Home Novel Cinta A LOVE TO KILL
A LOVE TO KILL
Farhah Aiddin
27/7/2021 11:07:15
31,610
Kategori: Novel
Genre: Cinta
BAB 1

Bumi tidak pernah berhenti berputar di atas paksinya. Berputar dengan megah meskipun dia tahu putarannya melawan arah jam. Menentang arah yang sering dianggap satu kepentingan yang besar dalam hidup manusia. Mungkin seorang manusia sepertinya yang bukan alien perlu jadi seperti bumi. Melawan kebiasaan kesukaan orang lain. Menentang perkara yang dianggap biasa di fikiran manusia lain.

Manusia? Dia tidak membenci manusia meskipun mereka menjijikkannya.Memandang hina akan status anak yang tidak berbapa. Lagi-lagi bapanya merupakan si perogol yang menoda wanita tanpa kemahuan dan belas kasihan. Menjadikan mangsanya sebagai tempat pemuas nafsu.

Sering kali akalnya tidak mampu menjana, kenapa dia yang tidak tahu apa-apa selalu dipersalahkan? Adakah mereka sedar yang dia langsung tidak pernah pinta untuk wujud ke dunia ini dengan berstatuskan sedemikian? Eh, siapa saja yang mahu memegang status begitu? Status yang terlalu hina!

Cukup.

Malas nak bahas perkara seperti itu. Manusia diciptakan oleh Tuhan dengan sifat yang cukup. Ada akal. Ada hati. Ya, mereka punya akal untuk berfikir. Mereka punya hati untuk menilai tetapi tidak pernah digunakan dengan cara selayaknya.

Okey, masihkah dia yang jijik dan hina? Atau hati mereka sudah cukup buta dek melangitkan kesucian status diri sendiri? Cubalah walau seminit hidup di tempatnya, mungkin tidak sampai seminit pun mereka sudah mahukan kematian.Tak sanggup lagi meneruskan kehidupan yang penuh jijik ini.

Dalam hidupnya, belas kasihan tidak pernah wujud. Hanya aksara sahaja yang tersusun untuk membentuk ‘belas kasihan’. Manusia jarang pratikkanya.

Ya ke jarang? Dia rasa kalimah seperti itu memang tidak wujud. Andainya wujud, pasti manusia hina sepertinya tidak akan rasa diri ini terlalu hina.

Dia sering kali disampahkan walau ke mana sahaja dia pergi kerana namanya berbintikan Abdullah. Tiada maklumat bapa dalam ruangan sijil lahirnya.Namun mereka tidak sedar yang hati mereka jauh lebih sampah daripada dirinya yang jijik ini. Atau sebenarnya mereka nak insan sampah ini tunjukkan betapa sampahnya manusia sesampah dirinya?

Mungkin ya mereka mahu dia jadi sehina yang mereka katakan. Sejijik kutukan mereka. Baru sedar yang langit itu sememangnya tinggi. Tidak tergapai walau kau anggap ia sudah dekat. Tidak tertanggung betapa azabnya usaha mengapainya.

Seazab hidup yang dia pikul sepanjang hayat ini. Jadi, jangan salahkan dirinya andai tingkahnya tidak tergapai dek akal waras manusiawi.

“Syifaa Qaireen!”

Syifaa Qaireen. Nama yang tertulis di dalam sijil lahirnya. Membawa maksud penyembuh kebaikan. Indah bukan? Senyum sinis.

“Syifaa Qaireen!” Sekali lagi suara itu menjerit nyaring bagai memanggil dirinya yang berada di langit ke sepuluh. Walhal keberadaan dia cuma beberapa puluh meter sahaja daripada si pemanggil.

Perlu ke dia menyahut setinggi nyaringan itu? Atau dia hanya perlu tunggu si pemanggil berlari sepantas kilat lalu menghentamnya dengan peluru berpandu berdas-das?

“Syifaa Qaireen Abdullah! Jangan uji kesabaran aku!” Nek Dian datang dengan tuala yang diterkup ke mulut dan hidungnya. Sesekali dia menjarakkan tuala tersebut bagi mencuri nafas. “Kau hidup hanya untuk menyusahkan aku. Dahlah jijik. Perangai pun jijik mengalahkan binatang!”

Diam. Malas nak menjawab. Nanti kalau jawab, lagi berbakul caciandan makian keluar dari mulut neneknya itu. Senang betul buat dosa. Cukup sekadar bercakap, dah berbakul dosa dipikul atas bahu. Pahala dan dosa wanita itu silih berganti setiap masa. Pahala kerana mengerjakan tuntutan sebagai hambaNya. Dosa kerana mengherdik dan mencerca orang lain seolah dirinya sucidan bersih.

