Home Novel Thriller/Aksi INDIGO
INDIGO
Miko Yan
30/3/2020 12:34:45
63,561
Kategori: Novel
Genre: Thriller/Aksi
Bab 11

SATU hari lagi tertanggal dari kalendar. Satu hari lagi juga tanpa kemunculan Emily di Kolej Segi. Sudah masuk dua minggu dia menghilangkan diri. Menghilang begitu sahaja, seumpama diculik makhluk asing. Disedut oleh pesawat U.F.O, seperti dalam filem-filem sci-fi Hollywood. Selepas bertahun-tahun dijadi bahan eksperimen, barulah dihantar balik semula ke bumi. Versi fiksyen ajelah, secara realitinya belum lagi dibuktikan pernah terjadi.

            Kesuraman kelas itu masih dirasai. Seolah-olah Emily itu pelangi yang membawa tujuh warna keceriaan kepada semua selama ini. Kecuali kepada seorang. Dalam kesuraman itu,  Megat masuk ke kelas dengan lagak biasanya. Terus menonong ke tempat duduknya.

           Alicia sempat memberinya senyum saat dia melewati. Namun, Jenny danJess di sebelah cepat-cepat melarikan wajah mereka. Seakan mereka berdua masih merasa tamparan semalam. Tidak berani mereka memandang Megat.

           Perlakuan Alicia itu cepat mengundang jelingan daripada pelajar-pelajar lain. Seperti kisah dia berbaik-baik dengan Megat itu telah diketahui oleh semua orang.

           Melabuh sahaja punggung pada kerusi, mata Megat terus mencari Brian. Sosok remaja berbadan agak tegap itu mula menghambat fikirannya. Brian di satu sudut kelihatan rancak bersembang dengan dua tiga orang pelajar lelaki yang lain.

           Bzzzz, bzzzz…

           Poket seluarnya tiba-tiba terasa bergetar. Segera diseluk poket itu.

           (Hai, morning.) Tertera sapaan itu di skrin telefonnya.

           Lambat-lambat dia menaip balas.

           (Hai, morning. Kau okey?)

           (Okey.) Cepat Alicia membalas, bersama ikon senyum.

           (Jenny dan Jess ada apa-apakan kau?) Kebimbangan itu telah bersarang di benak Megat sejak balik dari The Curve semalam lagi.

           (Tak ada. But everything just not like usual, thanks to you.)

           (Maksud kau?)

           (They don’t bully me anymore.)

           (Oh, good.)

           (Tengah hari nanti kita berdepan dengan Brian di cafe.) Alicia memberitahu rancangannya.

           (Okey.)

           Perbualan menggunakan aplikasi WhatsApp itu ternoktah. Kebetulan juga, pensyarah waktu pertama pagi itu masuk ke kelas untuk memulakan sesi tutorialnya.

 

TENGAH HARI itu seperti direncanakan, mereka berdua bergerak ke café. Pelajar-pelajar lain telah mendahului mereka. Walaupun Megat berasa sedikit berat untuk melewati pintu café, namun dia tiada pilihan lain. Dia harus berdepan dengan Brian secepat mungkin.

          Walaupun  masih belum diketahui apa yang sebenarnya berlaku kepada Emily, pertimbangan dari sudut jenayah harus diberatkan. Apatah lagi Emily sudah hilang selama  dua minggu. Mengikut pakar-pakar penyiasat bagi sesuatu kes jenayah yang sering ditontonnya di saluran Crime & Investigation (CI), waktu boleh menjadi faktor penentu kepada nyawa seseorang mangsa. Semakin waktu berjalan, semakin tipis juga seseorang yang hilang itu ditemui dengan selamat.

          Kelihatan Brian duduk di sebuah meja bersama dua orang pelajar lelaki yang lain. Sesuatu yang pelik juga kelihatan. Alex turut berada di kafe itu, namun dia tidak duduk bersama Brian. Walaupun itu mengundang satu tanda tanya kepada Megat, fokusnya kini hanyalah kepada Brian. Langkah kakinya mengiringi Alicia, terus menuju ke arah Brian.     

