Home Novelet Keluarga Veteran superstar
Veteran superstar
Nik Zah
23/11/2017 16:32:39
82,387
Kategori: Novelet
Genre: Keluarga
Bab 17

Maznah sudah pun menangis mengongoi-ngongoi sambil ditenangkan oleh Seha iaitu isteri kepada Mail. Sofea yang juga duduk bersebelahan dengan ibunya juga tidak terkata apa apabila melihat keadaan ibunya yang sedemikian rupa. Sehingga kini masih tiada khabar berita mengenai Zaki dan Nazrul. Sofea juga cemas. Ke mana pula ayah dan abangnya itu pergi? Tidak pernah pula mereka berdua melakukan perangai seperti ini sebelum ini. Sesekali Sofea melihat handphone cabuknya. Manalah tahu kalau-kalau ada panggilan daripada abangnya itu yang dia tidak perasan. Memang jarang benar abangnya itu ingin menelefonnya melainkan menggunakan telefon rumah sahaja. Tetapi dalam keadaan seperti ini manalah tahu jika Nazrul menelefonnya pula. Bukannya dia tidak cuba menghubungi abangnya itu. Sudah berkali-kali tetapi tidak berjawab.

            “Balik lah dulu Maznah,Sofea..Mana la tahu kalau Zaki dah balik. Nanti dia pulak tercari-cari kamu berdua. ” Pujuk Mail yang agak kasihan melihatkan keadaan Maznah yang masih lagi teresak-esak.

            “Ya lah, mungkin betul dia merajuk dengan saya. Entah-entah dia dah pergi Kuala Lumpur dengan Along!”Makin kuat tangisan Maznah.

            Memang sudah beberapa kali Zaki pernah menyebut mahu ke Kuala Lumpur dan tidak mahu pulang-pulang lagi tetapi Maznah tidak menghiraukannya dan menganggap bahawa Zaki sekadar mahu melepaskan geram sahaja tetapi dia tidak menyangka kini suaminya telah betul-betul mengotakan kata-katanya.

            Sofea tersentak apabila tiba-tiba sahaja handphone di tangannya berbunyi. Sebaik sahaja melihatkan nama Along di skrin, segera dia menekan button accept. Sempat dia memberitahu kepada ibunya tentang panggilan telefon tersebut sebelum menjawabnya. Berdebar-debar Sofea menjawab panggilan sambil diperhatikan oleh Maznah dengan penuh pengharapan.

***

Kebelakangan ini Zaki sudah tidak banyak bercakap seperti sedia kala tetapi cerewetnya masih lagi tidak hilang. Sejak peristiwa yang berlaku tempoh hari  membuatkan Zaki jadi seolah-olah hilang semangat untuk meneruskan impiannya yang satu itu. Zaki juga tidak banyak bercerita tentang insiden itu melainkan Nazrul sahaja yang lebih banyak membuka mulut.


Kata Nazrul, lelaki bermotor itu terus sahaja datang secara tiba-tiba dan meluru ke arah Zaki ketika dia berada di tengah  jalan kononnya untuk menolong seorang perempuan buta melintas jalan. Nazrul sendiri tidak perasan wajah lelaki itu kerana sudah dilindungi dengan topi keledar. Akibat terkejut, Zaki dan perempuan buta itu terjatuh ke tengah jalan dan lelaki itu terus sahaja melarikan diri selepas percubaannya untuk meragut beg sandang perempuan butaitu tidak berjaya apabila disergah oleh Nazrul dan juga bunyi hon dari sebuah kereta lain . Mujur ketika itu jalan tidak sesak dengan kenderaan.

     “Amboi, baik hati betul  nak tolong perempuan tu kan.” Ada sedikit riak-riak cemburu dalam nada percakapan Maznah apabila mendengar cerita Nazrul manakala Zaki pula malas untuk membuka mulut.  

     “Tu la, biarkan lagi saya risau kat rumah sampai sanggup saya ke rumah Mail untuk tanyakan pasal abang. Buat sesuatu tak bagitahu saya, memang sengaja nak suruh saya marah.”

     “Yang awak ni sejak tadi membebel tak sudah-sudah ni kenapa? Tak kesian pada saya ke? Kaki saya ni dah la sakit, lagi awak nak biarkan hati saya pula yang sakit dengar awak membebel macam ni.”

Maznah menjeling Zaki yang sedang mengurut-urut kakinya yang katanyasengal-sengal akibat terjatuh. Bukannya dia tidak kasihan tetapi dia memang rasa geram dengan suaminya itu yang sedikitpun tidak menunjukkan perasaan bersalah. Menghilang tiba-tiba dan kembali juga secara tiba-tiba tetapi dengan kaki berjengket-jengket. Apabila Maznah bertanya, Zaki diam sahaja. Nasib baik Nazrul yang membuka mulut menceritakan segalanya. Zaki tidak perasan agaknya mata Maznah yang sudah pun bengkak akibat menangis risaukan tentang dirinya.

   “Along, buatkan ayah air barli.Jangan manis sangat. Suam-suam” pintaZaki kepada Along yang kelihatannya tidak selesa memerhatikan gelagat antara ibu dan ayahnya.

    “Eh eh..Along nak ke mana tu? “ tanya Maznah melihatkan Nazrul yang sudah pun bingkas bangun. Memang sejak tadi dia ingin melarikan diri dari situ tetapi sering terhalang dengan soalan-soalan bertubi-tubi daripada ibunya.

     “La..awak tak dengar ke saya yang suruh Along buatkan air barli?” pintas Zaki cepat-cepat

     “Tak payah. Nanti saya yang buatkan.Sejak bila pulak Along jadi tukang buat air ni? “ soal Maznah sinis. “ Ada benda lagi mak nak tanya ni..pasal hal kerja kamu” sambung Maznah denan nada yang serius.

Nazrul sudah mulai tidak tenang.

Previous: Bab 16
Next: Bab 18

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.