Vila Akasia, Shah Alam
“ Orang belum bersedia lagi,” putus Ara
apabila ditanyakan hal itu buat kesekian kalinya. Dia merenung wajah Mak Da dengan
pandangan yang cuba menunjukkan yang dia serius dengan keputusannya itu. Namun Mak
Da seolah-olah tidak mendengar kata-katanya. Wanita itu berterusan membuat
perancangannya walaupun kerap kali juga Ara mencelah memberitahu keputusannya.
“ Kau jangan nak buat fasal dengan
aku. Zahar cakap korang ada berjumpakan minggu lepas?” Tinggi sekali nada Mak
Da bersuara. Dengan kebayanya dan bercekak pinggang, entah mengapa Ara
teringatkan Mak Dara yang berlakon dalam filem Ibu Mertuaku itu.
“ Memanglah orang jumpa dengan dia
tapi tak ada sesiapa pun yang bincang pasal kenduri pelamin ni,” jawabnya
pantas. Dalam hati berbakul sumpahan dilemparkan ke arah Zahar yang suka
mengadu kepada Mak Da. Takkanlah setiap langkah dan perbuatan hendak
dicanangkan kepada semua orang? Tak ada pendiriankah lelaki itu? Sikit-sikit
hendak mengadu. Dia sendiri pun tidak berkata apa-apa mengenai pertemuan mereka
kepada sesiapa pun. Atas perkara ini sahaja sudah tolak 150 markah untuk Zahar.
Menjadikan lelaki itu ‘minus’ 50 dalam penilaiannya.
Sekali pandang, dia tidak melihat Zahar sebagai seorang
yang suka mengadu ataupun membawa mulut. Orangnya nampak tenang dan sopan.
Seorang lelaki ‘gentleman’. Jika tidak disetkan dalam kepala untuk menolak
lelaki ini walau apa alasan sekalipun, rasanya dia boleh jatuh hati dengan
lelaki bernama Zahar ini. Tetapi dengan perkembangan yang satu ini, pintu
hatinya tertutup rapat.
Walaupun sesetengah orang mungkin menganggap ini sebagai
perkara kecil sahaja tetapi bukan dia. Namun memikirkan manusia ini terdiri
daripada pelbagai jenis dan ragam, dia terpaksa akur. Mungkin dia masih belum
boleh membaca Zahar dengan lebih baik. Keadaan akan lebih baik begini. Dia
tidak mahu terus memberi harapan palsu kepada Zahar jika benar lelaki itu sudah
mula menyimpan perasaan.
“ Aku tak peduli. Kalau orang tua
Zahar masuk meminang je, aku akan setuju.”
Ara tergamam. Tidak boleh jadi ni. Sampai bila dia harus
membiarkan Mak Da berterusan membuat keputusan untuk dirinya. Dia sudah dewasa.
Dan dia layak dan berhak membuat keputusannya sendiri.
“ Orang bukan nak kurang ajar Mak Da...tapi orang tak
faham kenapa Mak Da nak sangat orang kahwin dengan Zahar tu. Dah macam tak ada
lelaki lain. Kalau Mak Da nak sangat, Mak Da kahwinlah dengan Zahar tu?”
Panggggg....Ara jatuh terduduk sebaik sahaja lima jari Mak
Da melekat pada pipinya. Perit dan sakit. Dia yakin efek tamparan itu pasti
akan meninggalkan kesan pada wajahnya.
“ Puan...Ara?” Bibik yang sedang membersihkan habuk di
kabinet almari, terperangah terkejut. Dia cuba menolong Ara bangun namun
jerkahan daripada Zahrah mematikan niatnya. Dengan serba salah dia merenung
wajah Ara yang nampaknya terkejut dengan tindakan itu. Ara hanya mengangguk
padanya.
Dan dia yang tidak sanggup menyaksikan pertengkaran itu
beranjak ke dapur. Minta-mintalah Tengku Hanafi pulang lekas. Dia takut sesuatu
yang buruk berlaku memandangkan emosi puan besarnya itu selalunya tidak stabil.
