Home Novel Thriller/Aksi INDIGO
INDIGO
Miko Yan
30/3/2020 12:34:45
63,644
Kategori: Novel
Genre: Thriller/Aksi
Bab 9

KEHILANGAN Alicia beberapa jam yang lalu pastinya telah mengundang kepelikkan kepada Jenny dan Jess. Selalunya, Alicia setiap waktu bersama mereka berdua. Sekiranya mahu keluar ke mana-mana pun, pasti Alicia akan keluar dengan mereka. Disebabkan tanda tanya yang membuak-buak itu,  mereka menunggu Alicia di ruang tamu rumah sewa mereka.

            Alicia baru sahaja tiba berpandukan bunyi anak kunci yang mahu dimasukkan ke tombol pintu rumah.

           “Hai, everything!” Sapa Alicia ketika menapak ke arah Jenny dan Jess selepas mengunci kembali pintu. Niatnya mahu melucu, meminjam dialog dari satu video lucu yang cukup trending di media sosial ketika itu. Nada suaranya juga cukup riang sekali. Seolah-olah keriangan yang dialaminya di rumah Megat masih dibawanya.

           “Hoi, kau pergi mana?” Cepat soalan itu muntah dari mulut Jenny.Pastinya juga makin berangin hatinya bila mendengar nada riang Alicia.

           “Dari petang keluar, baru sekarang balik ya!” Jess menokok. Seperti biasa dengan nada sinisnya.

           “Aku keluar jumpa kawan sekejap,” jawab Alicia berlagak biasa.

           “Kawan mana pulak? Setahu kami, kami aje kawan yang kau ada,” hamburJenny.

           “Mesti kau pergi jumpa mamat weirdo yang dah gila itu kan?”Penokok tambah semesti juga takkan boleh menutup mulutnya. Beridola Diva AA katakan.

          “Yang kau orang berdua hangin semacam ni, kenapa?” Alicia tidak terus menjawab soalan Jenny dah Jess itu.

          “Mahu tak hangin! Kami malam ni makan Maggi bodoh aje!” Jenny melepaskan amarahnya.   Sememangnya, sejak Emily menghilang Alicia lah pemandu yang akan membawa mereka ke mana-mana memandangkan mereka berdua tidak memiliki kenderaan.

          Hati Alicia tergelak tatkala mendengar jawapan Jenny itu. Rasakan! Baru mereka tahu kepentingan dirinya kepada mereka.

         “Lah, kau orang kan ada kaki, Takkanlah tak boleh turun ke warung-warung depan rumah itu. Tak patah kakinya pun,” tempelak Alicia.

         “Bukan kelas kamilah makan kat warung-warung tepi jalan! Eeee.”

          Amboi-amboi, tak sedar diri punya Jess! Masih jugak nak berlagak. Macamlah makan di restoran dia yang bayar. Alicia jugaklah dibuli-buli mereka. Dasar penangguk di air yang keruh. Mentang-mentanglah Keluarga Alicia orang have-have. Sehave-have Alicia, dia tak pernah pun nak berlagak. Sekadar mintak kereta Myvi aje walaupun keluarganya beriya-iya mahu menghadiahkan kepadanya  sebuah kereta import yang lebih mahal.

         “Itulah kau orang, tak ukur baju di badan sendiri.” Sekali lagi Alicia memberi tempelakan. Malas nak melayan kedua-dua rakannya itu, dia menonong masuk ke biliknya kerana mahu mandi.

         “Siut! Kau tengok, sejak kebelakangan ni dah berani dia melawan kita! Mesti mamat weirdo itu dah menghasutnya!” Jess mengadu domba kepanasan hatinya.

          Jenny mengetap geram bibirnya.

          Lantas dia bangun untuk menyerbu ke bilik Alicia.

          DUNG!!!

          Dia menolak kasar pintu bilik Alicia.

          Alicia yang hanya bertuala hampir terlucut tuala dari tubuhnya dek kerana terkejut.

