1
2014
Penjara Sungai Buloh
Pintu itu kembali tertutup rapat. Pandangannya terbatas
pada batu-batu tinggi yang menjadi tembok yang memisahkan dia dengan tempat
yang menjadi dunianya semenjak 7 tahun yang lalu. Jika dulu dia bersama-sama
mereka namun kini dunia mereka kembali terpisah dan terasing. Dia di luar dan
mereka masih kekal di dalam menanti hari dan ketika apabila mereka juga akan
dibebaskan dari tirai besi itu.
Dia mendongak merenung biru langit yang kelihatan tenang
dan sepi. Sepi dan kosong seperti apa yang dirasakannya ketika ini. Matanya
sedikit berasa pedih dengan terik mentari namun untuk seketika dia hanya
membiarkan tubuh menyerap seluruh tenaga dan kepanasan Sang Suria. Untuk
pertama kali setelah tujuh tahun dia berasa bebas.
Satu perasaan yang sudah lama tidak dirasainya.
Alhamdulillah Ya ALLAH....aku masih berpeluang untuk terus menikmati udara
sekali gus menjadi manusia yang lepas dari kongkongan dan hukuman.
“ Dzar...nak ke mana? Jom saya hantarkan?” Tegur satu
suara sambil menepuk bahunya. Dzar berpaling dan melihat Warden Nordin yang
menegurnya itu. Dzar senyum nipis sekadar menyapa lelaki yang amat dihormatinya
itu.
“ Tak apa. Saya boleh jalan.” Dia menolak lembut. Tidak
mahu menyusahkan lelaki baik ini dan juga tidak mahu lelaki itu tahu dilema
yang sedang dihadapinya ketika ini.
“ Nak jalan lama mana baru sampai. Awak nak balik Taiping
kan? Jom saya hantar ke stesen bas.” Bersungguh-sungguh Nordin mempelawa. Dari
tadi dia melihat dan memerhatikan Dzar Thalha. Dia hanya berdiri tegak sahaja
tanpa menunjukkan gaya hendak beredar dari situ. Dia tahu ada sesuatu yang
membelenggu jiwa lelaki yang dikenalinya semenjak tujuh tahun yang lalu.
“ Tak apa, tuan. Saya pergi sendiri.” Sama seperti tadi.
Dzar berterusan menolak. Nordin diam. Lama dia memerhati wajah di hadapannya.
Cuba membaca fikiran anak muda itu namun sehingga kini dia masih gagal menelah
apa yang bersarang di dalam kepala lelaki bernama Dzar Thalha ini.
“ Awak tak ada tempat nak pulang?” Soalnya lembut dan
perlahan. Dia faham. Situasi yang normal yang kerap kali dirasai oleh setiap
insan yang memegang gelaran bekas banduan. Hendak pulang kepada ke mana?
Siapakah yang dapat menerima kepulangan mereka dengan tangan terbuka?
Dzar tidak
menjawab. Dia tidak mahu menjawab dan dia tidak perlu memberikan jawapan. Dia
sudah menjadi manusia yang bebas. Dia tidak perlu menjawab sebarang pertanyaan
dan memberikan penjelasan lagi.
“ Awak tak nak balik Taiping? Jumpa keluarga...mak adik
awak?” Tanyanya lagi namun seperti tadi, Dzar langsung tidak mahu membuka
mulut.
“ Oh!” Nordin jadi faham sendiri. Apatahlagi melihat
wajah Dzar menjadi bertambah mendung apabila perihal ibu dan adiknya disebut.
Akhirnya dia mengerti. Barulah dia tahu kenapa Dzar begini. Lelaki itu memang
tidak berniat untuk pulang kepangkuan keluarganya.
“ Saya pergi dulu.” Dzar akhirnya bersuara. Tanpa
menunggu jawapan, dia berpusing dan mahu melangkah pergi namun suara Nordin
mematikan langkahnya. Dzar tegak berdiri namun dia tidak berpaling.
“ Tak ada manusia yang tidak pernah melakukan kesalahan.
Peluang tetap ada untuk insan yang mahu berubah. Awak lelaki yang baik, Dzar.
Saya harap awak sedar dan tahu perkara tu. Keluarga awak tentu juga sedang
menunggu. Pulanglah!”
Rahangnya bergerak namun tidak suara yang keluar untuk
membalas kata-kata lelaki itu. Dia hanya mampu menggeleng perlahan. Mereka
tidak pernah faham dan mengerti. Peluang sudah tertutup rapat buat lelaki
sepertinya. Dzar kembali melangkah. Pesanan kejap yang diterima tiga bulan
lepas kembali tersemat dalam hati.
“ Datang cari aku, Dzar. Aku tunggu.”
Daniel and Kuljeet Solicitors dan Advocate, Kuala Lumpur
Daniel membuka pintu biliknya. Tubuh yang terasa melekit
dengan kepanasan di luar menjadi sedikit lega apabila dingin penyaman udara
membaluti tubuhnya. Tidak cukup dengan itu, tali leher yang sedia dilonggarkan
ketika keluar dari mahkamah, ditarik keluar dari leher. Perutnya juga sudah
berkeroncong hebat dan dia tidak sabar untuk menjamah makanan yang dibeli oleh
pembantunya. Manakan tidak, sedari pagi sehingga jam tiga ini, hanya sekeping
roti sahaja yang masuk ke perut. Kalau dibuat selalu, mahu gastriknya menyerang
semula.
