Home Novel Umum Melankolik
Melankolik
Hana Mizari
26/2/2018 10:21:39
46,118
Kategori: Novel
Genre: Umum
BAB 6

"Gila!"

"Attention seeker...."

"Bodoh, kolot, ketinggalan zaman."

"Tok bomoh tu saudara dia ke, patutlah bodoh."

"Sial, selama ni dia bukannya pandai pun, peniru rupanya."

"Aku dah agak dia tu peniru."

"Buat menyemak je tau tak kau ni. Pergi berambus!"

"Tak payah datang sekolahlah macam ni kalau cuma nak buat perangai gila kau."

"Bawa bala je."

"Menyusahkan betul!"

Kata-kata nista yang dilemparkan rakan-rakan sekelasnya dan guru-gurunya bergema silih berganti dengan hilai tawa daripada Fatin dan rakan-rakan. Muka mereka yang sedang mengejek diiringi dengan nada menjengkelkan membingitkan telinga Amnina. Amnina bertindak menutup mata dan telinga kerana tidak sanggup lagi berhadapan dengan cacian dan ejekan daripada rakan-rakannya.

Tidak cukup dengan itu, muka bengis guru-gurunya yang sering memarahinya menambahkan tekanan yang dialaminya. Amnina berasa tidak tahan lalu menjerit sekuat hati. Tiba-tiba dia tersentak. Sedar-sedar dia berada di atas katil di biliknya bukan berada di sekolah. Dia bermimpi rupanya.

"Ooii, Nina! Apa ni terjerit-jerit macam pontianak?" marah Afrina yang tidur di katil bersebelahan katil Amnina. Dia terkejut mendengar jeritan Amnina.

"Kakak nak tidur pun tak senang, sedang seronok-seronok mimpi kahwin dengan orang kaya kau pula kacau." Afrina terus menarik selimutnya dan menyambung tidur.

Amnina tidak mengendahkan leteran kakaknya. Dia masih berasa terkejut dengan mimpi seram yang dialaminya. Dahinya berpeluh-peluh, kepalanya sakit berdenyut-denyut, tangan dan kakinya berasa sejuk, dadanya berdegup kencang dan nafasnya tersekat-sekat. Sejak dua tiga minggu sebelum ini, Amnina sering mengalami keadaan seperti ini.

Keadaan di bilik itu kembali sunyi, hanya kedengaran bunyi cengkerik bersahut-sahutan di luar. Amnina tidak boleh tidur. Matanya terkebil-kebil memandang siling. Dia bingkas bangun menuju ke meja belajar. Dia berjalan dalam keadaan terhuyung-hayang barangkali disebabkan tidak cukup tidur. Buku-buku pelajaran terbentang di atas meja. Alat-alat tulis juga berselerakan di atas meja. Dia sudah lama tidak mengusik buku-bukunya semenjak dia terjebak dengan dunia mistik.

Kerja sekolahnya sering tidak disiapkan. Berkali-kali cikgu memarahinya di hadapan pelajar yang lain. Dia pernah dimalukan dengan membawa kertas bertulis SAYA TIDAK SIAP KERJA SEKOLAH dan berarak dari kelas ke kelas hatta hingga ke bilik guru. Bukan dia tidak mahu belajar, tetapi dia langsung tidak dapat memahami apa yang diajar di kelas. Dia malu untuk meminta tolong rakan-rakan yang lain. Dia betul-betul berasa dirinya tidak berguna. Dia takut diejek dan dipermainkan kawan-kawan. Dia takut dimarahi cikgu.

Lama-lama minatnya terhadap akademik pudar. Dia lebih meminati dunia mistik dan magis, dia berasa dirinya diterima dan diiktiraf walaupun semuanya berada di dalam mindanya sahaja. Bidang sains yang amat diminatinya suatu ketika dahulu sekarang dibenci. Dia berasa semua ilmu pengetahuan adalah musuhnya sekarang. Cita-citanya untuk menjadi saintis dibuang jauh ke dalam tong sampah.

"Apa Amnina awak nak jadi ahli magis?" tanya gurunya ketika mengajukan soalan tentang cita-cita kepada Amnina. Derai tawa daripada pelajar-pelajar yang lain memecahkan kesunyian dalam kelas itu.

"Ahli magis tu apa, Mimi?" tanya seorang pelajar perempuan kepada rakan sekelasnya.

"Ala yang macam dalam cerita orang putih, nenek kebayan terbang naik penyapu tu," jawab rakan di sebelahnya dengan nada selamba.

Amnina mengetap giginya dengan kuat. Kedua-dua tangannya digenggam sekuat-kuatnya menahan amarah. Amnina terus berdiri dan melepaskan amarahnya tanpa segan silu.

