini?”

Kali ini Eiyad ketawa. Bibirnya memurnikan semula senyuman. “Keluarga kita berdarah diraja, suci dan tinggi darjatnya. Orang macam kita ni kedudukannya dipandang dengan sangat tinggi.”

Haqqi buat muka menyampah. Bosan mendengar omelan yang terlalu membangga diri itu. Antara sebab dia tidak mahu kekal di sini ialah ini. Cukuplah Tengku Eiyad Dini sahaja yang perlu telinganya tadah sehingga bernanah mendengar sikap riak, berlagak dan sombong. Dia tidak perlukan ahli keluarga lain untuk menambahkan kerosakan deria pendengarannya.

“Untuk pengetahuan kau Haqqi, budak perempuan tadi tu cucu Nek Dian, tukang masak yang telah berkhidmat dengan keluarga kita sekian lama. Diabukan cuma cucu Nek Dian bahkan budak itu anak tak sah taraf yang berbintikan Abdullah. Anak haram Haqqi! Anak haram! Kau rasa layak ke manusia macam tu mencemarkan kereta kesayangan aku ni?”

Tergeleng kepala Haqqi mendengarnya. Dadanya berombak-ombak. Setiap butir penghinaan itu amat melukakan hatinya. Seolah ada pisau belati yang sedang melapah hati dan jantungnya. Semerta wajah pucat tadi berlegar kembali di ruang imaginasi.

Kasihan. Pasti hati dia sering kali terluka teruk.

“Eid, kau lupa siapa aku?”

“Kau sepupu aku.”

“Betul tapi dalam masa yang sama nama aku tak ada Tengku. Aku orang biasa sama seperti rakyat marhaen yang kau selalu pandang rendah dan hina itu.”

Eiyad terdiam seketika. Dia buka pintu keretanya. Haqqi di sebelah turut melakukan hal yang sama. Mereka kembali ke Istana Mahligai Nan Indah selepas insiden tadi dengan membawa peralatan-peralatan yang diperlukan. Amukan Ulfa masih ada dalam ruang ingatan Haqqi.

“Tapi kau tak boleh samakan diri kau dengan budak tadi tu. Rakyat marhaen ada dua jenis. Satu, sah taraf. Satu lagi, tidak bertaraf. Hina sehina-hinanya. Macam budak yang kau sibuk cempung tadi tulah.” Bukan main hebat Eiyad menghina orang. Sekali pakej riak wajah yang menggambarkan betapa dia menyampah dengan manusia sehina Syifaa Qaireen. “Mandi nanti jangan lupa pakai detol. Buang semua kekotoran dia yang ada pada kau.”

Haqqi ketap bibir. Tanpa sedar, dia melepaskan kotak alatan. Lalu satu tumbukkan melayang tepat ke wajah Eiyad yang terkesima mendapat habuan yang amat drastik. Tiada angin, tiada ribut, tiba-tiba sahaja dia diserang Haqqi.

“Haqqi Syauqi!” Terjerit Al-Firasi yang baru sahaja keluar untuk mencari Haqqi yang tidak muncul-muncul. Bergegas dia berlari mendapatkan anak saudara Tengku Maria. “Eid, okey tak?”

Eiyad angguk menahan pedih. Mata tidak lepas menikam wajah Haqqi yang sedang berdecit sambil mengocak-ngocak tangan kanannya yang terasa sengal.Nampaknya baran yang cuba diubati Haqqi kembali menyerang.

“Kenapa sampai bertumbuk ni? Papa suruh ambil peralatan menukang aje, kan?”

Haqqi diam. Tidak mengendah pertanyaan Al-Firasi. Dia tahu dia tersilap lepaskan tumbukkan. Tapi dia juga tahu yang dia tak salah. Mulut Eiyad yang tidak reti melapikkan seberang kata yang ingin dilontarkan. Merendahkan orang sesuka hati umpama dirinya suci dan bersih dari segala dosa dan noda.

“Haqqi?” Al-Firasi mendekati anak bujangnya pula. Riak itu menakutkannya. Dia hanya mampu berdoa Haqqi tidak dihantui sikapnya yang dulu.

Sorry, tak senjaga. Lain kali jaga mulut kau tu. Jangan sesuka hati hina orang macam dia tiada maruah diri. Kau perlu tahu, tiada manusia dalam dunia ni minta untuk dilahirkan sehina yang kau cakap tu.” Akhirnya langkah dibuka meninggalkan papa dan sepupunya begitu sahaja. Biarlah. Dia tidak mahu panjangkan isu ini lagi. Dia salah, dia sudah pun minta maaf. Jadi, selesai.

“Apa yang jadi sebenarnya, Eid?” Soal Al-Firasi sesudah tubuh Haqqi lenyap ditelan masuk ke dalam mahligai. “Dah lama uncle tak nampak dia macam tu.” Selama ini dia menjadi saksi betapa bersungguhnya Haqqi merawat penyakit barannya. Dan ianya berhasil sehinggalah apa yang baru sahaja berlaku tadi.

My mistake, uncle. Macam biasa, itulah padahnya bila cakap tak berlapis dengan Haqqi.” Eiyad pegang pipinya yang membengkak. Haih, punyalah dia berjaga-jaga untuk tidak menerima tumbukan Haqqi, alih-alih disebabkan penyebab yang sama iaitu mulut lasernya ini, pipinya lebam sekali lagi.