          Sedikitpun mereka tidak pedulikan mata-mata yang memandang.

          “Brian, boleh kami jumpa dengan kau sekejap.” Alicia menarik perhatian Brian. Segala pergerakan di dalam café itu seperti termute seketika tatkala melihat situasi itu. Dan mata masing-masing terpaku kepada batang tubuh Alicia dan Megat.

          “Err, kau orang berdua nak apa daripada aku?” Soal Brian dengan tersengih-sengih. Seolah-olah dia memandang Alicia dan Megat itu bahan jenakanya.

          “Ada hal sikit kami nak dapatkan kepastian daripada kau. Boleh kita ke meja kosong sana?” Alicia membalas.

          “Okey.” Brian bersetuju.

          “Guys, sekejap ya. Entah apa badut dua ekor ini mahu daripada aku.” Sempat juga dia memperlekehkan Alicia dan Megat kepada dua temannya sebelum dia bangkit dari labuhan punggungnya.

           Walaupun panas juga telinga Megat mendengarnya, namun dia tidak mahu merosakkan keadaan. Tiada sedikitpun rasa gentar di hatinya terhadap Brian walaupun tubuh Brian lebih tegap daripadanya. Biarpun bukan dari salasilah Megat Terawis, namun darah Megat dalam tubuhnya tak kurang kepahlawanannya. Malah arwah ayahnya dahulu, sempat menurunkan kepadanya beberapa buah silat.

           Brian mengekori Alicia dan Megat ke sebuah meja kosong yang sedikit jauh daripada pelajar-pelajar lain.

           “Ini mesti sebab soseh-soseh dalam kelas tentang kau orang berdua kan? Kalau sebab itu, jangan tuduh aku yang sebarkan cerita. Masuk-masuk kelas tadi, dah bertebaran cerita itu. Aku pun dengar daripada budak-budak kelas yang lain. Walaupun aku ada lihat kau orang keluar berdua tempoh hari, aku tak pernah buka mulut tentang itu kepada sesiapa.” Brian cuba meneka tujuan perjumpaan itu.

           “Kami tahu bukan kau yang buat cerita pasal itu.” Alicia pantas menyingkirkan firasatnya itu.

           “Kalau kau orang dah tahu bukan aku yang buat mulut, sebab apa nak jumpa aku?” Brian mula mengerutkan dahinya.

           “Pasal kehilangan Emily!” Megat tidak mahu kona-kona lagi.

           “What? Err, apa kena-mengena aku dengan kehilangan Emily?” Ternyata Brian terkejut dengan apa yang keluar dari mulut Megat itu. Kulit wajah sediakalanya berubah semakin putih.

          “Sebelum Emily hilang, dia ada jumpa kau kan?” Alicia memberi lebih kefahaman.

          “Wait a minute! Kau orang jangan nak menuduh aku ya!”Cepat-cepat Brian menyangkal.

          “Kami bukan tuduh kau, kami mahu penjelasan daripada kau.” Alicia cuba berdiplomasi.

          “Penjelasan apa? Aku tak tahu apa-apa pasal kehilangan Emily!” Brian terus menafikan. Tapi wajahnya  tidak selari dengan penafiannya, kelihatan semakin pucat.

          “Kami tahu Emily ada berjumpa dengan kau di Restoran Burger King, tempat kau buat part time itu.” Megat masih tenang menyusun ayatnya.

          “Hey, mamat weirdo! Kalau betul Emily berjumpa dengan aku di situ, apa masalahnya? Dah aku kerja kat situ. Macam aku jumpa dengan kau orang juga hari itu.” Brian dengan angkuhnya menepis kenyataan Megat.

          “Masalahnya, Emily berjumpa dengan kau di situ bukan sekadar kebetulan. Tapi atas sesuatu maksud tertentu untuk berjumpa dengan kau.” Alicia mencelah.

          “Sesuatu maksud tertentu?” Brian berpura-pura tidak mengerti.

          “Kau ada menjalin hubungan gelap dengan Emily kan?” Alicia terus membuatkan Brian lebih faham.

