Home Novel Thriller/Aksi INDIGO
INDIGO
Miko Yan
30/3/2020 12:34:45
63,570
Kategori: Novel
Genre: Thriller/Aksi
Bab 4

SUASANA di meja makan rumah teres dua tingkat bernombor 13 itu sunyi walaupun dua kerusi di meja itu telah terisi dua batang tubuh.

            “Adik okey?” Soal Puteri Kamila yang melihat kesenyapan Megat. Walaupun Megat sememang diketahuinya seorang yang berat mulut, namun hari itu dilihatnya sedikit berbeza.

            Megat mengangguk sedikit kepalanya.

            “Macam mana kelas?”Puteri Kamila bersuara lagi. Dia pulang sedikit awal hari itu kerana tugasan luarnya mengaudit sebuah syarikat pembekal alat ganti pesawat di Shah Alam cepat selesai.

           Selain soal kebajikan makan minum, soal pelajaran Megat juga selalu diambil berat. Peluang seperti itu sudah pasti akan digunakan untuk meluang masa bersama dengan Megat memandangkan dia selalu sibuk. Kadang kalanya di hari minggu juga mereka tidak berkesempatan meluang masa bersama kerana urusan kerjanya yang kadangnya juga ke luar daerah.

          “Okey,” jawab Megat sepatah. Riaknya masih tidak banyak beza.

           Fikiran Megat ketika itu sebenarnya masih dihantui oleh penemuan bangkai kucing petang tadi. Sejak dia menemui bangkai itu, Nona tidak lagi muncul dalam bayangannya. Seperti sebelum ini, kucing itu minta pertolongan daripadanya supaya dia ditemui. Barangkali kucing juga seperti manusia, rohnya tidak tenteram.

          Bangkai kucing itu memang sah Nona. Disahkan sendiri oleh gadis sekolah yang dijumpai dalam bas tempoh hari. Selepas dihubungi Megat, gadis itu berkejaran ke lokasi tempat bangkai Nona dijumpai. Mujur juga tercatat nombor telefon gadis itu di plat rantai leher kucing itu. Nona juga telah dikebumikan dengan lebih sempurna. Selesai sudah bab itu.

         Namun, apa yang mengganggu fikirannya kini ialah keraguan tentang kuasa psikik yang dimilikinya. Apakah benar dia memiliki kuasa itu? Wujudkah kuasa psikik sebegitu? Atau apa terjadi itu hanya berlaku secara kebetulan sahaja?

        “Rakan sekelas adik yang hilang itu, dah dijumpai ke?” Walaupun sibuk dengan urusan kerjanya, Puteri Kamila tidak terlepas untuk mengikuti perkembangan kejadian itu.

          Kali ini Megat sedikit tersentak.

         “Err… belum,”

         “Hmm, ke manalah gadis tu menghilang?” Puteri Kamila melepaskan satu keluhan. Nyata juga dia bersimpati dengan keluarga Emily.

          Megat tiada idea. Namun, reaksinya kini sedikit berubah bila baying Emily mula mengisi kotak fikirannya. Tapi tak lama kerana fikirannya kembali disergah persoalan sebelumnya. Benarkah dia mempunyai kuasa psikik? Persoalan itu perlu dicari jawapan terlebih dahulu.

          Usai makan malam yang hambar itu, Megat kembali ke biliknya. Kalau di kolej stadium mini menjadi tempat kegemarannya, tapi di rumah bilik tidurnya itulah menjadi tempat dia memencilkan diri. Orang yang tiada sahabat sepertinya, sememang tiada  masa untuk bersosial. Sesungguhnya dia seorang yang rugi, kerana tidak pernah merasai nikmat melepak di kedai mamak menonton siaran bola sepak dengan sekadar bermodalkan segelas teh tarik. Lebih malang, dia seorang yang berkaki bangku.

