ASAP colok menerewang
ke seluruh ruang tamu rumah banglo dua tingkat itu. Baunya yang kuat menusuk ke
hidung seorang wanita berbangsa Cina yang setia berdiri menghadap sebuah gambar
di situ. Suasana malam yang sunyi itu hanya diserikan dengan bunyi putaran kipas
angin dan juga kenderaan yang lalu lalang di luar rumah besar itu. Tiada
sesiapa di situ yang menemaninya melainkan kesepian yang mencengkam jiwa.
Gambar tersebut masih setia ditatap oleh wanita itu.
Sesekali air mata seperti menyerbu ke dada dan cuba ditahan daripada turun
membasahi lantai. Colok yang dinyalakan dan dipacakkan di tepi gambar seorang
gadis yang sedang tersenyum manis itu mengeluarkan asap yang membawa bersama
bauan yang dihidu dan diserap ke dalam paru-parunya. Hatinya walang.
Tangannya
mengusap-usap gambar gadis comel yang sedang tersenyum itu dengan perasaan hiba
yang tidak mampu digambarkan dengan kata-kata. Tetapi dia tahu, walau sesedih
mana pun dia, gadis comel itu tidak akan kembali lagi kepadanya. Satu
penyesalan yang harus dibayar atas segala kesilapan yang pernah dia lakukan
dahulu.
“Mama minta maaf sama lu, Carla. Mama berdosa sama
lu.”
Air mata yang ditahan akhirnya tewas juga. Titisan
manik jernih menuruni kelopak matanya dengan laju lalu menjamah pipi kusamnya.
Esak tangis yang ditahan akhirnya terburai juga. Perlahan-lahan dia terduduk di
situ di hadapan gambar mendiang anaknya yang sudah tujuh hari meninggalkannya.
Sunarti yang sedari tadi memerhatikan tingkah laku
majikannya juga tidak dapat menahan rasa hiba. Namun dia tidak berani untuk
memujuk majikannya. Lalu dia melangkahkan kaki menuju ke dapur rumah banglo itu
untuk menyelesaikan tugasnya. Biarlah majikannya reda sendiri.
Ingatannya pada Carla juga seperti ingatan majikannya
terhadap mendiang. Sesekali hatinya sayu apabila mengenangkan keletah manja
Carla walaupun sering disisihkan oleh majikannya. Namun apakan daya, usianya
tidak panjang. Itu lebih baik buatnya daripada terus diseksa oleh ibunya, fikir
Sunarti.
Khor mencari sedikit kekuatan untuk bangkit daripada
duduknya setelah kakinya merasa kebas akibat bersimpuh terlalu lama. Sebaik dia
berjaya berdiri, dia melangkah menuju ke bilik tidurnya yang terletak di
tingkat atas.
Pintu bilik tidurnya ditolak perlahan sebelum matanya
menjamah isi kamar yang sunyi. Sungguh dia merasa sunyi. Tiada lagi Carla.
Tiada lagi Edward. Hanya dia keseorangan di situ. Mengingatkan itu, hatinya
menjadi semakin walang.
Langkahnya dihalakan ke arah meja solek yang
tersergam indah di penjuru bilik mewah itu. Khor menarik kerusi kecil di
hadapannya dan melabuhkan punggungnya di situ. Dia mengusap rambutnya yang
panjang mengurai perlahan-lahan. Fikirannya terbuang pada masa silam.
“I tak boleh hidup dengan you lagi.”
Edward berdiri membelakangi Khor setelah menuturkan
ayat itu. Khor mencelikkan biji matanya luas-luas. Serasa tidak percaya dengan
apa yang dia dengar sebentar tadi.
“Tapi apa salah I?”
Khor mendesak untuk sebuah jawapan sekiranya benar
Edward sudah tidak mahu hidup bersama-samanya lagi. Walau pahit untuk Khor
terima, tetapi dia harus telan segalanya.
“You tahu kenapa, jadi jangan tanya sesuatu yang you
dah tahu sebabnya.”
Edward menjawab seraya meninggalkan Khor seorang diri
di situ yang semakin sakit hatinya diperlakukan sebegitu oleh Edward.
Ingatan Khor terputus di situ apabila telinganya
seperti menangkap satu suara seperti memanggilnya. Suara seakan-akan milik
Carla. Khor meletakkan sikat rambut yang sedang dipegangnya ke atas meja seraya
menapak menuju ke kamar Carla.