         “Kau tak jawab lagi soalan aku!” Herdik Jenny dengan wajah menyinga.

         “Soalan apanya?” Balas Alicia. Dirasakan ada satu semangat dalam dirinya kini.

         “Kau pergi mana tadi?” Tukas Jenny. Matanya mencerlang tajam.

         “Kan aku dah jawab tadi, aku pergi jumpa kawan.” Alicia masih berani menentang mata Jenny. Sebelum-sebelum ini, dia pasti akan menikus tatkala melihat pandangan tajam Jenny sebegitu.

         “Kawan mana?” Jenny masih juga tidak berpuas hati.

          “Kau pergi jumpa Megat kan?” Jess datang masuk campur sekali.

          “Ya, aku jumpa dia. Puas hati?” Alicia tak mahu berahsia lagi.

          “Siut kau! Pasal apa kau jumpa dengan dia?” Jenny mengherdik lagi.

          “Pasal aku berusaha nak cari Emily! Bukannya macam kau orang berdua! Setakat mengedar risalah, kau orang berdua fikir dah cukup ke untuk membantu mencari Emily?” Selepas memberi jawapan itu, Alicia terus masuk ke bilik air. Malaslagi dia melayan dua rakannya itu. Memutus moodnya sahaja.

           Jenny dan Jess terpana. Saling berpandangan mereka dibuatnya.Jawapan Alicia itu cukup meresap ke ulu hati mereka. Akhirnya, masing-masing jadi tertunduk layu. Seperti mereka mula menyedari akan kebenaran kata-kata Alicia itu.

 

MEGAT belum dapat melelapkan matanya. Entah mengapa dia belum rasa mengantuk walaupun kala itu jam sudah melewati angka 12 tengah malam. Mungkin fikirannya masih disegari dengan suasana makan malam beberapa jam yang lalu. Kemesraan yang dilihat antara kakaknya dan Alicia cukup melegakan hati.Ternyata kakaknya juga cepat menyukai Alicia. Alicia pula dilihat pandai memenangi hati kakaknya.

            Sekilas dia teringat pula kepada penyiasatannya dengan Alicia di Giant Hypermarket Kota Damansara lewat petang tadi. Penyiasatan yang masih gagal mencari satu perkaitan. Walaupun misteri bayang-bayang mimpinya telah dirungkaikan, namun kesimpulan kepada huruf N, A, I dan R itu masih belum terjawab.

            Mungkinkah huruf-huruf itu bukannya membawa satu nama?

            Fikirannya mula berbisik.

            Wait!

            Mungkin susunannya terbalik.

            Pantas dia mengambil sekeping kertas A4 dan pen. Ditulisnya huruf-huruf itu dalam susunan terbalik.

            R I A N?

            Siapa Rian? Di kolej aku pun tiada pelajar yang bernama Rian.

            Fikiran Megat memberi jawapan kepada kata hatinya sendiri.

            Mungkihkan susunannya juga bukan mengikut urutan terbalik? Barangkali disusun secara rawak sahaja?

            Dia kemudian cuba menyusun kombinasi huruf-huruf itu menjadi sesuatu nama. Selepas beberapa susunan dibuatnya, akhirnya dia mendapat satu nama yang dirasakan mempunyai perkaitan yang cukup kuat dengan Emily.

            R A I N?

            Oh, rupa-rupanya huruf-hurufitu hanyalah merujuk kepada nama seorang pelakon dan penyanyi terkenal Korea. Barangkali Emily cukup menggemarinya.

            Fikiran Megat membuat satu kesimpulan.

            Dia selepas itu memangkah huruf-huruf itu kerana merasakan huruf-huruf itu tidak lagi membawa apa-apa makna kepada misteri kehilangan Emily. Mungkin sekadar memberi perkaitan waktu kehilangan Emily bermula ketika dia menonton konsert K-Pop di Stadium Melawati sahaja.

