Eli menggayakan
gaun pengantin di hadapan cermin. Dia tersenyum sendiri ketika membayangkan
dirinya memakai gaun kembang berwarna putih mutiara itu. Bagi Eli, hanya dia
seorang yang layak memakainya. Gaun mahal itu akan kelihatan murah dan hodoh
jika tersarung di tubuh Melina. Dia mencebik bila memikirkan hal itu.
“Hoi! Kau buat apa
dengan baju pengantin aku tu?!” Melina muncul di pintu bilik dengan muka
menyinga. Dia cukup pantang kalau Eli menyentuh barang-barangnya.
Eli menoleh pada
kakaknya tanpa sebarang riak. Tanpa berkata apa-apa, dia meletak kasar gaun
pengantin itu di atas katil dan terus berlalu keluar dari bilik Melina. Tatkala
berselisih, sempat Melina menolak tubuh Eli.
“Tak guna betul
perempuan ni. Nanti tak pasal-pasal rosak baju aku!” Melina membebel sendiri.
Gaun pengantin tersebut diambil dan dibelek-belek setiap inci.
****
Eli masuk ke dalam biliknya
yang terletak di tingkat bawah selajur duduk di bangku yang terletak di tepi
tingkap. Biliknya kecil saja. Kalau orang gaji mereka tinggal serumah,
silap-silap dia terpaksa berkongsi bilik dengannya. Di tingkat atas ada sebuah
lagi bilik yang sepatutnya Eli boleh guna, tapi Melina berkeras mahu
menjadikannya perpustakaan mini. Bukannya Melina guna sangat bilik perpustakaan
itu, tapi dia sengaja mahu Eli tinggal di bilik bawah.
Ibu bapanya sentiasa
lebihkan Melina dalam semua perkara. Apa yang dia nak, mesti dapat. Tak boleh
tak dapat. Eli pula terpaksa mengalah dalam semua keadaan. Sejak kecil lagi dia
memendam rasa. Kalau luahkan pada ibunya pun, mesti kena marah dan dituduh
sengaja mengada-ngada. Entahlah, dia pun tak tahu kenapa dia dilayan begitu.
Sedangkan Melina cuma anak angkat, dia pula anak kandung mama dan papanya.
Dulu Melina dihantar
belajar ke sebuah universiti di London. Setiap bulan ayahnya masukkan duit
beribu-ribu untuk Melina. Tapi bila Eli dapat tawaran belajar ke Jepun, ibu
bapanya tak mengizinkan dengan alasan terlalu jauh sedangkan Eli masih tak
pandai jaga diri. Mengarut! Mereka tak sedar yang sejak kecil lagi Eli jaga diri
sendiri. Ibu bapanya jarang mengambil tahu perihal dirinya kerana terlalu
memberi perhatian terhadap Melina.
Tiba-tiba pintu
biliknya diketuk dengan kuat bertalu-talu. “Eli! Keluar sekarang! Kau ni memang
nak kena!”
Eli menjulingkan mata
ke atas. Entah apa lagi perempuan ni nak. Dengan langkah malas, dia menuju ke
pintu. Sebaik dibuka, Melina terus membaling gaun pengantin tadi ke mukanya.
Mutiara-mutiara dan labuci-labuci yang sarat melekat pada gaun itu menyakitkan
muka Eli.
“Tengok apa kau buat
kat gaun aku! Habis kotor! Kau memang sengaja nak rosakkan gaun aku, kan!”
Bagai petir suara Melina menengking Eli.
“Apa yang kotornya?
Aku pegang aje tadi.” Eli cuba membela dirinya. Gaun diambil dan dia
membeleknya.
Pantas Melina
merampas gaun itu. “Ini, bukan kotor ni?” Melina tunjuk pada tompokan berwarna
coklat pada dada gaun. Ia kelihatan seperti disimbah air Milo.
“Apa benda yang kau
lap kat sini? Tak guna!”
Kerana marah melihat
Eli hanya bersikap bersahaja, Melina terus menyerang Eli. Namun Eli tidak hanya
mendiamkan diri kerana dia turut melawan. Sedas dua penampar mengenai muka
Melina.
Ayah mereka yang
terdengar bunyi bising terus mendapatkan mereka. “Sudah! Berhenti kamu berdua!”
Si ayah menengking sambil menarik Melina jauh dari Eli.
“Masing-masing dah besar
tapi bergaduh macam budak-budak!”
