Home Novel Umum Melankolik
Melankolik
Hana Mizari
26/2/2018 10:21:39
46,133
Kategori: Novel
Genre: Umum
BAB 2

Di warung Mak Bedah kelihatan Kamaludin resah sekali. Kopi hitam pekat itu langsung tidak dijamahnya. Bukannya dia tidak menyukai kopi itu atau kopi itu tidak sedap, malah kopi itu mengeluarkan aroma yang begitu mengasyikkan sekali. Apa yang menyebabkan dia tidak berselera adalah kerana risau memikirkan peristiwa di sekolah anak perempuannya itu.

"Kamal, apa yang kau menungkan tu?" Teguran daripada Budin, rakan sekampungnya mengejutkan Kamaludin daripada lamunannya. Tanpa dipelawa dia terus duduk di bangku kosong berhadapan dengannya. Seorang pelayan yang ingin mengambil pesanan Budin ditolak dengan lembut oleh Budin. Kamaludin bersandar sambil melepaskan keluhan berat. Lama dia senyap sebelum dia memulakan bicara.

"Nina... anak aku tu." Kamaludin serba salah sama ada mahu menceritakan perihal keluarganya kepada rakan baiknya Budin ataupun mahu terus merahsiakan masalahnya itu.

"Anak kau tu kenapa?" sampuk Budin tidak sabar-sabar untuk mendengar penjelasan yang selanjutnya.

"Dia mengamuk di sekolah," kata-katanya terputus di situ.

"Kena rasuk hantu ke?" soal Budin tanpa usul periksa.

"Jangan-jangan keturunan kau tu ada saka tak, tak pun bini kau punya saka," sampuk Mak Bedah berserkap jarang, yang baru sahaja tiba dari dapur warung itu. Kamaludin hanya mampu mengetap gigi menahan kemarahan. Mulut Mak Bedah memang tiada insurans, habis aib orang kampung dijaja sana-sini termasuklah kisah anak perempuannya Amnina. Perbualan mereka bertiga menarik perhatian beberapa lagi orang kampung untuk turut menyertai perbualan mereka.

"Aku rasa anak kau tu dah kena buatan orang."

"Siapa pula yang nak dengki dengan Kamal ni, dia bukannya ada apa-apa pun."

"Eh, adalah musuh kebun dia, tak pun musuh perniagaan dia. Aku dengar Mak Siti yang jual sayur kat depan lot dia tu dengki betul dengan si Kamal ni."

"Taklah aku rasakan jembalang belaan Pak Awang Hitam nak cari tuan baru, kan masa dia meninggal enam bulan yang lalu susah sangat roh dia nak meninggalkan jasad."

"Tapi kenapa mesti anak aku yang kena?" Tiba-tiba sahaja Kamaludin bersuara setelah lama mendiamkan diri.

Pertanyaannya itu tidak dijawab. Mereka tidak dapat mencari rasional di sebalik andaian mereka. Sejujurnya Kamaludin berasa tidak selesa Amnina dituduh sebarangan oleh orang kampung. Namun begitu, nasi sudah menjadi bubur. Amnina telah pun lama menjadi buah mulut orang kampung.

Peristiwa pagi tadi bukan kali pertama Amnina bertindak agresif. Dia bermasalah mengawal kemarahannya sejak di bangku sekolah tadika lagi. Tindakan salah seorang rakan sepermainannya mencakar muka Amnina menyebabkan Amnina berang. Habis alat tulis miliknya dan rakan-rakannya bertaburan di lantai akibat dicampak ke arah rakannya. Guru tadika yang panik dengan tindakan Amnina terus menghubungi ibu bapanya. Seperti biasa Amnina teruk dimarahi akibat tindakannya. Dia diberhentikan dari sekolah tadika.

Sejak daripada hari itu Amnina terus menerus bertindak agresif melepaskan amarah tanpa batasan walau pada sekecil-kecil masalah sekalipun. Pendek kata apa sahaja yang menimbulkan ketidakpuasan hati Amnina akan menjadi perangsang untuk Amnina bertindak ganas. Entah bagaimana tindakan agresif Amnina sampai ke pengetahuan orang kampung pun dia tidak tahu. Yang dia tahu, dia sangat malu dengan tindakan Amnina. Dua orang lagi anaknya, Afnan Bakhtiar dan Afrina Balqis iaitu abang dan kakak kepada Amnina tidak pula menimbulkan masalah. Dia betul-betul runsing dengan masalah yang menimpa keluarganya, sudahlah dibeban dengan masalah kewangan, anaknya pula membawa malu kepada keluarga.

"Sudahlah, aku nak balik," kata Kamaludin yang tiba-tiba sahaja bangkit daripada kerusi yang didudukinya.