Sudah hampir 10 tahun dia berkhidmat dengan keluarga ini. Dan Ara itu sudah
dianggap seperti adiknya sendiri. Dia sendiri pun tidak mengerti mengapa Puan
Zahrah beria-ia benar mahu mengahwinkan Ara dengan Zahar. Semacam ada sesuatu
pula yang menyebabkan perkahwinan itu harus dilangsungkan.
“ Aku dah cakap, jangan sesekali kau kurang ajar dengan
aku. Buruk padahnya.” Sebaik sahaja melontarkan kata-kata itu, dia terus
berlalu naik ke biliknya. Bibik pula lekas-lekas mendapatkan Ara.
“ Ara tak apa-apa?”
Ara menggeleng sambil tersenyum nipis.
“ Sikit aje bibik. Pipi Ara ni kan tebal 40 inci.”
Bibik mengeluh. Ara...Ara...benda serius pun hendak
dibuat main.
“ Jom...bibik tuam pipi tu. Nanti kalau tengku balik, nak
jawab apa?”
“ Kalau abah tanya..Ara cakap bibik cium Ara sampai
lebam.” Ara hanya ketawa apabila bibik menampar lengannya. Matanya mendongak ke
atas seolah-olah mampu melihat bayang Zahrah di sana. Entah sampai bila
hubungan mereka harus jadi begini?
Bake n' Flake, Shah Alam
''
Kenapa dengan pipi kau?”
Ara
mendongak memandang Erin yang berdiri di muka pintu.
“
Assalamualaikum?” Perlinya sambil menyambung kerja meletakkan hiasan di atas
permukaan kek. Pelanggannya sudah berjanji mahu mengambil jam empat nanti dan
dia mempunyai masa selama 40 minit untuk menyiapkan segala-galanya. Erin masuk ke
dalam dan berhenti di hadapannya.
“
Waalaikumussalam. Kenapa dengan pipi kau?”
“ Tak
ada apalah. Saja aku nak pakai blusher pekat sikit hari ni tak boleh ke?” jawab
Ara selamba.
“
Memang tak boleh sebab selama kita kenal dari zaman U lagi kau memang tak
pernah nak mekap-mekap ni apatah lagi nak pakai blusher. Siapa punya kerja? Mak
Da?” Seperti seorang pegawai sahaja Erin menjalankan siasatan. Melihat wajahnya
yang penuh tekad mahu mendapatkan jawapan, Ara terpaksa akur. Piping beg
diletakkan ke bawah. Dia sememangnya tidak boleh merahsiakan apa-apa langsung
daripada teman baiknya itu.
“ Aku
kurang ajar dengan dia semalam. Memang patut aku kena pun.” Akuinya yang turut
berasa kesal dengan sikapnya sendiri. Tidak seharusnya dia mencari pasal memandangkan
keadaan Zahrah yang tidak stabil.
“ Kau
buat apa?”
“ Dia
dok paksa aku suruh terima Zahar, aku tak nak. Last sekali aku suruh dia je kahwin dengan Zahar kalau dah suka
sangat kat lelaki tu,” Dia bercerita tanpa perasaan. Melihat Erin yang seakan
terkedu, dia hanya ketawa kecil.
“ Dah
sudah..tak payah nak buat muka terperanjat. Aku pun tak sangka aku boleh cakap
macam tu. Mak Da mesti marah sangat kan sebab selama ni apa yang aku buat dan
cakap paling hebat pun dia menjerit je kat aku.” Ceritanya sambil menyentuh
pipi yang masih terasa sengal. Mujur tidak meninggalkan kesan yang ketara jika
dipandang hanya sepintas lalu.
“
Uncle Hanafi tahu?”
Ara
menggeleng. Mujur juga ayahnya pulang lewat semalam dan dia seawal jam 7 pagi
sudah terpacak di kedai kerana tempahan yang agak banyak bulan ini. Musim cuti
sekolah...kenduri-kendara memang banyak. Ini bermakna kedainya juga sibuk
dengan pelbagai jenis tempahan kek dan cupcakes. Erin yang memahami keadaan
temannya itu hanya mampu mengeluh perlahan. Dia sendiri serba-salah bagaimana
hendak menasihati Ara dalam berhadapan dengan ibu tirinya itu.