“Eli yang cari pasal
dulu. Papa tengoklah gaun Mel ni. Dia sengaja kotorkan.” Adu Melina sambil
menunjukkan kesan kotoran pada gaunnya.
“Eli.” Hassan menoleh
pada Eli yang menangis teresak-esak.
“Menangis konon! Saja
nak suruh papa kesianlah tu.” Melina menempelak.
“Kenapa Eli buat
macam ni? Majlis kakak Eli tinggal sebulan aje lagi. Kalau dah kotor macam ni,
kakak nak pakai apa?” Hassan terus memarahi anaknya tanpa memberi peluang untuk
Eli menjelaskan diri.
“Eli tak buat!”
“Jangan nak tipulah!
Kau yang ambil gaun ni dalam bilik aku tadi. Kalau bukan kau yang kotorkan,
siapa lagi?” Melina terus menuduh.
“Papa tak sangka
sampai macam ni sekali perangai Eli. Sanggup khianat kakak sendiri! Tak boleh
ke Eli hormat kakak Eli?”
“Dia bukan kakak Eli!
Kenapa mama dengan papa selalu sebelahkan anak pungut ni dari anak sendiri?!
Eli ni anak kandung papa, bukan dia! Dari dulu lagi...”
Tak sempat Eli
menghabiskan kata-katanya, Melina terlebih dulu memukul Eli. Ditarik rambut
gadis itu sekuat hati. “Siapa anak pungut, hah? Aku anak mama dengan papa! Mama
dengan papa sayangkan aku lebih dari kau!”
Tak cukup dengan
penangan Melina, Hassan pula menarik lengan Eli dan menampar pipi gadis itu.
“Eli jangan berani
panggil Melina macam tu lagi!”
Eli hanya memandang
ayahnya dengan rasa sakit hati yang teramat. Dengan rasa sebal, Eli masuk ke
dalam biliknya. Pintu dihempas sekuat hati bagi menzahirkan rasa hatinya.
“Papa, macam mana
ni?” Melina merengek sambil menunjukkan gaun di tangannya.
Hassan menggaru
kepalanya. Pening dengan kerenah dua anak daranya itu.
“Mel nak tempah gaun
lain petang ni. Gaun ni bukan boleh pakai dah.”
“Sempat ke? Kan sebulan
aje lagi?” Soal Hassan dengan nada lembut.
“Alaa, tak kiralah!
Petang ni juga Mel nak pergi butik.”
“Yelah, yelah. Mel
ajak mama, ya.” Hassan memujuk anaknya.
Eli tersandar di
pintu bilik sambil menangis teresak-esak. Dia mengepal tangannya apabila
mendengar rengekan Melina di luar biliknya. Benci sungguh dia dengan perangai
Melina yang mengada-ngada dan pandai berlakon. Dadanya yang terasa sakit kerana
menahan rasa yang bercampur-baur ditumbuk-tumbuk perlahan.
Tak guna! Kenapa mama
dan papa selalu lebihkan anak pungut tu? Cuma sebab aku lambat datang ke dalam
keluarga ni, aku dilayan macam orang luar! Semua orang tak guna! Lebih baik
mati aje!
****
Melina berbaring di
atas katil sambil tersenyum. Hatinya puas! Dia dapat mengenakan Eli, papa
sebelahkannya seperti selalu, dan yang paling penting dia boleh dapatkan gaun
yang lebih cantik dan lebih mewah daripada yang sedia ada.
Memang gaun pengantin
putih mutiara itu pilihannya. Pada mulanya dia amat berpuas hati dengan rekaan
itu. Tambahan pula dengan harganya yang mahal. Dia ingat lagi reaksi cemburu
Eli ketika mendapat tahu harga gaun itu yang mencecah puluhan ribu.
Tapi sekarang dia
mahukan yang lain. Yang lebih cantik dan lebih mewah. Gaun pengantin kembang
dan meleret yang dia tengok di butik mewah tempoh hari betul-betul membuatkan
dia gila. Dia mahukan yang itu. Maka, dia sengaja mengotorkan gaun pengantinnya
sendiri. Eli yang dibencinya pula dituduh menjadi punca dia ‘terpaksa’ menukar
gaun pengantinnya.
****
“Hoi, perempuan!”
Melina menyergah Eli yang sedang duduk di tepi kolam ikan. Dia ketawa, seronok
melihat muka cemberut gadis itu.
Melina berdiri di
sebelah Eli. Sambil itu matanya melihat ikan-ikan yang berenang bebas di dalam
kolam.
“Kau sedih ke?” Soal
Melina.
