Bella
Rossa II, Pulau Perhentian
Dia
berdiri tegak dan tergamam. Nama resort itu dibaca berkali-kali seakan tidak
mahu percaya. Tetapi, walaupun hati cuba menidakkan kenyataan namun dia tahu
nama itu tetap tidak berubah. Dan matanya ini masih belum buta lagi sehingga
tidak kenal huruf apa yang sedang dibaca ketika ini.
Ya!
Kenyataan masih tetap sama. Dia berada di Bella Rosa ketika ini. Cebisan kertas
kecil yang berada di dalam poket jeansnya diseluk keluar. Sama. Dia pasti dia
tidak tersilap tempat walaupun di kawasan persisiran pantai ini terdapat
bermacam-macam jenis Chalet murah dan mahal. Pilih sahaja yang berkenan di hati
dan poket sendiri.
Adakah
ini bermakna...! Dzar menggeleng perlahan. Wajah yang cukup jarang tersenyum
itu tewas juga dengan rasa gembira yang tidak semena-mena hadir dalam jiwa. Beg
sandang lusuh berwarna hijau lumut itu kembali disangkutkan ke bahu. Dan dengan
kekuatan yang tiba-tiba menghembus diri, dia kembali melangkah. Langit yang
dirasakan kelam kembali memuntahkan cahaya.
Nun
seratus meter di hadapan, dia dapat melihat figura seseorang. Dia kenal wajah
itu. Tidak perlu diperkenalkan lagi. Walaupun dalam keadaan terpejam mata
sekalipun, dia pasti mengecam insan yang masih tidak menyedari kehadirannya
ini. Sekali lagi langkahnya terhenti dan Dzar sedikit teragak-agak. Bagaimana
jika kehadirannya tidak diterima? Bagaimana jika insan itu tidak mahu berjumpa
dengannya lagi?
Dia
teringatkan apa yang berlaku beberapa bulan yang lalu dan dengan penuh
kekesalan Dzar menggeleng perlahan. Cukuplah! Dia tidak mahu menempuh perkara
yang sama. Dia sudah bertekad tidak akan membiarkan dirinya terjerumus dalam
penghinaan itu lagi. Cukuplah! Dia tidak perlu mengharapkan sesiapa lagi.
Cukuplah hanya ada ALLAH sahaja yang mendengar rintihannya. Dzar membuat
keputusan dan kakinya kembali mengundur ke belakang. Sesungguhnya ini lebih
baik buat mereka semua.
“
Siapa tu kak?” Shera bertanya sambil menunjuk ke arah lelaki yang sedang
membelakangi mereka. Yang dipanggil kakak itu mengangkat muka dan melihat arah
yang ditunjukkan.
“
Siapa?” Soalnya kepada Shera yang masih ralit memerhati subjek yang sedang
diperkatakan. Shera menjungkit bahu. Dia memang tidak mengenali lelaki itu.
“
Entahlah. Tadi rasanya macam nak ke sini tapi tiba-tiba dia patah balik,”
terangnya sambil kembali menumpukan perhatian kepada fail-fail di tangan. Jenuh
dia terpaksa keluar dari pejabat mencari Adni semata-mata untuk mendapatkan
tandatangan untuk menyiapkan cek yang perlu disegerakan. Wajah yang sedang
dilawan bercakap itu berkerut dan merenung jauh ke hadapan.
Shera
yang tidak memikirkan apa-apa terus sahaja membuat tugasnya. Cek dan invois
yang sudah ditandatangani segera dimasukkan semula ke dalam fail. Dan dia terus
khusyuk begitu sehinggalah dirasakan dia hanya sendirian di situ. Shera
memangku wajah dan sedikit terpinga-pinga. Bayang Adni semakin jauh dari pandangan
mata. Ke mana pula kak Adni hendak pergi? Dan dia semakin disuntik rasa ingin
tahu apabila melihat Adni sudah berlari-lari anak mengejar lelaki yang tidak
dikenali itu. Siapa?