“ Mak
Da kau tak sihat Ara...bersabarlah dengan dia.” Nasihatnya yang simpati dengan
kehidupan yang terpaksa dilalui oleh temannya itu. Dia tahu apa yang telah
menyebabkan ibu tiri Ara berubah sikap. Seperti Ara, dia juga tidak mampu
berbuat apa-apa untuk memulihkan keadaan.
“ Aku
tahu. Sebab itulah aku tak kisah sangat apa yang dia cakap. Aku buat tak layan
je. Kadang-kadang, aku pun jugak suka cari fasal dengan sengaja provok dia.
Tapi...bukan dia seorang saja yang layak rasa sedih, Erin. Dia buat macam
perkara ni tak ada efek pada aku. Pada abah. Kami juga rasa kehilangan. Bukan
dia seorang saja.”
“ Aku
tahu.” Giliran Erin pula yang termenung panjang. Entah mengapa keadaan yang
mulanya ceria bertukar suram. Ada niat lain sebenarnya kedatangannya ke mari.
“
Ok..tukar topik. Tak mahu sedih-sedih. Depress
je aku rasa walaupun bukan aku yang kena. Tell
me about him. Aku dengar kau dating dengan dia minggu lepas.”
Mendengar
soalan itu Ara membuat muka. Ini bukannya tukar topik kalau mereka masih
berbual mengenai insan yang menyebabkan pipinya merah membengkak. Dia
berpura-pura tidak mendengar soalan itu sehinggalah Erin mencubit lengannya.
Ara mengaduh kesakitan. Dia memandang Erin dengan geram.
“
Tangan tu jangan merayap boleh tak?”
Erin
hanya ketawa. Langsung tidak menunjukkan rasa bersalahnya. Siapa suruh Ara
berlakon lagi? Kan dah kena.
“
Macam mana dengan Zahar?'' Erin mengulangi soalannya sambil melabuhkan punggung
di sebelah Ara yang sudah siap sedia mahu menyambung kerjanya. Dia sememangnya
teruja apabila mendengar cerita itu daripada Ara namun hanya kini barulah dia
berkesempatan untuk bertanya dan meminta laporan.
Ara
tidak menjawab sebaliknya menumpukan sepenuh perhatian membuat sentuhan
terakhir pada kek dihadapannya. Kek yang agak sukar dibuat kerana pemiliknya
mahukan kek yang berbentuk kereta. Sempena hadiah hari jadi untuk suami yang
sememangnya mempunyai hobi mengumpul kereta. Mujurlah saiznya tidak sebesar
kereta sebenar. Jika tidak ada yang meraung nanti.
“ Kak
Ara...Puan Mazlin dah sampai.” Hani, pembantunya memberitahu.
“ Ok.
Siap. Hani...tolong akak bawak kek ni ke depan.” Kedua mereka mengangkat kek
kereta berkenaan dengan penuh berhari-hati. Jika sesuatu terjadi kepada kek itu
tentulah Puan Mazlin dan dia berasa hampa. Kejutan yang diharapkan tidak
menjadi kenyataan.
Erin
terpaksa menunggu buat seketika. Salahnya juga datang ketika Ara sedang sibuk
dengan tempahannya. Namun mengenangkan dia masih dalam bercuti, dia rela sahaja
menunggu asalkan dia dapat mendengar kisah pertemuan itu nanti.
Beberapa
minit kemudian setelah siap urusan, Ara kembali kepadanya.
“ Apa
yang kau nak tahu?” akhirnya dia terpaksa mengalah. Dia tahu Erin tidak akan
pergi selagi tidak mendapat apa yang dihajatkan.
“
Segala-galanya.” Balasnya dengan senyuman penuh makna. Dahi Ara berkerut
melihat wajah Erin yang semacam sahaja. Kenapa Erin yang kelihatan lebih teruja
daripada dia yang empunya badan?
'' Dia
ok,'' jawabnya selamba seolah-olah tidak berminat untuk berbincang mengenai
perkara itu.
