Home Novel Cinta Dia Pemilik Cintaku
Dia Pemilik Cintaku
Andayu
11/10/2024 21:52:41
1,317
Kategori: Novel
Genre: Cinta
Bab 12

"Bismillahirrahmanirrahim," lafaz Haura lalu masuk ke dalam rumah. Langkah diatur dengan perlahan-lahan menghampiri kedua ibu bapanya yang berada di ruang tamu. 

"Mel dah balik?" Soal Hajah Hamidah sebaik saja melihat Haura duduk di sampingnya.

"Dah," balas Haura sepatah. Dia baru sahaja menghantar Amelia ke airport. Sehari bersama Amelia hatinya berasa gembira. Segala masalah yang tersimpan diluahkan. Kini dia bersedia ingin bercerita kepada ibu bapanya.

"Diam aje. Haura ada apa-apa nak cakap dekat ibu ayah ke?" Haji Khairul mula bersuara.

"Majlis dah dekat. Family Naz confirm ke nak tidur dekat Homestay yang ibu cakapkan?"

Haura merenung wajah ibu ayahnya silih berganti. Tidak dapat dibayangkan perasaan malu yang akan mereka hadapi sekiranya majlis yang telah diatur berbulan lamanya tidak dilaksanakan seperti yang dirancang. Hatinya juga sedih memikirkan majlis perkahwinan yang harus dibatalkan pada saat akhir.

"Diam aje kenapa?" Sapa Hajah Hamidah apabila melihat Haura tidak menjawab pertanyaannya.

"Ada sesuatu yang Haura nak cakapkan," ujar Haura lalu membetulkan kedudukannya.

"Apa?"

"Haura harap ibu dan ayah jangan terkejut."

"Cakaplah! Terus terang kenapa?" Gesa Hajah Hamidah tidak mahu berteka-teki lagi.

"Nazrul."

"Kenapa dengan dia?" Soal Haji Khairul mula tidak sabar mahu mendengar apa yang ingin disampaikan oleh Haura.

"Nazrul ditangkap khalwat dengan perempuan lain."

"Astagfirullahalazim!" Mengucap panjang Haji Khairul dan Hajah Hamidah mendengarnya.

"Majlis Kahwin nanti?" Soal Hajah Hamidah cemas. Segala persiapan telah disediakan. Kad jemputan juga telah diedarkan hanya menunggu hari majlis tiba sahaja.

"Haura takkan batalkan majlis nanti."

"Nak teruskan?" Soal Hajah Hamidah dengan rasa hairan. "Nak ibu buat majlis apa?"

"Haura tetap akan kahwin," jelas Haura. Dia nekad untuk meneruskn majlis perkhawinan yang bakal dilangsungkan pada hujung minggu nanti.

"Dengan siapa?"

"Itu yang Haura nak bincangkan."

"Aduh peninglah kepala ni," ujar Hajah Hamidah mendengarnya. Dia mula memicit kepalanya yang berasa pening.

"Haura masih nak teruskan perkahwinan ni dengan Nazrul?" Soal Haji Khairul menginginkan kepastian.

Haura gelengkan kepalanya. "Tak. Haura tak mampu terima dia lagi."

"Habis tu Haura nak kahwin dengan siapa?"

"Haura akan teruskan majlis seperti yang dirancang. Haura tak nak ibu dan ayah tanggung malu bila majlis ni dibatalkan."

"Haura dah ada calon pengantin lelaki yang lain ke?"

"Tak. Tentang pengantin lelaki Haura serahkan pada ayah," ujar Haura perlahan. Dia menarik nafas sebelum meneruskan bicaranya. "Ayah boleh carikan calon suami buat Haura bagi melengkapkan majlis yang telah diatur."

"Haura!" Terkejut Hajah Hamidah mendengarnya. 

"Haura yakin pilihan ayah adalah yang terbaik."

"Haura dah fikir masak-masak ke?" Soal Hajah Hamidah ingin memastikan Haura membuat kelutusan yang tepat. "Soal kahwin bukan boleh buat main-main. Ini soal masa depan Haura."

Haura meraih tangan ibunya. "Ibu. Mungkin jodoh Haura bukan dengan Naz. Haura yakin pasti ada insan lain yang sudi memperisterikan Haura dengan hati yang ikhlas," ujarnya dengan perlahan agar ibunya mengerti. Dia tidak peduli siapa pun lelaki itu. Dia akan terima dengan hati yang terbuka. "Walaupun perkahwinan ini bukan kerana cinta. Tapi dia sudi terima Haura seadanya itu lebih memadai daripada bercinta bertahun-tahun akhirnya dikhianati," jelasnya dengan panjang lebar. Dia tidak mahu lagi memikirkan soal cinta. Dia hanya mampu berserah kepada Allah tentang jodohnya. Dia yakin cinta akan hadir selepas kahwin.

