Home Novelet Alternatif KHADAMKU
KHADAMKU
meddmenov
25/11/2022 07:00:29
34,255
Kategori: Novelet
Genre: Alternatif
Bab 5

“Abang bersabarlah.” Adila mengusap ubun-ubun suaminya yang sedang koma. Cecair berisi nutrien mengalir dari beg yang tergantung di atas katil yang menempatkan suaminya. “Ila tahu abang dikhianati. Peguam kita tengah usahakan. Dan setahun pun, masih belum ada hasil.”

 

Nutrien pada beg itu bertuliskan ‘biskut mentega’. Mengikut saranan doktor, menu biskut mentega akan diberikan pada tahun kedua ‘penjara’. Berdasarkan ujian darah, Abuzen sudah bersedia menerima menu biskut mentega. Jika keputusan ujian darah tidak mengizinkan, maka Abuzen akan dikekalkan menu madu.

 

Doktor akan datang setiap hari dan bilik Abuzen dipasang CCTV oleh polis. Jika Adila mahu keluar dari rumah, dia harus memberitahu polis. Jika dia cuba melarikan diri atau melarikan Abuzen, polis akan terbang dengan helikopter yang sudah sedia di balai berhampiran.

 

Abuyo anak mereka sedang sibuk mengulangkaji untuk SPM dan berada di asrama. Dahulu ketika pulang bercuti, dia agak terkejut. Balik-balik saja terus mendapat tahu bapanya koma, siapa pun akan terkejut bukan?

 

Abuyo perlahan-lahan dapat menerima kenyataan itu meski hati perit. Adila memberitahu bapanya koma akibat strok. Abuyo percaya bulat-bulat. Namun Abuyo hairan mengapa beg-beg nutrien atau drip bag yang dibekalkan aneh-aneh belaka. Ada perisa madu, perisa biskut mentega, perisa piza dan ayam goreng? Dan mengapa ada CCTV? Mengapa bapanya tidak ditahan di wad di hospital?

 

Abuyo tahu, ada sesuatu yang cuba disembunyikan ibunya.Dia mendiamkan diri, dia akan mencari jawapannya sendiri.

 

**

 

Anehnya, tangan aku yang sudah diikat setahun ini tidak pula kebas. Mungkinkah khasiat madu yang dititiskan saban hari itu? Atau biskut mentega?

 

Pabila aku berehat dan tidak berborak dengan Kinatiao dan Isytrok, fikiran aku mula menerawang. Aku mengingat kembali wajah-wajah isteri dan anakku. Aku memunggah kembali wajah Adila dari almari memori, dan kemudian wajah anak tunggal kami Abuyo. Sudah setahun aku tidak bertemu mereka. Ila sayang, Abuyo sayang, apa khabar kalian di sana?

 

Aku tersenyum sendirian. Wajah-wajah mereka meredakan perit dan sakit hati dengan tikaman lisan dari Nahmaran saban hari.

 

Abang tidak marah denganmu Ila, abang tahu engkau telah dipaksa menyerahkan pil itu. Abang percayakan engkau. Dan abang harap Ila tahu bahawa abang telah diperangkap. Abang berharap Ila lakukan sesuatu demi membawa abang keluar dari alam merah ini. Maafkan abang menyusahkanmu.

 

Aku mula bekerja sejak keluar universiti pada umur dua puluh tiga tahun. Pada umur dua puluh lima, aku berkahwin dengan Adila. Abuyo lahir setahun kemudian. Dua dekad aku bertukar-tukar syarikat. Syarikat terakhir yang aku sertai dalam tujuh tahun lepas itu adalah syarikat yang menguruskan transaksi pemindahan wang atas talian. Aku syak perkaitan syarikat itu dengan akulah yang menjerumus aku ke penjara maya ini. Ada seseorang yang telah mengkambinghitamkan kami. Aku sedar, projek terakhir yang aku jayakan bersama pengurusku, Danielle Lam itu, salah di sisi undang-undang. Aku sedar, aku tidak menghiraukan buruk-baiknya kerana pulangan lumayan dari projek itu. Dan sekarang aku menanggung akibatnya.

 

**

 

Isytrok pekerja yang jarang dimarahi atau ditegur Nahmaran. Aku pun tak tahu mengapa. Nahmaran hanya membiarkan dia berdengkur,dan kerapkali akulah yang mengambilalih tugasnya mengejutkan Isytrok.

 

Aku tidak pula tahu Nahmaran turut membebel ke telinga Kinatiao dan Kinabalon. Oh ya, selepas hampir dua tahun aku di sini, ada pekerja baru masuk, iaitu Kinabalon.

 

“Dia memang selalu begitu.” Kinatiao selamba memberi pendapat berkenaan Nahmaran.

 

Memanglah dia berani mengata di belakang, sebab Nahmaran sedang tidur siap berdengkur lagi. “Membebel tak ada punca. Tiba-tiba macam machine gun, tak berhenti.”

 

“Sejak bila kau kena semua ni?”

 

“Sejak awal-awal masuk lagi. Kan kita masuk sama-sama? Kau tak ada dengar ke?”

 

“Tak ada pula. Sejak kabus merah tu hilang baru aku dengar. Dan engkau?”

 

“Oh, mungkin kabus tu halang bunyi juga.” Kinatiao berhipotesis. “Aku pun tak dengar kau dibebel sehinggalah kabusku hilang. Tapi aku tahu ada orang baru masuk bersamaku bila aku tengok kabus tutup tanah engkau perlahan-lahan.”

 

Mungkin Abuzen masuk lambat sedikit berbanding Kinatiao.

