Daftar   |      Log Masuk   |   Terlupa password
Home Cerpen Seram/Misteri ANTOLOGI JIWA KACAU : SOULMATE
ANTOLOGI JIWA KACAU : SOULMATE
Syafeza Sauli
23/4/2013 21:25:52
3,622
Kategori: Cerpen
Genre: Seram/Misteri
Beli Sekarang

     Dia menyisir-nyisir rambutnya. Melihat ke dalam cermin sambil tersenyum. Memerhatikan refleksi dirinya yang terpapar, kalau-kalau masih ada yang perlu diperkemaskan. Rambutnya yang sedikit ikal mayang paras pinggang diuraikan lagi. Kemudian, dibelai-belai lembut.

     “Tak payah bercermin, awak dah cantiklah.” Satu suara lelaki menegurnya dari belakang. Mengelus-ngelus rambutnya perlahan kemudian. Senyumannya yang baru sahaja menguntum tiba-tiba sahaja mati. Dia mendengus. Menepis tangan yang cuba membelainya. Meletakkan kembali sikat dan mula menapak pergi. Langsung tidak menoleh pada suara berkenaan.

     “Siapa saya pada awak?” Soal lelaki itu. Kecewa dengan tindakannya yang seolah-olah melarikan diri dari kehadirannya. Lantas, lelaki itu menghampirinya dari belakang. Melingkarkan lengan kanannya pada badan wanita berkenaan. Mengekspresikan rasa cinta yang tidak bertepi. Cinta yang paling dalam, sedalam-dalamnya. Kali ini, perempuan itu memejamkan matanya. Rapat. Seakan ada satu rasa yang dipendamnya ketika itu.

     “Tolong berhenti ganggu saya! Tolonglah pergi dari hidup saya..” Lirih benar suaranya merayu. Hampir-hampir dia menangis mengungkapkan kenyataan berkenaan. Lelaki tersebut melonggarkan pelukannya. Terasa pedih menerima ucapan tersebut.

     “Tapi kenapa? Apa salah saya? Apa kurang saya?” Bentak lelaki berkenaan. Perempuan itu mengecilkan anak matanya. Memandang lelaki tersebut seketika, kemudian berlalu pergi.

     “Cuma, jangan ganggu kehidupan saya! Pergi dari hidup saya! Saya berhak untuk ada kehidupan macam orang lain. Saya berhak!” Teriak wanita itu sebelum daun pintu dibanting kuat.

***

     Gadis itu bersendirian lagi. Memeluk lututnya sambil menangis. Apakah ada sesuatu yang mencalar jiwanya lagi? Apakah ada sesuatu yang menyakitinya lagi? Kalau benar, tindakan siapa? Tidak lama kali ini, dia mencapai bantal di sisinya. Ditekup wajahnya dengan menggunakan bantal berkenaan. Teresak-esak dia menangis. Ada butir-butir perkataan yang tidak jelas diucapkannya. Seakan-akan mengadu, tetapi tidak pasti pada siapa. Lelaki itu hanya memandang dari jauh. Kalau gadis itu memanggilnya untuk mengadu, dia akan sentiasa hadir. Kalau gadis itu memerlukan dia, dia akan setia di sana, dia tidak akan pernah menjauh. Tapi, kenapa? Kenapa wanita itu tidak pernah memerlukannya? Walaupun pada saat-saat yang paling rapuh? Bukankah dia akan sentiasa melindungi, menyayangi dan mencintai sepenuh hati? Itu janji setianya. Itu janji setianya!

     “Ya Rabb, aku pohon kekuatan dari-Mu. Aku pohon rahmat-Mu dan kasih-Mu. Ampunilah segala dosa-dosaku andai aku menyakiti dan ampunilah segalah dosa-dosa mereka yang menyakitiku kerana mereka tidak tahu bahawa mereka telah amat-amat menyakitiku. Ya Allah, terlau sakit jiwaku ketika ini. Alangkah terseksanya perasaan ini, Ya Rahman.”