"Eh, Kamal lekasnya kau nak balik. Meh la duduk dulu borak-borak," pelawa Budin.

"Aku nak siap-siap pergi solat Maghrib, hari pun dah lewat dah ni," sambung Kamaludin lagi sambil menghulurkan wang kepada pekerja Mak Bedah yang duduk di kaunter.

"Korang taknak balik ke? Kang bini marah nanti." Kamaludin sempat memerli sambil menyarungkan topi keledar di kepalanya. Penduduk kampung hanya berpandangan sesama mereka, malu diperli Kamaludin.

***********************

Malam itu dirasakan begitu dingin sekali. Rumah keluarga Amnina yang diperbuat daripada kayu menambahkan lagi kedinginan malam itu. Langit pula gelap gelita, tiada bulan yang menyinari langit pada malam itu. Kamaludin bersandar di serambi rumahnya. Sebatang demi sebatang rokok dihisap Kamaludin sehingga puas. Asap rokok berkepul-kepul memenuhi ruang udara. Langit yang gelap gelita ditenungnya puas-puas. Kamaludin ingin melupakan sebentar masalah yang dihadapinya.

Kata-kata Budin dan orang-orang kampungnya terngiang-ngiang di telinganya. Dia masih berkira-kira adakah benar apa yang diperkatakan orang kampung. Adakah dia perlu untuk membawa Amnina berjumpa tok bomoh? Bagaimana kalau tok bomoh itu melakukan perbuatan syirik? Sudah tentu dia akan terpalit dosa sekali. Dia masih ingat lagi Ustaz Yahya tok imam masjid kampungnya pernah mengingatkan bahawa perbuatan meminta nasihat dengan tukang tilik atau yang sewaktu dengannya akan mengakibatkan ibadat tidak diterima 40 hari. Dia mendengarnya melalui ceramah yang pernah dihadirinya di masjid kampungnya.

"Ah, persetankan itu semua! Yang penting Nina cepat baik dan tak malukan nama aku depan orang kampung," Kamaludin tiba-tiba bersuara. Dia berkata kepada dirinya sendiri.

*******************

Amnina duduk termenung sambil memeluk lutut di satu sudut di biliknya yang dikongsi bersama kakaknya, Afrina. Dia tunduk memandang lantai kayu rumahnya. Kata-kata bapanya yang mengugut untuk memberhentikan Amnina daripada sekolah terngiang-ngiang di telinganya. Kakaknya yang tekun menyiapkan kerja sekolah langsung tidak mempedulikan Amnina. Dia malas mahu mengambil tahu tentang masalah adik bongsunya itu. Bagi mereka dua beradik Amnina hanya membebankan mereka sahaja, malah Amnina dianggap tidak wujud dalam keluarga mereka. Mereka malu untuk mengaku bahawa Amnina yang bermasalah itu adik mereka. Setiap kali Amnina menimbulkan masalah di sekolah, mereka hanya buat tidak tahu seolah-olah tiada apa-apa yang berlaku. Jika mereka mengambil tahu pun, mereka akan turut menerima tempias daripada kelakuan Amnina.

Amnina melepaskan keluhan berat. Jika bapanya betul-betul ingin memberhentikan dia daripada sekolah, melepaslah cita-cita Amnina ingin menjadi saintis. Amnina dibesarkan dalam keluarga yang konservatif, malah dia tidak pernah didedahkan dengan pemikiran saintifik sepanjang dibesarkan dalam keluarga itu. Apa boleh buat, ibu dan bapanya cuma berkerja di kampung, tidak pernah keluar daripada kepompong kehidupan masyarakat di kampung. Kebanyakan saudara-maranya pula tidak berpelajaran tinggi dan berkerja sendiri di kampung. Abang dan kakaknya juga tidak berapa meminati bidang sains kerana mereka agak ketinggalan dalam akademik. Amnina sahaja yang cemerlang di dalam akademik walaupun dia selalu membawa masalah di sekolahnya.

Kala Amnina sedih ditinggalkan rakan-rakannya, dibuli oleh insan-insan yang dengki akan kebijaksanaannya, ditindas oleh orang lain yang mengambil kesempatan ke atas kelemahannya, dianggap tidak wujud oleh abang dan kakaknya dan ibunya yang tidak pernah faham masalahnya, ilmu pengetahuanlah yang menjadi penemannya saat dia berduka. Buku-bukulah yang menjadi peneman setianya saat dia ditinggalkan keseorangan. Maka Amnina banyak menghabiskan masanya dengan menelaah matapelajaran dan menuntut ilmu. Dia percaya ilmu adalah jendela kepada dunia luar. Jika dia tidak dapat meneroka dunia luar dengan tubuh badannya, cukuplah ilmu pengetahuan sebagai medium penghubung antara dia dan dunia luar. Baginya juga, ilmu adalah peneman yang paling setia. Ia tidak mempunyai perasaan atau konflik kepentingan seperti manusia. Manusia yang selama ini melayan dirinya ibarat habis madu sepah dibuang.

