Bab 4
Dato’ Irfan
tidak senang duduk. Dia berjalan ke hulu ke hilir sambil menggaru kepalanya
yang tidak gatal. Kepalanya terasa sedikit pening kerana terlalu banyak
berfikir. Sesekali dia mendengus kasar apabila setiap persoalan yang bermain di
mindanya seakan menemui jalan yang
buntu.
“ Tak mungkin wajah mereka serupa! Datang lagi
dan kini untuk apa?” tutur Dato’ Irfan sendiri. Dia melabuh punggung ke atas
kerusi yang empuk. Kenangan lama datang bersilih ganti. Namun semua itu dapat
dipadamkan dengan mudah. Namun seraut wajah itu seakan menjadi mimpi ngeri
baginya. Datang lagi seolah cuba membunuh ketenangan hatinya sejak sekian lama.
Sangkanya apa yang terjadi sepuluh tahun yang lalu akan terkubur tanpa nisan,
hilang terus dari ingatan dan terus lenyap dari memori hidupnya. Namun ternyata
semua itu bagaikan sebuah mimpi yang datang bertandang sekali lagi.
“ Abang, saya nak keluar jumpa Datin Sufiah!
Kalau abang izinkan, nanti saya telefon dia ambil saya kat rumah!” Tutur Datin
Fiffy mengejutkan Dato’ Irfan yang masih
dalam khayalan. Hampir gugur jantungnya disapa secara tiba-tiba. Mujur juga
isterinya itu tidak perasan perubahan yang berlaku kepada dirinya. Wanita
anggun itu sibuk membelek subang yang
dipakai di hadapan cermin ruang tamu rumah mereka. Kadang kala senyuman
dilemparkan untuk tatapan sendiri. Uh, perempuan! Perasanlah tu! Getus Dato’
Irfan sendiri.
“ Erm..yelah! Awak balik nanti pukul berapa?”
wajah isterinya dipandang melalui cermin. Senyuman isterinya kini dilemparkan
pula kepadanya. Cukup manis! Namun tidak semanis wanita yang dipujanya sepuluh
tahun yang lalu.
“ Aik! Sejak bila pulak abang ni tanya jadual
harian saya? Abang ni kenapa? Bermimpi ek?” kata-kata Datin Fiffy kedengaran
begitu sinis. Kemudian dia melangkah dan duduk di sebelah suaminya yang sedikit
menggelabah. Wajah suaminya ditatap lama. Peluh yang bermain di dahi suaminya
dikesat lembut.
“ Saya rasa kat rumah kita ni sejuk bang! Ada
aircond lagi. Kipas tak payah cakaplah banyak mana. Tapi kenapa dahi abang
berpeluh ye?” kerutan jelas di dahi Datin Fiffy. Dato’ Irfan seakan kelu untuk
berkata. Dadanya terasa sesak. Bebanan yang ditanggungnya bagaikan satu penyakit
yang datang dengan pantas menguasai seluruh hidupnya. Ah, hanya kerana dosa
semalam, aku terperangkap!
“ Emm..saya tak sihat!” Terlontar kata-kata itu
tanpa dirancang.
“
Tak sihat? Atau ada sesuatu yang abang sorokkan daripada saya?” tingkah Datin
Fiffy sambil merenung tajam wajah suaminya. Ternyata lelaki itu begitu pandai
mengawal emosi. Tiada riak marah atau tersinggung dengan pertanyaannya yang
penuh syak wasangka.
“ Awak tak jadi keluar ke? Saya nak keluar ni!
Ada hal!” Ucap Dato’ Irfan tanpa menjawab soalan isterinya. Kemudian dia bangun
dari tempat duduk dan merenung seraut wajah manis isterinya yang memandang
tanpa segarit senyuman.
“
Abang kata tak sihat? Sekarang nak keluar? Pergi mana?” Datin Fiffy tidak
berpuas hati.