          Kerusi meja belajarnya ditarik dan sauh punggungnya dilabuhkan.Serba-serbi kehidupannya bergerak perlahan dan sedikit membosankan. Beg sandangnya sekilas dijeling. Ada butiran satu assignment yang perlu dibuatnya tercatat dalam buku nota dalam beg itu. Pandangannya perlahan-lahan dikalihkanke papan nota yang terpaku di dinding. Sekeping nota yang tercatat dateline segala assignment yang harus disiapkannya tertampal di papan itu. Pelupa sepertinya sememang perlu nota-nota ingatan sebegitu.

          Kerusi yang didudukinya itu perlahan-lahan berputar membawa tubuhnya mengadap jendela. Dalam balam-balam malam, kelihatan sedikit cahaya bulan dilangit. Namun, bintang-bintang tidak kelihatan. Seperti hujan bakal turun lagi malam itu.

          Kedua-dua tangannya dibawa ke belakang kepala. Lagak gaya seperti seorang mat romeo yang mengalami konflik dalam percintaan. Yang pasti dia tak pernah mengalami situasi itu sebab seumur hidurnya belum pernah merasai perasaan yang bergelojak dalam setiap remaja itu. Namun, lumrah manusia tak mampu disangkalnya. Sesekali ada juga datang keinginan itu ke hatinya. Tapi budak pelik sepertinya, siapalah yang mahu dekati? Satu nafas dilepaskannya. Bertandang sedikit rasa hampa bila mengenangkan nasib hidupnya. Perlahan-lahan kemudian matanya dipejam.

         Tiba-tiba…

         Emily!

         Bola mata-matanya terkebil-kebil, mencari ke sana ke sini. Namun, itu sekadar bayangannya sahaja.

         What the heck!  

         Perlukah aku mengambil peduli soal Emily? Sekilas muncul rasa berbelah-bagi itu di hatinya. Masakan hatinya tak rasa begitu. Sepanjang menjadi rakan sekelas, Emily tak pernah pun bertegur sapa dengannya. Apatah lagi berbalas senyum. Malah Emily cukup kuat memusuhinya.

         Sejak kejadian di kafe kolej sedikit masa yang lalu itu, Emily selalu menghambur kata-kata sinis kepadanya. Gelaran Weirdo kepadanya itu juga Emily yang cipta, kemudian diikuti oleh pelajar-pelajar lain.

          “Biarlah apapun orang buat kepada kita, tapi kita jangan sesekali membalasnya! Ingat pesan mak ini sampai bila-bila!”

          Sekonyong-konyong amanat daripada ibunya itu mengetuk kepalanya.

          Ibu…

          Bola matanya sekali lagi jadi terkebil-kebil, mencari-cari.

         “Astagfirullahalazim, aku mengelamun rupanya.” Dia mengusap-usap mukanya.

          Hmmm…

          Satu dengusan dilepaskan.

          Ikutkan rasa hatinya yang saban hari diguris, tiada lagi keperluan untuk dia mempedulikan Emily. Namun, atas rasa kemanusiaan hatinya perlu mengalah. Lagipun dia mahu mencari jawapan yang lebih konkrit akan perihal dirinya.

          Tapi…

          Adakah dia benar-benar dikurnia kuasa psikik?

          Megat segera merapati meja dan membuka lipatan laptopnya. Kemudian, jemarinya menekan butang untuk menghidupkan laptop itu. Ada perkara yang perlu difahami terlebih dahulu. Selepas seketika menunggu laptop itu loading, di mula membuat carian di internet.

           Kuasa psikik yang mendapatpetunjuk melalui mimpi.

            Butang Ente rkemudian ditekannya selepas menaip carian itu. Sesaat kemudian muncul beberapa artikel di skrin laptopnya. Fokusnya tertarik dengan satu artikel yang berjudul Manusia Psikik Dari Kelantan. Anak panah kursor segera disasarkan kepada artikel itu.