     Lelaki itu tersenyum, dia suka akan gadis itu. Gadis itu terlalu kuat pada pandangannya. Lihat! Pada saat-saat yang begini pun wanita itu masih lagi mampu untuk kembali pada Tuhannya. Dan itu, satu tarikan yang menjadikan wanita di hadapannya kini berbeza dari wanita-wanita lain. Dia percaya, andai dia berjaya memiliki cinta gadis berkenaan, dia akan menerima cinta yang sebenar-benar cinta. Sebagaimana cintanya wanita berkenaan pada Tuhannya dan sebagaimana teguhnya kesetiaan wanita berkenaan. Dia memerhatikan sahaja wanita berkenaan yang kemudiannya berdiri dalam keadaan terloleng-oleng. Barangkali pening akibat terlalu lama menangis. Wanita itu mengambil wudhuk. Menganjurkan solat sunat 2 rakaat dan melakukan sujud syukur. Melakukan sujud syukur tatkala diri tertimpa musibah? Itu yang istimewa tentang gadis itu. Itu yang menjadikan cintanya makin lama makin menggebu.

     “Ceritakan sahaja pada saya, kalau awak mahu. Saya tahu awak terseksa dengan apa yang berlaku.” Sebaik sahaja gadis tersebut selesai berdoa, dia akhirnya bersuara. Menghampiri gadis tersebut agar dapat bertentangan dengannya. Kemudian, memegang dagu berkenaan sebelum perlakuannya dibalas dengan protes dan dengusan kasar.

     “Tidak! Tidak akan sesekali. Saya sudah ada Allah untuk apa yang berlaku.. Saya tak perlukan awak dan tidak akan pernah perlukan awak pun.” Sombong sekali gadis itu menolaknya. Melipat-lipat telekung sembahyang dan segera beredar. Lelaki itu senyum. Lambat-laun, dia cukup pasti bahawa gadis tersebut akan tetap menerimanya jua.

***

     Mungkin benar sekali kata orang, langit redup bukan menandakan hujan akan turun menitiskan tangis untuk selama-lamanya. Bahkan, tanpa diduga, lebatnya hujan berupaya mengundang segaris pelangi untuk muncul sambil menata wajah gembira. Sejak kebelakangan, lelaki itu sudah jarang melihat wanita itu bersendirian malah sudah jarang sekali melihat dia menangis. Wajahnya hanya dihiasi tawa. babak bahagia mula menyulam indah dalam tiap sisi hidupnya. Tapi, lelaki itu tahu takdir untuk wanita berkenaan, dia tahu yang wanita itu akan bersedih lagi. Sebab, dia tahu wanita yang kuat dan sabar akan sentiasa diuji.

     “Awak dah lupakan saya..” Keluh lelaki tersebut. Wanita itu hanya diam. Enggan mengulas. Berpura-pura tidak mendengar. Berlakon seolah-olah dia tidak wujud. Wanita itu hanya mengemas-ngemas mejanya tanpa mempedulikannya, seakan-akan dia tidak pernah wujud. Seakan-akan dia tidak pernah mengisi kehidupan wanita berkenaan. Dia mendekati wanita itu. Merentap pergelangan tangannya.

     “Kenapa awak masih percayakan mereka, belum cukupkah awak berasa kecewa disebabkan mereka?” Gumamnya.

     “Ke tepi! Kenapa ganggu hidup saya lagi? Semua kesakitan saya, kesedihan saya, sebab awak! Sebab awak! Kenapa ganggu hidup saya? Saya merayu, lepaskan saya. Biar saya hidup bahagia. Benarkan saya bahagia…” Gadis itu menolaknya kasar. Kemudian, terduduk dan memeluk lututnya. Lelaki itu mendengus lagi.

     “Awak terlalu sombong. Mereka tu akan terus menyakiti awak. Awak faham tak? Kenapa terlalu susah untuk awak faham, kenapa terlalu susah untuk awak dengar? Mereka tu tak ikhlas dengan awak. Mereka akn membenci awak juga, kenapa terlalu susah untuk awak faham?”

