“ENCIK LUQMAN,
lori barang dah sampai.” Lina menerpa ke pintu ofis sebaik sahaja ternampak
sebuah lori tiga tan berhenti di hadapan kedai.
Perkhabaran itu
membuatkan Luqman spontan mengangkat muka dan punggung. Ditinggalkan pen di
atas meja lalu keluar ke ruang hadapan; tempat dia mempamerkan perabot-perabot
terpakai yang dijual semula. Setibanya di kaki lima kedai; dia tersenyum lega. Barang
yang ditunggu-tunggu sudah pun tiba dari kampung halamannya sendiri di Padang
Besar.
“Kenapa?” Dia
perasan seperti ada yang tidak kena dengan pemandu dan kelindan lori yang
sedang menurunkan barang-barang. Muka masing-masingnya berkerut.
“Tak padan kecil.
Beratnya bukan main.” Pemandu lori menyapu peluh di dahi dengan tuala kecil.
Dia mengajak kelindannya mencuba sekali lagi.
Di bawah, Luqman
memerhati dengan rasa bimbang. Dia sendiri rasa tidak percaya apabila meja
sebesar itu boleh mendatangkan masalah.
“Boleh? Kalau tak
boleh. Biar saya tolong.”
Rasa risaunya
memuncak. Walaupun sudah berkali-kali dicuba namun meja kecil berlaci tiga itu
tetap tidak banyak bergerak.
“Kita turunkan perabot
lain dulu.” Pemandu lori membuat usul setelah usahanya tidak banyak membuahkan
hasil.
“Okeylah.”
Tanpa berlengah
kelindan lori mula menurunkan barang-barang yang lain. Sebuah meja bulat
beralas marmar, empat buah kerusi kayu redwood, sebuah kerusi panjang kayu jati
dan sebuah almari hiasan yang sudah hilang kacanya.
Luqman yang masih
berada di bawah memerhati dengan teliti barang-barang yang dibawa turun.
Mujurlah kesemuanya berada dalam keadaan elok walaupun setelah menempuh
perjalanan yang jauh.
“Tadi pun macam ni
juga. Nak angkat bawa masuk ke dalam lori punyalah susah.”
Pemandu lori
merungut lagi. Meja kecil berlaci tiga masih tidak bergerak dari sisi lori
bagaikan keempat-empat kakinya terpateri ke lantai. Kelindan pula sudah
bercekak pinggang dan mengeluh.
Melihatkan keadaan
itu, Luqman memanjat dan masuk ke dalam lori untuk membantu. Dia tidak tahu apa
masalahnya. Akan tetapi dia lebih merisaukan soal lori besar itu yang diparkir di
tengah jalan. Tidak mustahil kesesakan lalu lintas akan berlaku dan mereka
disergah oleh pihak polis. Oleh itu dia harus cepat bertindak.
“Mari saya
tolong.”
Dia sinsing lengan
baju kemeja yang dipakai hingga ke siku. Lalu mereka bertiga mula mengangkat
meja itu sekuat tenaga. Yang anehnya bagi Luqman meja itu tidaklah berat mana.
Biasa sahaja.
“Aik?” Pemandu
lori dan kelindan sama-sama tercengang apabila meja kecil itu mudah dialihkan.
Luqman ketawa
kecil. Setelah meja itu dapat dibawa turun, dia menepuk bahu pemandu lori lalu
mengusik; “Itulah. Lain kali... baca Bismillah dulu, bang.”
Mujurlah gurauan
itu disambut dengan gelak ketawa. Namun sewaktu pemandu lori mahu beredar dari
situ, dia terlihat sesusuk makhluk hitam yang tingginya mencecah siling dan
badannya hampir memenuhi separuh kedai; duduk di sisi meja kecil itu. Apabila
dia menoleh kali kedua, telinganya berdesing seperti ditampar dengan kuat di
kedua-dua belah.Berpinar matanya.
Dia cepat-cepat
menggerakkan lori. Sekujur tubuh terasa mahu demam.