 

Sekitar tahun 2002 (bukan tarikh sebenar), telah berlaku satu kes pembunuhan kejam yang melibatkan seorang wanita yang mati ditikam dan disiat-siat kulitnya. Pihak berkuasa buntu untuk menyelesaikan kes tersebut kerana ketandusan maklumat. Ini kerana terlalu sedikit bahan bukti yang dapat dikaitkan dengan kes tersebut. Secara kebetulan ketika kejadian itu berlaku, Haslina Mohd Nor, 35 tahun, berada di lokasi. Lantaran daripada itu, dia dipanggil untuk membantu pihak berkuasa menjalankan siasatan. Dalam kejadian itu, Haslina cuba membantu dengan menggunakan cebisan pakaian mangsa. Sebaik sahaja pakaian itu dipegang, dia mengimbau kembali kejadian kes pembunuhan tersebut. Malahan, dia juga mampu merasai semula situasi yang berlaku ketika itu. Sebagaimana yang dialami dan dirasai oleh mangsa kes pembunuhan itu, begitu juga Haslina rasa semasa dia cuba menganalisis kes tersebut. Hasil daripada analisis yang dibuat, Haslina menjelaskan satu demi satu apa yang berlaku dan siapa yang terlibat dalam kes pembunuhan tersebut. Dia menggambarkan bagaimana rupa sebenar penjenayah-penjenayah itu. Semasa dia menganalisis kes tersebut, dia dapat melihat kejadian itu seolah-olah menonton wayang di layar putih. Selain kes pembunuhan itu, dia juga telah berjaya menyelesaikan beberapa kes kehilangan barang dan setiap analisis yang dibuatnya adalah 99% tepat. Menurut seorang doktor yang membuat kajian, mendapati DNA yang dimiliki Haslina berbeza daripada manusia biasa lain.Pergerakan DNAnya terlalu aktif. Menurut doktor itu juga, mendapati tidak ramai orang yang mempunyai pergerakan DNA seaktif Haslina itu. Oleh sebab itulah diyakini sebagai punca Haslina memiliki kuasa psikik. Haslina juga memberitahu, pernah sekali jarinya terluka terkena pisau dan darahnya bertukar warna menjadi hitam.

           

Begitulah butiran artikel tersebut. Megat melepaskan satu nafas.Nyata ada persamaan apa yang dialami Haslina itu dengannya. Dia mendapat bayangan Nona selepas menyentuh barang kepunyaannya. Soal darah bertukar warna hitam? Ya, waktu dia ditimpa kemalangan dahulu ada lukanya mengalami perubahan itu.Tapi waktu itu dia tidak memandang enteng soal perubahan itu kerana beranggapan perkara itu proses koagulasi yang biasa. Doktor yang merawatnya juga tidak menjelaskan apa-apa berkaitan hal itu. Soal DNAnya pula, dia tidak pasti  kerana tak pernah membuat kajian.

            Tunggu! Kalau dalam konteks kes Nona, memang benar Nona muncul selepas dia menyentuh rantai leher kepunyaan Nona. Tapi, takkanlah Emily muncul dalam bayangan matanya hanya selepas dia menyentuh risalah yang diberi oleh Alicia? Risalah itupun bukan kepunyaan Emily tapi dibuat oleh rakan-rakan Emily. Melainkan…


PAGI menjelma sedikit lembab pagi itu kerana hujan merintih dari tengah malam tadi. Megat berlari anak memasuki perkarangan kolej Segi. Derapan kakinya kemudian laju menuju ke kelasnya. Mahu segera dicari Alicia.

            Saat melewati pintu kelas, dilihatnya Alicia sedang berbual dengan Emily dan Jess, si jantan yang mempunyai DNA Sajat di satu sudut kelas. Mulanya dia sedikit serba-salah untuk menghampiri Alicia, namun ditebalkan sahaja mukanya.

            “Alicia, boleh aku berbual dengan kau sekejap?”