Apabila Eli hanya
mendiamkan diri, Melina menyoal lagi. “Kau sedih ke papa dengan mama tak
sayangkan kau? Kesiannya. Kalau akulah, dah lama aku keluar dari rumah ni. Baik
duduk tempat lain daripada menyemak mata mama dan papa.” Ujar Melina. Sengaja
dia mahu menyakitkan hati Eli.
Muka Eli merah kerana
menahan marah. Dia mengetap gigi. Makanan ikan di dalam genggamannya dikepal
kemas.
“Hoi, perempuan. Kau
dah bisu ke? Ke dah pekak?” Melina menunjal kepala Eli. Dia bertambah seronok
kerana Eli langsung tidak melawan.
“Dasar anak pungut.”
Eli bersuara mendatar.
“Kau cakap apa?”
“Aku nak bunuh kau.”
“Kau dah gila ke,
cakap sorang-sorang?” Melina menolak kepala Eli hingga gadis itu hampir tersungkur
ke depan.
Tiba-tiba Eli bangun
dan menyumbat makanan ikan ke dalam mulut Melina. Sejurus itu, dia menolak
Melina ke dalam kolam yang dalamnya hanya separas lutut saja. Melina yang jatuh
terlentang di dalam air cuba bangun dengan kaki yang goyah. Makanan ikan yang
memenuhi mulutnya diluahkan. Seluar dan bajunya habis basah.
“Aku cakap aku nak
bunuh kau.” Ulangnya lagi. Pandangan mata dan senyuman Eli kelihatan kejam.
Sejurus, Eli berlalu
dari situ. Dia mahu menghabiskan petangnya di taman permainan yang berdekatan
dengan rumahnya. Melina pula hanya melihat dengan rasa terkejut. Tak sangka
gadis itu mampu bertindak begitu. Yang lebih mengejutkan, Eli berani
mengugutnya!
****
Azyan yang sejak tadi
menunggu kepulangan Eli kelihatan masam mencuka. Geram dengan anaknya yang
berani mencederakan Melina malah mengugut untuk membunuhnya.
Dia amat terkejut
apabila Melina masuk ke dalam rumah dalam keadaan basah lencun sambil menangis.
Katanya Eli telah menolaknya ke dalam kolam dan membenam kepalanya ke dalam air
hingga dia hampir lemas. Berulang kali dia merayu dilepaskan, namun Eli
langsung tak mengendahkannya.
Azyan melihat pada
jam dinding untuk sekian kalinya. Sudah 7.15 petang, langit pun dah hampir
gelap. Tapi bayang Eli masih tak kelihatan.
“Geram aku dengan
budak ni! Mana dia pergi?” Azyan mendengus. Cerita tokok-tambah Melina bagai
terngiang-ngiang di telinganya.
“Dia takutlah tu.
Entah-entah dah menyorok!” Sengaja Melina mahu menambah rasa marah ibunya.
Azyan melihat pada
Melina yang duduk di sofa hadapannya. Tadi anaknya itu sudahpun membersihkan
diri dan menukar baju.
Dia baru mahu membuka
mulut apabila telefon bimbitnya berbunyi. Sebaik dijawab, matanya terbuntang
menzahirkan rasa terkejut.
“Panggil papa. Eli
ada di hospital.” Beritahu Azyan sebaik panggilan dimatikan.
****
Azyan dan Hassan
segera mendapatkan Eli yang terbaring lesu. Kepalanya bertampal kain kasa, tepi
bibirnya luka manakala tangan kanannya berbalut. Melina pula berjalan
lambat-lambat dengan wajah bosan.
“Kenapa ni? Siapa
buat Eli macam ni?” Azyan menyoal dengan rasa cemas.
Eli hanya diam.
Matanya bergenang. Namun sebaik terpandang Melina yang berdiri di hujung katil,
dia terus meraung.
“Jangan pukul Eli!
Tolong kak, jangan pukul Eli! Eli janji akan keluar dari rumah tu!”
Hassan dan Azyan panik
melihat keadaan Eli yang seperti diserang histeria. Beberapa jururawat yang
berada di situ terus mendekat, cuba untuk menenangkan Eli.
Eli memeluk Azyan
dengan kemas dan meminta ibunya menyuruh Melina pergi dari situ. Berulang kali
dia merayu sambil menangis teresak-esak.
Hassan mula syak.
“Mel buat apa pada Eli?” soalnya.
