Home Novelet Alternatif KHADAMKU
KHADAMKU
meddmenov
25/11/2022 07:00:29
35,592
Kategori: Novelet
Genre: Alternatif
Bab 2

Adila bertemu Encik Rozemy di pejabatnya di Putrajaya esoknya.

 

Tatkala di hadapan mata barulah dia percaya Encik Rozemy bukan scammer.

 

Tatkala itu juga keseriusan mula bersarang di hati. Benarkah suaminya penjenayah? Kala dia sibuk semalam menggeladah bukti Encik Rozemy bukan scammer, suaminya pula dituduh sebagai scammer besar-besaran. Bukan taraf juta lagi, biliun-biliun bang!

 

“Puan Adila, biar saya terus terang. Suami Puan telah disabitkan kesalahan. Kami punya bukti.”

 

Adila tidak dapat menahan rasa terkejut.

 

“Apakah dia akan dipenjarakan?”

 

“Tidak. Namun kami punya hukuman lain. Ini.” Rozemy menolak sejenis pil dalam sampul.

 

“Kos penjara di Malaysia sudah meningkat. Penjara di Kajang pun dah penuh. Bekas menteri-menteri kita yang kena penjara semua kita letak di sana. Kos renovate penjara untuk mereka pun tambah jahanamkan kewangan kita, erm. Abaikan.”

 

Tersasul pula Encik Rozemy. Namun kesasulan itu diabaikan Adila, kerana ada perkara lain yang lebih meruntun perhatiannya.

 

“Pil apa ni?”

 

“Pil tidur. Suami puan akan ditidurkan selama sepuluh tahun.”

 

“Sepuluh tahun?”

 

“Ya. Sepuluh tahun tempoh penjara. Dalam tempoh itu Puan akan menjaganya. Kos semua Puan tanggung. Kos yang Puan tanggung itu juga sebahagian dari hukuman, di mana kami akan menolaknya dari ganti rugi yang suami Puan perlu bayar di atas jenayahnya.”

 

“Hah? Apa gilakah Encik mahu saya yang lakukannya?”

 

“Ya.”

 

“Encik, jika benar suami saya bersalah, saya rela serahkan kepada Encik sendiri lakukannya.”

 

“Tidak, Puan. Ia undang-undang. Ahli keluarganya perlu melakukannya. Dalam kes ini, Encik Abuzen hanya ada Puan selaku ahli keluarga terdekatnya.”

 

“Sebentar, apa rasanya penjara kalau dalam koma? Macam tak ada rasa penjara pun.” Adila cuba menebak sinis akan kewajaran hukuman itu.

 

“Tidak, suami Puan tidak koma. Dia akan mengalami mimpi panjang menurut saintis yang mencipta ubat ini. Dalam mimpi itu dia akan mengambil iktibar harapnya. Kami berharap dia berubah menjadi manusia yang lebih baik selepas tamat tempoh ‘penjara’.”

 

Adila berbolak-balik memikirkan dia bakal kehilangan suaminya selama sedekad. Bagaimana dia akan memberitahu perkara ini kepada anaknya yang masih remaja yang bapanya ‘dipenjara’. Adakah Abuyo anak tunggalnya itu akan bising-bising di Facebook yang bapanya terlalu kepingin minum minuman kegemarannya di penjara, seperti caramel machiatto?

 

Oh ya! Aku akan beritahu anakku bapanya cuma koma. Yes!

 

Sebentar, mengapa aku gembira tiba-tiba? Aku seharusnya ingkar permintaan Encik Rozemy. Suamiku jantung hati, apa benarkah dia melakukan jenayah itu?

 

“Puan, jangan cuba-cuba ingkar ya. Kami akan menghantar pegawai polis ke rumah Puan. Dan kami akan pastikan suami Puan benar-benar ditidurkan sebelum jam 12:00 malam esok.”

 

Meremang bulu roma Adila mendengar polis bakal ‘beraya’ ke rumahnya.

 

“Dan Puan usah risau, kami akan menghantar unit perubatan untuk tujuan nutrisi suami Puan sepanjang tempoh ‘penjara’. Semua kos nutrisi Puan akan tanggung. Doktor itu akan sarankan senarainya, dan Puan kena ikut.”

 

“Apakah polis itu datang dengan kereta polis dan seragam?”

