Home Novel Thriller/Aksi INDIGO
INDIGO
Miko Yan
30/3/2020 12:34:45
63,555
Kategori: Novel
Genre: Thriller/Aksi
Bab 13

MEGAT merebahkan tubuhnya ke tilam. Seberat tubuhnya, berat juga fikirannya tika itu. Penyiasatannya menjadi semakin kompleks. Namun, setiap kali dia mendapat klu baru, pasti juga dia akan ke jalan buntu.

            Sebelum pulang tadi, Alicia telah memberitahu petunjuk yang baru ditemuinya. Alicia juga berjanji kepadanya akan menyiasat punca sebenar Brian bekerja part time di Restoran Burger King, andainya benar dia datang dari keluarga yang kaya.

            Namun, petunjuk baru itu memberi lebih persoalan kepada Megat.

            Jika benar Brian membawa Emily menyusup keluar dari stadium, apa motifnya?

            Kenapa dia dan Emily mahu merahsiakan perkara itu daripada semua orang?

            Apakah dia membawa Emily keluar secara paksa? Dalam erti kata lain menculik Emily, seumpama plot dalam filem-filem thriller Hollywood.

            Kalau benar begitu,tapi kenapa perlu dilakukan di lokasi yang ramai orang? Pasti Emily akan meronta-ronta atau menjerit untuk menarik perhatian ramai.

            Sekiranya pun Emily ditidurkan dengan sapu tangan yang mengandungi kloroform, macam juga selalu dipraktikkan oleh psikopat dalam filem-filem, seramai-ramai orang dalam stadium itu takkan tak ada seorang pun yang perasan.

            Aku tak fikir Emily dibawa keluar dari stadium secara paksa! Satu penegasan bergema di lubuk hati Megat.

            Aku yakin Emily berbuat demikian secara sukarela. Pasti ada sesuatu yang telah dirancangnya bersama Brian. Semakin yakin hati Megat berfirasat.

            Aku perlu mencari motif mereka berbuat demikian? Apakah rahsia mereka sebenarnya?

            Tapi bagaimana aku nak mencarinya?

            Satu persoalan yang akhirnya membawa kepada kebuntuan.

            Tangan kanannya perlahan-lahan menyilang di dahi. Persis lagak gaya mat romeo mengalami konflik percintaan. Mungkin itu sifat semulajadi manusia yang sedang berperang dengan fikiran sendiri.

            Posisi badannya berubah mengiring. Matanya kini betul-betul mengadap meja pojok di sisi katil.

            Mungkin Emily boleh membantu…

            Fikirannya berdesis. Lalu tangannya mencapai novel Natalia dari atas meja pojok itu. Novel itu dipeluknya, seumpama Emily juga pernah berbuat demikian. Perlahan-lahan kelopak matanya redup, dan beberapa saat kemudian dia hilang dari dunia sedar.

            Emily…

            Dalam kabus, Emily muncul di satu lokasi yang tidak dipastikan. Namun, seperti di tepian sebuah pantai kerana kedengaran bunyi ombak dan bunyi kicauan camar. Kabus yang menyelubungi sedikit demi sedikit berlalu pergi.

            Ya benar, ilustrasi lokasi itu semakin jelas. Emily benar-benar sedang duduk di tepian sebuah pantai. Pasirnya memutih. Sesekali ombak membawa air mencecah hujung kakinya. Emily kelihatan menulis sesuatu pada lantai pasir, namun tidak jelas apa yang ditulisnya. Perlahan-lahan Emily mengangkat kepalanya dan  memandang sayu ke arah lautan.

           Abstrak itu kemudian berulang-ulang dan berpusing-pusing sehingga memeningkan kepala.

           Emily!

           Megat menjerit. Secara automatik juga dia tersedar dari mimpinya. Peluh sejat membasahi mukanya. Dia mengusap-usap mukanya, cuba menghilangkan rasa mamai dan peluh yang mengalir itu.

           "Emily, di mana kau?" Dia mengeluh sepi.

           Namun tiada jawapan untuk soalannya itu.

           Perlahan-lahan kemudian dia bangkit dari baringan. Dia menyedari dia telah melanggar satu pesanan arwah ibunya, jangan tidur di waktu maghrib. Selepas menyalin pakaian, terus dia masuk ke bilik air untuk membersihkan diri.

 

PAGI menjelma. Megat tiba lebih awal sedikit di kolej pada hari itu kerana dia menumpang kakaknya yang kebetulan mempunyai tugasan luar di sekitar Damansara. Terus dia ke café untuk bersarapan. Sejak dia berdepan dengan Brian beberapa hari lalu, rasa kekoknya terhadap café itu berdikit hilang. Dia tidak pedulikan lagi pandangan pelajar lain terhadapnya. Lagipun awal-awal pagi begitu, masih belum ramai pelajar di situ.

            Selepas membeli makanan dan minuman, dia melabuh punggung pada kerusi sebuah meja makan. Beberapa saat dia terbatukan diri. Seperti dia merasai sesuatu aura di situ. Perlahan-lahan tangannya meraba di bawah meja, dan tersentuh sesuatu. Pengertian di sebalik aura itu difahaminya.

            Dia mula menjamah sarapan paginya dalam selera yang dipaksa-paksa. Asid gastrik yang selalu mengganggu perutnya memaksa dirinya untuk patuh kepada jadual makan.

            Satu mesej WhatsApp daripada Alicia membuatkan telefonnya berbunyi. Lantas dia meraba poket seluar dan mengeluarkan telefon itu.

            (Awak kat mana?)Tertera di skrin.

            (Café.) Pantas dia menaip balas.

            (Ok, saya ke sana.) Beritahu Alicia.