“ Saya ada urusan! Bukan awak saja yang ada
urusan. Sibuk ke hulu ke hilir. Satu lagi, tak perlu saya sorok apa-apa. Kalau
ada pun, saya tahu, awak bukan jenis ambil kisah pasal suami. Dahlah! saya nak
bersiap! Nak keluar.” Kata-kata Dato’ Irfan begitu sinis kedengaran di telinga
Datin Fiffy. Dia menarik nafas panjang saat suaminya berlalu menuju ke dalam
bilik. Hati wanitanya sedikit terguris dengan kenyataan suaminya sebentar tadi.
Nyata apa yang dilakukan olehnya masih tidak akan berubah! Lelaki itu tidak
pernah menyintainya dulu dan sekarang. Mungkin sehingga ke liang lahad!
****
Suasana kelab malam yang berada di Bukit Bintang itu
seperti biasa gamat dengan muzik yang menyakitkan telinga. Di satu sudut
kelihatan Dato’ Irfan asyik melayan perasaan. Jiwanya yang sentiasa sakit
selama ini seakan terubat apabila melihat wajah salah seorang stafnya iaitu
Murni. Gadis itu mengingatkannya kepada seseorang yang telah lama meninggalkan
dunia. Seseorang yang amat dicintainya dengan sepenuh raga.
“ Tak sangka Dato’ Irfan yang ternama sanggup
datang ke kelab murahan macam ni!” Kedengaran suara seseorang menyapa dirinya.
Pantas matanya melekat kepada seraut wajah yang melempar senyuman mengejek.
“ Lalita! Kau jangan lupa aku ni bapa saudara
kau. Jangan sebab kau berkawan dengan budak tak senonoh tu, kau nak berkurang
ajar! Apa yang kau dapat berkawan dengan lelaki papa kedana tu?” pantas
telunjuknya dituding ke arah Bros yang berada tidak jauh dari situ. Sakit
hatinya dengan lelaki itu bukan sedikit. Kerana lelaki itulah, Lalita sanggup
menolak cinta anak bujangnya terang-terangan.
“ Terima kasih atas nasihat Dato’ tu! Saya nak
ingatkan Dato’, keluarga saya tak ada
kena mengena dengan orang kaya macam Dato’ ni! Sombong dan berlagak!” Ucap
Lalita sambil berlalu dengan hati yang puas.
“ Kurang ajar punya perempuan!” Dato’ Irfan
menyumpah keras. Sakit hatinya dengan tingkah laku Lalita yang tidak tahu
menghormati dirinya. Pantas dia duduk di atas kerusi dan membebel sendiri.
Semuanya seakan rumit. Pergaduhan antara isterinya dan adik perempuannya iaitu
emak Lalita cukup memeningkan kepalanya. Hanya kerana cinta anak bujangnya
ditolak oleh Lalita, Datin Fiffy mula memandang rendah keluarga adiknya yang
dianggap sombong dan berlagak. Sudahnya, hubungan antara mereka mula berantak Kekayaan
yang ada pada mereka membuatkan hubungan darah bukan lagi perkara yang penting.
Hanya ego dan lagak yang menjadi hiasan dalam kehidupan mereka. Sudahnya,
sengketa yang berlarutan bagaikan barah yang menular ke seluruh tubuh! Dan rasa
hormat telah lama padam antara mereka.
“ Seronok memikat buah muda Dato’?” tiba-tiba
seseorang berbisik kepadanya. Pantas Dato’ Irfan memandang dengan dahi yang
berkerut. Senyuman itu cukup memukau pandangannya. Namun wajah gadis yang berselubung itu kurang jelas tampak di mata kerana setiap
sudut dihiasi cahaya lampu yang malap. Mata Dato’ Irfan tidak berkelip.
Bagaikan ada magnet yang menghalang untuk dia memandang ke tempat lain.
“
Awak siapa?” Dato’ Irfan cuba menilik wajah gadis yang berjaket hitam itu.
Namun keadaan yang suram membantaskan pandangan matanya.
“ Sungguh-sungguh Dato’ tak tahu?” gadis itu
masih berbisik di dalam keriuhan kelab itu. Dato’ Irfan mendengus kasar.