Melina yang terkejut
dengan soalan ayahnya terus menggelengkan kepala. “Mel tak buat apa-apa pun.
Dia saja nak tuduh Mel!”
“Eli, cuba beritahu
mama siapa yang buat. Mel ke?” Azyan cuba memujuk.
Eli memandang Melina
sekilas. Tingkah lakunya jelas nampak ketakutan. Soalan ibunya dibiarkan tak
berjawab.
Namun Melina yang
marah dengan soalan berupa tuduhan itu terus menengking Eli. “Kau jangan nak
berlakonlah! Bila masa aku belasah kau?!”
“Mel.” Hassan menegur
keras.
“Akak pukul Eli
teruk-teruk masa kat tepi kolam. Akak cakap nak bunuh Eli. Eli terus lari dari
situ sebab takut. Lepas tu Eli dah tak ingat apa-apa. Sedar-sedar aje, Eli ada
kat sini.” Cerita Eli dengan suara tersekat-sekat.
Mendengarkan tuduhan
itu, Melina naik marah dan cuba menyerang Eli. Namun pantas Hassan menghalang
dan menampar Melina. “Jangan berani sentuh anak aku!”
Azyan bangkit dan turut
memukul Melina sambil memaki hamun. “Budak tak guna! Berani kau buat anak aku macam
tu! Kau nak bunuh anak aku ke, hah?! Menyesal aku ambil kau dulu. Anak pungut
tak kenang budi!”
Pesakit-pesakit yang
berada di situ sudah tak dihiraukan. Sekali lagi jururawat yang berada di situ
terpaksa menenangkan keadaan.
****
Melina berkurung di dalam
bilik dengan hati yang sebal. Habis barang-barang berselerakan di atas lantai
akibat dibaling ketika dia mengamuk sebentar tadi. Seumur hidupnya, itulah kali
pertama dia ditampar dan dipukul oleh ibu bapanya. Malah ibunya juga tergamak
mengatakan mahu mengusirnya dari rumah itu.
‘Anak pungut tak
kenang budi!’ Kata-kata Azyan masih terngiang-ngiang di telinga. Dia menggenggam
kemas comforternya dengan rasa marah.
Telefon bimbitnya
berbunyi. Nombor yang tak dikenali terpapar di skrin.
“Kau ingat kau pandai
sangat? Aku akan buat kau menyesal sebab hidup dalam keluarga aku.” Suara Eli
berkumandang sebaik Melina menjawab panggilan.
“Tak guna!! Berani
kau reka cerita depan papa dan mama! Aku akan pastikan yang kau tak wujud lagi
lepas ni!” Melina menengking.
Eli hanya ketawa.
Namun suara ketawanya membuatkan Melina kecut perut. Eli seperti sudah berubah
watak. “Yang itu aku belajar dari kau. Kita tengok ajelah siapa yang tak wujud.”
Cepat-cepat Melina
menekan butang merah. Dadanya turun naik menahan marah. Namun ancaman Eli
sedikit sebanyak membuatnya berasa takut.
Di hospital, Eli tersenyum
puas. Gagang telefon diletak. Sejurus, dia kembali semula ke wadnya. Sebentar
tadi ibu bapanya meminta agar dia ditempatkan ke wad kelas pertama. Maka tak
perlulah dia berkongsi wad dengan pesakit-pesakit lain.
Ibunya ada
memberitahunya tentang cerita Melina yang ditolak ke dalam kolam. Ibunya sangat
marah apabila menyedari Melina telah menipunya untuk menutup perbuatannya
terhadap Eli. Eli menyembunyikan senyuman.
Memang Eli tolak dia,
mama. Tapi macam selalu, dia menambah-nambah cerita sebab nak buat Eli nampak
jahat.
Dia fikir dia hebat?
Aku dah agak yang dia akan buat macam tu supaya aku teruk dimarahi. Tapi aku
berada dua langkah di depannya. Mulai sekarang, mama dengan papa akan
sebelahkan aku pula.
Eli memandang
tangannya yang berbalut. Cedera akibat dihentak dengan batang besi. Kepalanya
pula sengaja dihantuk ke dinding pagar rumahnya. Luka di bibirnya pula? Dia
sendiri tumbuk dengan sekuat hati.
Tanpa disedari, rasa
marah yang dipendam sejak kecil perlahan-lahan telah mengubah dirinya menjadi seorang
yang sadis.
