Home Novelet Alternatif KHADAMKU
KHADAMKU
meddmenov
25/11/2022 07:00:29
34,255
Kategori: Novelet
Genre: Alternatif
Bab 1

Di sini para peniup lain dipisahkan oleh debu-debu merah yang tidak pernah hilang. Satu-satu peniup akan melutut di atas tanah masing-masing yang disokong oleh akar Manhaman yang panjang berjela dan bercabang-cabang itu dan tangan mereka akan diikat kedua-dua belah pada pokok.

 

Aku tahu dari kata-kata Manhaman berkenaan ‘peniup-peniup lain’, telah mengisyaratkan kewujudan peniup lain di sini. Tentang mengapa aku tidak diberi peluang berhubung dengan mereka, aku tidak tahu.

 

Aku tidak puas hati dengan madu. Aku dengar dari Nahmaran, ada biskut dan piza di sini. Aku mahu biskut. Jika engkau mampu meniup sepuluh kali sehari, biskut akan digugurkan. Aku mahu biskut. Jika engkau melepasi sepuluh kali, pangkat engkau akan dinaikkan dari Marhaein kepada Khadam Kiri. Itu yang diberitahu dalam taklimat oleh Nahmaran sewaktu hari pertama aku di sini.

 

Ada tiga peringkat Khadam di sini.

 

Khadam Kiri, Khadam Kanan, dan Khadam Besar. Khadam Besar melapor kepada Manhaman secara terus. Manhaman selalunya tidak akan berbicara langsung dengan aku yang berpangkat Marhaein, dia hanya mendengar dan berbicara dengan Khadam Besar yang menyeliaku. Namun dalam kes-kes tertentu, sebagai contoh jika engkau mampu melakukan peniupan pada kadar luar biasa sepertiku, dia akan memujiku terus.

 

Aku tahu, Manhaman mula berminat denganku.

 

Ah, aku kepingin benar naik pangkat kepada Khadam Kiri. Dengan jawatan itu, aku akan diberi piza pula. Oh, sudah lama aku tidak makan piza yang berkerak keju meleleh lemak berkrim disukai ramai. Yang pabila ditarik keluarlah gentian-gentian putih berkilau berasap menanti ditarik gigi dan dikemam dan ditelan mengenyangkan sungguh enak.

 

Oh, piza. Di mana aku boleh mendapatkanmu?

 

“Tiup lagi. Kenapa kau berhenti, ha?” Kedengaran suara seorang perempuan tua berusia lewat empat puluhan. Oh aku ingat. Itu suara Khadam Besar yang mengawalku. Namanya Nahmaran.

 

Nahmaran ialah sejenis pokok yang juga berwajah pada batangnya, sama seperti Manhaman. Namun akarnya hanya menjalar ke bawah akar pokok di mana aku digantung dan menampung menyokong tanah di bawahnya, bersama-sama akar Manhaman. Akarnya tidak cukup panjang seperti akar Manhaman maka hanya mampu menampung beberapa orang peniup lain selainku. Juga, air tidak mengalir dari bawah pokok Nahmaran dan membentuk sungai seperti Manhaman. Maka aku tidak melihat apa fungsi dan faedahnya dia berada di sini selain menyakitkan telingaku dengan teguran kosong yang tiada isi itu. Dan tanpa akarnya pun aku dan tanahku dan tanah peniup lain masih ditampung akar Manhaman. Memang kosong dan nirfungsi kewujudannya.

 

Namun Nahmaran ialah orang kuat, Khadam Besar paling disayangi Manhaman. Manhaman menyayanginya seperti bapa sayang kepada anak perempuan tunggal. Apa sahaja yang Nahmaran mahu, akan diutamakan Manhaman meskipun Khadam Besar lain turut mengingininya. Khadam Besar yang satu ini yang perlu ditatang bagai minyak penuh dalam dulang. Khadam Besar ini jantung hatinya.

 

Aku cuba memahami teguran Nahmaran sebentar tadi. Berhenti? Bila pula aku berhenti meniup? Bukankah aku sedang meniup sekarang?

 

“Aku masih tiup, Puanku Nahmaran.” Balasku. Tidak mahu melawan, aku menjelaskan kebenaran. Mata ada bukalah, telinga ada dengarlah, hati ada fahamilah, akal ada fikirlah. Tidak nampakkah aku mencungap meniup agar sungai mengalir ke lembah ini?

 

“Oh, sudah berani melawan ya? Baru dipuji Tuanku Manhamansedikit, dah naik tocang.” Balas Nahmaran.

 

“Aku tidak melawan, aku hanya menyatakan kebenaran.”

 

“DIAM! Berani engkau melawan orang tua sepertiku. Aku sudah lama di sini tahu? Engkau harus menghormatiku, bukan menjawab!”

