Home Cerpen Keluarga ABC
ABC
Diq Na
20/2/2020 00:11:15
4,577
Kategori: Cerpen
Genre: Keluarga

            Alisha melambai-lambai bapanya. Aku lontar isyarat mata. Muaz segera menangkap maksud. Segalanya mengikut perancangan. Sebaik menurunkan aku dan anak-anak di perhentian bas, dia terus ke bandar dan menanti di sana.

            Rayyan bermuka cemberut. Turun dari kereta,dia duduk berpeluk tubuh di bangku batu. Lakaran protes melatari wajah. Rajuk si bongsu masih berlarutan. Mana tidaknya. Hari ini diistiharkan sebagai hari tanpa gajet.

            Beginilah cabaran membesarkan anak-anak yang lahir di alaf baru. Hidup jadi haru-biru apabila berpisah dengan teknologi. Baru sekejap penggunaannya disekat, sudah memberontak. Aku kebalkan hati. Hari ini sahaja. Aku mahu ajar mereka satu pelajaran penting dalam kehidupan.

            “Mengada-ngada. Ala manja-manja.”

            “Mama, tengok Kak Sha.”

            Seperti biasa, si sulung kaki menyakat menjelir lidah mengejek si bongsu. Apa lagi, adik dalam reaksi balas pantas naik tangan dan kaki tetapi tindakan itu dapat dihidu. Kakak mengelak dan menjauhkan diri.

            “Kata nak jadi hero. Kalau begitu gayanya, hero rajuk bolehlah.”

            “Mamaaa…”

            Anak-anak ini jika tidak dileraikan, mahu terangkat perhentian bas. Kalau di rumah, bergaunglah suara mama. Baru dua. Kalau berbelas macam orang-orang dahulu, bagaimana?

            “Alisha Muaz… Rayyan Muaz.”

            Suara lantang laksana siren amaran. Selantang Ziana Zain tetapi belum mencapai tahap Tarzan Rimba. Menyebut nama penuh bagai, maknanya diam.

            Menanti dan terus menanti, hampir setengah jam kami menjadi penunggu perhentian bas ini. Benar kata kakak sulungku, jadual bas tidak sekerap waktu kami membesar dahulu. Kalau tersalah masa, letihlah melangut. Kena pula hari panas. Cair solekan yang bertempek di muka.

            Segala contengan yang mengukir perhentian bas sudah habis dihadam oleh anak-anakku. Sebelum laman sosial bertahta, binaan ini antara yang menjadi mangsa tangan-tangan gatal mencurah kreativiti. Dakwat pen penanda ada yang memudar. Garitan tulisan baru juga kelihatan. Sesekali terdengar gelak, maknanya dua beradik itu sudah berdamai. Barangkali ada di antara contengan itu bunyinya lucu pabila dibaca.

            Perhentian bas berusia hampir sedekad. Kalau yang lama, pasti tertera hasil kreatifku. Tidak pula kuceritakan bahagian itu pada anak-anak. Sama seperti remaja lain, dalam baik sesekali nakal juga. Aku yang dahulu dan kini tiada bezanya. Cuma bertambah usia, berstatus suri dan ibu. Namun rasa bersalah kerana terpengaruh dengan rakan sebaya tetap ada.  

            “Sebelum ada muka buku, orang muat naik status di muka batu. Kamu jangan buat. Merosakkan harta benda awam satu kesalahan. Mungkin tiada orang nampak tetapi Allah sentiasa memerhati kita.”

            Pesanan itu menyelinap di antara kesibukan kenderaan hilir mudik di jalanan. Aku tidak mahu kedua-duanya mengulangi perbuatan yang serupa. Biarpun kenakalanku ketika itu bukan di peringkat serius tetapi kelakuan yang salah tetap salah.

            Sebuah kereta tiba-tiba berhenti. Cermin kereta dilorotkan lalu pemandunya menyapaku.

            “Naik kereta sajalah. Bas kekadang cepat, kekadang lambat. Ada masanya langsung tak ada. Matahari dah tinggi. Kasihan budak-budak tu.”

            Aku menengadah. Pagi hampir berpenghujung. Mega putih menawan angkasa biru. Cuaca cerah di desaku yang permai. Bahang kian menular. Kalau ikutkan hati, mahu sahaja aku menerima pelawaan senior sekolah menengah dahulu. Zaleha yang sebaya kakak keempatku memang peramah.