Adakah Amnina pernah dihargai hasil penat lelahnya menuntut ilmu? Tidak sama sekali malah kebijaksanaan Amnina dianggap sebagai sumpahan kepada keluarga mereka. Keputusan akademiknya yang cemerlang dianggap janggal dalam keluarga mereka. Belum pernah lagi dalam keturunan mereka ada yang berjaya dalam pelajaran. Rakan-rakan sekelasnya turut menyisihkannya kerana telah dihasut oleh Fatin Nadya yang mencemburui kelebihan yang dimiliki Amnina. Jika tidak kerana Amnina, dia akan dianggap ratu di kelas itu. Dia ingin menjadi nombor satu dalam segala hal sehingga sanggup melakukan apa sahaja untuk mencapai cita-citanya itu termasuklah dengan menganiaya orang lain.

*******************

"Dalam dunia ini ada tiga kategori benda, satu yang bentuknya tetap, yang mengalir macam air ni dan satu lagi yang macam angin ni."

"Setiap teori perlu dibuktikan melalui ujikaji dalam makmal, jika tidak ia sama seperti cakap kosong semata-mata."

"Fenomena alam yang diperhatikan salah satu bukti kepada teori itu."

"Tapi, macam mana dengan sesuatu yang tidak dapat dilakukan ujikaji di makmal atau diperhatikan melalui fenomena alam?"

"Sesuatu yang hanya dicetuskan melalui idea dan imaginasi sahaja."

"Siapa-siapa pun boleh keluarkan teori kalau macam tu."

Monolog Amnina ketika dia bermain seorang diri. Tidak, dia tidak pernah mempelajarinya daripada buku. Dia mengetahuinya hanya melalui pemerhatian semata-mata. Ibu dan bapanya tidak pernah kisah untuk membelikan mereka tiga beradik buku. Mereka juga tidak berminat langsung untuk mendorong anak-anak mereka ke arah budaya ilmu. Apa yang mereka tahu, wang mereka cukup untuk menampung perbelanjaan mereka sekeluarga.

Semasa abang dan kakaknya bermain dengan anak-anak jiran yang lain, Amnina sibuk dengan dunianya yang tersendiri. Sama ada memerhatikan pokok-pokok yang tumbuh di sekeliling rumah mereka atau memerhatikan gelagat serangga-serangga kecil yang sedang berpesta atau menjelajah jauh ke dalam dunia penuh imaginasi sambil memerhatikan pergerakan awan di langit. Dia sering tertanya-tanya tentang fenomena alam yang berlaku di sekelilingnya. Akibatnya, dia sering disisihkan oleh rakan sebayanya kerana kelakuannya yang aneh.

"Kenapa objek jatuh ke tanah?"

"Dari mana datangnya awan?"

"Bagaimana terjadinya pelangi?"

"Serangga-serangga dan semua binatang tu boleh cakap ke?"

"Kalau boleh cakap, guna bahasa apa?"

"Binatang ada bahasa ke?"

"Bagaimana terjadinya kilat?"

"Kenapa langit berwarna biru?"

"Langit di tempat lain pula warnanya biru juga ke?"

"Dari mana air hujan datang?"

Semua persoalan itu sering dilontarkannya semasa dia berada di zaman kanak-kanak. Ibu Amnina berasa rimas dengan soalan-soalan yang ditujukan Amnina. Dia tidak pernah mempunyai jawapan kepada semua persolan itu. Malah, soalan-soalan itu sering dibalas dengan kemarahan daripada ibunya. Badariah sendiri tidak pernah ingin mengambil tahu tentang semua itu. Dia tidak berminat langsung.

"Nina, tak boleh ke kau jadi macam anak-anak orang lain. Nina tahu tak perangai pelik Nina ni dah jadi buah mulut orang kampung. Mak malu tahu tak, tolonglah Nina jangan degil sangat, dengar cakap mak ni. Pergi berkawan dengan budak-budak lain dan hentikan aktiviti kamu yang entah apa-apa tu. Mak bukan apa, mak risaukan masa depan kamu. Ini untuk kebaikan Nina juga. Nina nak ke Nina terus menjadi bahan ejekan orang kampung dan dipanggil tak waras." Panjang leteran ibunya kepada Amnina. Namun Amnina tidak memberi sebarang tindak balas kepada leteran ibunya seolah-olah tidak mengerti apa yang dikatakan ibunya. Begitulah ibunya yang sering memarahi Amnina dan memaksa Amnina menjadi normal seperti kanak-kanak lain.

Previous: BAB 1
Next: BAB 3

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.