*****
HARI yang awalnya
cerah dan panas kini berubah mendung. Sebagai peniaga hal itu sedikit sebanyak
merunsingkan hati. Sudahlah hasil jualan sebulan dua kebelakangan ini tidak
seberapa; cuaca pula seperti tidak membantu. Sedang termenung memandang keadaan
cuaca yang berubah tiba-tiba, dia ditegur Lina.
“Encik Luqman,
meja ni... laci dia hanya dua buah sahaja yang boleh dibuka ya?”
Lina
terkulat-kulat di tepi meja kecil yang dimaksudkan tadi. Di tangannya ada
sehelai kain lembap yang telah dicelup dengan air rendaman teh. Seperti biasa,
setiap kali barang baru tiba, dia akan mengelap sampai bersih dan memeriksa
sekiranya ada bahagian yang rosak dan perlu diperbaiki.
Pertanyaan itu
tidak terus dibalas Luqman kerana dia sendiri tidak pasti. Walaupun meja kecil
itu mempunyai tiga buah laci, dia sendiri tidak tahu sama ada lacinya
benar-benar boleh dibuka ataupun sekadar hiasan semata seperti yang terdapat
pada sesetengah perabot.
Dia bergumam.
Setelah mencuba beberapa kali, ternyata laci yang di tengah tidak boleh dibuka.
Berbeza sekali dengan dua buah laci di kiri dan kanan. Akhirnya dia membuat
kesimpulan.
“Bukan laci.
Perhiasan sahaja.”
Dia berdiri semula
namun matanya tidak lekang dari memerhati meja itu. Sejak kali pertama melihat
meja itu di dalam stor milik datuknya, dia sudah jatuh hati. Bagi dia, meja itu
mempunyai keunikan dari segi bentuk dan rupa. Tentu harga yang boleh diletakkan
tinggi. Tetapi sebelum itu dia mahu membuat sedikit penyelidikan untuk
mendapatkan anggaran harga dan sedikit panduan. Mungkin boleh juga dia bertanya
kepada beberapa orang kawannya yang merupakan peminat barangan antik.
“Tak ada apa-apa
yang rosak. Semuanya elok.”
Setelah membuat
pemeriksaan dengan teliti, Lina membuat kesimpulan. Sememangnya meja kecil itu
tidak ada cacat cela kecuali warnanya agak kusam dan mempunyai aura yang gelap.
“Cuma mungkin
perlu digilap sikit supaya berkilat. Kalau macam ni... nampak macam...” Lina
tidak tahu bagaimana mahu menjelaskan. Setiap kali dia memandang lama meja itu,
seperti fikirannya ditarik masuk ke alam yang gelap gelita. Hatinya rasa tidak
selesa dan tidak suka.
Luqman tidak membantah
pendapat Lina. Dia juga mempunyai pendapat yang sama.
“Kita angkat ke
belakang dulu.”
Tanpa berlengah,
Luqman pegang buju meja. Pada waktu itu dia berharap masalah tadi tidak
berulang lagi. Mujurlah keadaan baik-baik sahaja cuma sewaktu mereka bergerak;
meja itu berbunyi seperti ada sesuatu di dalam laci. Spontan Luqman menurunkan
meja itu ke lantai.
“Bunyi apa tadi
tu?” Dia pandang Lina.
“Macam ada benda
dalam laci tapi...” Lina buka kedua-dua buah laci tetapi kedua-duanya kosong.
Akhirnya dia mendongak memandang Luqman.
Luqman dapat
menangkap maksud pandangan Lina. Itu bermakna ada sesuatu di dalam laci tengah
yang tadi disangkakan hanyalah perhiasan semata.
Dia terus duduk
bertinggung di sebelah Lina. Laci tengah diperiksa semula dan cuba dibuka buat
sekian kalinya tetapi tetap gagal.
“Baca Bismillah
dulu, bos.” Lina mengusik.
Hati Luqman
tercuit. Dibaca Basmallah namun laci itu tetap begitu juga. Kemudian dia
terperasan sesuatu.