            “What?” Nyata sekali Alicia tersentak dengan sapaannya itu. Mana tak tersentak, selama ini belum pernah lagi Megat menyapa pelajar-pelajar di dalam kelas sebegitu. Pantas juga situasi itu menjadi perhatian pelajar-pelajar yang lain, terutama Jenny dan Jess yang tercerlang mata mereka.

            “Boleh aku berbual dengan kau sekejap?” tukas Megat dengan menunduk sedikit kepalanya.

            “Okey, boleh. Apahalnya?” Alicia bersetuju dan menyoal. Megat sepintas menjeling ke arah Jenny dan Jess dan cuba memberi isyarat kepada Alicia bahawa dia tidak selesa untuk berbual di situ.

            “Oh, okey. Kita berbual di luar.” Alicia memahami bahasa tubuh yang diberi oleh Megat lalu dia membuntuti Megat ke luar kelas. Semua mata yang lain memandang dengan tanda tanya.

            “Ada apa?” Soal Alicia ketika mereka berhenti di hujung bangunan blok kelas mereka itu.

            “Waktu aku terlanggar kau dua hari lepas, ada tak di antara barang-barang yang jatuh di lantai itu barang kepunyaan Emily?” Soal Megat, tak mahu mengambil masa yang lama lagi.

            “Hmmm… ada,” balas Alicia selepas seketika mengerah ingatannya.

            Hati Megat lega.Nyata firasatnya tepat.

            “Barang apa tu?”Soal Megat lanjut.

            “Sebuah novel.Sebelum kehilangan Emily, dia ada pinjamkan novel itu kepada saya,” jelas Alicia.

            “Boleh berikan novel itu kepada aku?”

            “Err… boleh, tapi kenapa awak nak pinjam novel itu?” Fikiran Alicia mula ditujah rasa curiga. Siapa yang tak curiga dalam situasi tiba-tiba begitu?

            Megat mati kata seketika. Dia tidak tahu bagaimana harus dia menerangkan kepada Alicia.

            “Aku tak tahu macam mana nak terangkan kepada kau. Cuma aku boleh beritahu, aku ingin menolong mencari Emily.” Selepas berpulas mencari susunan kata, hanya itu yang mampu disusun oleh Megat.

            “Mencari Emily? But how? Apa kena-mengena dengan novel  itu pulak?” Alicia bagai dilanda gempa.

            “Kalau aku terang pada kau pun pasti kau takkan percaya,” dengus Megat.

            “Just tell me,” desak Alicia. Hati tertanya-tanyanya berubah menjadi teruja.

            “Hmm… begini, semalam waktu aku tidur di bangku stadium aku ada bermimpi didatangi Emily. Dias eperti cuba memberitahu aku sesuatu.”

            “What?” Alicia tergamam. Lebih kepada kesangsian sebenarnya.

            “Kan aku dah cakap, kau takkan percaya.”

            “Bukan saya tak percaya, tapi seperti tak lojik.”

            “Kau pernah dengar pasal psikik?” Megat cuba meyakinkan gadis geek di depannya itu.

            “Yup, pernah. Oh, jadi… awak ada kuasa psikik?” Gadis geek seperti Alicia sememangnya rajin membaca.

            “Aku belum pasti tentang itu, tapi semalam aku telah berjaya menyelesaikan satu kes kehilangan kucing di kawasan rumah aku.”

            “What? Maksud awak, awak selesaikan kes kehilangan kucing itu dengan menggunakan kuasa psikik yang awak miliki?” Alicia mengukir senyum. Lebih kepada mahu ketawa sebenarnya. Hati mana yang tercuit tatkala mendengar kisah pelik sebegitu.

            Megat mengangguk.

            “Awak ni mesti banyak tengok movie.” Alicia yang skeptikal tak mampu membendung lagi rasa ingin ketawanya.

