Home Cerpen Kanak-kanak Damia Dan Nyamuk Aedes
Damia Dan Nyamuk Aedes
SHUKRIAH RODZI
6/2/2018 00:44:42
8,194
Kategori: Cerpen
Genre: Kanak-kanak

Hari itu, Damia berasa sungguh gembira kerana kawan baiknya yang bernama Elina sudah sembuh dari demam denggi. Elina merupakan rakan sekelas Damia. Sebelum ini, Elina telah dimasukkan ke hospital selama seminggu akibat demam denggi.

Damia dan ibunya, Puan Aria telah menziarahi Elina. Walaupun Elina kelihatan cengkung, tetapi gembira menerima kunjungan Damia. Damia menghabiskan masa dengan berbual dan bermain  di rumah Elina.

“Ibu, macam mana Elina boleh kena demam denggi?” Damia bertanya kepada ibunya ketika dalam perjalanan pulang ke rumah.

“Demam denggi adalah penyakit berjangkit yang disebabkan oleh virus denggi. Ia disebarkan melalui gigitan nyamuk Aedes betina yang telah dijangkiti. Virus inilah yang menyebabkan seseorang itu mengalami demam.” Kata Puan Aria.

“Oh, maknanya Elina dah digigit nyamuk Aedes betina yang ada virus denggi? Sebab itulah dia dijangkiti demam denggi?”

“Ya, betul tu Damia. Terdapat 2 jenis nyamuk Aedes iaitu spesies Aegypti dan Albopictus. Pembawa denggi yang utama di Malaysia ialah spesies Aegypti.”

“Jadi, macam mana Damia nak tahu yang mana satu nyamuk Aedes, ibu?” Damia bertanya lagi.

“Nyamuk Aedes ada belang hitam dan putih pada badan dan kakinya,” jawab Puan Aria sambil tersenyum kepada anaknya yang berusia 7 tahun itu.

“Damia nak tahu pasal nyamuk Aedes lagi, kan?”

“Nak!”

“Nanti di rumah ibu akan tunjukkan buku yang baru ibu beli, tajuknya Ensiklopedia Dunia Serangga. Damia boleh baca buku tu nanti.”

Sebaik sahaja tiba di rumah, Damia terus meminta buku yang dinyatakan ibunya. Damia mula membaca ensiklopedia itu dengan tekun. Sesuatu yang pelik telah berlaku apabila Damia sampai pada bahagian pengkajian bentuk dan kitaran hidup nyamuk Aedes.

Damia melihat di sekelilingnya. Dia kini berada di kawasan penempatan nyamuk Aedes iaitu di sebuah kolah takungan air yang bersih dan jernih. Tubuh Damia juga mengecil dan mempunyai sayap.

Tiba-tiba, seekor nyamuk mendekati Damia. Damia berasa terkejut dan bimbang. 

Damia dapat melihat dengan jelas tubuh nyamuk itu. Bahagian tubuhnya terbahagi kepada tiga bahagian iaitu kepala, rongga dada dan abdomen. Kaki dan badannya berbelang hitam dan putih. Dua mata majmuk yang besar mengandungi lensa-lensa kecil yang tersangat banyak. Ada 6 kaki, sepasang sayap bersisik dan dua sesunggut terletak di atas kepalanya. Di antara sesunggut itu ada mulut macam belalai yang panjang dan bergerigi.

“Jangan datang dekat... Nanti saya pukul kamu!”

“Jangan bimbang. Saya datang bukan untuk mencederakan kamu,” jawab nyamuk itu.

Damia merasa pelik bagaimana nyamuk itu boleh memahami apa yang diperkatakan olehnya. Malah, Damia bertambah kagum kerana nyamuk itu dapat menjawab dalam bahasa yang difahaminya.

“Siapa kamu?” tanya Damia.

“Nama saya Kapten Aidessa. Ketua kumpulan nyamuk Aedes betina. Saya tahu, kamu teringin sangat nak tahu pasal nyamuk Aedes kan?” Aidessa memperkenalkan diri.

“Oh, jadi kamulah yang menyebarkan virus demam denggi?”

“Jangan marah, saya akan ceritakan hal sebenar,” Aidessa cuba menenangkan Damia.

“Baiklah, apa yang kamu nak ceritakan?” soal Damia dalam nada tegas.

“Memang betul sangkaan kamu bahawa kami golongan nyamuk Aedes yang menyebarkan virus denggi.”

“Tetapi, saya masih tak faham kenapa kamu nak sebarkan virus denggi pula?”