Perempuan di hadapannya itu seolah-olah bermain kata. Mungkin perempuan yang
suka menggoda lelaki kaya! Sempat Dato’ Irfan berbisik di dalam hati. Malas dia
melayan perempuan seperti itu.
“ Harta bukan segalanya Dato’! Bagaimana kalau
aku minta Dato’ hidupkan orang yang telah mati? Boleh ke Dato’?” keras kata-kata
gadis berjaket hitam itu. Nyata dia dapat membaca pemikiran lelaki separuh abad
di hadapannya. Dato’ Irfan sedikit tersentak. Urusan apa yang mereka buat
sebenarnya? Tiba-tiba ketawa gadis itu meletus seakan mengejek Dato’ Irfan yang
terkebil-kebil tidak faham.
“ Just
kidding Dato’!” tuturnya sambil berlalu. Dato’ Irfan mengurut dada. Gila!
Getusnya sendiri. Sudahnya, dia hanya mampu menarik nafas dan melepaskannya
dengan keluhan yang berat.
****
Lalita memandang kepada Bros yang mengetap bibirnya.
Wajahnya yang muram dapat dilihat dengan jelas. Berkali-kali lelaki itu
menyepak apa saja yang menghalang perjalanan mereka sejak keluar dari kelab. Mereka melangkah menuju ke
arah Mc’Donald yang tidak berapa jauh dari situ.
“ Apahal dengan kau Bros?” pertanyaan Lalita
terhembur saat mereka duduk di suatu tempat berhadapan dengan Mc’Donald. Wajah
kawan baiknya dipandang lama. Dia pasti ada sesuatu yang merunsingkan hati
lelaki itu. Manakan tidak, senyuman yang biasa dilemparkan kepadanya seakan
hilang entah ke mana.
“ Aku tahu aku miskin! Aku anak yatim piatu!”
Bentaknya tiba-tiba.
“ Jadi??” tutur Lalita tidak mengerti.
“ Apahal Dato’ Irfan nak sakitkan hati aku
Lali? Aku tahu dia kutuk aku tadi kan?”
“ Ooo.. pasal Dato’ Irfan? Lelaki tua tu memang
macam tu! Tapi aku tak rasa kau marah sebab tu kan?” Lalita serkap jarang. Dia
tahu kenapa Bros berwajah muram. Sebagai seorang teman baik, Lalita tidak
pernah salah menilai persaan lelaki itu. Perasaan yang turut menghancur
lumatkan hatinya. Dalam hati, Lalita menyumpah keras. sakit hatinya bagai
dihiris sembilu berbisa. Namun semua itu tidak mampu dizahirkan dengan
pandangan mata. Bros telah buta kerana cinta! Dan kasih sayangnya kini sudah
tiada bernilai walaupun sesen kurap!
“ Apa maksud kau ni Lali? Kau sekarang dah
pandai fikir yang bukan-bukan!” Bros cuba melindungi rahsia hatinya sebenar.
“ Semuanya kerana peremuan berjaket hitam tu
kan? Kau nampak dia goda Dato’ Irfan! Tu yang buat kau marah! Apa yang kau suka
sangat kat betina tu?” jerkahan Lalita begitu kuat mengejutkan beberapa orang
yang berada di situ. Matanya membutang luas. Pandangan matanya kini seakan
kabur dek air jernih yang mula bermain di tubir mata. Mengapa begitu sakitnya
perasaan ini?
“ Kau ni mabuk ke apa Lali? Atau kau datang
bulan ni?” Bros cuba berlagak selamba walaupun hatinya sedikit sakit melihat
kemarahan temannya yang tidak berasas.
“ Entahlah! Aku tak tahu! Aku nak balik!”
Lalita bangun dari tempat duduk. Air matanya yang mula mengalir di sapu dengan
kasar. Entah kenapa ada perasaan cemburu di hatinya. Cintakah aku pada kau
Bros??
“ Ermm..jomlah! Tapi kau jangan macam ni Lali!