 

Isytrok sedang tidur dan tidak mendengar perbualan kami. Eloklah. Nahmaran tidur, Isytrok tidur. Memang serasi.

 

Kinabalon masih ditutup kabus merah. Aku tak dapat melihatnya namun aku sering mendengar dia dibebel Nahmaran. Jika hipotesis Kinatiao benar bagaimana pula aku boleh mendengarnya? Oh aku faham, ia kerana kabus di sekeliling tanahku sudah menghilang atas faktor senioriti. Marhaein yang tanahnya ditutup kabus tidak akan mendengar, tetapi Marhaein dan Khadam di luar kabus itu akan mendengar mereka.

 

Aku sudah cukup sengsara dengan mulut Nahmaran dan dengan tambahan orang yang menjadi sasaran mulutnya, ia seolah-olah tiada penghujung.Jika di dunia dahulu aku tutup telinga dengan fon telinga, dan sekarang aku tiada cara lain selain meniup kuat-kuat agar sungai mengalir lebih deras dan hingarnya menutup bunyi dari mulut Nahmaran.

 

**

 

“Eh, eh jangan tiup kuat-kuat sangat. Engkau nak banjirkan tempat ini ke apa?” Nahmaran melenting. Oh, tahu pun takut.

 

Satu hari aku sengaja kuatkan tiupan kerana tidak tahan mendengar bebelan Nahmaran kepada Kinatiao dan Kinabalon. Aku geram.

 

Aku berhenti meniup selepas Nahmaran berbunyi. Dalam hati aku senyum. Aku berjaya hentikan mulutnya dari terus merapu meraban entah apa. Bahkan Isytrok turut terjaga dari tidur lena. Aku telah temui cara baru mengejutkan Isytrok.

 

Dari jauh Kinatiao senyum kepadaku. Tangan kanannya menayang ibu jari tanda memuji usahaku. Aku membalas senyum. Andai engkau dekat di sini Kinatiao, boleh aku berborak selalu denganmu dan tak perlu menunggu Nahmaran tidur.

 

**

 

Kinabalon secara rasminya ‘confirm’ selepas setahun di sini. Dan aku pula sudah dua tahun setengah di sini. Kabus merah di sekeliling Kinabalon mula berkurang. Seperti biasa, tidak ada apa yang anehnya berkenaan rupa paras Kinabalon, hanya seorang lelaki normal sepertiku. Kedua-dua tangannya diikat di pokok dan dia melutut tanpa baju. Nasib baik semua Marhaein yang kukenali di sini semuanya lelaki. Jika ada yang perempuan, aku membayangkan apakah mereka akan dibiarkan digantung tanpa baju juga?

 

Oh, untuk itu aku perlu bertanyakan Nahmaran. Namun Nahmaran bukanlah bermula dari Marhaein. Dia dilantik terus oleh Manhaman menjadi Khadam Besar dan sehingga sekarang aku masih tidak tahu dari mana asal-usulnya. Jika masuk-masuk sahaja engkau sudah jadi bos, bagaimana engkau boleh mendapatkan rasa hormat orang bawahan? Pengalaman apa yang kau boleh kongsikan dengan mereka untuk meraih rasa hormat?

 

Orang bawahan atau Marhaein engkau pasti akan bertanya,“Dia siapa nak arah-arah aku? Kerja pun orang buat. Suruh sendiri yang buatkan langsung tak tahu. Sudah tu pengalaman tak ada, masuk-masuk terus arah-arahkan orang. Siapa dia?” Faham?

 

Lainlah jika engkau sendiri yang memiliki semua ini. Jika semua ini adalah sebuah perniagaan, rasa hormat dari pekerja itu datang secara automatik kerana engkau adalah pemilik perniagaanmu. Engkau merisikokan dirimu. Liabiliti tidak terhad engkau yang tanggung. Engkau merisikokan duitmu mungkin, atau duit yang kaupinjam dari pelabur dan bank sebagai modal perniagaan ini. Engkau memegang risiko terbesar jika perniagaan ini gagal, sedang pekerja hanya akan menanggung risiko diberhentikan yang mana mereka masih boleh mencari kerja baru. Memang ada yang malang namun kebanyakan masih akan mendapat kerja baru.Sedang engkau, engkau mungkin akan dicop muflis dan merana seumur hidupmu jika tiada pelan alternatif.

 

Jujurnya aku tidak menghormati Nahmaran dan aku tidak melihatnya sebagai pemimpinku. Jika dia mengarahkan aku melakukan sesuatu kerja, aku melakukannya bukan kerana aku ingin melakukannya, namun kerana terpaksa. Kerana dia akan mengugutku menggunakan kuasanya sebagai Khadam Besar. Hukuman jika aku ingkar ialah aku mungkin akan dikurangkan kadar upah makanan, dan dilambatkan naik pangkat. Jika aku dibuang dari sini, aku terpaksa sambung penjara di dunia. Aku tak mahu kerana ia bakal memalukan keluargaku. Abuyo pasti akan dimalukan rakan-rakannya jika mereka tahu dia anak banduan. Jika aku memutus untuk kembali ke sini semula, aku akan dipenjarakan untuk sepuluh tahun penuh, kerana tempoh penjara sebelumnya tidak boleh dibawa ke hadapan.

 

Oh Abuyo, engkau pasti sudah masuk universiti sekarang atau sekurangnya di matrikulasi. Apa khabar engkau? Apakah ibu sudah berjaya membawa kes abah agar dibicarakan semula?

Previous: Bab 4
Next: Bab 6

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh meddmenov