“Nyamuk Aedes betina mendapat virus denggi ketika menghisap darah manusia yang telah dijangkiti denggi. Virus denggi akan berada di dalam tubuh nyamuk sepanjang hayatnya. Virus ini kemudiannya dipindahkan kepada manusia lain semasa proses menghisap darah. Jadi, kalau kamu tidak mahu terkena demam denggi, kamu kena elakkan diri daripada digigit nyamuk Aedes,” jelas Aidessa.

“Kenapa kamu jadikan darah kami sebagai makanan pula?” tanya Damia agak kehairanan.

“Nyamuk betina seperti saya perlukan darah untuk bertelur. Kami perlukan protein dan zat besi. Zat ini hanya ada dalam darah mamalia termasuk manusia. Tetapi pada ketika lain, kami juga sama seperti nyamuk jantan iaitu hanya menghisap nektar bunga dan cecair buah-buahan sebagai makanan,” terang Aidessa lagi. 


“Kulit  saya sakit sedikit  dan kemudian berasa gatal selepas kamu menghisap darah saya. Kenapa?” kata Damia. 


“Sebenarnya ketika saya hinggap di kulit  manusia, saya akan mencari titik pembuluh darah. Selepas itu saya akan gunakan gerigi pada belalai saya bagi mengoyakkan kulit kamu. Koyakan ini sangat kecil bagi manusia.” 


“Mesti tajam kan gigi kamu?” Damia rasa ngeri.


“Kamu mesti fikir kami menggigit sebelum menghisap darah manusia kan? Sebenarnya tidak. Kami tak ada gigi. Tapi kami ada gerigi pemotong seperti gergaji yang terdapat pada belalai kami. Fungsinya sama seperti gigi kamu.”

“Takut pula saya mendengarnya,” Damia membayangkan gerigi itu mengoyakkan kulitnya.

“Lepas tu, kamu hisap darah kami?” tanya Damia lagi.

“Lepas saya koyakkan kulit kamu, saya akan gunakan belalai untuk masuk ke dalam kulit bagi mencari pembuluh darah. Sambil itu, saya akan mengeluarkan cecair yang membuatkan kamu tidak berasa sakit seperti bius. Cecair yang saya keluarkan juga boleh mengelakkan darah menjadi beku. Kamu tak berasa sakit ketika saya menghisap darah dan darah kamu juga tidak menjadi kental. Alah, caranya sama macam doktor atau jururawat mengambil darah kamu untuk ujian menggunakan picagari. ” Aidessa tersenyum.

“Kamu kata tak sakit? Macam dicucuk jarum rasanya,” ujar Damia lagi sambil membuat memek muka rasa sakit.

“Sebenarnya, kamu berasa sakit akibat sisa cairan yang saya keluarkan tertinggal pada kulit kamu. Itulah yang menyebabkan alergi sehingga muncul bintik kecil berwarna merah.”

“Oh, patutlah saya berasa sakit, hanya apabila nyamuk sudah terbang! Banyak ke kamu hisap darah kami?” Damia inginkan kepastian.

“Lebih kurang 0.001 hingga 0.01 milimeter untuk setiap kali makan, itu sudah cukup mengenyangkan. Lagipun kami ni kecil. Berat pun dalam lingkungan 2.5 miligram sahaja.” Aidessa memberitahu.

“Oh! Sedikit sahaja. Berapa kerap kamu menghisap darah?”

“Biasanya setiap dua atau tiga hari sekali saja, kami menghisap darah,” terang Aidessa.

“Betul ke kamu menghisap darah pada awal pagi dan senja?”

“Betul tu. Macam kamu juga, minum susu pada waktu pagi dan malam. Lagi satu, kami sukakan warna gelap. Jadi, kamu kenalah pakai pakaian yang cerah jika takut digigit oleh kami,” Aidessa menjawab.

“Kamu nampaknya begitu ramai kawan.”

“Sebenarnya, air bertakung membolehkan kami membiak dengan mudah. Jika ada satu sudu teh takungan air sahaja, sudah cukup untuk nyamuk Aedes membiak.” Aidessa menjelaskan. 

“Boleh kamu ceritakan pada saya, macam mana kitaran kehidupan nyamuk dari telur hingga menjadi nyamuk dewasa.” Damia berminat ingin tahu.

“Tempoh masa dari telur untuk menjadi nyamuk dewasa hanya mengambil masa lebih kurang seminggu sahaja. Semuanya bergantung kepada suhu.”

“Berapa biji telur setiap kali nyamuk bertelur?”

“Biasanya antara 100 hingga 300 biji.”

“Wah, banyaknya! Adakah nyamuk kerap bertelur?”

