Home Novel Umum Melankolik
Melankolik
Hana Mizari
26/2/2018 10:21:39
46,118
Kategori: Novel
Genre: Umum
BAB 1

Beberapa tahun sebelumnya di Sekolah Kebangsaan Batu Permata.

Mohamad Kamaludin memarkir keretanya berhadapan dengan pejabat sekolah. Dia kelihatan tergesa-gesa keluar daripada perut kereta usang itu. Dia berjalan dengan begitu pantas sekali menuju ke arah kaunter pejabat sekolah. Sekali lihat gaya dia berjalan dan air mukanya nampak seperti sedang menahan marah.

Kehadiran lelaki berwajah bengis itu mengejutkan kerani yang sedang bertugas pada hari itu. Dia terus bertanyakan perihal anaknya itu. Terketar-ketar kerani itu menunjukkan jalan ke arah bilik guru besar. Tanpa secalit senyuman dan ucapan terima kasih, dia terus menuju ke arah bilik guru besar. Tanpa memberi salam dia terus merempuh masuk ke bilik guru besar untuk berjumpa dengan anak perempuannya.

Di dalam bilik guru besar, suasana begitu tegang sekali. Kelihatan Amnina duduk tertunduk dengan rasa takut bersama seorang perempuan muda dan seorang lagi lelaki yang kelihatan agak berusia, mungkin guru besar sekolah itu. Kedua-duanya berwajah masam mencuka. Suasana bilik itu hening tanpa sebarang suara. Tiba-tiba mereka dikejutkan dengan jeritan seorang lelaki berusia dalam lingkungan lewat 30-an.

"Nina!" Keras dan tinggi betul suara bapanya memanggil Amnina.

"Apa lagi yang Nina tak puas hati, hah? Berapa kali Nina nak malukan ayah dengan mak? Apa yang Nina dah buat sampai pihak sekolah pun telefon suruh datang ke mari?" tengking Kamaludin sambil menarik-narik tudung Amnina. Sampai keromot dikerjakan bapanya.

Guru besar itu terus bertindak cuba menghalang bapa Amnina sambil cuba menenangkan keadaan.

"Cuba bawa bertenang Encik Kamaludin, biar saya terangkan dahulu," terang guru besar itu.

Mendengarkan kata-kata guru besar itu, Kamaludin melepaskan tudung Amnina dan menghadapkan wajahnya kepada guru besar itu. Amnina terus jatuh terjelepok ke lantai. Air mata Amnina jatuh setitik demi setitik ke lantai. Dia terus teresak-esak sambil duduk tertunduk di atas lantai. Dia tidak dipedulikan. Tiada siapa pun yang datang memujuknya pada saat itu. Dia tidak dapat mendengar dengan jelas butir bicara antara bapanya dan guru besar kerana sudah disulami dengan esakan tangis yang semakin kuat.

*****************

Amnina tidak menyambung baki sesi persekolahannya. Dia terus mengambil barang-barangnya yang ditinggalkan di kelas dan pulang ke rumah dengan bapanya menaiki kereta usang. Keluarga mereka bukan keluarga yang senang, tidak mampu untuk bermewah-mewah apatah lagi membeli kereta baru. Kereta usang yang satu itulah yang telah banyak berjasa kepada mereka sekeluarga. Bapanya cuma berkerja kebun dan menjual hasil kebun yang tak seberapa itu di pasar. Ibunya pula tidak berkerja, hanya suri rumah.

Amnina tidak berhenti menangis sepanjang perjalanan pulang ke rumah sehinggalah bapanya memarkir keretanya di hadapan sebuah rumah kampung, rumah Amnina sekeluarga. Sampai sahaja Amnina terus ditarik dengan begitu kasar sekali oleh bapanya untuk masuk ke rumah. Ibunya Badariah telah menunggu sambil bercekak pinggang dengan wajah marah bercampur bimbang.

"Diam boleh tak?"

"Kalau taknak henti nangis nanti ayah pukul kau!" ugut bapanya.

Amnina menarik nafas, memaksa dirinya untuk berhenti menangis. Sebahagian air matanya dirasakan masuk ke dalam kerongkong.

"Apa sebenarnya yang sedang berlaku ni bang?" soal ibunya tidak berpuas hati.

"Tadi, guru besar tadi bagitahu Nina rosakkan harta benda sekolah dan pukul kawan satu kelas dia," terang En Kamaludin kepada Badariah.

"Astaghfirullahalazim! Apa yang kamu buat ni Nina? Kenapa Nina buat macam tu? Nina nak malukan mak ke? Nina tak sayang mak ke?" Bertalu-talu soalan diajukan kepada Amnina tetapi dia hanya mampu diam.