Dalam pada sebal dengan mulut sendiri, ada sesuatu yang mengganggu fikiran Eiyad. Kenapa Haqqi Syauqi begitu beriya melepaskan amarah atas penghinaannya terhadap Syifaa Qaireen? Mereka tidak pernah kenal. Malah itulah kali pertama mereka berjumpa.

“Eid, uncle minta maaf dengan tindakan Haqqi tadi.” Sebagai seorang ayah, Al-Firasi rasa dia patut menutur kalam maaf atas kesilapan anaknya sendiri. Dia sangat kenal Haqqi. Walaupun Haqqi ada betulnya dalam perkara ini akan tetapi melepaskan kemarahan dengan kekerasan tetap sesuatu yang tidak patut.

Kalau macam inilah tingkah Haqqi, mana mungkin dia benarkan anak lelakinya itu tinggal seorang diri di Ipoh sana. Baginya, usia 22 tahun belum cukup dewasa dibiarkan begitu saja tanpa perhatian dia dan isterinya. Haqqi Syauqi belum cukup matang dan dewasa. Tambah pula, jiwa anaknya itu sering kali kacau bilau. Ada memori silam yang tak akan pernah mampu dibuang begitu saja.

“Tak perlulah uncle pula yang minta maaf pasal tadi. Haqqi salah. Saya pun mengaku saya salah.” Eiyad sengih mengaku silap sendiri. “Lain kali, saya akan belajar menginsuranskan mulut sendiri dengan lebih berhati-hati. Harapnya hari ini kali terakhir pipi saya lebam dikerjakan Haqqi Syauqi tu.”

Tawa mereka pecah. Imaginasi masing-masing sibuk mengimbaskan kembali detik tumbukan pertama yang hinggap di pipi Eiyad kira-kira tiga tahun lepas. Drastik sungguh! Waktu itu Eiyad cuma terlepas cakap, ‘Muka aje handsome tapi gila!’

Baru sahaja beberapa saat Al-Firasi meninggalkan Eiyad berdiri tegak seorang diri berdekatan garaj, bahu Eiyad dijamah seseorang. Dia menoleh ke kanan. Bibir terkatuk rapat.

“Sakit?” Pipi Eiyad dicuit dengan jari runcing milik Emily.

“Adik dah kenapa?”

Emily muncungkan bibirnya. Kemudian tersenyum penuh makna. “Nak adik goda dia tak?”

“Siapa?” Eiyad tolak tangan Emily yang melingkar di bahunya.Seingat dia, Emily masih tidak puas dengannya disebabkan dia memaksa Emily berpindah semula ke The Left Wing. “Kejap… kau ni dah kenapa adik?”

Emily senyum sumbing. “Adik nak tolong abang. Salah ke?”

“Masalahnya sekarang ni abang tiada sebab untuk minta adik tolong.”

“Ya ke?” Mata Emily dikecilkan minta kepastian. “Bukan abang paling pantang orang cari pasal dengan abang? Tak akan nak tutup mata sebelah aje lepas kena tumbuk dengan sepupu marhaen kita tu?”

Terkebil-kebil mata Eiyad mendengarnya.

“Adik tak suka Tengku Maria balik sini apatah lagi dia angkut keluarga marhaen dia sekali. Abang tak rasa ke mereka tu penyibuk?”

“Adik merepek apa ni?” Eiyad mati kata. Dia bermulut jahat tapi dia tidak jahat dengan keluarganya sendiri.

“Betul apa yang adik cakap? Selama hayat kita berdua membesar dalam Istana Mahligai Nan Indah ini, pernah ke kedudukan kita digugat sesiapa abang?” Emily berdecit saat riak Eiyad seakan memahami maksud yang ingin disampaikannya. “Andai kata Tengku Maria tak balik sini, harta kekayaan keluarga akan seratus peratus jatuh ke tangan kita berdua. Bahagi dua. Tak perlu kongsi dengan anak-anak Tengku Maria.”

Pap!

Selamat rambut kuda belang itu ditarik Eiyad.

“Abang!” Kulit kepala rasa nak tercabut. “Sakitlah!”

“Sejak bila adik kisah dengan harta keluarga kita? Setahu abanglah, adik hanya hidup dalam dunia sendiri.” Rambut adiknya dilepaskan. Eiyad mengeluh kesal. “Jangan cakap disebabkan mereka pulang ke sini menyedarkan adik bahawa kekayaan yang kita miliki bukan seratus peratus milik kita?”

Yup, exactly! Sebelum ini adik tak pernah kisah sebab adik tahu semua tu milik kita.”

Eiyad menggeleng kepala menadah pengakuan itu. Terus saja dia membuka langkah meninggalkan Emily. “Suka hati kaulah Emily Yana. Mereka tetap ada hak.” Langkahnya sengaja dihentikan seketika. “Kecuali…”

“Kecuali?”

“Kecuali mereka sendiri tak nak.” Terkekeh-kekeh Eiyad melepaskan tawa melihat riak teruja Emily bertukar dingin.

Emily terus merengus geram. Ingat dia bodoh? Tiada siapa yang mahu menolak tuah!

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.