"Orang-orang biasa macam kamu semua ni memang takkan faham dunia magis, tak tercapai dek pemikiran kamu yang cetek. Kamu semua tak nampak aliran mana seperti yang dialami magistra seperti saya. Suatu hari nanti pabila tiba saatnya saya akan bersihkan dunia ini daripada anti-magis. Masa itu baru kamu semua tahu siapa sebenarnya saya." Lagak Amnina saling tidak tumpah seperti sedang menyampaikan syarahan. Dia berdiri penuh keyakinan. Semakin galak orang mentertawakan Amnina. Ada yang sampai terkeluar air matanya.

"Sudahlah tu Amnina Batrisya, pergi berdiri kat luar," arah cikgu itu sambil menuding jari telunjuknya ke luar kelas.

"Lama-lama layan awak ni boleh masuk Hospital Tanjung Rambutan saya ni," tambah guru itu lagi.

Bunyi kokokan ayam menandakan malam telah melabuhkan tirainya. Matahari pula sudah bersedia untuk menerangi alam di ufuk timur menandakan permulaan hari baru. Amnina yang mengelamun sejak daripada terjaga daripada mimpi, terkejut mendengar bunyi kokokan ayam.

"Dah pagi rupanya," monolog Amnina.

Afrina semakin nyenyak di pembaringan. Tubuhnya beralih ke kiri dan ke kanan tiada tanda-tanda untuk bangun.

Perlahan-lahan Amnina bangun dan menuju ke katil kakaknya. Dia menggerakkan tubuh kakaknya dengan niat untuk mengejutkannya, "Bangun kak, dah Subuh dah ni, nanti lambat."

"Kacaulah kau ni Nina akak nak tidur pun tak senang." Afrina tidak bangun sebaliknya terus memarahinya. Amnina membiarkan sahaja kakaknya setelah puas mengejutkan berkali-kali.

"Nina, kenapa tak kejutkan akak tadi?" Hampir tersedak air milo yang diminum Amnina mendengar suara kakaknya.

"Dah kejut dah, akak yang tak bangun-bangun," jawab Amnina selamba. Afnan yang sedang menyuap nasi goreng ke mulutnya tergelak kecil.

"Apa gelak-gelak!" marah Afrina kepada abang sulungnya sambil menjegilkan matanya. Afnan memandang ke arah lain, takut memandang adik perempuannya yang sedang menyinga itu.

"Sudah-sudah jangan bergaduh, habiskan sarapan kamu cepat, nanti lambat sampai sekolah," pintas ibu mereka sebelum keadaan menjadi lebih tegang.

Amnina tiga beradik berjalan kaki sahaja ke sekolah. Amnina dibiarkan pergi dahulu sebelum abang dan kakaknya menyusul kemudian.

"Rina, apsal kau lambat bangun pula hari ni? Selalunya Nina yang bangun lebih lewat."

"Rina tak cukup tidur, terjaga tengah-tengah malam tadi."

"Qiamullail ke? Hihi," perli Afnan.

"Qiamullail apenye Amnina terjerit-jerit malam tadi, terkejutlah Rina."

"Kenapa, tersampuk hantu ke?"

"Entah, malas Rina nak ambil tahu, abang tanyalah dia sendiri," balas Afrina malas lalu mempercepatkan langkahnya meninggalkan Afnan keseorangan di belakang.

************************

Kelihatan sekumpulan pelajar Sekolah Menengah Alam Flora berkumpul di padang sekolah itu. Mereka sedang menyaksikan sesuatu yang menarik. Amnina sedang menghayun sebatang penyapu yang disebatnya dari kelasnya melibas-melibas angin. Lagaknya seperti seorang pemain pedang.

Fatin yang memerhatikannya sejak daripada awal bertanya kepada Amnina, "Oi, apa yang kau nak buat dengan penyapu tu?"

"Ini bukan penyapu ini Laeveteinn, pada pandangan manusia biasa memang nampak seperti sebatang penyapu, hanya mereka yang boleh bertindak balas dengan mana sahaja boleh melihat rupanya yang sebenar," celoteh Amnina itu mendapat sambutan gelak ketawa daripada para penonton. Mereka berasa seperti sedang menonton persembahan lawak jenaka pula.

"Af, cuba kau tengok adik kau di padang tu buat hal lagi."

"Sejak bila pula aku ada adik sewel macam tu, setahu aku adik aku cuma Afrina Balqis seorang," seloroh Afnan dengan nada sinis.

"Rina, adik kau tu...," kata seorang pelajar perempuan kepada Afrina sambil menuding jari ke arah Amnina yang berada di tengah padang.

"Berapa kali aku nak cakap dengan kau perempuan gila tu bukan adik aku!" lontar Afrina dengan nada marah.

Kedua-dua abang dan kakaknya berasa malu untuk mengaku bahawa Amnina Batrisya itu adalah adik mereka. Mereka berdua menganggap seolah-olah adik mereka tidak wujud apabila adik mereka berperangai aneh.


Previous: BAB 5
Next: BAB 7

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.