Home Cerpen Kanak-kanak Puteri Kelkatu Mahu Cahaya
Puteri Kelkatu Mahu Cahaya
SHUKRIAH RODZI
9/2/2018 13:00:24
6,353
Kategori: Cerpen
Genre: Kanak-kanak

PUTERI KELKATU MAHU CAHAYA 

Puteri Kelkatu mengepak-ngepakkan sayap sambil memegang perut. Dia mengadap cermin. Mukanya masam mencuka. Dipusing badan ke kanan dan ke kiri. Sesekali dia membetulkan mahkota di kepalanya. Gaun labuh yang dipakai kelihatan pudar dan comot. Langsung tidak berseri.

“Ah...kenapa badan beta tidak secantik kelip-kelip? Kelip-kelip cantik bersinar di waktu malam. Cemburu pula beta melihatnya. Dari mana dia mendapat lampu sakti itu? Geramnya!” Puteri Kelkatu bercakap seorang diri. Tiada seorang dayang pun yang dibenarkan mengganggunya. Sengaja ingin bersendirian.

Puteri Kelkatu terbang mundur mandir di dalam kamarnya. 

“Istana beta ini sudahlah dibina di bawah tanah, gelap pula tu. Sedangkan kelip-kelip hidup riang di tepi sungai. Rumahnya pula di bawah pohon berembang. Malam-malam, cantik bersinar. Hmmm, kalaulah beta dapat menjadi seperti kelip-kelip...Alangkah seronoknya,” Puteri Kelkatu berasa iri hati dengan kecantikan kelip-kelip yang bercahaya indah.

Semalam, Puteri Kelkatu curi-curi keluar dari istana. Ketika itulah, Puteri Kelkatu terpandang keluarga kelip-kelip yang ramai mengelilingi pohon berembang. Lampu di dalam perut mereka bercahaya. Ada yang berwarna hijau, kuning dan merah. Begitu cantik sekali pada pandangannya.

Puteri Kelkatu mula berangan-angan untuk menjadi seperti kelip-kelip. Dia mahu menjadi puteri yang tercantik sekali antara semua kelkatu. Tentu ramai putera raja dari kerajaan lain yang akan tergila-gila dan mahu mengahwininya.

“Tuan puteri janganlah sedih...” tiba-tiba terdengar suara anai-anai dari sudut kamar Puteri Kelkatu.

“Eh, anai-anai...terkejut beta! Dari mana kamu datang dan bagaimana kamu boleh ada di dalam kamar beta pula?” Puteri Kelkatu berasa marah kerana angan-angannya terganggu dengan kemunculan anai-anai. Tentu anai-anai sudah mendengar apa yang diperkatakannya sebentar tadi. Sungguh dia berasa malu. Cepat-cepat Puteri Kelkatu mencengkam anai-anai dengan kasar.

“Maafkan patik tuan puteri...patik sebenarnya sedang mencari bekalan makanan. Entah bagaimana tersesat pula masuk ke dalam kamar tuan puteri ini. Ampunkan patik, tuan puteri.” 

“Apa yang beta dapat kalau beta lepaskan kamu? Lebih baik beta suruh pengawal bunuh sahaja kamu.”

 “Patik tidak ada apa-apa untuk ditawarkan kepada tuan puteri. Tetapi, patik boleh bagi cadangan untuk menyelesaikan masalah tuan puteri tadi...”

“Bagaimana?”

“Tuan puteri beli atau pinjam sahaja lampu itu dari kelip-kelip.” Anai-anai memberi cadangan.

“Tentu kelip-kelip tidak mahu memberinya kepada sesiapa pun. Cahaya lampu itulah yang menyebabkan mereka cantik.”

“Kalau macam itu, apa yang nak disusahkan...Tuan puteri perintahkan sahaja pengawal istana pergi mencuri lampu sakti kelip-kelip itu.” Tambah Anai-anai.

“Betul juga cakap kamu.” Puteri Kelkatu tersenyum lebar. Dia merasakan cadangan anai-anai amat bernas sekali.

“Jadi, bolehkah tuan puteri lepaskan patik?” Anai-anai mahu cepat-cepat melepaskan diri.

“Baiklah...disebabkan cadangan kamu yang bagus itu, beta lepaskan kamu.” Puteri Kelkatu membuat keputusan. Anai-anai dilepaskan dari cengkamannya.

Puteri Kelkatu segera memanggil pengawal istana yang paling dipercayainya. 

“Pengawal! Beta mahu berikan kamu satu tugas penting. Jika kamu berjaya melaksanakannya, beta akan berikan ganjaran yang sangat lumayan.”

“Apa tugasnya tuan puteri? Patik sedia melaksanakannya pada bila-bila masa sahaja.” Pengawal istana yang patuh itu bersuara.

“Beta mahu kamu mencuri lampu sakti dari kelip-kelip. Dapatkannya untuk beta. Ingat! Pastikan kamu melakukannya secara rahsia kerana beta tidak mahu sesiapa pun tahu mengenai hal ini.” Puteri Kelkatu memberi arahan kepada pengawal istana itu.

Setelah beberapa hari mengintip di kawasan tempat tinggal kelip-kelip, pengawal itu kembali semula ke istana. Dia segera berjumpa dengan Puteri Kelkatu.

“Patik tidak dapat mencuri lampu sakti itu, tuan puteri. Ia sentiasa berada di dalam perut kelip-kelip. Tiada seekor kelip-kelip pun yang pernah menanggalkannya. Mereka memakainya sepanjang masa walaupun ketika sedang tidur.” 