            Jika aku menumpang keretanya, pasti banyak cerita dan gosip hangat yang keluar. Aku juga sudah lama tidak menjengah desa tercinta dek tuntutan tugas. Kepingin untuk mengetahui perkembangan orang kampung. Siapa yang nikah, siapa yang bergelar duda dan janda, bilangan anak dan cucu, semua itu perlu aku cakna juga.

            Apabila teringatkan misi yang ingin kusempurnakan bersama anak-anak, keinginan itu terbantut. Mungkin bas akan muncul sekejap lagi. Kami sudah menanti selama setengah jam, apa salahnya bertahan seketika lagi.

            “Saya memang nak bawa anak-anak naik bas hari ni. Biar mereka rasa pengalaman kita dulu.”

            “Kalau dah gitu, terpulanglah. Majlis petang nanti macam mana? Tak sabar nak jumpa teman-teman lama.”

            “Semua beres. Menanti detiknya saja.”

            “Kita jumpa petang nanti ya. Sesekejap lagi muncullah bas tu.”

            Harapanku juga begitu. Sekilas, aku memandang anak-anak. Alisha biasa-biasa sahaja. Pada usia menginjak remaja, dia sudah punya pengalaman menaiki bas. Dia teruja apabila aku memberitahu tentang rancangan untuk menaiki bas hari ini. Rayyan pula baru berusia dua tahun ketika pertama kali naik bas. Kalau tidak silap, sewaktu mengikuti rombongan ke Kelantan anjuran rakan sekerjaku. Masih kecil, sudah tentulah Rayyan tidak ingat apa-apa.

            “Kenapa kita tak tumpang saja kereta mak cik tadi. Panaslah.”

            Rayyan memberengut. Dia mengibas tangan kirinya, cuba mengurangkan kehangatan mentari yang membaham kulit.

            Hai anak, zaman ibumu dahulu, pulang daripada menuntut ilmu tercangak di bawah terik mentari menanti bas. Panas berganda daripada ini. Kalau kunyatakan padanya, mahukah anak ini mengerti. Celik mata sahaja, dia nampak kereta. Bergerak ke mana-mana dengan kereta. Ke sekolah, dihantar dan dijemput dengan kereta.

            Belumpun sempat merangka jawapan terbaik, aku terpandang bas berbelang merah putih. Lega, bas yang ditunggu akhirnya terpacul juga.

            Pabila bas berhenti, keterujaan membuak-buak. Aku seakan kembali ke zaman remaja. Terasa seperti menaiki mesin merentas masa. Filem sains fiksyen itu memang popular sewaktu aku membesar sekitar tahun 90-an. Seusai membayar tambang, bas bergerak membawa kami menyusuri lebuh kenangan.

            Aku ralit memerhati di kiri dan kanan jalan. Kediaman bukan lagi rumah papan. Rumah yang masih mengekalkan ciri-ciri tradisional hanya boleh dibilang dengan jari. Selebihnya sudah bertukar rumah batu.

            Sedekat lalu, jalan ini dinaiktaraf. Tiada lagi bengkang-bengkok dan selekoh tajam. Ramai yang menerima pampasan. Proses pelebaran jalan menuntut banyak tanah diambil dan kediaman perlu dirobohkan.

            Alisha duduk bersendirian di bangku belakang. Tatkala aku menoleh, matanya leka menjamah permandangan kampung. Rayyan di sebelahku, juga asyik menjamu apa yang terhidang di sebalik tingkap kaca. Itu yang aku mahu. Tanpa gajet, betapa indahnya lukisan alam untuk dimengerti.

            “Cantiknya gunung-gunung hijau.”

            “Itulah Banjaran Titiwangsa.”

            “Seronok juga naik bas. Tinggi dan luas pandangannya.”

            Kekaguman Rayyan melegakan hati. Panorama yang mempesona itu memujuk rajuknya. Jika menaiki kereta, gajet tidak pernah lekang daripada tangan. Mana dia ambil kesah dunia di sekeliling. Walhal gunung hijau yang berceracak mengampu langit biru itu tidak pernah berganjak dari situ, menjadi daya penarik di sepanjang jalan utama tanah kelahiranku.