     “Saya faham.. Dan semua ni sebab awak! Sebab awak!” Gadis itu memukul-mukul dada lelaki berkenaan. Kemudian, menyembamkan wajahnya pada katil dan menangis-nangis. Alangkah terseksanya! Lelaki itu tahu tentang sejarah hidup wanita berkenaan, terpaksa menghadapi kehilangan demi kehilangan setiap insan yang dikasihinya, dikhianati oleh insan yang paling dipercayainya, dan ditinggalkan ada saat-saat yang paling rapuh. Cuma, dia tidak faham mengapa wanita tersebut enggan mempercayainya? Enggan menerimanya? Padahal cintanya suci, cintanya benar-benar tulus dan ikhlas. Cintanya nyata melebihi cinta insan-insan yang lain. Tapi, kenapa? Kenapa wanita ini hanya tahu memberikan kasih sayang pada insan lain yang sememangnya tidak mempedulikannya? Jauh di dalam, dia berasa sakit. Sakit melihat kesakitan yangditanggung oleh wanita berkenaan. Meski wanita itu tidak pernah menerimanya sebagai sebahagian dari hidupnya.

     “Awak dah menyakiti semua insan yang saya sayangi..” Ujar wanita tersebut tiba-tiba. Menjeling tajam ke arah lelaki berkenaan.

     “Saya menyakiti mereka kerana mereka menyakiti awak. Bukankah saya sudah bersumpah, yang saya akan sentiasa menjadi pelindung untuk awak? Saya tak akan benarkan sesiapa pun meyakiti awak. Saya tak nak mereka melukakan awak lagi..”

     “Awak siapa untuk menentukan siapa yang salah? Kenapa awak menyakiti mereka? Kenapa? Kenapa?” Wanita tersebut kelihatan cukup kecewa dengan lelaki berkenaan. Lelaki tersebut tidak menjawab walau sepatah. Biarkan sahaja mereka! Mereka tidak berhak membuat orang yang paling dicintainya menangis! Lantaran itu, dia bersumpah, sesiapa sahaja yang menyakiti gadis berkenaan akan mendapat balasan yang sama. Kesakitan yang sama, atau mungkin sahaja lebih teruk lagi daripada apa yang terpaksa gadis tersebut rasakan.

     Tapi, dia tidak mengerti tentang manusia yang satu itu. Dia tidak mengerti mengapa mesti wanita tersebut menghalangnya. Mengapa mesti wanita itu tetap menyalahkan dirinya untuk apa yang menimpa orang lain? Mengapa mesti wanita itu menyakiti dirinya sendiri? Dia tahu, senyuman di bibir gadis itu kembali terukir tatkala mula berkenalan dengan seseorang. Jejaka yang begitu mudah melafazkan janji setia. Tapi, setia jejaka itu takkan mungkin sama dengan setianya. Malah, terlalu jauh sekali bezanya, ibarat langit dan bumi. Bukankah sumpah manusia itu terlalu mudah terlafaz, dan terlalu mudah jua terlerai?

     Perkenalan singkat gadis berkenaan dengan jejaka lain itu ternyata membawa impak yang sangat besar untuknya. Dia tahu, wanita itu sudah mula mempercayai lelaki berkenaan. Dia tahu, wanita itu sudah mula menyayangi bahkan mencintai lelaki berkenaan. Wanita tersebut mula mempertaruhkan seluruh hati dan cintanya pada insan itu. Dia nampak dan sentiasa perhatikan perubahan tingkah laku wanita berkenaan. Ya.. wanita itu sudah mula berubah.

     “Dia akan mengecewakan awak. Percayalah!” Bisiknya pada satu malam. Wanita itu sedikit marah. Tidak senang menerima pengucapannya barangkali.

     “Tak bolehkah awak berhenti mengganggu hidup saya? Biarkan saya nikmati kebahagiaan ini untuk sesaat..”

     “Awak akan terseksa tanpa saya. Awak tak kuat tanpa saya. Saya kekuatan awak. Saya pelindung awak. Hidup awak, hidup saya juga. Saya adalah diri awak. Jiwa kita bersatu.” Ucap lelaki berkenaan. Menyedarkan wanita itu tentang satu hakikat. Hakikat yang cuba untuk dia nafikan selama ini.