 

“Oh tidak, tidak. Kami tidak akan lakukan perkara yang akan menimbulkan curiga jiran-jiran Puan.”

 

“Sebelum itu Encik Rozemy, boleh Encik dedahkan apa yang suami saya telah lakukan?”

 

“Boleh, boleh. Jom ikut saya ke bilik pembentangan.”

 

**

 

Aku melihat dari kejauhan, seorang lelaki juga diikat kedua belah tangan ke pokok. Tanah yang menampung pokoknya seolah sebuah pulau, dipisahkan oleh semacam laut. Namun aku pasti ia bukan laut, ia tanah yang lebih rendah daripada tanah yang menampung kami semua peniup.

 

Dia Marhaein pertama yang berjaya kukesan dengan mata kepala, tatkala kabut merah di hadapannya mulai memudar. Rupanya kami para Marhaein berada di atas tanah-tanah yang terpisah satu sama lain seperti pulau-pulau. Aku nampak Marhaein lain, turut sama diikat kedua belah tangan pada pokok, berbalam-balam di pulau-pulau tanah di belakang Marhaein pertama yang kulihat itu.

 

Satu Khadam Besar menjaga beberapa Marhaein dengan akar-akarnya menampung lebih dari satu pulau tanah. Manhaman menjaga semua tanah yang menampung semua kami dalam alam merah ini, termasuk semua Khadam besar, kecil, kiri dan kanan. Semua penjilat-penjilat itulah.

 

Aku lihat rantai yang mengikat Marhaein itu pada pokok lebur sedikit demi sedikit seperti garam selepas dia meminum sesuatu yang dititiskan pokok itu ke mulutnya. Pastinya bukan madu yang aku selalu dapat itu. Pastinya sesuatu yang berkhasiat.

 

Di duniaku dahulu apa minuman yang boleh meleburkan rantai? Tiada. Namun aku gemar kopi. Kopi meleburkan kantuk dan membuang rasa gugup. Kopi memberikan rasa euphoria dan perasan bagus, dan engkau jadi berani dan kurang malu ketika melakukan pembentangan. Kadangkala aku teguk juga minuman yang boleh menumbuhkan sayap, seperti Redbull. Namun aku tidak pernah ketemu minuman yang boleh meleburkan rantai.

 

Apapun, segala apa yang berlaku di dunia merah ini sungguh pelik dan aneh. Namun ada banyak sekali persamaan dengan dunia lepasku. Bos yang mulut jahanam, yang tahu komplen itu ini namun tidak melakukan sebarang kerja, bahkan menunggang menumpang kredit atas penat lelahmu. Bahkan ada sahaja yang tidak betul dan dimarahi pabila engkau melakukan kerja-kerjamu. Buat betul dimarahi, buat salah pun lagilah dimarahi.

 

“Eh termenung apa? Laporkan jadual engkau hari ini!” Bentak Nahmaran tiba-tiba. Pokok serupa mak cik itulah. Belum pukul tujuh setengah sudah dibentak.

 

“Baik, Puanku. Aku akan mula tiup jam lapan.” Aku telah ditugaskan meniup lima kali sehari selepas pencapaian luar biasaku yang lepas dipuji Manhaman.

 

“Habis, apa terhegeh-hegeh lagi? Bersedialah!”

 

Bersedia apa? Aku hanya perlu tiup sahaja loceng di hadapanku semudah kentut. Bersedia apa yang dimaksudkan?

 

Begitulah yang tidak aku fahami. Ada sahaja perkara yang tidak patut menjadi bahan, dijadikan bahan untuk membentak. Tak bolehkan Puanku melayan aku seperti manusia? Aku hanya seorang pekerja di sini. Aku meniup demi mengalirkan sungai-sungai itu. Tanpa aku, sungai itu tidak akan mengalir. Tanpa engkau, apakah sungai-sungai itu akan mengalir?

 

YA! Tanpa engkau, dunia ini masih berjalan, sungai itu masih mengalir! Di mana nilai kewujudanmu, Puanku Nahmaran? Aku berjaya disiplinkan diriku. Lalu mengapa aku masih perlu mendengar bentakan dan leteranmu saban hari untuk didisiplinkan? 

Previous: Bab 1
Next: Bab 3

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh meddmenov