            “Aku tak melawak dalam hal ni! Kalau kau tak nak aku bantu cari Emily, its okay!” Megat jadi sedikit berang diperlekeh sebegitu.

            “Wait, okay. I’m sorry. Awak pasti ke awak ada kuasa psikik?” Alicia menahan Megat daripada angkat kaki.

            Megat tiba-tiba jadi sedikit serba salah. Kemudian, lambat-lambat dia mengangguk kepalanya. Mungkin kerana dia sendiri belum betul-betul pasti walaupun nalurinya cukup kuat merangsang.

            “Okey, beritahu saya bagaimana awak selesaikan kes kehilangan kucing itu dahulu.” Alicia mahukan satu bukti yang kukuh sebelum memberi kepercayaannya. Nampak sahaja dia lurus bendul, tapi fikirannya tak mudah terpedaya.

            Megat faham akan keskeptikalan Alicia itu. Andai dia berada di tempat Alicia pun, dia akan mempunyai rasa yang serupa. Kisah dia menyelesaikan misteri kehilangan kucing bernama Nona itu diceritakan dari A hingga Z kepada Alicia.

            Selepas mendengar cerita itu, Alicia mula mempercayainya. Walaupun masih ada rasa skeptikal di hati, dia mahu memberi Megat peluang untuk membuktikan perkara itu.

Mereka kemudian kembali semula ke kelas.

            Tiba di tempat duduknya, Alicia segera mengambil sebuah novel dari dalam begnya lalu diberi kepada Megat. Selepas mengambil novel kepunyaan Emily itu daripada Alicia, Megat terus berlalu ke tempat duduknya.

            Jenny dan Jess yang melihat situasi itu saling berpandangan.Kemudian mereka segera menghampiri Alicia selepas Megat berlalu.

            “Kenapa kau bagi novel Emily kepada Si Weirdo tu?” Tak menunggu lama, Jenny memuntahkan soalannya.

            “Err… dia nak pinjam.” Alicia membalas.

            “Eh, tiba-tiba aje nak pinjam! Pelik!” ungkap Jess pula.

            “Dia nak buat apa dengan novel tu?” Soal Jenny lagi, makin diserang tanda tanya.

            “Entahlah, dia kata nak tolong kita cari Emily.” Alicia mengukir senyum.

            “Cari Emily menggunakan novel? Si Weirdo ni dah gila ke apa?” Jess dengan mulut puakanya. Sudah pasti dia meragui niat Megat.

            “Entah-entah jugak dia yang culik Emily dan sembunyikannya di mana-mana. Mungkin nak menghilangkan rasa bosan Emily, dia minta novel itu.” Jess berteori bodoh.

            “Hah, betul jugak tu!” Jenny cepat terhasut dengan teori bodoh Jess itu.

            “Takkanlah dalam situasi begini, Emily boleh minta novel dia pulak. Nonsenselah kau orang berdua ni!” Alicia menyangkal. Tanpa sedar dia menggunakan bahasa yang kasar dan nada suaranya juga sedikit tinggi.

            Membuntang mata Jenny dan Jess mendengar kata-katanya itu. Terkesima kedua-duanya seketika. Belum pernah Alicia berani mengucap kata dan meninggi nada sebegitu terhadap mereka sebelum ini.

           “Errr… dia kata, dia ada kuasa psikik dan boleh melihat bayangan Emily.” Alicia pantas menyedari ketelanjurannya.

            “What?” Rasa gamam itu serentak melandaJenny dan Jess.

            “Memang sah Si Weirdo itu dah gila!” Jenny pantas membuat kesimpulan.

            Alicia sekadar mampu mengangkat kedua-dua bahunya sebagai reaksi kepada bentakan Jenny itu. Sedikit lega hatinya,  Jenny tidak memakinya.

Jess yang kebingungan terus menggaru-garu kepalanya.


 

Previous: Bab 3
Next: Bab 5

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh Miko Yan