****
“Mama, papa, Mel nak
keluar dengan Shahril. Kami nak tengok rumah baru kami.” Melina memberitahu ibu
bapanya yang sedang bersantai sambil minum petang di gazebo. Hassan sekadar
mengangguk tanpa memandangnya, manakala Azyan buat tak tahu seolah-olah dia tak
wujud di situ.
Melina menghempaskan
keluhan melihat layanan mereka. Sejak peristiwa minggu lepas, mereka berdua
tidak lagi melayannya seperti dulu. Hal itu menambahkan dendamnya pada Eli.
Tapi buat masa sekarang dia akan mendiamkan diri dulu. Lepas keadaan sejuk
kembali, dia akan kenakan gadis itu teruk-teruk.
Melina dan Shahril
melihat-lihat ruang tamu yang sudah lengkap dengan perabot. Rumah berkembar dua
tingkat itu hanya menunggu masa untuk didiami. Walaupun rumah itu tak sebesar
rumah ibu bapanya, Melina sudah berpuas hati. Dari ruang tamu, Melina beralih
ke dapur dan seterusnya ke setiap bilik tidur di tingkat atas.
Hatinya melonjak
riang. Untuk seketika, dia terlupa mengenai ibu bapanya yang sudah berubah
kasih. Dia ada Shahril, bakal suaminya yang akan membahagiakannya. Tetapi itu
masih belum cukup baginya. Dia tidak akan benarkan Eli merampas kasih sayang
dan perhatian ibu bapanya.
“Sayang, abang nak
guna bilik air kejap. Sayang tengok-tengoklah rumah ni.” Beritahu Shahril
ketika mereka berada di balkoni. Melina hanya mengangguk dan mengalihkan
pandangan kembali ke tasik yang terbentang.
****
Sudah hampir setengah
jam menunggu, tapi Shahril masih tak muncul. Akhirnya Melina meninggalkan
balkoni dan menuju ke bilik utama untuk mencari Shahril.
Sebaik pintu terbuka,
dia tergamam. Kelihatan Shahril terlentang di atas katil dalam keadaan kaki dan
tangannya terikat. Mulutnya pula disumbat kain. Melina menjerit nama tunangnya
dan segera menerpa untuk membantu melepaskan Shahril.
Shahril menggelengkan
kepala dan menjerit dengan suara yang tersangkut oleh gumpalan kain. Menyedari
maksud Shahril, Melina terus berkalih ke belakang. Ketika itulah Eli yang
muncul entah dari mana terus menumbuk muka Melina hingga menyebabkannya
tersungkur. Kemudian Eli menjerut leher Melina dengan sehelai tuala.
Melina meronta-ronta
cuba melepaskan diri. Nafasnya makin sesak. Eli mengheret Melina menjauhi
katil. Kemudian jerutan pada lehernya dilepaskan. Melina tercungap-cungap mencari
nafas sambil berundur ke belakang. Dia mahu menjauhi Eli.
“Perempuan gila! Apa
yang kau nak?!” Dalam keadaan lemah, Melina masih mampu memaki hamun Eli. Air
matanya sudah berjejeran membasahi pipi. Kehadiran Eli di situ amat
mengejutkan, apatah lagi dengan berpakaian gaun pengantin yang Melina kotorkan
tempoh hari.
Eli hanya tersenyum
melihat Melina yang duduk tersandar di dinding. Dia duduk mencangkung di
hadapan Melina. Sejenak, dia menoleh ke belakang memandang Shahril yang masih
terikat.
“Aku nak ambil balik
semua hak aku yang kau dah rampas. Aku dah dapat mama dan papa, sekarang aku
nak ambil yang selebihnya.” Ujar Eli.
“Aku tahu kau sengaja
menggoda Shahril lepas kau dapat tahu aku sukakan dia. Memang dasar anak
pungut! Semua yang aku nak, kau rampas! Dia sepatutnya jadi milik aku, bukan
kau!” Mata Eli mencerlung memandang Melina.
Eli mencapai pisau
memotong sayur di atas meja solek yang tadinya digunakan untuk menakutkan
Shahril. Sejurus dilayang-layangkan di depan Melina. Melina semakin takut
melihat tingkah laku Eli yang tak ubah seperti orang tak siuman.
Eli mencekak leher
Melina manakala pisau di tangan kanannya ditekan ke pipi wanita itu. Rayuan
Melina yang meminta agar dilepaskan langsung tak dihiraukan. Malah dia makin
seronok melihat Melina merayu-rayu padanya.
“Kau nak aku lepaskan
kau?” Eli menyoal. Melina mengangguk laju.