 

Dah. Sudah datang lagi. Bermulalah leteran kosong. Di celah-celah hiruk-pikuk gundah-gulana haru-biru puing hati yang hancur dek leteran kosong entah apa di pagi hari itu aku cuba mencari menggeledah di mana salahku. Habis tenangku hari ini. Bila hati sudah sakit, maka meniup pun jadi caca-marba. Semangatku untuk terus meniup sehingga petang kian pudar. Mujur Manhaman membuat bunyi keletak-keletuk*. Bunyi itu panjang dan merengsakan.

 

*Bunyi keletak-keletuk ini persis bunyi tukul di kamar hakim yang digunakan untuk menghentikan bising-bising. Ia dihasilkan dengan menggoncang sejenis kayu dalam mulut Manhaman.

 

Nahmaran berhenti labun. Dia menjeling Manhaman.

 

“Nahmaran, engkau nampak bukan dia sedang meniup? Usah mengganggunya.”

 

“Aku hanya menjalankan tugasku.”

 

“Aku faham. Cuba kaulihat peniup lain. Itu Si Isytrok.Tengah berdengkur lagi. Pergilah tegurnya.” Manhaman menyaran lembut. Sebodoh mana sekalipun perlakuan Nahmaran, meskipun tidak selayaknya dilakukan Khadam Besar sepertinya, hanya ditegur Manhaman dengan muka semanis gula dan suara selembut sutera. Aku menyimpan amarah dalam hati. Andai ada api yang boleh disembur mahu saja aku sembur wajah Nahmaran itu agar hangus hitam seperti arang.

 

Isytrok? Siapa bernama Isytrok? Aneh. Apakah Isytrok itu lahir di sini atau lahir di duniaku namun telah memakan pil aneh dari Thailand itu? Jika dia benar peniup sepertiku mengapa aku tidak dapat melihatnya?

 

Adila! Pil apa yang kaubagi pada hari itu? Aku mahu balik ke dunia. Aku mahu balik ke dunia! Aku tak mahu tinggal di sini!

 

Kedengaran suara Adila.

 

Abang, kau akan berada di situ sepuluh tahun. Jangan cuba keluar dari situ. Jika engkau keluar, engkau akan kembali ke situ untuk sepuluh tahun seterusnya. Saranku, tetapkan dirimu di situ. Sepuluh tahun sahaja bang, sepuluh tahun sahaja. Lepas itu kau akan kembali ke dunia kami. Semoga berjaya, abang sayangku, muah!

 

Sepuluh tahun itu lama, sayang!

 

Aku terjaga dari mimpi. Adila kini hanya hadir dalam mimpi-mimpi sahaja.

 

**

 

“Ini Puan Adila ya?”

 

“Ya, siapa ni?”

 

“Saya Encik Rozemy dari Jabatan Perisikan, pejabat Perdana Menteri. Puan isteri kepada Encik Abuzen?”

 

“Ya. Mengapa ya?”

 

“Kami diberitahu suami Puan telah terlibat dalam penggubahan wang haram.”

 

Apa jadah?

 

“Encik, saya tak tahu apa-apa berkenaan kerja suami saya.”

 

“Ya, sebab itu kami beritahu. Puan, bersedia ke Putrajaya esok?”

 

Adila melihat conteng-conteng pada kalendar lumba kuda di dinding pemberian kedai motosikal Ah Cheong. Anaknya yang berada di tingkatan empat sebuah sekolah asrama penuh bakal pulang lagi tiga hari. Bolehlah dia ke Putrajaya esok tanpa perlu hiraukan dia.

 

Jap. Boleh encik sahkan diri? Saya takut encik scammer.”

 

“Puan boleh check nama saya di website. Nama penuh saya Rozemy bin Salim, timbalan ketua pengarah perisikan Malaysia.”

 

Melopong Adila hampir menelan gagang.

 

“Saya tak kenal suara encik. Maklumlah sekarang ni scammer pun boleh menipu suara. Pakai AI kot.”

 

“Puan ada Whatsapp? Boleh buat panggilan video?”

 

“Ok boleh.”

 

Panggilan video Whatsapp pun dilakukan. Puan Adila masih tak mahu percaya. Dia minta pula pemanggil itu buat panggilan Microsoft Teams. Memang OCD betul.

 

Dan yang anehnya orang kayangan seperti Encik Rozemy sudi pula menurut apa sahaja kemahuan Adila. Pegawai kerajaan selalunya tidak akan melayan lebih-lebih permintaan orang yang dipanggil, meskipun mereka hanya taraf macai sahaja. Kalau layan pun sekadar cukup syarat sahaja.

 

“Baiklah, saya percaya Encik Rozemy dari perisikan. Tapi kenapa encik telefon saya terus? Encik bukan ke orang kayangan – er, maaf, orang besar juga kan?”

 

“Sebab jumlah penyelewengan suami Puan terlalu besar. Kami perlu contact Puan terus. Ada perkara yang kami perlukan Puan sendiri langsaikan.”

Previous: Prolog
Next: Bab 2

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh meddmenov