           “Aku berhubungan gelap dengan Emily?” Brian ketawa besar, tak ubah macam antagonis dalam filem atau drama tv.

           Alicia mengangguk. Namun, Megat tidak memberi apa-apa reaksi.

          “Emily itu awek Alex. Alex ialah kawan baik aku. Takkan aku nak khianati Alex, What a nonsense!” Brian terus  dengan lagak angkuhnya, membalas.

          “Zaman sekarang, kawan tikam kawan itu perkara biasa.” Alicia memberi satu justifikasi.

          Perlahan-lahan Megat berpaling ke arah Alex, seakan justifikasi yang diberi oleh Alicia itu satu pengertian juga kepada situasi Alex yang duduk bersendirian tika itu.

          Terdiam sejenak Brian jadinya.

          “Err… kau orang berdua jangan nak menuduh aku sebarangan, aku boleh saman kau orang nanti!” Brian yang mula rasa ditekan kemudian membuat satu ugutan.

          “Kami bukan buat tuduhan sebarangan. Buktinya ada di café ini. Situasi Alex yang duduk bersendirian hari ini cukup menjelaskan betapa persahabatan kau dengan dia sekarang berantakan. Puncanya, pasti Alex sudah mengetahui kau telah mengkhianatinya.” Megat cuba mengukuhkan lagi justifikasi yang diberi oleh Alicia.

          “Alex itu tengah bersedih, dia perlukan masa untuk bersendirianlah. Jadi aku beri ruang untuk dia menenangkan diri. That’s all!” Dengan ukiran senyum sinis di bibir, Brian dapat juga mematahkan cubaan Megat itu.

          “Kami ada bukti yang lain!” Tegas Alicia yang mula naik geram. Seperti dia terikut-ikut dengan emosi Brian.

          “Bukti apa lagi?”

          “Errr…”

           Megat cuba menjelas, namun pantas dipintas oleh Alicia.

          “Bayangan nama kau hadir dalam mimpi Megat!”

           “What! Kegilaan apakah ini? Kau dah berkawan dengan mamat weirdo ni, otak kau pun dah jadi tak betul! Mimpi pun kau boleh percaya!” Brian memperlekehkan jawapan Alicia itu. Sekali lagi dia ketawa besar, kali ini lebih sinis dan menjengkelkan.

           Megat sudah dapat merasakan Brian akan berkata begitu, dan dia juga tahu sesiapa sahaja pasti tidak akan percaya dengan bukti sebegitu. Sebab itu dia cuba mencari susunan ayat yang lebih sesuai, namun dipintas oleh Alicia. Dia sedar, mereka tidak mempunyai bukti yang kukuh untuk mengaitkan Brian dengan kehilangan Emily. Setakat bayangan mimpi dan tafsiran huruf-huruf yang dibulatkan di dalam novel milik Emily, ianya bukti-bukti yang masih tidak boleh diyakini.

            “That is the truth!” Alicia cuba menegakkan kata-katanya.

            “Ah, malas aku nak layan orang gila macam kau orang berdua ni! Ini amaran terakhir daripada aku, andainya kau orang berdua masih membuat dakwaan semberono ini lagi terhadap aku, aku tak teragak-agak akan menyaman kau orang berdua!”Ugutan sebegitu di milenium ini sememangnya agak klise, tapi itulah realitinya. Orang zaman sekarang senang buat duit dengan memanjat tangga mahkamah.

            Selepas memuntahkan amaran keras itu, Brian terus angkat kaki dari situ.

            Megat dan Alicia hanya mampu melihat langkah-langkah angkuhnya meninggalkan mereka. Mereka terpaksa akur dengan kegagalan itu. Seperti yang sudah dijangkakan oleh Megat, Brian pasti tidak akan memberi kerjasamanya.

            Ketegangan itu pastinya juga telah menjadi perhatian semua yang berada di café itu. Tidak mahu terus ditenung sinis, Megat segera mengajak Alicia beredar dari lokasi yang sememangnya tidak mengalu-alukan kehadirannya itu.

Previous: Bab 10
Next: Bab 12

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh Miko Yan