Haji Khairul mengeluh panjang. "Jika itulah niat Haura. InsyaAllah, ayah akan usahakan yang terbaik buat puteri ayah," ujarnya lalu bangkit dari tempat duduknya. "Cuma ayah kecewa dengan Nazrul. Sampai hati dia mempermainkan hati anak ayah."

"Abang nak ke mana?" Soal Hajah Hamidah apabila melihat Haji Khairul mengambil kunci motosikal yang tergantung pada dinding.

"Surau. Sekejap lagi nak masuk waktu asar," ujar Haji Khairul lalu melangkah keluar dari rumah.

Hajah Hamidah gusar memikirkan suaminya. Setiap kali ada masalah yang melanda suaminya akan ke surau. Dia hanya mampu mengiringi pemergian suaminya dengan ekor mata sehingga tidak kelihatan lagi.


PARA jemaah meninggalkan surau setelah selesai menunaikan solat fardu Subuh. Haji Khairul menghabiskan masa untuk bertafakur sambil menanti waktu dhuha. Dia mahu menghilangkan rasa gelisah di dalam hatinya dengan mendekatkan diri kepada Allah. Harapannya semoga ada insan yang baik hati sudi menyelesaikan masalah yang dihadapi.

Setelah selesai menunaikan solat sunat dhuha dia duduk di atas tangga. Wajahnya kelihatan resah. Fikirannya runsing mengenangkan nasib puterinya. Jejaka manalah yang mahu menerima puterinya sebagai isteri di saat akhir. Pandangan apakah yang akan diberikan jika dia memilih salah satu anak lelaki daripada kawan-kawannya di dalam kampung ini. Majlis yang akan berlangsung hanya tinggal lima hari sahaja lagi.

Jam sudah menunjukkan angka sembilan. Sudah hampir tiga jam dia berada di Surau Alor Jambu. Perut yang berasa lapar tidak dipedulikann. Hanya bayangan bahagia anaknya kelihatan diruangan mata. Namun gadis comel itu sedang berduka. Tiada lagi senyuman seperti selalu yang membuat hatinya risau.

"Haji belum balik lagi?" Soal Iman Shafie.

"Baru nak balik iman."

"Jom ke kedai. Saya belanja," ujar Iman Shafie lalu menyarung selipar.

"Iman pergilah dulu. Saya tak ada selera nak makan."

"Kenapa Haji?" Soal Iman Shafie lalu duduk disebelahnya. "Ada masalah ke?"

"Entahlah Iman. Rasa seperti ada batu besar sedang menghempak dada."

"Jika ada masalah. Kongsi. Manalah tahu saya dapat membantunya," ujar Iman Shafie mengosok belakang badan Haji Khairul.

"Kongsi memang boleh. Soal nak membantu belum tentu boleh," ujar Haji Khairul lalu membetulkan kedudukannya. "Melainkan Iman ada anak lelaki bujang?" Sambungnya.

"Anak lelaki bujang? Maksudnya?"

Haji Khairul melepaskan satu keluhan kecil. "Seperti yang Iman tahu anak saya, Haura bakal berkahwin pada hari sabtu nanti."

Iman angguk. "Anak nak kahwin apa yang nak dirisaukan."

"Masalahnya pengantin lelaki tiada. Macam mana saya tak risau?"

"Ke mana pulak hilangnya pengantin lelaki?"

"Ada masalah sedikit. Haura putuskan pertunangan. Tapi dia tidak mahu batalkan majlis yang telah diatur," luah Haji Khairul. "Persiapan majlis dah lengkap semuanya. Katering, pelamin dan kad kahwin pun dah diedarkan. Takkan saya nak batalkan begitu saja. Apa kata para tetamu bila datang nanti? Apa kata orang kampung?"

"Soal mulut orang kampung memang tak boleh nak ditutup Haji."

"Itulah yang merisaukan saya Iman. Saya malu tak apa. Tapi saya tak sanggup anak saya dipermalukan," ujar Haji dengan nada resah. "Mana saya nak cari pengantin lelaki bidang terjun," ujarnya sambil ketawa kecil. Dia pura-pura ketawa agar dapat menghilangkan rasa gusar di dalam hatinya.

"Masalah sekarang pengantin lelaki tiada?"

Haji Khairul angguk.

Satu idea terlintas difikiran Iman. Senyuman mula terukir pada wajahnya. "Haji berjumpa dengan orang yang tepat. Masalah ini, insyaAllah saya boleh selesaikan."

"Nak selesaikan macam mana?"

"Saya ada anak lelaki," jelas Iman Shafie sambil tersenyum. "Anak saya pun belum kahwin lagi."

"Betul ke Iman?" Soal Haji Khairul dengan serius.

"Betul. Anak saya, Fateh Nuqman."

"Doktor tu!"

Iman Shafie angguk.

Wajah yang mulanya ceria kembali keruh. "Tapi sudi ke dia nak memperisterikan anak saya? Kenal pun tidak?"

"InsyaAllah. Fikir yang baik-baik saja," kata Iman Shafie sambil mengusap bahu Haji Khairul.

