Home Novelet Alternatif KHADAMKU
KHADAMKU
meddmenov
25/11/2022 07:00:29
34,220
Kategori: Novelet
Genre: Alternatif
Prolog

Novelet ini sebuah satira pendek dan tiada kena-mengena dengan yang hidup mahupun yang telah mati. Jika ada maka ia hanya satu kebetulan.

 

John Steinbeck pernah berkata dalam novelnya East of Eden bahawa seseorang akan peduli dan berminat dengan satu-satu cerita pabila cerita itu ada kaitan dengan dirinya. Aku cuba untuk menggarap satu cerita begitu. Mudah-mudahan pembaca akan berminat dengan ceritaku.

 

Selamat membaca!

 

**

 

Prolog

 

Malam itu sedang aku sibuk membaca novel John Steinbeck bertajuk East of Eden, isteriku datang membawa dulang dengan segelas air dan sebiji pil.

 

Aku sedang di kemuncak pembacaan, tatkala Caleb mahu melakukan sesuatu ke atas kembarnya Aron, kerana berang dituding bapanya selalu. Kala itulah Adila datang menggangguku. Argh!

 

Bang, jika abang benar sayangkan saya, abang telan pil ini. Pintanya tiba-tiba.

 

Pil apa ni Adila?

 

Abang telan pil ni. Telan, atau Adila tinggalkan abang.

 

Ah, sudah. Apakah kelangsungan cinta kami diputuskan oleh sebiji pil? Semurah dan sepicis itukah cinta kami yang sudah berusia tujuh belas tahun ini?

 

Sebelum tu abang nak tahu pil apa ni? Kenapa abang kena telan? Kenapa Adila ugut abang macam ni?

 

Kan abang pernah mengadu tak boleh kentut?

 

Haah. Memang pun. Perut aku kembung-kembung sejak belakangan ini. Entah apa yang menyekatnya, apakah ada ular menetas dan menyekat ususku seperti kisah yang kubaca dalam Mastika itu?

 

Pil ni khas Ila dapatkan dari kawan Ila di Thailand. Mahal tau! Dalam seratus ringgit sebiji.

 

Heh. Gila kau pil seratus ringgit sebiji.

 

Kalau abang tak mahu?

 

Ila tinggalkan abang! Wajahnya muram tiba-tiba. Matanya berkaca. Laa, nak menangis ke?

 

Ila, bukankah ada ubat lain kat luar? Kenapa nak bagi abang ubat misteri ni? Nama pun entah apa-apa. Abang google pun tak jumpa. Aku cuba tawar-menawar.

 

Ila menutup mata dengan lengan dan berlari keluar. Aih, takkan sebab aku tak makan ubat pun dah menangis? Peliknya.

 

Di luar aku dengar siren polis sayup-sayup lepas itu memperlahan. Ada apa pula di luar?

 

Ila, abang makan ni. Tengoklah live. Kalau Ila merajuk tak sempatlah tengok. Aku memanggilnya.

 

Adila tiba-tiba berlari ke dalam bilik seolah-olah mahu menghalangku. Namun apakan daya, pil telah menerjah kantung perut. Air sudah diminum. Aku sedang memegang gelas ketika Adila sampai di muka pintu.

 

Abang, maafkan Ila. Ila tak bermaksud nak...

 

Kata-kata Adila terhenti begitu sahaja di telingaku. Aku diselubung kegelapan, sehinggalah sedar-sedar, kedua-dua belah tanganku diikat pada dahan sebatang pokok yang besar. Alam sekeliling berwarna merah. Aku melutut.

 

Di hadapanku ada satu cerobong seperti bunga loceng menganga atau seperti mulut gramofon, sebesar separuh mukaku. Ia berdiri disokong pada batangnya yang berwarna hijau.

 

Langit berwarna kirmizi. Aku tidak tahu dari mana cahaya datang kerana tiada matahari di sini. Segala-gala di sini dikaburi cahaya kirmizi dari langit dan pantulan ke tanah yang berwarna merah. Seolah-olah aku sedang berada di planet Marikh.

 

Oh, Abuzen.

 

Namaku disebut. Aku menengadah langit. Suara itu datang dari atas.

 

Selamat datang ke dunia ini. Kedengaran suara seorang lelaki.

 

Dunia ini apa? Di mana aku? Aku tak mahu ‘selamat datang’ kalian. Aku dah sentiasa selamat sentosa di duniaku. Hantar aku pulang sekarang!!

 

Di sini engkau akan tinggal selama sepuluh tahun. Aku Manhaman.

 

Sepuluh tahun? Ya Tuhan, pulangkan aku ke duniaku sekarang!