     “Siapa cakap? Bahkan, saya akan lebih bahagia tanpa awak!” Muktamad. Gadis itu benar-benar yakin akan ucapannya. Lelaki itu terdiam. Dia tidak tahu untuk terus terasa atau makan hati dengan sikap gadis berkenaan. Ah, bukankah dia sudah maklum akan reaksi wanita berkenaan? Dia perlahan-lahan cuba menjauh dari hidup gadis berkenaan. Mungkin dengan cara itu gadis itu akan sedar tentang kehilangannya. Tetapi,untuk melepaskan gadis tersebut, tidak mungkin! Tidak mungkin sama sekali! Sumpah setianya hanya satu. Tidak akan menjadi dua atau tiga.

     “Lepaskan sahaja saya..” Ujar wanita tersebut, akhirnya. Lelaki itu menghela nafas.

     “Tidak akan pernah walau sekali.” Jawabnya kemudian.

     Biarkan sahaja gadis itu menyulam cinta dengan insan bergelar manusia, manusia yang tidak pernah bosan menyakiti. Manusia yang tidak pernah lelah membohongi dan mengkhianati. Manusia yang sentiasa mengecewakan! Penuh dengan kepalsuan semata-mata. Dan dia, dia hanya akan menjadi pemerhati. Apabila cinta itu mulai rapuh kelak, dia tahu apa yang akan berlaku. Dan dia tahu, lambat-laun wanita itu akan kecewa juga. Kerana itu, dia tidak akan pernah meninggalkannya.

***

     “Kenapa terlalu gembira? “ Soalnya apabila gadis itu menyanyi-nyanyi riang. Meletakkan beg kuliah dan buku-buku ke atas meja dan menggeliat kecil sebaik sahaja pulang dari kelas pada petang itu. Gadis itu memandangnya. Tersenyum.

     “Dia akan menikahi saya. Dia melamar saya untuk menjadi suri hidupnya, sebahagian dari jiwanya. Bukankah itu sesuatu yang cukup baik?” Ujarnya riang. Jejaka itu hanya memendangnya hambar. Tidak seperti hari-hari lain, ucapan kali ini terasa sedikit janggal pada pendengaranya. Kenapa? Kenapa wanita itu menerimanya?

     “Awak dah mula mencintai dia.” Balasnya sepatah. Masakan sahaja dia tidak mampu membaca mata satu-satuya wanita yang paling dicintainya.

     “Bahkan lebih dari itu.. Saya terlalu-lalu mencintai dia. Dan seluruh jiwa, raga saya termaktub buat dia. Saya bersumpah, dia pemilik cinta saya yang hakiki andai itu ketentuan Allah SWT untuk saya.” Kecewa. Lelaki itu hanya diam. Tidak mengapa. Cintanya, cinta yang tiada bersyarat. Dia relakan segala-galanya. Dia tidak pernah mengharapkan sesuatu pun. Dia hanya ingin menjadi pelindung, tempat gadis itu berteduh dan bersandar pada saat-saar dia tidak mampu berdiri lagi.

     “Awak tahu awak akan kecewa..” Teriak lelaki berkenaan. Air mata wanita itu sudah mula bergenang.

     “Jangan ganggu hidup saya, tak bolehkah? Berhenti dari ini semua. Saya mahu menjalani kehidupan normal seperti wanita lain. Lepaskan sahaja saya! Lepaskan saya.”

     “Saya tidak meminta apa-pun dari awak bukan? Biarkan saya di sini, menjaga awak, untuk seumur hayat awak..”

     “Tak! Awak mengharapkan kesetiaan dan cinta saya. Sesuatu yang tak mungkin awak miliki untuk selama-lamanya. Saya haramkan setiap cinta saya walaupun setitik ke atas awak. Dan saya tidak akan benarkan. Jangan pernah bermimpi.” Balas gadis tersebut dalam tangis yang cuba untuk ditahan. Lelaki itu menghela nafas lagi, kali ini nyata lebih dalam dan panjang.