Suis bilik segera ditekan dan serta-merta bilik itu
menjadi terang-benderang. Tiada siapa yang berada di bilik itu. Tiada siapa
yang memanggilnya. Suasana sunyi semakin menghimpit jiwa Khor.
Sebuah anak patung yang terbaring kaku di situ
menarik perhatian Khor untuk menghampirinya. Tangan lembut itu mencapai anak
patung itu dan dibawa ke dadanya. Dia mendodoikan anak patung itu seperti dia
mendodoikan Carla walaupun hakikatnya dia tidak pernah memanjakan Carla
sebegitu ketika hayatnya. Anak patung kesayangan Carla itu dipeluk erat seperti
tidak mahu dilepaskan.
Anak patung itu dikelek masuk ke kamar tidurnya.
Tubuh anak patung yang bersaiz kanak-kanak berusia dua tahun itu diletakkan
perlahan ke atas katil.
Khor berjalan menghampiri almari pakaiannya dan
mengeluarkan sebuah kotak yang diperbuat daripada rotan mengkuang. Dia menarik
kotak tersebut keluar daripada almari itu dan berjalan semula menghampiri anak
patung yang masih terbaring kaku di situ.
Matanya memerhatikan wajah anak patung itu seraya
tersenyum. Kotak rotan mengkuang itu dibukanya perlahan dengan mata yang
bersinar-sinar. Demi menebus kesalahannya kepada mendiang anaknya, dia ingin
mengabadikan sesuatu kepada anak patung yang pernah menjadi kesayangan Carla.
Dia mahu Carla sentiasa ada di sampingnya walau hakikat Carla sudah pergi
meninggalkannya.
Isi perut kotak rotan mengkuang itu ditatapnya sekali
lagi lalu tangannya menarik segumpal rambut mendiang Carla yang sempat di ambil
sebelum upacara membakar mayat mendiang dilakukan tujuh hari lepas. Gumpalan
rambut itu disembunyikan di dalam saku bajunya secara senyap-senyap. Senyuman
terukir di wajahnya tatkala menatap gumpalan rambut Carla di dalam
genggamannya. Tangannya pantas mencapai jarum dan benang yang disisip kemas di
dalam kotak itu.
Sehelai baju gaun yang dijahit khas untuk anak patung
itu dengan menggunakan cebisan pakaian yang dipakai oleh Carla pada hari
kematiannya diletakkan di sebelah kotak rotan mengkuang itu. Khor memasukkan
benang berwarna hitam pada lubang jarum itu dengan teliti.
Helaian rambut itu dicapai lalu disusun di antara
rambut yang bertocang dua di kepala anak patung itu. Seutas gegelang ikat
rambut yang diperbuat daripada kain di ambil lalu rambut anak patung yang sudah
bercampur dengan rambut mendiang anaknya diikat bersama-sama. Ikatan itu
dikukuhkan dengan jahitan benang hitam di sekelilingnya.
Khor tersenyum lebar apabila melihat ikatan kemas
pada rambut anak patung itu. Separuh daripada diri Carla seolah-olah kembali
dekat dengannya. Baju gaun berwarna merah jambu lembut itu disarungkan ke badan
anak patung itu.
Khor memeluk anak patung itu erat-erat seperti dia
memeluk mayat Carla di hari kematiannya. Hatinya merasa gembira. Dia akan
menjaga anak patung itu sepertimana Carla menjaganya ketika hayat Carla masih
ada. Tanpa Khor sedari, kesan darah kering masih ada di helaian rambut mendiang
Carla. Dan darah itu kelihatan seperti kembali berdenyut.
Anak patung yang diberi nama Marie oleh Carla itu
disimpan elok-elok di atas meja yang disusun dengan barang-barang kesayangan
Khor. Lampu bilik itu kemudiannya dipadamkan dan Khor membaringkan dirinya di
atas katil di bilik itu. Matanya dipejamkan. Seketika, hujan lebat kedengaran
menujah bumi di luar sana. Suasana dingin membaluti malam itu.
Kilat memancar dan menerangi bilik Khor seketika.
Anak patung yang tersandar kaku itu dipanah sinaran kilat yang sedang menggila.
Cahaya memancar daripada bebola hitam anak patung itu. Seketika, kelopak mata
itu berkedip-kedip. Marie seakan-akan hidup!