“Dah banyak kali aku cakap dengan kau, jangan buat kerja jijik tu lagi! Jangan jadi pengotor! Kalau tak ada hati, biar langsung tak ada rasa untuk apa-apa. Biar langsung tiada keinginan untuk apa-apa. Bukan…” Dengan kasar Nek Dian menarik rambut Syifaa Qaireen sekuat mungkin sehingga kepalanya terdongak ke atas. Riak wajahnya beku tak berperasaan. Dingin. Langsung tiada sekelumit rasa takut akan kemarahan yang membuak-buak itu.

“…sesedap hati saja nak menaikkan kemarahan aku dan orang lain!”lalu tubuh Syifaa Qaireen yang kurus kering dihumban ke lantai. Amarah Nek Dian benar-benar terzahir. Kegilaan gadis psiko ini amat menguji kesabarannya.

Mata tajam Syifaa Qaireen merenung tanpa berkelip, tanda membalasakan kekerasan yang baru diterimanya. Takut? Huh! Langsung tidak!

“Berani kau renung aku macam tu sekali Syifaa Qaireen? Kau jangan sampai aku ambil garpu cucuk-cucuk biji mata kau tu! Baru puas hati aku kalaukau buta macam Kassim Selamat!” Makin tinggi suara Nek Dian menjerit. Panas betul hatinya melihat riak yang dingin tak berperasaan itu. Budak jijik ini perangainya semakin hari semakin menjadi-jadi. Ada sahaja perkara meloyakan tekak dibentangkan di depan mata mereka semua.

Bila dimarah, langsung tidak beriak. Bila dipukul, langsung tidak serik. Mungkin kerana hidupnya sudah sebati dengan semua kekejaman yang mereka beri sehingga hati dan perasaan seorang Syifaa Qaireen langsung tidak terusik. Bahkan seakan sudah mati. Ibarat tidak lagi punya hati dan perasaan.

Mata Syifaa Qaireen masih tajam merenung. Tanpa riak. Memang sengaja dia cabar kesabaran Nek Dian. Dia suka melihat wajah bengis itu. Hatinya puas.

Hati Nek Dian rasa terbakar. Terus sahaja dia mengambil penyodok yang berada di dapur lalu dilibas ke tubuh kurus kering milik Syifaa Qaireen. Biarpun sudah berusia, tenaganya tetap kuat.

“Kau memang suka buat aku marahkan, Syifaa? Suka buat aku rasa makin jijik dan meluat dengan perangai psiko kau tu, kan?” Nek Dian melibas tanpa kasih. Geram, meluat dan jijik bertalu-talu masuk ke dalam fikiran dan hatinya. Tambah lagi pabila melihatkan renungan cari gaduh milik cucu tak gunanya itu.

Syifaa Qaireen hanya diam. Langsung tidak menjerit mahupun merintih kesakitan. Sakit? Entah. Mungkin kerana ini kebiasaan hidupnya. Dilayan lebih teruk dari selayaknya manusia. Dia akui dia jijik. Dia tidak pernah nafikan.Jadi, tak salahkan jikalau dia lakukan sesuatu yang selari dengan kejijikan dirinya sendiri?

Lagipun itu yang mereka semua hamburkan kepada dirinya. Jijik. Kenapa perlu nafikan setiap kali dia buat perkara sedemikian?

Setelah rasa lelah menjengah Nek Dian, perilakunya terhenti. Sesungguhnya dia tahu memang tak guna pun terus melampiaskan kemarahan kepada insan yang langsung tidak berperasaan ini. “Kau pergi buang semua karut-marut kau tu! Aku nampak sekali lagi, memang aku humban kau dalam lubang kubur, Syifaa Qaireen!”

“Tak nak.” Ringkas sahaja balasan Syifaa Qaireen tapi mampu membuatkan gunung berapi milik Nek Dian meletup sekali lagi.

“Kau…” Turun naik dada Nek Dian menahan marah. Tidak hairan andaikata tak lama lagi dia dihinggap penyakit darah tinggi. “Aku cakap baik-baik ni Syifaa. Buang benda-benda tu sekarang juga!”

“Itu Syifaa punya. Syifaa suka.” Ingat senang ke dia nak kumpul semuanya? Sesuka hati saja arah dia buang semua harta karun pengarang hatinya itu.

“Bluewwk!” Serentak dengan itu, Nek Dian menepuk-nepuk dadanya dan berlari menuju ke sinki dapur. Geli yang amat. Membuak-buak rasa jijik menyelubungi dirinya setiap kali terbayangkan apa yang dia nampak tadi dan digabungkan pula dengan pengakuan cucunya. Tekak terasa amat loya!

Syifaa Qaireen tersenyum penuh makna. Jangan harap dia buang. Hilanglah hiburannya nanti.

Previous: PROLOG
Next: BAB 2

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.