Home Novel Thriller/Aksi Epidemik T
Bab 16 Berpecah

Bas Sekolah

10.00 pagi, 1 April 2013

Izara mengambil tempat duduk di sebelah Syamir. Wajahnya masam mencuka. Sempat juga Izara melemparkan jelingan ke arah Cikgu Daniel yang sedang berdiri di laluan di antara kerusi di dalam bas sekolah itu.

“Awak akan menyesal kerana membenarkan lelaki tu masuk ke dalam bas ini,” gumam Izara sekali-sekala. Syamir hanya mampu mengeluh berat. Sikap Izara berubah tiba-tiba sejak kehadiran Cikgu Daniel.

Cikgu Daniel kelihatan sedang menghampiri Izara yang sedang berpeluk tubuh. Senyuman sinis diukirkan oleh Cikgu Daniel.

“Kenapa ni Izara Aishah?” tanya Cikgu Daniel. Nada suaranya kedengaran mengejek.

Izara menjeling penuh geram ke arah Cikgu Daniel.

“Tak suka ke cikgu ada kat dalam bas ni?” tanya Cikgu Daniel lagi.

“Cikgu boleh diam tak?” gumam Izara bengang. “Tak cukup apa yang cikgu dah buat pada saya? Cikgu sepatutnya bersyukur yang saya masih mahu selamatkan cikgu.”

Cikgu Daniel mengangkat bahunya. Dia kemudian menghampiri Jiwon yang sedang memandu bas sekolah itu membelah Lebuhraya Eurasia yang kelihatan sunyi daripada kenderaan.

“Kau ke ketua kumpulan kau?” tanya Cikgu Daniel lagi.

“Bukan aku. Tapi budak lelaki tu,” jawab Jiwon. Cikgu Daniel menoleh ke arah Syamir yang sedang menatap wajahnya.

Cikgu Daniel kembali menghampiri Syamir dan Izara.

“Kau ketua?” soal Cikgu Daniel memerli. “Apa yang kau boleh buat?”

Soalan Cikgu Daniel itu seolah-olah sedang mencabar Syamir. Namun, Syamir masih kelihatan tenang.

“Dia lagi bagus daripada bangsat macam kau!” gumam Izara.

Tangan Cikgu Daniel spontan terangkat ke udara, mahu menampar Izara dan... tangannya disambar oleh Syamir. Syamir terlebih dahulu berdiri.

“Jangan sentuh perempuan kalau tak nak dilabel sebagai dayus,” tutur Syamir sambil merenung dalam mata Cikgu Daniel.

“Dia yang kurang ajar dengan aku dan kau, jangan nak...”

“Saya tak akan kurang ajar dengan cikgu kalau cikgu tak lakukan perkara itu!” teriak Izara tiba-tiba. Air matanya mengalir. Cikgu Daniel menolak Syamir ke tepi lalu cuba menerkam Izara.

Bam! Cikgu Daniel rebah selepas Syamir menghulurkan kakinya. Cikgu Daniel tersandul kaki Syamir.

Dua orang pelajar lelaki yang mengikut Cikgu Daniel itu tiba-tiba berdiri, cuba menyerang Syamir. Namun, Syamir yang sememangnya mahir bersilat mengelak tumbukan yang cuba dilayangkan ke arahnya lalu menghadiahkan pula sebuah tumbukan yang tepat mengenai dada penyerangnya.

Seorang lagi cuba menendang Syamir namun kaki lelaki itu sempat ditangkap oleh Syamir lalu Syamir menolak penyerangnya ke belakang lalu jatuh terlentang. Cikgu Daniel berdiri dari belakang dan cuba menyerang curi....

Syamir pantas memusingkan tubuhnya lalu menangkap penumbuk Cikgu Daniel. Sambil tersenyum sinis, Syamir mengunci lengan Cikgu Daniel lalu melontarkan tubuh Cikgu Daniel ke lantai. Pergaduhan telah tercetus di dalam bas sekolah itu.

“Jangan cari pasal dengan aku,” tutur Syamir bengang ketika Cikgu Daniel cuba melepaskan diri daripada Syamir.

“Maafkan... cikgu,” tutur Cikgu Daniel yang tercungap-cungap ketika lengannya dipegang erat oleh Syamir.

“Saya nak keluar dari sini,” kata Izara tiba-tiba. “Kakak Jiwon, tolong bukakan pintu bas ini.”

“Tapi...”

Izara tidak menunggu lama. Dia menekan satu punat yang terdapat berdekatan dengan kerusi pemandu bas itu. Tanpa mempedulikan bahaya yang bakal hampir kepadanya sekiranya keluar daripada bas itu, Izara melompat nekad.

“Izara!” teriak Syamir. “Aku akan pujuk dia. Hentikan bas.”

Jiwon mengangguk lalu menekan pedal brek.

Syamir turun daripada bas.

Sebuah terowong kelihatan di sebelah kanan mereka. Izara sedang menghampiri terowong itu, sekadar membawa kakinya berpandukan emosi yang sedang bercelaru. Air mata yang lebat dikesat oleh Izara.

“Awak...” panggil Syamir sambil mencapai pergelengan tangan Izara.

“Tolong lepaskan saya Syamir!” kata Izara tercungap-cungap.

“Kenapa awak bencikan sangat si Daniel tu?” tanya Syamir.

“Dia pernah... hampir...”

Kata-kata Izara tidak dapat dihabiskan apabila Jiwon membunyikan hon, sebagai tanda amaran. Sebuah bas yang datang daripada arah bertentangan dengan terowong itu sedang melayang ke arah mereka.