“Nyamuk betina biasanya akan bertelur sebanyak lima kali sepanjang hayatnya.”

“Berapa lama kamu boleh hidup sebenarnya?” Damia meminta kepastian.

“Nyamuk betina boleh hidup secara puratanya selama sebulan. Tapi, nyamuk jantan hanyalah 10 hingga 20 hari sahaja.”

“Di mana nyamuk bertelur? Kamu ada sarang?” Bertubi-tubi soalan Damia kepada Aidessa.

“Nyamuk betina bertelur di dalam air yang jernih dan bertakung atau di atas daun-daun basah. Tapi bukan satu tempat. Telur-telur itu akan disebarkan ke beberapa tempat. Ibu nyamuk akan menyusun telurnya dengan rapi saling bersebelahan. Sehingga boleh dilihat seperti rakit. ” Aidessa menambah.

“Kenapa ibu nyamuk susun telur-telur tu begitu?” Damia ingin tahu lagi.

“Telur nyamuk bersaiz kurang dari 1 milimeter, berbentuk bujur, panjang dan licin. Telur disusun rapat dan seperti bentuk rakit untuk mengelakkan telur-telur ini tenggelam. Telur nyamuk mula-mula berwarna putih. Setelah itu, ia akan berubah menjadi warna hitam. Perubahan warna ini mampu menyelamatkan telur daripada serangan serangga dan burung.” jelas Aidessa.

“Berapa lama telur ini akan menetas menjadi nyamuk pula?” Damia bertanya.

“Kalau kamu nak tahu, telur tidak akan terus menetas dan menjadi nyamuk dewasa. Kitaran hidup nyamuk melalui empat peringkat bermula dari telur, jentik-jentik, kepompong dan kemudian barulah menjadi nyamuk dewasa.”

“Oh, kalau begitu, berapa lama telur akan menetas?”

“Antara sehari hingga dua hari.”

“Kalau nyamuk menghisap darah, macam mana pula jentik-jentik dan kepompong?”

“Jentik-jentik hidup di permukaan air, jadi makanannya ialah mikroorganisma yang terdapat di dalam air. Jentik-jentik ini hidup di antara lima hingga tujuh hari. Lepas itu, bertukar menjadi kepompong. Kepompong tidak memakan sebarang makanan. Usia kepompong biasanya dua hari.”

“Ini bermakna selepas dua hari, kepompong bertukar menjadi nyamuk Aedes dewasa?”

“Ya, betul tu Damia.”

“Selepas itu jika mahu bertelur, nyamuk betina akan mulai menghisap darah?”

“Hahaha... Nampaknya kamu sudah semakin faham tentang kehidupan kami,” balas Aidessa.

“Adakah kamu hanya menghisap darah manusia sahaja?”

“Oh, tidak. Kami turut menghisap darah haiwan seperti kerbau, kambing, arnab, kucing dan lain-lain lagi.”

“Adakah kitaran hidup kamu ini boleh terganggu?” Damia inginkan kepastian.

“Mmm, sebenarnya boleh. Jika manusia selalu membersihkan bekas yang menyebabkan takungan air serta menutup bekas-bekas tersebut. Lagilah, kalau mereka membela ikan puyu atau gapi di dalam kolam atau bekas air tersebut. Ikan akan jadikan jentik-jentik sumber makanan mereka. Lagi satu, jentik-jentik tidak boleh hidup kalau ubat pembunuh jentik-jentik dimasukkan ke dalam air takungan.”

“Oh, begitu...” Damia sudah faham.

“Malah, nyawa nyamuk Aedes dewasa akan terancam jika manusia menggunakan lingkaran ubat nyamuk, semburan racun serangga dan ubat nyamuk elektrik di kawasan tertutup. Kami tidak dapat bernafas. Semua ini membahayakan kami.” Aidessa berterus terang.

“Kenapa bila waktu malam dan suasana gelap, contohnya waktu tidur, saya akan digigit nyamuk. Berbeza dengan ketika waktu sebelum saya memadamkan lampu bilik?”

“Haa... Itulah keistimewaan kami. Ketika suasana gelap itulah suasana yang paling baik untuk kami mengesan kedudukan kamu. Kami dapat mengesan kamu melalui haba yang dikeluarkan oleh tubuh kamu. Kami mempunyai alat pengesan haba yang dapat mengesan karbon dioksida yang dibebaskan oleh manusia ketika bernafas. Ia dapat mengesan manusia dalam jarak 35 meter.” Aidessa bersemangat menerangkan kehebatan nyamuk Aedes.

“Hmm...nampaknya susahlah saya untuk bersembunyi,” keluh Damia.