“ Baru balik, bos?” Tegur PAnya yang bernama Adah sebaik
sahaja dia tiba di hadapan wanita itu.
“ Baru sampai, Adah,” balasnya sambil mengangkat kening
penuh makna ke arah pembantunya.
" Beli apa hari ni?" soalnya seketika kemudian
sambil menjenguk ke dalam pantri melihat apa yang dibelikan oleh Adah untuknya.
" Semalam kata nak makan nasi kerabu kan...jadi beli
nasi kerabu ajelah." Adah balas selamba. Sudah menjadi kebiasan dia
membeli makanan untuk bosnya itu setiap kali dia keluar makan tengah hari.
" Kahwinlah bos. Nanti ada orang yang boleh tolong
masakkan." saran Adah yang simpati melihat majikannya yang memang selalu
tidak tentu waktu makannya. Kadang-kadang dia sengaja membawa bekal lebih untuk
diberikan kepada majikannya yang baik hati ini. Bukan niat mahu mengampu,
tetapi lebih kepada menghargai budi baik Daniel yang memberinya peluang bekerja
di situ. Sementelah Daniel sendiri agak rapat dengan suami dan anaknya, jadi
dia fikir tidak salah dia membalas dengan cara itu.
" Tak ada orang nak, Adah. I nak pinang you, mahu
Hakim pancung kepala I. I tunggu anak dara you besar sajalah ya." Mengekek
Daniel apabila Adah melayangkan penumbuk buatnya.
" Ala...Kuljeet tu dah bertahun-tahun kahwin, makan
luar jugak dia. Bini dia pun tak pernah masak agaknya. Hari-hari merungut kena
makan kedai." Daniel ketawa mengenangkan partnernya yang berbangsa Singh
itu. Untuk seminggu ini, hanya dia seorang yang tinggal kerana Kuljeet melawat
keluarganya di India. Mujur kebanyakan kesnya sudah selesai. Jika tidak memang
naya sahaja dia.
" Lagipun berkahwin ni bukan takat nak jaga makan
minum je, Adah. Kalau tak kahwin pun boleh je I upah live in chef kalau sekadar makan nak sedap dan terurus kan? You dah
kahwin dan ada anak, You tentu lebih tahu?" tambahnya meminta kepastian. Bukan
mudah sebenarnya mahu memikul tanggungjawab. Segala-galanya akan terletak pada
bahunya. Dan dengan kerjanya yang sering tidak tentu masa ini, dia sendiri
takut mahu membuat komitmen walaupun keinginan itu ada. Adah hanya mengangguk.
Memang betul pun cakap Daniel itu. Tak ada yang salahnya.
“ Tan Sri called tadi. Dia minta you call
dia ASAP,” beritahu Adah lagi sambil mengekori majukannya ke dalam pantri.
Langkah Daniel terhenti. Sekali lagi keningnya terangkat. Seleranya yang
menggebu-gebu menjadi tumpul mendengar perkhabaran yang dibawa itu. Apa sahaja
berita yang berkait rapat dengan Tan Sri yang bengis itu sememangnya selalu
membuatkan moodnya menjunam jatuh.
“ Fasal kes Dzar Thalha?” Daniel meneka dan sepantas
kilat itu juga Adah mengangguk.
“ Dia tahu?”
“ Dia telefon dalam keadaan mengamuk. Jadi, I yakin dia
dah tahu fasal perkara tu.” Adah menjelaskan. Dia sememangnya trauma setiap
kali menerima panggilan daripada lelaki itu. Selalunya dia berurusan dengan
pembantu Tan Sri itu, namun kali ini bayangkan betapa terperanjatnya dia
apabila mendengar suara lelaki itu sendiri. Mujurlah dia tidak datang sendiri
ke pejabat ini. Kalau tidak mahu ada yang pengsan nanti.
Daniel memejam matanya seketika. Sebuah keluhan panjang
terbit dari mulutnya. Dalam keadaan begini, dia masih belum bersedia untuk
memberi laporan mahupun penjelasan kepada orang tua itu. Tetapi dia juga tahu,
manusia itu juga tidak suka menunggu lama.
“ You nak I cakap apa kalau dia telefon lagi?”
“ You beritahu I ada kes lagi dekat mahkamah. Lepas
maghrib nanti I pergi rumah dia. Sekarang I nak makan. Nasi kerabu tu dah
memanggil-manggil dari tadi.” Pantas dia membuat keputusan. Bersemuka lebih
elok daripada bercakap ditelefon. Dan dia tahu tindakan ini akan membuatkan Tan
Sri itu bertambah ‘murka’ kerana terpaksa menunggu lebih lama.
“ Orait bos.”
Adah menahan diri dari memberi tabik hormat apabila nada suara Daniel menjadi
tegas begitu. Dia kenal sangat Daniel. Sudah lebih lima tahun dia menjadi
pembantu kepada Daniel dan dia tahu bila mana lelaki itu serius ataupun tidak.
Dia keluar dari pantri untuk kembali ke meja namun suara Daniel mematikan
langkahnya. Adah menoleh dan menunggu.
“ Make sure you
call PA dia. Jangan murah hati sangat nak offer
diri untuk disembur Tan Sri. Just be
brief and make sure she gets the message.” Dan dia menahan rasa mahu ketawa
melihat wajah Adah yang mula berubah.