'' Ok?
Ok sahaja? Kan aku nak dengar semuanya dari A sampai Z,'' soal Erin dengan nada
tidak puas hati. Punyalah dia berkejar ke sini sebaik sahaja tiba dari Sabah
dan ini sahaja jawapan Ara? Cis....buat penat sahaja. Kalau dia tahu, lebih
baik dia singgah akan di rumah dahulu. Gulai ikan masin bersama nenas
kesukaannya sudah lama terhidang di meja.
Tetapi
dia bersabar kerana dia masih lagi ingat kata-kata Ara tempoh hari....
'' Aku
rasa aku kena kahwin,” Nah setelah melepaskan bom yang mampu
memporak-perandakan hatinya, boleh pula dia buat wajah selamba begini. Erin
menahan sabar dalam hati. Kalau diikutkan rasa geramnya, mahu sahaja dia memiat
telinga Ara biar jadi capang.
'' Dia
berbeza....'' terangnya dengan ringkas. Tidak tahu bagaimana hendak digambarkan
bagaimana orangnya Zahar itu.
''
Maksud kau?'' Ara mengangkat bahu. Lalu menceritakan apa yang berlaku tanpa
bertangguh-tangguh lagi. Dan Erin, entah mengapa mendengar cerita itu matanya
yang sememangnya galak itu semakin bersinar-sinar. Memang teruja dia mendengar
kerana jika tidak silap pada sangkaan, dia yakin jiwa Ara yang keras mulai
cair.
''
Bila dia rancang nak masuk meminang?'' Biji mata Ara terbeliak mendengar soalan
yang dirasakan tidak masuk akal itu. Baru sahaja berjumpa dan belum apa-apa
kata putus diambil sudah tanya bila masuk meminang. Gila apa temannya ini.
Ibarat, orang mahu datang merisik, mereka sudah siap menyembelih lembu untuk
lauk kenduri sahaja lagaknya.
''
Kenapa salah ke soalan aku?'' soal Erin apabila melihat riak tidak senang hati
di wajah sahabat karibnya itu. Ara hanya menggeleng.
'' Tidaklah salah tapi kurang sesuai kau tanya
masa ni.”
Erin
yang melihat sesuatu yang lain pada wajah rakannya diam memikirkan sesuatu.
Sebagai sahabat yang mengenali Ara semenjak lima tahun dahulu, dia menyokong
penuh apa sahaja yang mahu dilakukan Ara selagi apa yang ingin dilakukannya itu
tidak akan mendatangkan kemudaratan. Walaupun hanya lima tahun, namun entah
mengapa dirasakan mereka sudah mengenali antara satu sama lain berkurun
lamanya. Cukup lama dan akrab sehingga dia boleh membaca isi hati yang tidak
terluah itu.
“ Kau
kalau tak bersedia lagi nak kahwin, jangan kahwin. Cakap dengan abah dan Mak Da
kau. Terangkan kepada mereka apa yang kau rasa. Kalau kau diamkan diri macam
ni, masalah tak akan selesai,” pujuknya yang tidak sanggup melihat wajah muram
durja milik Azra Qairina lagi. Kerana sesungguhnya kemuraman dan kesedihan Ara
itu turut dirasainya bersama.
Ara
hanya menggeleng perlahan. Bukan itu masalahnya. Dia tidak pernah berasa
terpaksa atau tertekan dengan kehendak ibu tirinya itu. Dia masih mampu berkata
tidak. Dia masih lagi boleh menolak. Dia sudah dewasa. Dia berkemampuan membuat
keputusannya sendiri.
Walaupun
ayahnya yang sebagai wali mujbir itu mampu menikahkan dia tanpa persetujuannya,
namun dia yakin masalah perkahwinannya itu tidak akan sampai ke tahap ini.
Tidak akan ada istilah kahwin paksa dalam hidupnya. Dan itulah yang dikatakan
kepada Erin.
“
Jadi, kalau itu bukan masalahnya, kenapa kau monyok macam tikus mondok ni?”
Soal Erin yang tidak mengerti.