"Saya tak nak menaruh harapan tinggi. Bimbang kecewa nanti anak saya yang malu. Cukuplah sekali anak saya dipermainkan."

"Berdoalah. InsyaAllah segala urusan dipermudahkan. Hal ini saya akan bincangkan dengan Fateh dan isteri saya."

"Terima kasih Iman. Jika Fateh setuju, berbesanlah kita," ujar Haji Khairul sambil ketawa

"Amin," balas Iman Shafie turut ketawa. "Saya minta diri dulu. Hal yang baik perlu disegerakan. Saya akan hubungi Haji nanti," ujar Iman Shafie lalu bangkit dari tempat duduknya.

"Okey Iman. Assalamualaikum."

"Waalaikumussalam."

Haji Khairul menarik nafas lega. Dia bangkit dari tempat duduknya. Tanpa melengahkan masa dia memakai selipar dan berlalu meninggalkan kawasan surau dengan hati yang tenang.


"ANGAH!" Panggil Iman Shafie sebaik sahaja tiba dihadapan rumah. Dia todak sabar ingin menyampaikan hajatnya kepada Fateh. "Angah!"

"Nak buat apa dengan angah? Terjeeit-jerit panggil?" Soal Puan Fatimah sambil melipat pakaian.

"Angah mana?"

"Angah dalam biliklah."

Langkah Iman Shafie pantas diatur ke bilik anak terunanya. Dia terus menerpa ke arah Fateh yang sedang membawa novel diatas katil. "Angah abah nak cakap sikit boleh?"

Fateh menutup novel yang dibacanya. "Ada apa abah?"

"Angah serius ke nak kahwin?"

"Hah?"

Iman Shafie melabuhkan punggung diatas tilam. Dia menarik nafas perlahan sebelum meneruskan bicaranya. "Angah pernah cakap nak abah atau umi carikan calon isteri sebelum ni."

Fateh angguk.

"Sekarang abah dah jumpa calon isteri buat angah."

"Siapa?" Soal Fateh ingin tahu lalu meletakkan novel diatas meja.

"Haura anak Haji Khairul."

Fateh mengerutkan keningnya. "Bukan dia akan kahwin tak lama lagi ke?"

"Itulah yang menjadi masalahnya. Pengantin lelaki buat hal. Haura putuskan hubungan tetapi dia tidak mahu membatalkan majlis perkahwinan yang telah dirancang. Haura minta Haji Khairul carikan calon suami buat dia," jelas Iman Shafie. "Abah teringatkan kata-kata angah sebelum ini. Jika angah tak keberatan sudi ke angah menerima Haura sebagai isteri?"

"Kenal pun tak macam mana nak kahwin?" Omel Puan Fatimah yang turut mendengar perbualan suami dan anaknya.

"Haura anak yang baik. InsyaAllah dia akan jadi isteri yang solehah," lembut Iman Shafie menuturkan bicaranya. "Abah hanya menyuarakan pendapat. Terpulang kepada angah untuk menerima atau pun tidak?"

"Angah setuju."

Terkejut Puan Fatimah mendengarnya. "Angah!"

Lega hati Iman Shafie mendengarnya. "Alhamdulillah. Angah pasti?" Soal Iman Shafie ingin memastikan keputusan yang diambil oleh Fateh adalah tepat. 

"Umi tak setuju?" Bantah Puan Fatimah.

"Umi!" Panggil Fateh perlahan. "InsyaAllah pilihan abah adalah yang terbaik untuk angah."

"Tapi...?"

"Angah dah setuju apa yang nak dirisaukan," ujar Iman Shafie dengan perasaan gembira. "Abah akan maklumkan kepada Haji tentang hal ini. Esok umi dan abah akan menghantar rombongan merisik," ujar Iman Shafie lalu bangkit dari tempat duduknya. Dia berlalu meninggalkan bilik Fateh.

Puan Fatimah menghampiri anaknya. Dia tidak setuju dengan keputusan Fateh untuk menikahi Haura. Dia tidak mahu Fateh membuat keputusan yang terburu-buru. "Angah tak menyesal ke dengan keputusan ni?"

Fateh geleng. "Mungkin dah sampai jodoh angah umi."

Puan Fatimah duduk. "Ini soal kahwin. Soal dua hati. Bukan perkara main-main."

Fateh memegang tangan ibunya. "Umi doakanlah yang terbaik buat angah. Doa seorang ibu kan tiada hijab dengan Allah," kata Fateh sambil tersenyum. Dia yakin inilah jawapan daripada solat sunat istikharah yang dilakukan.

Puan Fatimah mengeluh kecil. Sebagai seorang ibu dia hanya mahukan yang terbaik buat anaknya. Dia tidak mahu Fateh tersilap langkah dalam membuat keputusan. Dia akur dengan keputusan Fateh. Akhirnya dia bersetuju dengan untuk menyatukan Fateh dan Haura. 


Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh Andayu