"Satu, dua, tiga, empat, lima, enam, tujuh, lapan !", Zayn mengira sambil meregangkan kaki sebagai senaman pagi. Suasana pagi yang riuh dengan kicauan burung menaikkan lagi semangat Zayn untuk memulakan paginya dengan aktiviti yang sihat. Hidupnya seakan tidak lengkap jikalau tidak menghirup udara pagi. Baginya apa yang diperlukan hanyalah oksigen. Oksigen yang mampu menghilangkan rasa ngantuk yang masih bersarang.
Zayn meneliti jam tangan Casio yang dipakainya. Baru pukul 7:00 pagi. Awal lagi untuk berjumpa dengan sahabat karibnya di menara berkembar KLCC. Dia sudah berjanji untuk bertemu Arif di sana pada pukul 10 pagi. Dia dan Arif sudah berkenalan selama dua tahun sejak dia mula menyertai pasukan penyiasat persendirian Malaysia. Dia ingat lagi, pada mulanya mereka hanya berhubung atas urusan kerja. Lama kelamaan mereka menjadi rapat disebabkan sering bekerjasama mengendalikan kes-kes yang besar. Arif juga pernah menyelamatkan Zayn daripada lemas sewaktu menguruskan kes penyusupan dadah jenis syabu di sempadan perairan Malaysia-Thailand. Jadi, dia tidak rasa begitu asing apabila perlu bekerja dengan mereka.
Sedang asyik Zayn melakukan senaman memanaskan badan, tiba-tiba kedengaran bunyi hon motor di hadapan rumah. Laju sahaja dia melangkah ke halaman rumah dari ruang belakang.
'Aduh, datang lagi. Lemah semangat', getus Zayn dalam hati apabila yang berada di hadapannya kini adalah sebuah motor yang penuh dengan keropok dan roti. Ya. Di tempat tinggalnya, Kampung Baru, masih mengekalkan aktiviti menjual jajan ini. Tidak hairanlah apabila suara kanak-kanak riuh ingin membeli roti-roti yang dijual. Ada yang membeli roti coklat, jagung, biskut, jajan dan ais krim. Mungkin akan ada yang mengatakan kegiatan ini telah lama 'pupus', namun tidak di Kampung Baru.
"Beli, dik. Sedap semua ni. Ada roti, ada biskut, ada jajan. Ais krim pun ada", kata seorang pakcik tua yang kulitnya sawo matang. Cukup untuk menunjukkan yang dia berbangsa Melayu. Topi coklat di kepala segera dia betulkan. Berharap jualannya laris.
"Pakcik ni ... saya baru je bersenam. Tup tup dah datang bawa makanan kegemaran saya. Musnah diet saya, pakcik", Zayn membalas sambil diiringi tawa. Dia pun sudah lama tidak menikmati makanan ringan. Walaupun dia tahu makanan ringan tidak baik untuk kesihatan diri, namun, ala bukan selalu. Ini Malaysia. Syurga makanan. Tak makan rugi !
"Bagi saya keropok Mamee tu satu, roti coklat dua dan roti jagung satu."
"Nah, dik. Semuanya RM3.05"
Zayn mengeluarkan sekeping wang berjumlah RM10 memandangkan dia tidak mempunyai duit kecil yang lain. Dia lupa untuk tukarkannya sewaktu buat pengeluaran wang di mesin ATM berhampiran. Belum sempat pakcik tua itu menyerahkan baki duit, Zayn menghalang.
"Terima kasih, pakcik. Pakcik simpan je baki tu", kata Zayn sambil menayangkan senyuman yang manis. Lagi pun dia sudah biasa berjual beli dengan penjual itu. Tidak hairanlah jika dia langsung tidak berasa janggal. Bagi Zayn, dia tahu dia akan peroleh sesuatu yang lebih baik apabila dia banyak memberi. Itulah salah satu moto hidupnya. Jika tiada itu, pasti bukanlah seorang insan bernama Zayn. Dia sudah dididik sejak kecil dan perkara itu menjadi kebiasaan buat dirinya.
Tanpa membuang masa dia berjalan masuk ke dalam rumahnya dan meletakkan makanan yang baru dibeli tadi di atas meja. Baju kotor yang ingin dibasuh dimasukkan ke dalam mesin pencuci. Sekarang ini semuanya sudah terlalu maju. Cuma perlu tekan 'on' dan ia akan berjalan dengan sendiri. Berbeza dengan zaman dahulu. Dia bersyukur kerana segalanya telah dipermudahkan. Tidak sia-sia akal yang dikurniakan Tuhan.
Ting !
Bunyi notifikasi tanda ada mesej masuk menghentikan lamunan Zayn. Pasti Arif. Apa agaknya yang ingin diberitahu lelaki itu ? Mungkin dia peroleh misi baharu ? Entahlah. Dia tidak mahu meneka. Hanya menambahkan lagi kekusutan yang ada.
'Pukul 10:00 pagi, Zayn. Jangan lupa.'