“
Amboi sedap sungguh cakap muka aku macam tikus mondok ya. Apa...kau memang
pernah tengok muka tikus tu masa tengah monyok ke?” Melengking Ara bersuara
namun Erin hanya ketawa sahaja.
“
Iyalah, dah dapat jodoh yang baik macam Zahar pun kau boleh monyok lagi.”
Ara
menggeleng sekali lagi. Entah mengapa ketika ini dia sukar meluahkan apa yang
dirasakan kepada sahabat baiknya ini. Adakah memang benar dia sudah tertawan
dengan Zahar sehingga menjadi keliru dengan perasaan sendiri?
Adakah
ini hanya keegoannya yang sebelum ini begitu tegar mengatakan tidak akan ada
mana-mana lelaki yang akan membuatkan hatinya cair dalam sekelip mata.
“ Aku
rasa nak bercutilah. Dah sebu kepala otak aku ni dok fikir benda alah ni.
Jom...kita cuti nak?” Ajak Ara tiba-tiba mengubah topik perbualan. Ya... Sudah
lama rasanya dia tidak bercuti ke mana-mana. Mungkin ketika ini adalah waktu
yang sesuai untuk dia memikirkan semua ini dengan sebaik-baiknya.
Mendengar
saranannya itu Erin menjerit sehingga mengejutkan staf-stafnya yang lain. Ara
pantas berkerut muka. Erin ni memang tau. Dalam dok diam-diam bercakap, kan
semua orang sudah perhatikan mereka.
“ Kau
ni apa hal nak jerit-jerit ni? Nak jadi drama queen?” Perli Ara sedikit malu
menjadi perhatian seperti itu. Walaupun bukan dia yang menjerit, namun bagi
pihak Erin, dia tumpang sama berasa malu walaupun Erin sendiri seperti tidak
mempunyai perasaan.
Erin
menampar lengannya dengan kuat.
“ Kau
memang saja nak sakitkan hati aku kan. Dah tahu aku baru balik bercuti dari
Sabah, kau nak ajak aku cuti lagi. Kau ingat, company tu bapak aku punya nak cuti sesuka hati?” Balas Erin dengan
nada yang cukup tidak puas hati.
Sebelum
ini, bukan tidak diajak Ara bercuti bersama namun atas hal yang tidak dapat
dielakkan, Ara terpaksa menarik diri lalu tempatnya itu digantikan dengan teman
mereka yang lain.
“ Kalau
bukan bapak betul pun, tapi bakal bapak mentua kau kan?” Ara pantas memulang
paku buah keras. Bukan dia tidak tahu tentang ‘skandal’ Erin dengan anak teruna
syarikat perkapalan yang dia bekerja ketika ini. Mendengar kata-kata itu, Erin
hanya tersenyum malu.
“
Ala...bapak mentua aku tu, masih tak tahu aku ni bakal jadi anak menantu dia.
Kalau dah tahu benda ni senanglah aku nak deal
dengan dia.”
Ara
mencebik mendengarnya.
“ Cik
Kak Erin ooi, bukan setakat bapak dia saja. Masalahnya anak dia yang
konon-konon bakal suami kau tu pun tak tahu. Sudah-sudahlah berangan ya.
Dahlah. Aku nak sambung kerja aku balik ni. Ada kau pun bukan boleh tolong,”
selamba sahaja dia menghalau Erin pulang.
“
Iyalah...aku balik ni. Tapi kau nak pergi mana?” Masih dalam topik percutian,
dan Ara tahu Erin tidak akan berganjak selagi tidak mendapat jawapan
daripadanya.
Ara
mengangkat bahu setelah berfikir seketika.
“
Hmmmm...Pulau Perhentian, mungkin.”
“
Pulau Perhentian? Apa tujuan kau sebenarnya ni?” Erin mendesak ingin tahu.
Namun Ara hanya tersenyum nipis. Sengaja mahu mengusik temannya.
“ Tak
ada tujuan apa-apa pun. Mana tahu kan aku bertemu jodoh di sana?” Balasnya
penuh misteri. Dan tanpa mengendahkan Erin yang buntang biji mata, Ara terus
melakukan tugasnya.