Siti Aishah masih tidak mahu mengalah. Dia masih
ingin bertekak kata dengan Fatmah. Dia sudah lama hidup dengan arwah Mek Romah.
Sudah sebati jiwanya dengan perjuangan mak mertuanya itu.
“Tak ada ilmu, boleh belajar,” kata Siti Aishah.
“Kak, dengarlah cakap aku,” kata Fatmah sambil
merenung mata Siti Aishah mohon pengertian.
Siti Aishah menarik tubuh Fatmah ke dalam
pelukannya. Mereka bertangis-tangisan. Seluruh duka bersatu dalam kasih sayang
yang tidak mengenal sempadan.
“Apa yang kamu berdua bincang ni? Adakah apa yang ada
di rumah ini kurang memuaskan hati anak berdua?” Satu suara menegur. Mereka
menoleh.
Haji Brahim tersenyum senang ke arah mereka.
“Jangan kata begitu, Ayah Him. Kami dah terhutang
budi kepada ayah dan keluarga di sini. Kalau tidak kerana ayah mengutip kami,
entah di mana jasad kami melarat,” kata Fatmah.
“Ish! Janganlah diguna perkataan kutip itu. Sangat
sedih bunyinya. Kamu berdua ini ibarat darah daging ayah juga. Arwah Haji Mat
Daud tu, guru ayah. Ayah tak sempat berbakti kepadanya. Dia pergi terlalu awal.
Jadi, ALLAH kirimkan kamu berdua ke sini. Untuk memberi peluang ayah membalas jasa
dan budi arwah Haji Mat Daud dan Mek Romah,” tingkah Haji Brahim.
Fatmah mendengar kedua-dua nama itu dengan dada
sebak. Air mata yang masih bertakung cuba ditahan. Dia malu kalau Haji Ibrahim
melihat wajah sedihnya.
Namun, di sebalik rasa sedih dan suka itu ada hasrat
lain yang sedang menyala dalam jiwanya.
“Aku kena pulang ke Bangkok, Ayah Him,” kata Fatmah
seperti merayu.
“Untuk apa Fatmah? Keadaan
masih tidak aman di sana.”
“Kalau aku nak tunggu aman,
memang sampai bila-bilapun aku tak dapat balik.”
“Kenapa kau kata begitu?”
“Kerana sampai sekarang, aku
tak nampak ada langkah-langkah keamanan yang dibuat di sana.Makin hari makin ramai orang kita yang terkorban.
Tapi langsung tak ada tindakan dan siasatan yang dibuat. Tolonglah Ayah Him. Izinkanlah
aku balik ke kampong halamanku di Bangkok. Ada perkara yang perlu aku
selesaikan,” rayu Fatmah lagi.
Haji Brahim termenung seketika. Banyak perkara yang
bermain di fikirannya. Bayangan tubuh Mek Romah yang berkecai masih meniti di
ruang mata. Sungguhpun dia tidak menyaksikan kejadian itu, namun sebagai ahli
dalam peperangan dia mampu membayangnya.
“Keselamatan kamu terancam, Fatmah. Mereka masih
lagi mencari saki baki keturunanmu dan keturuan Haji Mat Daud. Kalau apa-apa
terjadi pada kamu, ayah tak mampu nak maafkan diri ayah ini,” jawab Haji Brahim
bersungguh-sungguh.
“Perjuangan ini kena diteruskan. Aku tak sanggup nak
tunggu saja macam ni,” tingkah Fatmah pula.
“Kamu ingat ayah ni sanggup melihat setiap hari orang
kita mati di muncung senjata mereka? Kamu rasa ayah ni mampu tidur lena ketika
saudara ayah yang lain sedang diancam maut di Tanah Selatan itu?”
“Habis, bolehkah kita hanya melihat dan mendengar
saja? Setiap hari darah yang hanyir itu seperti menyentuh hidungku ini, ayah!”
kata Fatmah dengan suara meninggi.
Siti Aishah memegang bahunya. Dia tahu, darah Fatmah
sedang bergelora.Berbulan-bulan mereka cuba menyejukkan dada dari aliran darah perjuangan
yang sangat panas itu.
Tidur dan baring mereka, penuh dengan
azam untuk kembali merebut tanah yang dijajah itu!