            Beberapa minit kemudian, Alicia sampai.

            “Hai,” sapa Alicia dengan wajah selalunya, girang.

            “Hai, makan?” balas Megat bersama satu pelawaan. Senyuman terukir pendek di bibirnya. Wajah girang Alicia juga ibarat satu jampi kepadanya.

            “Thanks, saya selalunya tak sarapan pagi.” Alicia membalas.

            “Oh, diet?” duga Megat.

            Alicia sekadar mengangguk dengan satu lagi ukiran senyum.

            “So, macam mana? Ada lagi sesuatu yang baru, yang mahu dikongsi dengan aku?” Megat terus kepada penyiasatan mereka.

            “Yup, I already have the answer to the question  that I promised you yesterday,” balas Alicia, riak wajahnya berubah serius.

            “Really?” Megat berhenti menyudu mee gorengnya.

             Alicia sungguh-sungguh mengangguk.

            “What is it?” Megat jadi tidak sabar mahu mendengarnya.

            “Restoran tempat Brian buat part time itu sebenarnya satu francais milik keluarganya.” Alicia menjelas dengan senyuman. Seperti puas hatinya dapat merungkai tentang itu.

            “Ini bermakna, Brian bukan buat part time di situ.”

            “Yup, bermakna juga dia bukan sekadar berlagak anak orang kaya. Dia betul-betul anak orang kaya,” sambut Alicia.

            “Jadi, soal status bukan lagi menjadi sebab Emily tidak boleh menjalin hubungan gelap dengan Brian?” Megat mula memahami perkaitannya.

            “Yup, dan Alex sekarang mempunyai pesaing, rakan karibnya sendiri.” Alicia memberi lebih kefahaman.

            “Oh my gosh! Cinta tiga…”

            “Segi!” Alicia menyudahkan kata-kata Megat.

            “Di Kolej Segi.” Megat mencipta sedikit lelucon yang membuatkan kedua-duanya ketawa.

            “Cinta Tiga Segi Di Kolej Segi, boleh buat lagu atau judul novel,” ulas Alicia di hujung tawanya. Megat bersetuju dengan ukiran senyum.

            “Wait, masih ada sesuatu yang masih aku tak faham.” Riak wajah Megat menjadi serius semula.

            “What?” Alicia jadi tercengang.

            “Apa motif Brian mahu menyusup Emily keluar dari stadium secara rahsia?” ungkap Megat, fikirannya dibawa kembali kepada tanda tanya itu.

            “Err… err… maybe dia mahu menyembunyikan Emily daripada Alex.” Dalam ketidakpastian, Alicia memberi justifikasinya.

            “Kenapa pula dia mahu menyembunyikan Emily daripada Alex?” Muncul pula persoalan itu di benak Megat.

             “Err… I don’t know. Tapi awak ingat tak lagi saya pernah beritahu awak yang saya pernah terdengar Emily bertengkar dengan Alex di telefon,” jawab Alicia, mengajak Megat kembali semula ke beberapa hari yang lalu.

            Megat jadi terdiam sejenak.

            “Maybe Alex ada mengugut Emily sesuatu sehingga membuatkan Emily ketakutan dan mahu menyembunyikan dirinya daripada Alex,” tambah Alicia selepas melihat Megat terdiam.

            “Mungkin betul andaian awak ini.” Selepas beberapa ketika terdiam, Megat bersuara. Dia terpaksa bersetuju dengan Alicia memandangkan fikirannya tidak dapat menjejak perkaitan yang lain lagi.

            “Jadi sekarang, kita harus menyiasat di mana Brian menyembunyikan Emily.” Alicia memberi hala yang harus mereka tuju seterusnya.

            “Juga Alex, kerana dia sekarang mempunyai motif terhadap Emily kalau benar dia telah mengugut Emily.” Megat menyambung.

            Alicia mengangguk kepalanya.

            “Saya sangat risaukan keadaan Emily sekarang,” ungkap Alicia sedikit beremosi selepas mereka terdiam beberapa ketika. Ternyata kerisauan itu sentiasa menghambatnya memandangkan dia lebih dekat dengan Emily berbanding Jenny dan Jess, walaupun Emily juga tak ubah seperti dua malaun itu yang suka membulinya.

            “Hmmm, aku pun risaukan dia,” ucap Megat dalam nada separuh mengeluh.

            “Really?” Hati Alicia seperti jadi tersentuh kerana sepanjang pengetahuannya, Emily cukup mendendami Megat.

            Lambat-lambat Megat mengangguk kepalanya. Sepintas dia teringatkan mimpinya bertemu Emily malam tadi. Namun,dirasakan tidak ada apa-apa keperluan untuknya berkongsi mimpi itu dengan Alicia. Fikirnya, mimpi itu sekadar abstrak yang tidak membawa apa-apa makna.

            Makin terharu Alicia jadinya.

            “Perlukah kita memberitahu hal ini kepada Inspektor Razif?” Tiba-tiba terpancul soalan itu dari mulut Alicia. Soalan yang sama diajukan kepada Jenny dan Jess semalam.

            “Err… aku rasa kita cari kesahihannya dahulu. Takut-takut nanti Inspektor Razif tuduh kita mengada-adakan cerita pulak.” Dalam rasa berbelah bagi, Megat menyatakan pendiriannya. Ternyata pendiriannya juga lebih kurang sama dengan pendirian yang diberi oleh Jenny semalam.

            “Okey.” Alicia akur,buat kali yang kedua. Namun, akurannya kali ini lebih meyakinkan kerana arahan itu datang dari mulut pemuda yang mula dikaguminya.

Previous: Bab 12
Next: Bab 14

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh Miko Yan