“Laci ni dah
digam.” Itulah penemuannya. Baru kini dia tahu kenapa laci itu tidak boleh
dibuka.
“Digam?” Lina
kehairanan. Dia menjeling Luqman. “Habis tu... apa kita nak buat? Umpil?”
Luqman termenung.
Dia tidak sangka akan berhadapan dengan masalah itu.
“Letak dulu dalam
bilik saya. Nanti saya cuba buka.” Dia terpaksa ketepikan dahulu soal itu. Dia
perlu menyelesaikan beberapa masalah lain yang lebih ringan.
Dengan bantuan
Lina, meja itu dipindahkan pula ke dalam ofis Luqman.
Sewaktu Lina mahu
menutup pintu ofis, dia terdengar bunyi kanak-kanak ketawa. Spontan dia
tergamam. Bulat matanya menerawang ke sekeliling ofis mencari sumber bunyi;
namun tidak kedengaran apa-apa pula. Apabila dia mahu menutup pintu buat kali
kedua, bunyi itu kedengaran lagi. Kali ini ketawa dan mengekek kuat.
Cepat-cepat dia
menjauhi bilik itu. Menggermang bulu tengkuknya.
*****
PUKUL tujuh malam.
Hujan sedang turun mencurah-curah di luar. Suasana yang dingin dan gelap
menjadikan kawasan perniagaan di situ sunyi walaupun kenderaan masih bertali
arus di atas jalan.
“Encik Luqman tak
balik lagi?”
Lina menegur
Luqman yang masih duduk di dalam ofis. Walaupun dia tahu Luqman sudah berkahwin
namun entah kenapa lelaki itu tidak seperti orang yang sudah berkahwin
lagaknya. Selama bekerja di situ dia belum pernah melihat Luqman tergesa-gesa
ingin balik seperti lelaki-lelaki lain.
Malah, dia belum
pernah sekalipun melihat wajah isteri dan anak-anak Luqman. Dia hanya mengenali
ayah mentua Luqman, Pak Yusuf kerana orang tua itu kerap juga datang bersembang
di situ.
“Baliklah dulu,”
balas Luqman tanpa mengalih muka dari skrin.
Sejak tadi dia
leka melayari internet untuk mencari beberapa maklumat mengenai beberapa perabot
yang baru tiba termasuklah meja kecil yang aneh itu. Namun tidak banyak
maklumat yang ditemui.
“Pagi esok saya
datang lambat sikit.” Lina mengingatkan hal yang penting itu. Semalam sudah
dimaklumkan hal itu kepada Luqman tetapi dia takut Luqman terlupa. “Nak
temankan mak pergi hospital. Selepas itu kalau tak ada hal lain, saya datang.”
“Okey.” Luqman
acuh tidak acuh menjawab.
Menyedari keadaan
itu, Lina meninggalkan ofis. Helmet yang disimpan di dalam salah sebuah almari
hias di situ diambil lalu disarung ke kepala. Walaupun terpaksa mengharungi
hujan dia terpaksa pulang. Ibunya bersendirian di rumah.
Setelah beberapa
lama menatap skrin komputer, Luqman berasa bosan. Apa yang dicari di internet
tidak ditemui. Akhirnya dia tinggalkan komputer. Dia capai telefon bimbit lalu
keluar ke ruang hadapan. Tanpa berlengah, dia mengambil beberapa keping gambar perabot
yang baru tiba tadi dari beberapa sudut menggunakan telefon bimbit. Setelah
berpuas hati dengan semua gambar yang diambil, dia kembali semula ke dalam
ofis.
Dia ambil pula
beberapa keping gambar meja kecil tadi dari arah hadapan, sisi dan atas.
Apabila diperiksa semula, semua gambar yang diambil sama ada bergoyang, kabur
ataupun gelap bagai ditabiri kain hitam. Berkali-kali dicuba namun hasilnya
tetap sama. Dia mengeluh dan mengalah.
Semasa duduk di
hadapan meja kecil itu, matanya tertancap ke arah laci yang ditengah-tengah.