Dia tidak sanggup melawan kerana takut tindakan membela diri itu akan dianggap dusta dan dia cuba mencari alasan. Amnina merupakan seorang yang pendiam sama ada di sekolah mahu pun di rumah. Dia jarang bercakap tentang perihal peribadinya apatah lagi untuk menyuarakan pendapatnya. Namun, jauh di sudut hatinya dia percaya tindakannya itu betul. Dia cuma mahu mempertahankan haknya dari diceroboh, dirampas tanpa ada rasa bersalah oleh sang perampas dan pembuli.

Amnina cuba mengingat kembali apa yang berlaku di sekolah tadi. Seingatnya, mereka yang mulakan dahulu. Mereka menarik-narik tudung Amnina, merampas buku notanya semasa dia ralit menyiapkan tugasan di sekolah sampai terkoyak buku itu, mengejek-ejek status keluarganya yang miskin dan memaksanya menyerahkan wang perbelanjaannya pada hari itu.

Amnina cuba bersabar, memikirkan mereka akan berhenti bertindak sebegitu jika dia tidak melayan mereka. Sangkaannya meleset sama sekali. Dia terus galak dibuli.

Pelajar-pelajar lain yang turut menyaksikan kejadian buli itu hanya melihat sahaja tanpa bertindak melakukan apa-apa. Ada juga yang tidak mempedulikan langsung seolah-olah kejadian itu tidak berlaku. Paling mengecewakan, guru yang disangkakan akan membelanya hanya membiarkan sahaja seperti tiada apa-apa yang berlaku. Tidak berani bertindak. Orang kata ketua kumpulan pembuli itu anak orang-orang penting, sebab itu tiada siapa berani menegur mereka hatta guru besar sekalipun.

Tidak tahan, Amnina bertindak balas dengan membaling apa sahaja barang yang tercapai dek tangannya yang bersih mulus itu. Tidak cukup dengan itu, meja dan kerusi juga turut ditolak ke arah kumpulan pembuli itu. Muka Amnina menjadi merah padam akibat melepaskan segala kemarahan yang meluap-luap. Cuping telinganya berasa panas, hembusan nafasnya pula menjadi semakin kasar. Murid-murid lain yang berada berhampiran bertempiaran lari. Mereka ketakutan.

Ini bukan kali pertama dia dibuli. Orang yang membulinya pula bukan seorang. Mereka silih berganti membuli Amnina. Mereka seperti berpakat untuk terus-menerus menjadikan Amnina sebagai mangsa buli.

Si pembuli terkejut dengan tindakan drastik Amnina lalu mengadukan hal itu kepada guru yang daripada tadi hanya memerhati. Tanpa usul periksa, Amnina terus diheret ke bilik guru besar untuk menyelesaikan pergaduhan mereka. Untuk menutup malu dan menjaga hati ibu bapa si pembuli itu, Amnina dijadikan kambing hitam. Dia dipersalahkan sebagai orang yang memulakan pergaduhan itu. Dia turut dituduh ingin merosakkan harta benda sekolah.

"Nina!" Tersentak Amnina daripada lamunan yang panjang.

"Kenapa senyap je? Jawablah! Bisu ke?" Ibunya terus menerus menjerkahnya dengan soalan bertalu-talu.

"Tak, Nina tak bisu mak."

Panggg!

Jawapan Nina tadi dibalas dengan tamparan yang kuat di pipinya.

"Kurang ajar, menjawab je kerjanya."

Amnina hanya terkebil-kebil mendengar leteran ibunya. Ibunya mula mengangkat tangan kanannya yang kasar lalu memukul belakang badan Amnina. Amnina hanya membiarkan sahaja perbuatan ibunya. Dia tidak menangis. Air matanya mungkin sudah kering untuk mengalir lagi. Setelah puas melepaskan amarahnya, ibunya terus berlari masuk ke bilik dalam keadaan teresak-esak menangis. Dia amat menyesal dengan kelakuan anaknya itu.

"Nina, ni amaran terakhir, kalau Nina berterusan bersikap macam ni, ayah akan berhentikan je Nina daripada sekolah, faham!" ugut Kamaludin kepada Amnina. Bapanya kemudian terus meninggalkan rumah mereka, entah ke mana destinasi yang ditujunya meninggalkan Amnina keseorangan di ruang tamu itu.

"Kenapa? Salah ke kalau aku nak mempertahankan diri aku?"

"Aku takda pilihan. Kalau aku tak melawan, aku akan terus dibuli. Aku taknak orang pandang aku lemah," monolog Amnina di dalam hati.