Aku tak sukalah kau macam ni!”
“ Biarlah kesedihan aku seorang saja yang
tanggung Bros! Kau memang suka buat aku menangis! Berapa kali aku cakap, aku
tak suka perempuan tu! Dia bukan perempuan baik!”
“ Ok! Aku faham! Dahlah, kita balik ek!” Pujuk
Bros dengan lembut.
“ Kau jangan dekati dia Bros!”
“ Aku janji Lali! Tapi apahal perempuan tu tegur Dato’ tadi?” soalan Bros
yang tiba-tiba hanya dijawab oleh elengan Lalita. Sungguh, dia juga merasa
hairan. Ada skandalkah lelaki berpangkat itu? Tidak takutkah dia dengan Datin
Fiffy yang begitu kuat rasa cemburunya? Ah, lantaklah! Lalita malas untuk
berfikir masalah mereka.
“ Mudah benar ada skandal kalau kita banyak
duit ya Lali!” Terluah kata-kata itu dari mulut Bros. Wajahnya muram kembali.
Agaknya memikirkan nasib diri yang hanya melukut di tepian gantang. Dan Lalita
sebenarnya telah banyak membantunya yang serba kekurangan.
“ Apa guna ada skandal kalau menyakiti hati
orang yang dekat dengan kita Bros! Tu, bini kat rumah entah jadi macam dia. Ada
skandal sana-sini. Kalau satu yang buruk, tak mustahil yang lain turut buruk
Bros!” balas Lalitha dengan keras.
“ Kau tak nak berbaik dengan dia orang ke
Lali?” Bros menjungkit kening. Lalita memandang sekilas. Pandangan mereka
bertaut tanpa suara. Sudahnya Lalita hanya menggelengkan kepala. Tiada jawapan
untuk persengketaanyang bukan berpunca daripadanya.
Teringat dia tentang
penghinaan Datin Fiffy kepada mereka. Kata wanita itu, mereka sekeluarga
menumpang tuah dan kekayaan Dato’ Irfan. Harta yang mereka miliki sekarang
adalah harta yang disedekahkan oleh suaminya yang kononnya berstatus jutawan.
Setahu Lalita, tidak berdosa andainya seorang abang menolong adiknya sendiri
untuk turut merasa nikmat kesenangan. Semuanya bertambah parah apabila Nazri
mencurah rasa hati kepadanya dan meminta orang tuanya datang meminang. Pada
Lalita, cintanya bukan untuk lelaki itu walaupun sekelumit. Sudahnya, perang
dingin terus berlaku. Dan kali ini Dato’ Irfan turut memulaukan mereka
sekeluarga.
“ Lali, aku nak ucap terima kasih kat kau sebab
sanggup jadi kawan baik aku! Kalau tak aku tak ada tempat nak mengadu Lali! Aku
keseorangan! Mujur juga tuhan pertemukan aku dan kau!”
“ Tahu juga kau bersyukur Bros. Aku ingat aku
ni tiada nilai di mata kau. Apa pun Bros, aku ikhlas bersahabat dengan kau. Aku
nak hubungan kita ni kekal sampai bila-bila ek!” tangan Bros di capai dan
digenggam lama. Ada rasa kasih yang menjalar di dalam urat nadinya untuk lelaki
itu.
“ Sampai bila-bila? Kau nak kahwin dengan aku
ke Lali?” Bros tersengih tiba-tiba. Pantas Lalita melepaskan tangannya. Dia
memalingkan pandangannya. Ada rasa getar di dalam hati mendengar kata-kata
lelaki itu.
“ Aku guraulah! Kau jangan marah aku Lali.
Jom..”
“ Aku tak marah kau Bros, aku….” Lalita
mengetap bibir apabila Bros mula menghidupkan enjin motorsikalnya.
“
Cepatlah! Lambat aku tinggal!” Bros bersuara kuat dan tanpa berlengah, Lalita
membonceng di belakang Bros sebelum berlalu meninggalkan kawasan itu.