     “ Bagaimana jika awak kecewa lagi?” Terdiam, wanita itu hanya terdiam. Tidak! Dia yakin dia tidak akan kecewa. Bukankah dia telah melakukan apa pun untuk meraih cinta jejaka yang baru sahaja melamarnya itu? Dia ikhlas dan dia yakin, Allah Maha Mengetahui akan keikhlasannya. Dia sendiri tidak pasti bagaimana cintanya bisa bercambah degan begitu mudah, namun, dia tahu, dia tidak tersilap membuat keputusan. Dia tahu, lelaki tersebut mampu membahagiakannya. Jerih sudah dia melakukan istikharah dan dia yakin dengan pilihannya pada kali ini. Cuma, ada sesuatu yang dia bimbangkan. Ada sesuatu yang dia paling takutkan. Bagaimana jika perstiwa yang sama berulang? Bagaimana jika dia dikhianati lagi? dan, bagaimana jika dia dibenci? Bagaimana jika musibah demi musibah menimpa insan yang dia sayangi seperti sebelum-sebelumnya? Dia takut pada hal yang satu itu. Seakan-akan ada sumpahan yang melingkari sisi kehidupannya.

     “Bagaimana jika awak dikecewakan lagi? Tegarkah awak? Bahkan, tegarkah saya, Suffiyya?” Lelaki itu mengeluarkan apa yang berbuku di dadanya. Tidak! Dia tidak akan kecewa. Dia yakin, ini jalan untuknya menuju bahagia. Apa yang dilakukannya, semata-mata kerana Allah. Dia yakin dengan perkahwinannya nanti, dia mampu mendidik diri dan hatinya menjadi insan yang lebih baik. Lagi pula, bukankah kelak dia akan memiliki tempat berlindung dan bersandar harap? Ah, dia tidak mengharapkan itu semua. Cukup, dia cuma tidak mahu bermain dengan persoalan-persoalan yang seringkali menghantui mindanya. Dia hanya ingin tamatkan segala-galanya. Permainan yang mendera jiwanya, permainan yang terlalu menyeksakan!

     “Berhenti berdrama dan berpuitis. Percayalah! Apa pun yang awak katakan, apa pun yang awak lakukan, takkan sesekali mengubah keputusan saya. Saya akan menikahinya. Titik!” Begitu jelas gadis berkenaan memberitahu sesuatu, sesuatu yang sudah dia ketahui dan dia tidak ingin tahu pun pada hakikatnya.

     “Saya takkan benarkan awak kecewa!!”

     “Jadi,jangan buat saya kecewa. Jangan sakitkan saya lagi.Lepaskan saya dan pergi!! Jangan buat saya gila dengan sikap awak.”

     “Jadi, awak fikir, semua yang menimpa awak adalah disebabkan saya? Awak menyalahkan sayakah Suffiyya?”

     “Benar, semua salah awak..” Wanita itu memuntahkan marah yang dipendamnya setelah sekian lama. Segera lelaki itu menghampirinya.

     “Suffiyya,” dia berbisik halus pada teling wanita berkenaan. Memegang bahu wanita itu kemudiannya.

     “Awak tahu, apa yang saya lakukan untuk awak bukan?” Soalnya lagi. Dalam nada berbisik yang masih sama.

     “Tidak! Tidak, jangan sentuh saya lagi atau..”

     “Atau saya akan cederakan diri saya sendiri.. “ dia melepaskan diri dari pelukan lelaki berkenaan, mencapai pisau di atas meja, dan mula mengugut. Lelaki itu cemas. Namun, serta- merta dia mula tersedar akan sesuatu. Sesuatu yang tidak pernah disedarinya selama ini.

***

     “Perkahwinan antara kita tak boleh berlangsung, Suffiyya.” Ujar jejaka itu pada satu petang. Angin sepoi-sepoi bahasa bertiup perlahan. Ya Rabb! Dugaan apakah lagi? Kenapa perkara yag paling ditakutinya berlaku jua? Kenapa mesti jiwanya dibunuh lagi pada saat-saat seperti ini? Kenapa pembunuhan ini begitu kejam sekali? Ahh, hampir dia terjelepok, namun, masih digagahi dirinya. Cuba mengukir senyuman.