Syamir sempat melompat menolak tubuh Izara daripada dihempap bas. Bas itu bertembung dengan pintu masuk terowong lalu meletup. Api yang besar terhasil daripada kemalangan itu lalu menutup ruang masuk ke dalam terowong.

“Kamu tak apa-apa ke?” teriak Azim dari luar.

“Aku dengan Izara okey. Kita jumpa dekatIbu Pejabat Polis Eurasia, Balai Polis Utama Eurasi,,” balas Syamir.

Azim mengangguk. Dia kembali ke bas sekolah.

“Jalan dah tertutup. Kita kena ikut jalan lain,” kata Azim ketika melintasi kerusi pemandu yang sedang diduduki oleh Jiwon. Katana atau pedang samurainya masih setia di tangannya.

Lebuhraya Eurasia

11.00 pagi, 1 April 2013

Kelihatan Syamir sedang dipapah oleh Izara menyusuri Lebuhraya. Kaki jejaka itu luka terkena serpihan bas yang meletup ketika merempuh pintu gerbang terowong. Darah kelihatan meleleh di atas jalan raya.

“Berapa lama lagi kita nak sampai?” tanya Izara.

“Saya tak tahu. Tapi perjalanan dalam 100 Kilometer sebelum sampai ke bandar,” tutur Syamir. Nada suaranya kedengaran lemah.

“Jauhnya...” tutur Izara. “Mana awak tahu?”

Syamir menjuihkan bibirnya ke arah papan tanda yang sedang berdiri di hadapan mereka. Izara tersengih.

Bandar Eurasia – 100 KM

Pantai Bilah – 120 KM

Pekan Bintang – 140 KM

“Saya tak nampak,” tutur Izara lagi sambil tersengih.

***

Syamir memegang erat lengan Izara apabila telinganya dapat menangkap bunyi sesuatu daripada belakang.

“Kenapa?” tanya Izara.

“Ada motor datang dari belakang,” tutur Syamir.

Beberapa saat kemudian, Syamir menolak Izara ke tepi. Mujurlah mereka berdua tidak dilanggar oleh penunggang motorsikal itu. Syamir kelihatan bangkit menggagahkan dirinya. Dia melihat seorang penunggang motorsikal yang berhelmet hitam dengan sebuah motorcross sedang menghampiri mereka.

“Abang.. kami bukan zombi...”

Penunggang motorsikal itu tidak mengendahkan penjelasan Syamir sebaliknya terus memecut ke arah mereka berdua. Sekali lagi Syamir dan Izara terpaksa melompat untuk mengelak digilis oleh motorcross itu.

“Kami tak buat salah...”

Motorcross itu terus memecut laju ke arah Syamir yang sedang kesakitan di atas jalan raya. Kakinya makin parah dan dia kelihatan tidak mampu untuk berdiri sekalipun. Syamir hanya mampu memejamkan matanya sambil memanjatkan doa kepada Ilahi. Dia mungkin akan mati pada waktu itu...

Motorcross yang ditunggang oleh manusia misteri itu tiba-tiba tercampak ke tepi. Syamir membuka matanya perlahan-lahan. Mujurlah Izara melepaskan sedas tembakan mengenai belakang tubuh pemandu motorsikal itu.

“Mana dapat pistol itu?” tanya Syamir.

“Jiwon kata pistol ini milik awak,” jelas Izara. “Jadi, dia suruh saya simpankan takut nanti ada apa-apa yang buruk menimpa awak ataupun saya.”

“Berikan pistol itu,” pinta Syamir. Izara mengangguk lalu menghampiri Syamir yang sedang duduk sambil meluruskan kakinya.

Pistol ini ialah daripada jenis Desert Eagle. Peluru di dalamnya pula jenis .44 Magnum. Kalau tak silap aku, Jiwon pernah hadiahkan kepada aku ketika kali pertama aku bertemu dengan dia. Di hadapan rumah aku...

“Memang pistol saya,” jawab Syamir. Desert Eagle disimpannya ke dalam poket seluar. Syamir mahu bangkit, dia hampir sahaja terjatuh namun lengannya sempat dipeluk oleh Izara.

“Terima kasih,” ucap Syamir.

Syamir melangkah sambil terincut-incut ke arah jasad penunggang motorsikal yang sedang terlentang di atas jalan raya. Helmetnya dicabut dan... Izara memalingkan wajahnya. Tidak sanggup untuk menatap wajah penunggangnya yang sudah dipenuhi ulat.

“Zombi...” gumam Syamir.

“Macam mana zombi tu tahu bawa motorsikal?” tanya Izara.

“Mereka sedang berubah, tak syak lagi. Mereka yang berada di sini... bukan calang-calang zombi,” tutur Syamir serius. “Kita tak boleh lama di sini. Bawa aku ke motor tu.”

“Awak nak buat apa?” tanya Izara.

“Saya akan bawa motor tu sampailah kita sampai ke Bandar Eurasia. Balai Polis Eurasia terdapat di sana,” terang Syamir sambil mendirikan kembali motorcross jenis KMT itu.

“Awak ada lesen ke?”

Syamir tergelak kecil mendengarkan soalan Izara itu.

“Siapa lagi yang peduli tentang lesen kalau dunia di sekeliling mereka sedang runtuh macam ni?” tutur Syamir sinis lalu menaiki motorcross itu.

Izara tersengih sambil menggaru kepalanya.

“Pegang saya kuat-kuat,” tutur Syamir sambil menghidupkan motorcross itu.

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.