Hatinya bagai dipanggil-panggil untuk membuka laci itu. Ligat fikirannya
berfikir mencari jalan untuk membukanya tanpa menggunakan kekasaran kerana
bimbang meja itu rosak dan turun harga pasaran. Akan tetapi hatinya didorong
kuat untuk tidak mengendahkan semua itu.
Lantas dia
berjalan laju ke stor mencari alat yang boleh digunakan. Kotak peralatan
diselongkar dengan kasar sehinggalah dia terpandang sebatang pemutar skru yang
besar. Tanpa berlengah dia berlari anak ke dalam ofis dan mula mengumpil laci
itu tanpa putus asa.
Krak!
Akhirnya setelah
puas berusaha; laci itu terbuka sedikit. Terus diumpil lagi sehingga laci itu
benar-benar terpisah dari meja. Kemudian ditarik sehingga terbuka.
Matanya terus
menangkap kehadiran sebuah kotak kayu berukir halus. Bagai ada satu kuasa yang
menyuruh, Luqman mengambil kotak itu lalu membawanya keluar.
Kotak itu kemudiannya
diletakkan di atas riba; rasanya hangat bagaikan berdenyut dan bernyawa.
Kemudian dia terperasan sesuatu yang tidak kena.
Kotak itu tidak
boleh dibuka. Sekelilingnya dipaku dengan paku hitam sepanjang lima sentimeter.
Tidak terkira jumlahnya.
*****
LUQMAN memasang
telinga. Bunyi hujan di luar membuatkan dia tidak ada rasa mahu pulang. Lagipun
malam masih muda, fikirnya. Kalau pulang pun bukan ada apa yang dapat dibuat.
Keluarganya sudah
tidak seperti dahulu lagi walau isterinya Fatin, sedang hamil lima bulan. Memikirkan
hal itu, dia mengambil keputusan untuk berlama-lama di situ. Kotak kayu sebesar
tapak tangan itu lebih menarik perhatian.
Makin lama
direnung, makin teruja rasa ingin tahunya. Apatah lagi setiap kali kotak itu
dialih, ia mengeluarkan bunyi berdenting-denting bagaikan ada logam yang berlaga-laga.
Buka sahajalah
paku ini. Agaknya di dalam kotak ini ada barang berharga. Mungkin siling emas
atau barang perhiasan yang bernilai tinggi; suara hatinya memujuk. Lantas tanpa
berfikir panjang, dia membut keputusan untuk mencabut paku-paku itu satu per
satu.
Namun setiap kali
paku itu dicabut, tangannya menggigil bagai disengat arus elektrik. Akan tetapi
dek rasa teruja yang kuat, dia teruskan juga dengan sabar.
Setelah hampir dua
jam, semua paku dapat ditanggalkan. Luqman merehatkan jari-jemari yang sakit
seketika sebelum mengangkat penutup kotak dengan harapan yang menggunung
tingginya.
Sebaik sahaja penutup
kotak kayu itu diangkat, Luqman diterpa angin yang sangat kuat sehingga
tubuhnya tertolak ke belakang. Dia jatuh terlentang di tengah pintu. Bingung
dan terpinga-pinga. Apatah lagi pada waktu itu, lampu kedai dengan tiba-tiba
sahaja terpadam serentak. Dia kini berada di dalam gelap.
Dadanya berdebar
kencang. Baru sahaja hendak duduk semula, kedengaran seperti bunyi sekawan
lebah menghurung sarang. Berdengung-dengung diikuti dengan bunyi kaca dan
barang-barang dipecahkan.
Pada waktu itu
tubuh Luqman menggigil dan berpeluh. Dia tidak tahu apa yang sedang berlaku
tetapi dia mahu keluar dari situ secepat mungkin. Sedang meraba-raba mencari
jalan keluar; keadaan menjadi senyap. Lampu terpasang semula satu persatu.
Luqman berlari keluar.
Roller shutterditarik selaju mungkin
sehingga jatuh terhempas dan menghasilkan bunyi bising. Dia tidak peduli.
