"Kata demam?" Puan Fatimah menghidangkan minuman petang untuk ahli keluarganya.
"Alhamdulillah dah baik umi," jelas Fateh lalu menikmati cempedak goreng buatan ibunya.
Hmm... Dah baiklah sangat. Malam nanti sakit lagi siaplah, omel Haura di dalam hati.
"Ini ubat abah, angah dah ambil kat farmasi. Jangan lupa makan ikut jadual yang angah pesan."
"Susah-susah aje. Ubat abah ada lagi," balas Iman Shafie lalu mengambil plastik ubat yang diberikan oleh Fateh.
"Umi kata dah habis. Angah pun lupa nak ambilkan awal-awal."
"Memanglah ada lagi tapi dah tak banyak. Esok dah habislah," jelas Puan Fatimah sambil menghulurkan secawan teh kepada Iman Shafie.
"Tak menyusahkan pun. Ubat ni angah minta kawan hantarkan tadi."
"Abah tak kisah pun pasal ubat ni. Abah kisahkan kamu. Kata tak sihat?"
"Sudah menjadi tanggungjawab angah, abah. Tak perlulah dipersoalkan lagi."
"Haura. Betul ke angah dah sihat?" Soal Iman Shafie menginginkan kepastian.
Haura angguk. "Ya abah," balasnya. Dia terpaksa mengiyakan. Walaupun keadaan Fateh masih belum sihat sepenuhnya.
"Angah tak datang kalau tak sihat lagi, abah."
"Tak payahlah dirisaukan angah, abah. Kak ngah kan ada boleh jagakan," kata Fahim sambil tersenyum.
"Dah sihat. Alhamdulillah. Abah tak nak kesihatan angah terganggu sebab fikirkan ubat abah dah habis."
"Kesihatan abah pun penting bagi kami!" Tegas Fateh berbicara.
"Jarang kamu demam angah. Ada apa-apa ke?"
"Huh?" Fateh mengerutkan keningnya. "Maksud ibu?"
"Sejak angah cuti dari kerja tak pernah demam. Lepas kahwin tetiba aje. Manalah tahu demam bersebab. Demam nak dapat cucu."
Haura tersedak mendengarnya. Fateh segera menghulurkan tisu pada Haura. "Okey tak?"
Haura angguk. "Sayang masuk bilik dulu," ujar Haura lalu bangkit dari tempat duduknya.
"Hish umi ni cepat sangat fikir nak tambah cucu baru," sampuk Fahim sambil menikmati cempedak goreng. "Angah baru lagi kahwin. Honeymoon pun belum lagi."
Puan Fatimah mencubit pinggang Fahim. "Amboi pandai sangat pasal honeymoon. Dah gatal nak kahwin ke?"
"Sakitlah umi." Fahim menepis tangan ibunya.
Fateh senyum mendengarnya.
"Baru umi tahu kenapa along marah sangat dekat Fahim. Suka sangat menyampuk orang tua bercakap."
Fahim sengih. "Fahim pun dah besarlah. Usia bukan makin muda, makin tua kan? Fahim pun akan jadi tua lah nanti,"
"Hah tengok tu. Ada saja idea nak menjawab," marah Puan Fatimah lalu menepuk lengan Fahim.
"Anak umi kan. Perangai siapa?" Kata Iman Shafie sambil tersenyum sinis.
"Bukan anak umi perangai tak semegah begini," kata Puan Fatimah sambil menarik telinga Fahim.
"Argh! Sakitlah umi," kata Fahim sambil memegang telinganya yang sakit ditarik oleh ibunya.
"Lain kali janganlah menyampuk orang tua bercakap," ujar Fateh lalu menghabiskan minumannya.
"Umi cakap aje. Manalah tahu tahun depan boleh sambut ahli baru dalam keluarga kita," kata Puan Fatimah sambil tersenyum. Tidak sabar mahu menimang cucu lagi. Maklumlah anak-anak Farah sudah besar semuanya. Dia mula rindu akan tangisan bayi.
"Ada betulnya apa yang adik cakap tu, umi. Angah baru kahwin. Tak perlulah kita gaduhkan soal cucu lagi. Biarlah mereka belajar hidup berdua dahulu," celah Iman Shafie.
"InsyaAllah adalah tu rezeki nanti umi. Doakan aje," balas Fateh lalu meletakkan cawan di atas meja. "Angah minta diri dulu," katanya lalu bangkit dari tempat duduknya.
"Nak balik dah ke?"
"Tak. Malam ni kami tidur sini," ujar Fateh lalu melangkah meninggalkan ruang tamu. Langkah kakinya diatur menuju ke biliknya.
JAM menunjukkan angka lima petang. Syaza memberhentikan kereta ditepi pantai Batu Buruk. Tubuhnya disandarkan pada kerusi. Dia memicit kepalanya yang berasa pening. Kata-kata doktor yang memeriksa dirinya masih terngiang-ngiang di dalam telinganya. Dia seakan tidak percaya apa yang didengarinya ketika itu. Dia menyentuh perutnya.
"Tahniah. Awak mengandung."
Syaza mengukirkan senyuman pahit. Berita ini mungkin akan berasa bahagia seandainya dia sudah berkahwin.
"Dah berapa lama doktor?"