 

Perkenalkan penjagamu Nahmaran. Suara lelaki itu berkumandang lagi.

 

Hai Abuzen. Kedengaran suara seorang wanita yang tua pula. Dalam lingkungan empat ke lima puluhan begitu.

 

Abuzen, toleh muka ke sini.

 

Aku menoleh ke arah jam lapan kerana aku fikir dari situ suara tersebut datang. Terkejut aku melihat sebatang pokok dengan wajah seorang mak cik pada batangnya. Pokok itu rimbun dengan daun-daun yang aku fikir warna hijau namun dimerahkan oleh cahaya langit.

 

Aku mula seriau.

 

Usah takut, Abuzen. Aku Nahmaran. Aku akan mengawasimu selama sepuluh tahun.

 

Mengawasiku untuk apa? Sepuluh tahun?

 

Engkau akan diberikan satu kerja. Engkau perlu lakukannya setiap hari sehingga genap sepuluh tahun. Selepas itu engkau akan dilepaskan kembali ke duniamu.

 

Pokok berwajah mak cik yang bernama Nahmaran itu mula menerangkan serba-serbi berkenaan tugasku. Aku baru dibawa ke sini, namun sudah sekelip mata diberikan kerja. Terangkanlah berkenaan dunia ini dahulu, kemudian barulah pergi kepada kerja. Aku hanya mampu menangkap dua puluh peratus penerangannya, selebihnya aku terlepas. Yang aku tahu, aku kena buat satu kerja sahaja: meniup.

 

Diulang dengan huruf besar, MENIUP.

 

Kerja aku sehari-hari ialah meniup ke dalam loceng-loceng atau mulut-mulut gramofon di hadapanku itu. Nampak senang bukan?

 

Kalau kalian berani dan sabar baca kisah ini sehingga habis, kalian akan tahu kerja ini senang namun tidak semestinya menyenangkan hati.

 

Aku akan huraikan taklimat Nahmaran itu sedikit demi sedikit di sepanjang cerita ini.

 

**

 

Ketua di alam merah ini bernama Manhaman.

 

Manhaman ialah nama sejenis pokok yang punya akar menjalar panjang ke semua arah dan tumbuh di atas bukit tertinggi di sini, dan berwajah seorang lelaki, terukir pada batang pokok itu sepertimana Nahmaran.

 

Aku baru sedar Manhaman ialah sebatang pokok tetapi jauh sedikit dari tanah yang menempatkan aku.

 

Sepertimana Nahmaran dan selayaknya sebatang pokok, ia tidak boleh bergerak dan hanya mempamerkan perasaan pada wajahnya. Di atasnya ranting-ranting yang sudah tidak berdaun. Akar-akarnya menuruni bukit seolah membungkus bukit itu.

 

Suara Manhaman ialah suara lelaki di alam merah ini yang pertama aku dengari.

 

Semua sungai di sini mengalir dari bawah Manhaman menuruni tengah bukit itu yang berlubang, dan mengalir keluar ke lubang-lubang di tepi bukit. Jika aku terlupa meniup, cabang sungai Manhaman di hadapanku akan kering. Begitu juga peniup-peniup lain, punya cabang sungai masing-masing dan mereka bertanggungjawab meniup bagi mengekalkan aliran. Ada sungai yang mana jika kering akan menyebabkan sungai lain turut kering. Maka kami saling bergantung satu sama lain.

 

Sungai dari bawah Manhaman ialah satu-satu sumber air di sini. Ia menghidupkan pokok-pokok di sini termasuk pokok di mana aku diikat.

 

**

 

Sejak dihantar ke alam ini, aku tidak pernah putus meniup. Dalam sehari, aku ditugaskan meniup tiga kali. Setiap kali tiupan ialah selama satu jam.

 

Selepas sebulan, Manhaman memujiku.

 

“Abuzen! Bagus. Engkau tidak pernah mengah meniup. Tak seperti peniup-peniup lain di sana yang gemuk-gemuk tu. Baru tiup sekali sudah mengah-mengah. Makan kuat, tiup lembab.”

 

Aku sedikit bangga. Ada terbit kepuasan dalam tugas yang tidaklah sesukar mana itu. Selepas selesai tiupan, aku diberi ganjaran berupa madu yang dititis dari atasku oleh pokok di mana aku diikat. Kala ia menitiskan nektar, aku menganga. Dengan madu itu aku mampu meniup lebih pantas. Dan dari tiga kali sehari, aku mampu meniup lima kali sehari. Manhaman lagi memujiku.

 

Semakin sayang Manhaman kepadaku. 

Next: Bab 1

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh meddmenov