Setelah dikunci dia berlari pula masuk ke dalam kereta.
Sepanjang
perjalanan pulang, dia rasa tidak tenteram. Terasa juga bagaikan ada benda yang
mengejar namun dia tidak berani menoleh ke belakang.
*****
SEJAM setengah
selepas itu, Luqman sampai di rumah. Seperti biasa kepulangannya hanya disambut
dengan rasa sunyi dan ruang tamu yang gelap. Akan tetapi untuk malam itu dia
berasa lega kerana sekurang-kurangnya tidak ada sesiapa yang akan bertanya apa
yang telah menimpanya tadi. Dia belum bersedia untuk bercerita apa-apa.
“Abang dah makan?”
Pertanyaan Fatin
membuatkan air yang baru diteguk Luqman tersembur keluar. Dia tersedak-sedak.
Bajunya basah sedikit. Apabila dia menoleh ke sisi, Fatin masih di situ
memandangnya tidak berkelip.
“Dah,” balasnya
pendek sebelum bergerak menjauhi Fatin. Akan tetapi Fatin masih mengikutnya.
Dia hairan, kemudian teringatkan anaknya yang berusia sepuluh tahun.
“Wani mana?”
Fatin mengeluh
halus. Sambil tersenyum kelat dia mengerling dinding bilik dapur yang berwarna
gelap. Sayu hatinya.
“Dah pukul berapa
ni? Tentulah dah tidur,” jawabnya kemudian. Sekaligus melepaskan apa yang
terbuku di hati. Luqman memang biasa balik lewat setiap malam namun tidak
pernah selewat malam itu
Jawapan Fatin
membuatkan Luqman membelek jam tangan. Baru dia tahu, sudah dekat pukul dua
belas malam. Sejujurnya dia tidak sedar masa telah beranjak jauh. Dia rasa
bersalah.
“Abang ke mana?
Kenapa balik lambat sangat?”
Luqman tergamam.
Pertanyaan Fatin dirasakan ada unsur cemburu. Namun dia malas melayan hal itu;
nanti berpanjangan. Akhirnya dia tinggalkan ruang dapur.
“Abang! Kenapa tak
jawab?” Fatin tarik lengan Luqman.
Langkah Luqman
terhenti. Kepalanya terasa pening. Tubuhnya penat dan lesu. Dia hanya mahu
merebahkan badan ke atas tilam dan lelap sahaja.
“Sampai bila abang
nak hukum Fatin macam ni? Sampai Fatin mati?”
“Setiap kali abang
balik Fatin ajak bertengkar. Jadi buat apa abang balik awal?”
Luqman mengeluh. Fatin
bangkitkan lagi hal yang cuba dielakkan sejak dua tahun yang lalu. Malah kalau
boleh dia tidak mahu mengingatinya langsung. Disebabkan itu dia cuba
menyibukkan diri sepanjang masa. Hanya dengan itu dia percaya dia dapat
melupakan sedikit apa yang telah menimpa anak sulung mereka, Amran.
“Fatin bukan ajak
bertengkar tapi abang tu yang buat Fatin macam tak wujud. Fatin pun ada
perasaan juga. Fatin pun rasa bersalah juga. Tapi sikap abang membuatkan Fatin
rasa sangat teruk.”
Fatin luahkan
segala apa yang terbuku di dada. Dia tidak dapat lagi bersabar dengan suaminya
yang semakin lama semakin menjauh. Makin dipendam makin membiak-biak rasa
sedihnya. Sayangnya Luqman hanya buat tidak tahu.
“Abang!” Suara Fatin
meninggi. Dia pandang muka suaminya lama-lama. Muka itu nampak sungguh
berserabut dan kusut. “Abang tak boleh terus macam ni. Kita kena berbincang,
bang.”
Luqman menggeleng.
Dia lepaskan pegangan tangan Fatin sebelum dia melangkah laju naik ke tingkat
atas sebelum menghempas pintu sekuat-kuatnya. Dia belum bersedia.
Tidak dia sangka
pada malam itu, Fatin hampir mati.