            Aku biarkan kedua-duanya larut dalam keindahan itu. Tataplah sepuas-puasnya wahai anak. Manalah tahu suatu hari nanti kalian tidak berpeluang menikmatinya lagi. Entah esok atau lusa, ada tangan-tangan rakus yang memusnahkannya. Kehijauan digantikan dengan kegondolan. Segalanya berkemungkinan.

            Sesekali, loceng bas menjerit. Penumpang turun dan naik bersilih ganti. Suara pemandu bas berborak bersama penumpang di bahagian depan menjadi halwa telinga. Budaya menaiki bas tidak pernah berubah. Topik yang menjadi pilihan masih lagi berkisah tentang situasi semasa negara dan masalah setempat.

            Sesekali, kedengaran leguh-legah struktur bas yang kian usang. Dahulu, pengangkutan awam ini tidak memiliki penyaman udara. Kini, walaupun tidak sesejuk mana seiring usia bas tetapi memadai berbanding cuaca panas di luar sana.

            Bayangkan waktu pulang dari sekolah, terpaksa bersesak-sesak. Ditambah pula cuaca terik, bau peluh dan asap bas bergaul menyenakkan saluran pernafasan. Walaupun suasana itu tidak selesa tetapi aku sudah lali. Bauan itulah yang mengajar aku tentang pahit maung kehidupan.

            Di sebalik ketidakselesaan itu, ada keseronokan yang hanya segelintir orang sahaja yang merasainya. Begitulah catatan diari seorang anak kampung yang datang daripada keluarga sederhana sepertiku.

            Terpandang pula bangku bersarung getah yang kian menipis dek henyakan punggung penumpang yang masih menagih sumbang baktinya. Ada yang berlainan warna, ada pula yang cobak-cabik. Coretan dan perakuan cinta jelas kelihatan namun puitisnya tidak setanding zaman remajaku. Vandalisme merentas masa. Masih berlaku meskipun di era penaklukan laman sosial.

            Adegan cinta monyet terpapar di layar pandang. Gurau senda dan perang mulut yang tidak diketahui hujung pangkal berjujukan keluar dari kantung memori. Di luar kesedaran aku tersenyum sendiri.

            Jalan semakin sesak. Jajaran bangunan era kolonial memberi petanda bahawa bas sudah memasuki kawasan bandar. Suara lantang pemandu bas mengingatkan para penumpang supaya tidak keciciran barang menyekat lohong ingatanku. Bas sudah tiba di stesen.

            Jam yang melekap di pergelangan lengan kuamati. Hampir setengah jam perjalanan namun bagaikan seminit dua sahaja. Aku cuit Alisha dan Rayyan. Kami perlu segera turun kerana bas akan ke bengkel untuk penyelenggaraan.

            “Balik nanti kita naik bas.” Rayyan memberi cadangan.

            “Yalah, tak puas lagi.” Alisha juga.

            “Betulkan cakap mama, naik bas pengalaman yang menyeronokkan. Apabila kita memandang ke luar tingkap, seolah-olah kita memandang kehidupan. Masa lalu, masa kini dan masa depan bergerak seiring roda yang berputaran.” Aku membuat kesimpulan.

            “Kita sebenarnya nak ke mana? Dari malam tadi mama asyik cakap rahsia saja?” Alisha mengulang pertanyaan, entah keberapa kali sejak pagi tadi.

            “Ikut saja. Kalau dah tiba di tempat itu nanti baru mama terangkan.” Aku tetap berahsia.

            Sekawan merpati liar menyambut kehadiran kami. Memang banyak perubahan di stesen bas ini. Kerusi panjang sudah bertambah. Ruang menunggu lebih luas. Bangunan papan diganti dengan binaan batu.

            Di sinilah tempat aku melepas lelah sebaik tamat sesi persekolahan. Sambil-sambil menunggu bas, aku berborak kosong dengan pelajar berlainan sekolah. Kami saling mengenali walaupun berbeza umur, kaum dan agama.

            Kini situasi sebegitu tidak wujud lagi. Baik tua atau muda, masing-masing tunduk membelek telefon. Aku tinggalkan mereka yang sedang karam dalam dunia maya itu. Alisha dan Rayyan terus mengekor tanpa suara.