Amnina telah lama dibuli semenjak dia memulakan sesi persekolahannya. Disebabkan diri Amnina yang pendiam, dia sering menjadi bahan untuk dibuli kawan-kawannya. Barang-barang kepunyaannya diambil, malah Amnina sering sahaja balik dalam keadaan pakaiannya kotor. Kadangkala pakaiannya basah kerana ditolak masuk ke dalam kolam ikan. Pada waktu lain pula, bajunya penuh kesan conteng daripada warna air kerana menjadi papan lukisan rakan-rakannya semasa kelas pendidikan seni. Pernah sekali bajunya berminyak-minyak kerana ditumpahkan makanan ke atas bajunya semasa waktu rehat.

Apabila pulang, ibunya pula memarahinya dan menganggap dia tidak tahu menjaga barang-barang kepunyaannya. Dia juga dituduh sengaja mengotorkan bajunya. Dia dianggap sebagai anak yang tidak mengenang budi. Amnina dianggap sebagai anak degil. Dirinya sering dibandingkan dengan abang dan kakaknya yang lebih mendengar kata.

Amnina diam tidak berkutik. Suasana di rumah itu kembali hening. Angin bertiup sepoi-sepoi bahasa meniup lembut daun tingkap rumahnya. Dingin pagi itu amat dirasakan oleh Amnina memandangkan mereka sekeluarga duduk dalam rumah kayu. Keheningan pagi itu membawa Amnina jauh berlayar menjelajah lautan memorinya. Satu demi satu memori-memori pahit bermain-main di kepalanya seperti filem yang sedang ditayangkan di pawagam. Pawagam mindanya sendiri.

"Miya, cantik masterpiece kau tu."

"Mestilah tengoklah siapa yang buatnya."

"Eh, kau tengok budak tu comot betul. Tak reti ke nak makan elok-elok."

"Entah, mak dia tak ajar agaknya."

"Nina pergi ke mana ni sampai basah-kuyup habis ni? Nina tak pergi sekolah ke?"

"Nina apasal mak tengok barang-barang kau ni asyik hilang je. Tak pandai jaga barang betul. Tengok kakak dengan abang kau tu, takda pula barang-barang hilang."

"Ini amaran terakhir, kalau barang Nina hilang lagi, mak takkan belikan lagi yang baru! Pandai-pandailah Nina nak cari sendiri."

"Nina tahu tak penat tau mak basuh baju Nina! Lain kali kalau Nina balik dengan baju kotor lagi, Nina basuh sendiri!"

"Keluarga kau tu miskin sangat ke sampai alat tulis pun tak mampu beli. Gunting takda, gam takda, pemadam pun dah tinggal secalit, pensel semua kontot-kontot, pembaris patah. Dahlah baju kotor, kasut berlubang-lubang."

"Kamu ni dah kenapa Nina? Luka sana luka sini, lebam sana lebam sini. Kamu bergaduh ke?"

Suara-suara mereka diselang-selikan dengan hilai tawa dan pandangan mengejek daripada rakan-rakan sekelasnya. Kemarahan ibunya yang tidak pernah memahami masalahnya turut menjelma di kotak fikirannya. Serba salah. Itulah apa yang dirasakannya pada saat ini.

*******************

Menjelang waktu tengahari, abang dan kakaknya baru pulang dari sekolah.

"Assalamualaikum!" Mereka berdua memberi salam serentak. Salam mereka tidak berjawab.

Mereka menyangkakan ibu mereka mungkin masih berada di kebun, membantu bapanya. Paling tidak pun mungkin ibunya pergi ke pasar membeli barang keperluan harian. Mereka terus masuk. Mereka terkejut melihat Amnina tercongok di ruang tamu rumah mereka. Mereka menyangka Amnina masih belum pulang dari sekolah lagi.

"Eh, Nina cepatnya kau balik, hari ni kelas kau habis awal ke?" tanya kakaknya memulakan bicara. Pertanyaan kakaknya dibiarkan Amnina tidak berjawab.

"Mak mana, Nina?" tanya abangnya pula.

Amnina menuding jarinya ke bilik ibu bapa mereka. Fahamlah abangnya bahawa ibu mereka berada di dalam bilik.

"Selalu mak dah masak kan waktu macam ni?" tanya abangnya kepada kakaknya. Hairan. Tengahari itu mereka bertiga berlapar, tidak makan apa-apa. Bapa mereka pula makan tengahari di luar sahaja.

Previous: PROLOG
Next: BAB 2

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh Hana Mizari