“Nampaknya begitulah. Kamu boleh lari tetapi tidak boleh bersembunyi!” Aidessa tertawa.

“Kadang-kadang saya mendengar kamu mengeluarkan bunyi. Bunyi apa tu?”

Aidessa termenung seketika kemudian.

“Oh bunyi nyet nyet itukah?”

“Ya, lebih kurang begitulah. Bunyi yang menyebabkan saya rasa geram dan nak tampar sahaja.” jawab Damia sambil tertawa.

“Oh, itu bunyi kibasan sayap kami. Ketika kami terbang, kami akan mengepakkan sayap sebanyak 300 hingga 600 kali dalam tempoh sesaat. Sebab itulah kamu terdengar bunyi begitu. Nyamuk akan terbang secara zig zag sebelum hinggap di tubuh manusia dan kemudian menghisap darah.”

“Wah begitu banyak kali kamu mengepakkan sayap, kamu tak penatkah?”

“Tapi selepas setiap 5 minit, kami akan berhenti berehat sebentar. Eh, jomlah kita berehat dulu.” Aidessa mengajak Damia duduk.

“Kalau begitu, adakah kamu boleh terbang dalam jarak jauh?”

“Kami boleh terbang sekitar 1.5 kilometer hingga 2.6 kilometer jaraknya dalam tempoh sejam. Kalau dari segi ketinggian pula, kami boleh terbang pada ketinggian antara tujuh hingga 12 meter.” Aidessa menjawab soalan Damia.

“Wah, hebatnya kamu! Tak padan saiz tubuh kamu yang kecil begini,” Damia terjerit kecil.

“Kamu mungkin rasa kami terbang dengan pantas tetapi dalam dunia serangga yang terbang, kami boleh dikatakan sangat perlahan.”

“Maksudnya?” Damia bertanya kembali.

“Jika diadakan pertandingan dalam dunia serangga yang terbang, hampir semua serangga akan mengalahkan nyamuk. Rama-rama, belalang juta dan lebah madu akan jauh meninggalkan kami.”

“Hmm, banyaknya ilmu yang saya dapat daripada kamu, Aidessa. Terima kasih kerana sanggup memberitahu saya kisah kehidupan nyamuk Aedes. Dapatlah saya berkongsi ilmu dengan kawan-kawan saya nanti.”

“Sama-sama. Saya pun dah nak pergi ni. Kawan-kawan saya sedang menunggu tu.  Jangan lupa beritahu kawan-kawan kamu supaya sentiasa membersihkan kawasan di sekitar rumah. Jika tidak, mesti nyamuk Aedes akan datang membiak. Nanti mereka juga yang susah bila terkena demam denggi. Masa tu jangan salahkan kami!” Sebelum pergi Aidessa memberi peringatan.

“Baiklah, saya ingat pesan kamu. Terima kasih.” Damia menganggukkan kepalanya.

“Selamat tinggal Damia,” ujar Aidessa.

“Selamat tinggal Aidessa,” Damia melambaikan tangan kepada Aidessa.

Aidessa membalas lambaian itu dengan mengepakkan sayapnya. Lalu, Aidessa terbang bersama kawan-kawannya meninggalkan Damia.

Damia terasa badan dan kakinya tersangat lenguh. Tiba-tiba, bahu Damia ditepuk dari belakang. Damia berpaling dan mulai tersedar dari imaginasi khayalan dunia nyamuk ciptaannya.

Puan Aria sedang berdiri di belakang Damia. Rupa-rupanya, Damia masih bersandar di kerusi sambil memegang Ensiklopedia Dunia Serangga.

“Amboi, khusyuknya Damia membaca. Sampai tak dengar ibu panggil. Sudahlah tu... esok pula sambung baca. Jom! Makan dulu,” Puan Aria berkata kepada Damia.

“Tadi Damia baca dalam buku, kalau kita nak hapuskan nyamuk Aedes, kita kenalah hapuskan tempat pembiakannya iaitu air bertakung.” Damia berkata kepada Puan Aria.

“Ya sayang, betul tu. Esok, kita sama-sama bersihkannya. Kita buang semua bekas kosong ke dalam tong sampah, bersihkan bekas-bekas yang menakung air dan bubuh ubat pembunuh jentik-jentik supaya nyamuk Aedes tak dapat membiak lagi.

“Esok, Damia tolong ibu ya! Tiada Aedes, tiadalah denggi, kan ibu? Kata Damia bersemangat.

Puan Aria mengangguk sambil tersenyum. Damia memeluk ibunya dengan penuh kasih sayang.


Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.