            Destinasi yang menjadi misi rahsiaku terletak tidak jauh dari stesen bas. Hanya lorong kecil yang memisahkan dua kawasan ini. Tatkala derap langkah melepasi laluan masuk, hamparannya sunyi. Meskipun bandar hingar-bingar dengan bunyi kenderaan bertali arus, di sini situasi bertentangan.

            Kawasan yang dahulunya lapang sudah menjadi tempat parkir. Dahulu ramai penjaja kuih yang mencari rezeki tetapi sekarang tidak kelihatan lagi. Gerai buah-buahan milik seorang nyonya Cina yang sudah puluhan tahun berniaga juga tiada. Di mana agaknya penjaja-penjaja kecil ini sekarang?

            Tersayat pilu, deretan premis lebih banyak tutup berbanding buka. Ada sebuah restoran tetapi hanya kelihatan dua orang pelanggan sahaja.

            Satu-satunya kedai jahit masih beroperasi. Tauke tidak pula kelihatan. Hanya ada pekerjanya yang tekun menyudahkan kerja. Jadi benarlah dakwaan ramai bahawa aktiviti perniagaan di sini hampir mati.

            Pandangan terarah ke salah sebuah kedai. Tutup juga. Rindu menyusup kalbu tanpa dapat kutahan. Papan tanda yang tertera Kedai Alat Tulis Maju Jaya bukan lagi ABC Cik Non sudah herot. Sayang sekali, kedai itu tidak maju dengan jaya, bertentangan nama.

            “Inilah tempatnya. Padang permainan dan teratak pengalaman mama ketika usia sebaya kamu. Di sinilah mama jatuh, terasa teramat sakit kemudian bangun semula. Di sinilah mama berlari, tersungkur, terluka kemudian berusaha untuk berjalan semula.” Jelasku sambil mata menjelajah seluruh kawasan.

            “Sini ke tempat Wan Non berniaga sebelum dia sakit?” Alisha berjaya meneka yang tersirat di sebalik penerangan itu.

            “Ya, hampir 30 tahun lamanya. Medan rezeki yang membesarkan mama lima beradik. Siapa mama hari ini, di sinilah segala-galanya bermula.” jelasku.

            “Tentu sedap ABC Wan Non kan mama. Kalau tidak, takkanlah jadi sebutan ramai.” Rayyan mencelah.

            “Terbaik dan legenda,” tegasku lagi.

            “Jadi majlis alumni petang ni tujuannya untuk mengubati rindu bekas-bekas pelanggan Wan Non, betul kan mama.”Alisha menebak.

            “Tepat sekali.” Aku menjawab.

            Majlis pertemuan petang nanti atas permintaan bekas-bekas pelanggan ibu. Selepas sedekad terlantar akibat strok, mereka ingin menjenguk ibu dan bertanya khabar.

            Ramai yang mahu menikmati keenakan pembasah tekak itu. Kisaran ais campuran yang menyimpan kemanisan kenangan tidak ternilai.

            Bertahun-tahun kami adik-beradik mengambil inisiatif membuka muka buku diberi nama ABC Legen. Akur dengan takdir, itu yang termampu demi mengenang pengorbanan seorang ibu.

            Sesungguhnya ABC bukan sekadar air batu campur. ABC itu aksara kehidupan pewarismu.

            Maafkan kami. ABC Cik Non yang cukup gah pada satu ketika, legasinya padam begitu sahaja. Rupa-rupanya kesinambungan warisan itu tidak semudah menyebut ABC…

            “Ayuh, kita ke satu lagi tempat istimewa.”

            Kami bergerak ke atas bukit bersebelahan premis. Sebuah taman rekreasi dirimbuni pohon-pohon besar yang sungguh mendamaikan. Permandangan seluruh daerah kelahiranku boleh dinikmati di sini.

            Nun di sana, di bawah sepohon pokok yang banirnya timbul ke permukaan tanah, aku pernah jatuh cinta pandang pertama. Hari ini lelaki itu sedang duduk menanti di situ seperti yang dijanji.

            “Ayah!”

            Rayyan dan Alisha berkejar mendapatkan bapa mereka. Alam kuliah, dunia percintaan sehinggalah ke gerbang perkahwinan, giliran Muaz untuk bercerita. Satu, dua, tiga, melangkah terus melangkah. Sifir kehidupan… pedoman bermakna buat mereka.

           

            

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.