Home Novelet Keluarga Veteran superstar
Veteran superstar
Nik Zah
23/11/2017 16:32:39
82,362
Kategori: Novelet
Genre: Keluarga
Bab 15

Hari sudah menginjak ke petang. Maznah mundar mandir di hadapan rumah kemudian masuk semula ke dalam rumah. Apabila terdengar sahaja bunyi enjin kenderaan cepat-cepat dia memanjangkan leher menjenguk keluar rumah kalau-kalau  suami dan anaknya sudah pulang. Wajah Maznah kelihatan cemas. Mulutnya juga tidak henti-henti berdecit. Geram juga dia dengan Nazrul yang menurut sahaja ke mana ayahnya ingin pergi. Diam-diam hilang pula tu. Memang kedua-dua beranak itu seperti sengaja ingin memancing amarah Maznah.

            Maznah juga tidak sempat untuk berbual dengan Nazrul memandangkan dia sukar benar untuk melihat kelibat Nazrul walaupun ketika Nazrul bercuti. Bukannya tahu duduk di rumah.Ada-ada sahaja aktivitinya itu. Maznah juga turut perasan bahawa kerap pula anak lelakinya itu pulang bercuti kebelakangan ini tetapi pulangnya itu bukan kerap berada di rumah. Maznah mengeluh perlahan.Mujur ada Sofea yang dapat juga menemaninya di kala sunyi.

Maznah melihat jarum jam. Maznah tidak senang duduk dan segala-galanya menjadi serba tak kena apabila fikirannya terus-terusan memilirkan suaminya.

            ‘Merajuk ke suami aku tu? Teruk sangat ke kata-kata aku hari tu?’ Maznah berteka-teki dengan dirinya sendiri.

            Memang Maznah sudah lama geram dengan perangai suaminya itu yang sejak muda lagi suka menyanyi.Maznah sangkakan hobi suaminya itu akan berhenti seiring dengan umurnya yang semakin menginjak tua tetapi nampaknya sekarang ini perangai Zaki semakin menjadi jadi. Pelbagai petua berkaitan suara diamalkan Zaki sehinggakan Maznah sendiri sudah tidak terkata apa dengan suaminya itu. Banyak sungguh pantang larangnya lebih-lebih lagi bab makanan. Makanan bergoreng juga menjadi isu.Sekarang suaminya mahu makanan yang direbus-rebus sahaja dan tidak suka makanan bergoreng. Pening kepala Maznah dengan permintaan suaminya itu yang dikira agak keterlaluan.

            “Assalamualaikum!”

Maznah terus sahaja meluru ke muka pintu dan harapannya menggunung agar itu ialah suara Zaki atau Nazrul tetapi baru sahaja dia menjengah keluar,bukanlah seperti yang dia harapkan.

            “Mak cik, saya nak pulangkan gitar Nazrul ni. Tergesa-gesa sangat nampaknya dia tadi sampai gitar pun tertinggal.” Saiful menghulurkan gitar milik Nazrul dan beberapa saat kemudian gitar bertukar tangan.

            “Ayah dah balik ke mak?” tanya Sofea yang terus sahaja meluru keluar tetapi agak terperanjat melihatkan Saiful yang berdiri di hadapan ibunya. Cepat-cepat dia menyorok semula di balik pintu.

            Saiful sempat terpandang Sofea yang kelihatan agak kalut menyembunyikan diri sebentar tadi.Dalam diam Saiful tersenyum melihatkan aksi spontan Sofea yang baginya cukup comel.

            “Tadi Nazrul bagitahu ada hal penting sebab tu dia tergesa-gesa balik. Sebenarnya hal apa tu makcik?” tanya Nazrul yang sejak tadi tertanya-tanya tentang Nazrul. Selalunya bila mereka bertiga berkumpul, Nazrul orang yang paling lambat untuk pulang.

            “Haa..elok sangatlah kau ni datang. Mana Nazrul pergi sebenarnya ni? Sampai sekarang tak balik-balik lagi?” soal Maznah tidak menjawab soalan awal daripada Saiful.

            “Eh eh mak cik ni. Saya tanya mak cik, mak cik tanya saya balik. Mana la saya tahu Nazrul pergi mana.Sebab tu saya tanya mak cik. Ok lah mak cik, saya balik dulu lah.” Saiful sudah bersiap sedia untuk pulang tetapi cepat-cepat dihalang oleh Maznah.

            “Sekejap. Jangan balik dulu. Pea!” Maznah lantang memanggil nama Sofea sedangkan Sofea hanya berada dibalik pintu mencuri-curi dengar perbualan mereka berdua.

            “Ye..ye mak..” Sofea menjengulkan sedikit kepalanya.

            “Buatkan air untuk tetamu kita ni. Ada nak buat sesi interview sikit ni.” Maznah merasakan bahawa inilah masa yang sesuai untuk mengorek rahsia mengenai anak terunanya yang satuitu.

            “Interview?” Saiful menggaru kepala.

Previous: Bab 14
Next: Bab 16

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.