            Demi melupakan perkara itu buat seketika, dia menghidupkan laptopnya. Oleh kerana matanya masih belum mengantuk, dia mahu mengisi masa itu dengan menyiapkan satu assignment. Isi-isi assignment itu sebenarnya sudah disiapkan, cuma bahagian kulit luar sahaja yang belum dibereskan.

            Saat dia mula leka dengan tugasannya itu, tiba-tiba telefonnya berbunyi menandakan seseorang ada menghantar pesanan WhatsApp. Dia sudah dapat menjangkakan siapakah penghantarnya?

            Sedikit senyuman hadir di bibirnya tatkala dia melihat nama di skrin telefon. Ternyata ramalannya tepat.

            (Awak dah tidur ke?) Dia membaca taipan Alicia itu.

            Kemudian pantas dia menaip balas.

            (Belum)

            (Boleh saya call awak, menganggukah?) pinta Alicia. Dirasakan dengan suara lebih mudah komunikasi itu. Kerinduan terhadap Megat telah mula menghambatnya. Barangkali itulah dikatakan terpanah asmara.

            (Sure) balas Megat ringkas.

            Dua saat kemudian, komunikasi itu berubah dengan suara.

            “Awak tengah buat apa?” Soal Alicia dengan nada suara yang cukup lembut.

            “Siapkan assignment Mr. David, kau?” Balas Megat dengan nada bersahajanya.

           “Do nothing, just wait for the eyes to be closed by reading.” Alicia menyusun ayatnya dengan cukup puitis. Seolah-olah dia mahu menarik Megat ke alam romantis.

           “Reading what?” Namun Megat tetap Megat, bersahaja setiap masa. Jemarinya tika itu masih lancar di papan kekunci laptopnya. Dalam dia mengepit telefon di telinganya, sempat juga fikirannya terilham untuk menggunakan font Stencil bagi tulisan untuk tajuk kulit hadapan assigmentnya itu.

           “The Famous Five by Enid Blyton”

           “What the heck!” Tiba-tiba Megat menyeranah dan jemarinya terhenti di kekunci huruf B.

           Terkejut Alicia mendengar seranah Megat itu. Fikirnya Megat tidak menyukai novel yang sedang dibacanya.

           “Why? Awak tak suka novel ini ke?”

           Siapalah yang tak sukakan kisah-kisah penyiasatan lima sekawan itu? Dari generasi ke generasi siri novel itu beredar di seluruh dunia. Malah Enid Blyton juga telah diangkat sebagai penulis kelima terpopular di dunia, berada lebih hadapan daripada Shakespeare.

           “Err, sorry. Bukan aku tak suka novel yang kau baca. Tapi, aku fikir dah berjaya selesaikan bayang huruf-huruf yang aku mimpikan itu.”Cepat-cepat Megat menjelaskan maksud di sebalik rasa terkejutnya.

           “Ya ke? Apakah maksudnya?”

            “Hmmm, nanti aku jelaskan pada kau esok.” Megat merasakan lebih sesuai perkara itu dijelaskan secara muka ke muka. Dalam masa yang sama juga, boleh dikatakan secara liciknya, dia mencari minit sosialnya dengan Alicia.

           “Okey, kita jumpa esok ya.” Mendengar sahaja candangan Megat itu, Alicia berbunga rasa riang. Semestinya dia juga mahu meluangkan masa dengan Megat lagi. Dirasakan Megat bukanlah seperti yang dimomok-momok oleh rakan-rakannya.

           “Okey,” ucap Megat, sedikit lega rencananya berhasil.

           “Okeylah, awak. Awak siapkan lah dulu tugasan awak itu. Kita jumpa esok ya.”.

            “Okey, bye.”

            “Bye.”

            Perbualan ternoktah. Dengan ternoktahnya perbualan itu, ternoktah jugalah hari mereka pada hari itu.

Previous: Bab 8
Next: Bab 10

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh Miko Yan