PROLOG
NANA membatukan dirinya
di dalam kamar kecil itu. Senja kian menjengah tiba. Cahaya jingga menyelinap
masuk ke dalam kamar itu melalui celahan tirai jendela. Air mata sudah kering
di pipinya.
“Awak sedih?” sapa satu suara yang tiba-tiba muncul
di sebelahnya.
Nana menoleh ke arah suara itu. Puteri tersenyum
memandangnya. Matanya terpaku pada raut wajah yang pucat di hadapannya. Puteri
sudah kembali! Raut wajah gembira menghiasi wajah comel itu. Nana menganggukkan
kepalanya sambil memandang wajah Puteri. Dia sungguh merindui Puteri.
“Saya sedih. Papa selalu pukul saya. Papa tak
sayangkan saya,” ucap Nana perlahan. Pandangannya dihalakan ke wajah Puteri.
“Kalau awak sedih, saya pun sedih. Janganlah sedih,”
pujuk gadis itu lagi. Nana menguntumkan senyuman paksa. Dan mereka sama-sama
tersenyum memandang satu sama lain.
“Awak nak ikut saya pergi ke satu tempat tak? Takde
siapa yang akan pukul awak lagi lepas ni. Dan yang penting, tiada siapa yang
boleh pisahkan kita lagi selepas ini,” gadis beraut wajah pucat itu sekali lagi
bersuara.
Nana termangu seketika sebaik mendengar pelawaan
gadis kecil itu. Perlahan-lahan dia menganggukkan kepalanya. Puteri tersenyum
senang.
Nana membuka pintu utama kondominium itu
perlahan-lahan. Ibunya tiada di situ. Ke mana ibunya pergi pun tidak diketahui
oleh Nana. Puteri masih setia di sisi Nana. Nana mengikut arah tuju yang dibawa
oleh gadis kecil berwajah pucat itu.
Butang lif segera ditekan. Nana berdiri tegak di
hadapan pintu lif tersebut sambil memimpin tangan Puteri dengan erat.
Ting!
Pintu lif itu terbuka luas di hadapan Nana dan Puteri.
Gadis kecil berwajah pucat itu memimpin tangan Nana masuk ke dalam lif. Seketika,
kedua-dua mereka hilang daripada pandangan.
Pandangan Nana terarah pada sebuah kolam renang yang
disediakan untuk orang dewasa di hadapannya. Sesekali keningnya berkerut rapat.
Pelik, Puteri nak bawak aku pergi mana, soal Nana di dalam hati.
Gadis kecil berwajah pucat itu menghulurkan tangannya
ke arah Nana. “Awak janji nak ikut sayakan?” soalnya sambil tersenyum. Nana
merenung tepat ke wajah gadis kecil di hadapannya. Kepalanya dianggukkan
perlahan-lahan.
“Tapi, awak nak bawa saya ke mana?” Nana memandang
Puteri. Dia tidak pernah datang ke kolam renang itu bersama-sama dengan Puteri sebelum
ini. Puteri tersenyum sumbing.
Tangannya diangkat dan jarinya dihalakan ke dasar ,kolam
renang itu. “Saya nak bawak awak pergi situ,” satu senyuman dilemparkan ke arah
Nana.
Nana memandang wajah pucat gadis itu dengan pandangan
yang penuh kehairanan. Gadis kecil berwajah pucat itu masih tersenyum.
Perlahan-lahan dia menghulurkan kedua-dua belah tangannya kepada Nana. Nana
menyambut tangan itu sambil tersenyum.
“Tiada siapa yang akan pisahkan kita lagi selepas
ini. Kita akan bersama-sama selama-lamanya,” ucap Puteri dengan senyuman manis
tersungging di bibirnya.
BUMMM!!! Percikan air memercik membasahi pinggiran
kolam renang itu. Air kolam itu berkocak ganas…