“Wah...nampaknya kelip-kelip benar-benar menjaga lampu sakti itu!” Puteri Kelkatu berasa marah.

“Tapi, tuan puteri. Patik ada cadangan yang lebih baik.” Pengawal itu bersuara takut-takut.

“Apa dia?” Puteri Kelkatu bertanya.

“Apa kata kita curi sahaja lampu di tempat lain? Yang tiada sesiapa pun menjaganya. Cahayanya juga lebih terang dari kelip-kelip. Seluruh istana akan terang benderang.” Pengawal itu teringat mengenai lampu kelap kelip yang dipasang setiap malam di jeti berdekatan dengan sungai. Walaupun tidak pernah pergi ke situ secara dekat tetapi dia sudah dapat melihat cahaya itu dari jauh lagi. 

“Betulkah apa yang kamu katakan ini? Di manakah lampu itu?” Puteri Kelkatu bertanya tidak sabar.

“Betul, tuan puteri. Tetapi, kita kena bawa ramai angkatan tentera ke sana. Lampu itu sangat besar dari kita semua. Sukar untuk mengangkutnya. Kalau kita dapat bawa balik ke istana ini, memang terang benderang dan bersinar-sinar, tuan puteri. Lampu itu berada di jeti tepi sungai.”

Puteri Kelkatu pun berfikir. Jika begitu besar lampu itu, bolehlah dia mengambil cahaya yang banyak untuk dimasukkan ke dalam perutnya. Tentu lebih terang dari kelip-kelip. Dapatlah dia mengalahkan kecantikan kelip-kelip. 

Maka, pergilah Puteri Kelkatu mengadap Ratu Kelkatu.

“Bonda, bolehkah anakanda meminjam bala tentera kerajaan kita untuk satu malam?”

“Untuk apa, anakanda?” Ratu Kelkatu bertanya.

“Anakanda hendak suruh mereka mengambil dan membawa pulang lampu yang berada di sebuah jeti.” Puteri Kelkatu memberitahu tujuannya kepada Ratu Kelkatu.

“Tak boleh anakanda. Merbahaya. Lagipun, kerajaan kita tidak perlukannya. Kita sudah biasa hidup dalam gelap. Bangsa kelkatu tidak tahan dengan kepanasan cahaya lampu, anakanda... Ia boleh menyebabkan kita mati.”

“Tapi, anakanda mahu juga. Kalau bonda tak mahu menolong anakanda, anakanda akan pergi sendiri.” Puteri Kelkatu berkata sambil menangis.

“Apakata kita dapatkan dulu nasihat dari nujum istana? Mungkin dia boleh memberi nasihat dan petunjuk.” Pujuk Ratu Kelkatu kepada anakandanya.

Namun menurut nujum istana, seluruh bala tentera Ratu Kelkatu akan ditimpa bencana jika mereka cuba merapati lampu itu. Itulah sumpahan mereka dari dulu lagi. Tiada sesiapa boleh melanggarnya. Cahaya adalah pantang larang mereka semua.

“Anakanda tak kira juga! Anakanda mahukannya!” Puteri Kelkatu membentak.

Disebabkan sayang kepada Puteri Kelkatu, Ratu Kelkatu terpaksa melanggar pantang larang dan mengetuai bala tenteranya pergi ke jeti pada malam itu. Walaupun dihalang, Puteri Kelkatu tetap juga berkeras untuk ikut bersama. Hujan baru sahaja reda. Angin bertiup dengan kencang. 

Mereka semua menerpa ke arah lampu kelap kelip tersebut. Rasa kagum melihat cahaya lampu yang terang benderang. Selama ini mereka hanya hidup dalam kegelapan.

“Wah! Cantiknya!” berebut-rebut mereka hendak mengerumuni lampu itu.

Belum sempat Puteri Kelkatu memegang lampu itu, tiba-tiba terdengar jeritan seekor tentera kelkatu.

“Aduhhhh....panas, sakit!” tentera itu menggelepar kepanasan.

Dummm...jatuh seekor kelkatu ke lantai. Semakin lama, semakin ramai bala tentera kelkatu yang jatuh ke lantai dan tertanggal sayapnya. Ribuan yang mati. Mereka seolah-olah terbakar dengan kepanasan cahaya lampu.

“Kenapa jadi macam ini, bonda?” Puteri Kelkatu bertanya dalam nada ketakutan. Malah, dia juga sudah merasa bahang kepanasan meresap ke tubuhnya. Tidak berani lagi dia memegang lampu itu.

“Bonda juga tidak tahu. Mungkin betul kata ahli nujum...Kita golongan kelkatu telah disumpah. Kita semua hanya boleh tinggal di dalam tanah. Jika terkena cahaya, badan kita semua akan kepanasan dan mati. Mungkin itu sebabnya jadi begini.”

“Aduh...sakit bonda!” Puteri Kelkatu jatuh ke lantai. Sayapnya tertanggal.

Tidak lama kemudian, Ratu Kelkatu juga turut jatuh ke lantai. Dia mati serta merta kerana kepanasan.

Puteri Kelkatu tidak dapat terbang lagi. Dia menyesal. Kalau bukan kerana sikapnya yang irihati dan ingin kelihatan cantik, semua ini tidak akan terjadi. Sepatutnya dia bersyukur. Tubuh badan yang sihat lebih penting dari kecantikan. Puteri Kelkatu menangis terisak-isak mengenangkan nasib bondanya. Segera dia merangkak mencari tempat selamat untuk berlindung.

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.