"Dari pemeriksaan saya, kandungan puan masih awal. Baru berusia enam minggu."
Syaza angguk.
"Saya sarankan Puan Syaza banyakkan berehat. Jangan stress. Tekanan darah puan agak tinggi tidak bagus untuk perkembangan baby."
"Okey doktor."
"Puan boleh buka buku rekod kehamilan secepatnya."
"Dekat sini boleh ke doktor?"
"Boleh. Nanti saya minta jururawat buatkan satu buku untuk puan."
"Terima kasih doktor."
Tuk! Tuk! Tuk!
Ketukan pada cermin tingkap kereta mengejutkan Syaza daripada lamunannya yang panjang. Dia menurunkan cermin tingkap keretanya.
"Ya dik?" Soalnya apabila melihat anak remaja yang berdiri di tepi keretanya.
"Akak nak beli tak? Satu paket sepuluh ringgit aje," katanya sambil menunjukkan buah mempelam bersama asam boi.
Syaza menelan air liur.
"Bagi akak dua."
"Okey," katanya lalu menghulurkan dua plastik buah kepada Syaza.
"Terima kasih. Baki adik simpan," kata Syaza sambil menghulurkan duit not RM50.
"Banyak ni akak."
"Tak apa. Akak ikhlas."
Aqilah senyum. "Terima kasih akak. Adik doakan semoga akak dimurahkan rezeki selalu."
"Amin," balas Syaza terharu mendengar doa Aqilah buatnya. Dia mengambil telefon bimbit, nombor Nazrul didail. Dia mengeluh kecil. Panggilannya tidak berjawab.
Syaza menyentuh perutnya. "Mama akan beritahu papa tentang sayang. Doakan mama agar papa sudi terima kita," katanya sambil mengusap perutnya. Satu nyawa sedang membesar di dalam rahimnya.
FATEH melangkah masuk ke dalam bilik. Kelihatan Haura sedang duduk ditepi jendela. Dia melabuhkan punggung di atas tilam. "Apa yang dilihat tu?"
"Saja ambil angin petang."
"Tutuplah pintu tingkap tu. Hari dah nak maghrib, banyak nyamuk masuk nanti," kata Fateh sambil memukul nyamuk yang mula mengigit lengannya.
"Okey," balas Haura lalu menutup pintu tingkap. Dia melemparkan senyuman pada Fateh.
"Ada apa?"
Haura melabuhkan punggung disebelah Fateh. "Permintaan sayang nak tukar sekolah dah diluluskan," katanya dengan ceria lalu memeluk lengan Fateh.
"Alhamdulillah."
"Bila abang start kerja balik?" Soal Haura lalu melentokkan kepalanya diatas bahu Fateh.
"Bulan depan."
"Sayang masuk kerja bila?"
"Esok. Tapi ingat nak extend lagi sehari. Abang kan demam."
"Eh tak payahlah. Abang dah sihat."
"Betul ke?" Soal Haura lalu menyentuh dahi Fateh. "Panas lagi sayang rasa. Memandai aje kata dah sihat!" Marahnya.
Fateh merangkul pinggang Haura. "Abang kan doktor. Tak perlulah sayang risaukan. Pandailah abang jaga diri abang sendiri."
"Tapi doktor pun perlukan orang lain untuk dirawat. Mana ada doktor bedah diri sendiri bila sakit," kata Haura dengan wajah mencuka.
"Ye lah sayang," kata Fateh lalu mengusap kepala Haura. "Esok abang hantar sayang pergi kerja."
"Abang kan tak sihat lagi. Biarlah sayang drive sendiri aje. Lagipun dah lama tak bawa kereta," kata Haura memikirkan kereta Myvi miliknya yang kini berada di rumah ibu bapanya.
"Biarlah abang hantar dan ambil sayang dari kerja sementara abang cuti lagi. Abang bila dah kerja nanti susah nak ambil cuti."
"Okey. Tapi abang tinggal sinilah. Risau sayang abang duduk rumah sorang-sorang."
"Jauhlah nak hantar sayang ke tempat kerja."
"Tak apa. Sementara nak pindah. Rumah kita pun tengah renovate lagi. Biar dah siap semua baru kita tinggal sana semula," jelas Haura mengingatkan Fateh tentang rumah mereka yang sedang diubahsuai.
"Okey sayang," balas Fateh lalu memeluk erat tubuh Haura. "Tadi umi cakap nak cucu dah ready ke? Malam ni abang on aje," usiknya.
Haura mencuit pinggang Fateh. "Gatal," katanya sambil membalas pelukan Fateh. "Sayang dah lama ready. Berkahwin bermakna sayang akan ada keluarga sendiri. Soal anak memang dah lama sayang impikan untuk memiliki cahaya mata sendiri."
Fateh senyum mendengarnya. Ubun-ubun Haura dicium. "Abang pun tak sabar nak tengok sayang gemuk."
Haura menjeling marah. "Abang!"
"Abang gurau ajelah," kata Fateh sambil tersenyum. Sejak menikahi Haura hatinya berasa sungguh bahagia. Terasa dirinya dihargai dan dihormati.
Terima kasih Ya Allah kerana hadirkan dia dalam hidupku. Semoga kebahagiaan yang dirasai ini akan kekal selamanya hingga ke akhir hayat kami, doa Fateh di dalam hati.