     “Tapi, kenapa Syam? Syam ada masalah kah? Barangkali kita mampu selesaikannya bersama-sama.” Tukasnya rasional. Lelaki itu sudah memandangnya dari jauh. Tergeleng-geleng. Bukankah dia sudah tahu ini yang akan berlaku?

     “Syam..Syam dah ada pilihan lain. Syam tak cintakan Suffiyya. Syam minta maaf..” Perlahan, namun cukup kuat untuk menghiris tangkai kalbunya.

     “Habis tu, selama ni, Syam?” Cuba ditahan tangis, suaranya sedikit bergetar.

     “Selama ni, Syam, Syam cuma keliru. Dan sekarang, Syam sedar.. Syam tak pernah cintakan Suffiyya. Hati Syam dah termiliki. Syam minta maaf..” Semudah itukah? Semudah itukah? Allah! Sakit sekali. Terlalu sakit. Masih cuba digagahkan dirinya, dikumpul segala kudrat.

     “Tidak mengapalah, mungkin ini takdirnya kan?” Ujarnya sedikit pilu. Dia kemudian berlalu. Langkahnya longlai. Dan dia tahu, ada seseorang yang memapahnya ketika itu. Ada seseorang yang cuba menyembunyikan tangis yang sudah berjujuran di pipinya agar tidak kelihatan. Mimpinya sudah hancur. Harapannya hancur sama sekali. Dirobek dan dikhianati tanpa belas. Sakitkah? Ya, sakit sekali.

     “Bukankah saya sudah beritahu?” Marah lelaki berkenaan. Gadis itu sudah terbaring longlai. Semangatnya sudah hilang! Separuh jiwanya sudah pergi! Dia hanya menatap syiling, air mata belum jua berhenti mengalir dari tubir matanya.

     “Kenapa seksa diri sendiri lagi..”

     “Diam!! Aku tak perlukan kau.. Aku tak perlukan kau. Cuma pergi!! Terlalu susahkah? Terlalu susahkah? Pergi dari kehidupan saya. Pergi!!” Amuk wanita berkenaan. Benar-benar dikuasai emosi pada kali ini. Habis bantal-bantal di bilik berkenaan berteraburan. Ya Allah, dengan cara apa lagi dapat dikurangkan rasa sakit berkenaan? Dengan cara apa lagi?

     “Hei, hei! Pandang saya! Jangan seksa diri lagi, bolehkah?” Lelaki itu menggoncang-goncangkan tubuh wanita berkenaan.

     “Terasa lebih baik saya mati daripada hidup begini.” Gadis tersebut mencapai pisau di sisinya. Berkira-kira untuk memotong pergelangan tangannya.sesekali, fikirannya menerawang. Barangkali kalau-kalau ada racun yang boleh diminumnya. Air sabun barangkali? Fikirannya sudah benar-benar berkecamuk. Sudah benar-benar tidak rasional. Ah,, pedulikan. Dia terlalu sakit, dan takkan ada apa yang mampu mengubatinya ketika itu.

     “Awak takkan manghalang sayakah? “ soalnya apabila dilihat lelaki tersebut hanya memerhati. Lelaki itu menggeleng-geleng.

     “Kenapa?” soalnya. “Awak nak saya mati?” Sambungnya hairan. Lelaki itu tersenyum

     “Mungkin dengan cara itu, kita dapat bersama, sayang.” Lelaki itu tersenyum sinis, memegang tangan wanita berkenaan dan membantu untuk menghiris pergelangan tangannya. Wanita itu memejamkan matanya. Astaghfirullah! Apa yang sedang dilakukannya kini? Adakah dia ingin mengalah pada tipu daya kali ini, setelah sekian lama dia bertahan. Tidak! Tidak mungkin!

     #Untuk mengetahui kesudahan kisah ini, pembaca boleh mendapatkan 'Antologi Jiwa Kacau' di pasaran. 

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.