“Dengan syarat. Kau
kena tikam dada Shahril dengan pisau ni.”
Melina menangis lagi.
“Aku taknak bunuh dia. Tolong jangan apa-apakan dia.”
“Kau nak buat ke
taknak?”
Melina menggeleng.
“Okey. Tapi cuma
salah seorang dari kau berdua yang boleh hidup. Sama ada kau, atau dia. Sama
ada dia, atau kau. Cuba fikir, kalau kau mati, dia akan teruskan hidup dia
dengan perempuan lain. Sekelip mata aje dia akan lupakan kau. Tapi kalau kau
bunuh dia, aku janji akan lepaskan kau.”
Melina menahan tangis
hingga badannya tersengguk-sengguk. “Aku akan laporkan pada polis.” Melina
mengugut.
“Kalau macam tu, kau
pun akan kena juga sebab kau yang bunuh dia.”
Melina terdiam. Hanya
esak tangisnya yang kedengaran.
“Kau sanggup mati
demi dia? Okey.” Eli menjalarkan mata pisau ke leher Melina. Ditekan mata pisau
berulang kali ke leher wanita itu.
“Jangan bunuh aku, please.” Melina merayu nyawa. “Aku buat,
aku buat.”
“Good girl.”
Eli tersenyum dan terus menghulurkan pisau yang dipegang.
Tatkala Melina
mengambil pisau itu, sempat Eli mengancam. “Jangan berani melawan cakap aku.
Kalau tak, dua-dua aku bunuh. Faham?”
Melina
terangguk-angguk.
Perlahan-lahan Melina
melangkah ke arah Shahril. Melihatkan pisau di tangan wanita itu, Shahril
meronta-ronta minta dilepaskan. Dia menggeleng-gelengkan kepala meminta Melina
tidak melakukannya.
Melina teragak-agak.
Dalam kepalanya, dia membayangkan untuk menikam Eli dengan pisau itu dan
seterusnya menyelamatkan dirinya dan Shahril. Melina menoleh ke arah Eli. Eli
pantas mengangkat kening sambil menayangkan sepucuk pistol di tangannya. Sengaja
dia membawa pistol itu untuk digunakan kalau-kalau rancangannya tak menjadi.
Kerana takut mati,
Melina menoleh semula ke arah Shahril. Pisau diangkat tinggi. Sempat lagi
Melina meminta maaf sebelum membenamkan mata pisau ke dada Shahril dengan
sekuat hati. Sejurus dia mencabut semula pisau itu hingga darah memercik ke
mukanya. Liang luka di dada lelaki itu membuakkan darah.
Melina meraung
tatkala melihat Shahril bernafas tersekat-sekat. Pisau dalam genggaman
dibiarkan jatuh ke lantai. Berulang kali dia meminta maaf atas tindakannya itu.
Tak lama selepas itu, Shahril kaku tak bernyawa.
Melina terduduk di
sisi katil. Tak sangka dia terpaksa mengambil nyawa tunangnya demi keselamatan
nyawanya sendiri.
“Dah puas menangis?”
Eli menyoal.
Melina pantas bangkit
mahu menyerang Eli. Namun pistol di tangan gadis itu membantutkan niatnya. “Kau
binatang!” Melina menjerit.
“Kau yang jadikan aku
binatang. Dari kecil kau seksa aku. Kau buat mama dan papa bencikan aku. Kau
rampas semua benda dalam hidup aku. Sekarang, kau rasalah akibatnya.”
Eli menunjukkan pada
sebotol air mineral di atas meja solek. “Minumlah. Mesti kau dahaga. Lepas tu
pergi bersihkan badan kau.”
Apabila Melina hanya
diam, Eli mengangkat laras pistol. “Jangan ingkar cakap aku.”
Cepat-cepat Melina
mencapai botol air mineral tersebut. Dua tiga teguk, dia meletakkan semula di
atas meja solek. Namun dia tersentak kerana tekaknya berasa panas tiba-tiba.
Dia terbatuk-batuk keras hingga darah bersemburan memercik ke atas lantai.
Akibat kesakitan yang tak tertanggung, Melina rebah terbaring di atas lantai.
Nafasnya semakin lemah.
Eli tersenyum puas
melihat Melina mengerekot di atas lantai. Nafas wanita itu sudah terhenti. Setelah
pasti bahawa mereka berdua sudah tidak bernyawa, Eli meninggalkan tempat itu.
Sebelum itu dia menyelitkan pistol mainannya ke tali pemegang pistol yang
dililit di paha.