Begitulah mesej yang dihantar Arif. Masakan Zayn lupa, dia sudah berjanji. Dia pantas melihat jam di dinding. Sekarang pukul 7:30 pagi. Sekurang-kurangnya dia perlu bersiap dan bergerak ke stesen LRT Kampung Baru pada pukul 9:30 pagi. KLCC bukanlah tempat yang jauh. Maka, tidak banyak yang perlu dirisaukan. Zayn mengambil keputusan untuk berjoging dahulu memandangkan banyak lagi masa yang terluang.
---
"Hoi, kau !", Arif segera menyapa Zayn yang sedang duduk di salah sebuah meja di ruang Food Court. Lelaki itu nampaknya sudah memesan minuman untuk dua orang. Arif tahu Zayn pasti akan tepati janji.
"Salam mana salam ? Kau punya pukul 10 ... dah pukul 11 dah. Dahaga aku tunggu kau", balas Zayn. Arif hanya ketawa. Tidak guna punya kawan. Janji lain, sekali buat lain. Nasib baiklah sahabat. Kalau tidak, sudah lama kena tenyeh gamaknya.
"Ops, sorry, boss. Ada hal tadi"
"Apa halnya kau nak beritahu aku ? Ada misi baharu ke ?", Zayn bertanya sambil menghirup air milo ais yang dipesannya. Setahu dia, Arif tidak akan terburu-buru untuk berjumpa dengannya melainkan ada misi khas.
"Macam ni, Zayn. Tuan Khan tugaskan kau untuk awasi Dato' Seri Hafidzul, Timbalan Perdana Menteri kita. Katanya, ada satu kumpulan penjahat nak buru dia. Aku pun tak pasti sebenarnya. Tuan Khan minta aku sampaikan itu je pada kau. Selebihnya kau jumpalah dia di pejabat", kata Arif.
Awasi Dato' Seri Hafidzul ? Untuk apa ? Sebab ada geng penjahat nak buru dia ? Atas sebab apa ? Banyak persoalan yang melintas di fikiran Zayn. Kenapa dia diberi tugas bersendirian ? Kepala yang mula kusut bertambah pening. Dia perlu berjumpa dengan Tuan Khan, ketua mereka, untuk mengetahui lebih lanjut tentang misi baharunya. Zayn yakin misi kali ini tidak akan mudah seperti yang sebelumnya. Apa yang dia perlukan ialah dos semangat dan motivasi agar dia pantas menyiapkan tugasan.
"Kau jangan risau, Zayn. Aku kawan kau. Kalau kau perlukan bantuan aku sepanjang misi kau, cakap je. Aku akan datang. Kita bukannya tak pernah kerja bersama", Arif mengambil keputusan untuk menyejukkan hati sahabat karibnya. Dia tahu Zayn pasti terbeban ditugaskan sebuah misi berat bersendirian. Walaupun dia terikat dengan kes yang lain, dia tidak sanggup melihat fikiran kawannya kusut. Mereka sudah berkenalan bertahun lamanya. Masakan dia tidak peka dengan perasaan Zayn meskipun Zayn seorang yang pendiam.
"Terima kasih, weh", Zayn membalas sambil diiringi senyuman. Matanya mula meliar memandang sekeliling. Fikirannya mula bergerak memikirkan cara untuk melindungi Dato' Sri Hafidzul. Degup jantung yang tidak keruan serta-merta diendahkan. Walaupun gelisah, dia harus mara ke hadapan. Itu caranya untuk dia bertahan.
---
Pintu kayu yang tertulis nama Tuan Khan diketuk. Rasa takut dan resah menyelubungi diri Zayn. Namun atas dasar kerja, dia gagahkan juga. Dia ingin jadi seorang yang profesional. Lebih-lebih lagi dalam hal yang melibatkan kerja.
"Masuk", kedengaran suara Tuan Khan dari dalam bilik. Zayn memulas tombol pintu dan melangkah masuk dengan yakin.
"Tuan"
"Duduklah, Zayn. Saya memang tunggu kedatangan awak. Nampaknya pandai Arif buat kerja", kata Tuan Khan sambil tersenyum. Pen yang digunakan untuk menulis rekod-rekod kes diketepikan. Dia ingin memberi ruang buat Zayn.
"Tuan, pasal Dato' Seri Hafidzul tu ..."
"Oh ya. Awak ada masalah ke dengan misi tu ?", belum sempat Zayn menghabiskan kata-katanya, Tuan Khan pantas mencelah. Dia tahu perkara itu pasti berlegar-legar di fikiran Zayn.
"Tak ada masalah, tuan. Cuma saya ..."
"Sindiket Hitam. Dia yang nak buru Dato' Seri Hafidzul. Ini bukan kali pertama kumpulan tu buat kerja ni. Mereka mahukan sesuatu yang penting dari Dato'. Mereka yakin Dato' pasti tahu soal itu", sekali lagi Tuan Khan mencelah. Biarpun Zayn kurang selesa percakapannya dipotong, dia mengangguk.
"Soal apa, tuan. Apa yang mereka mahukan ?"
"Kata laluan", jawab Tuan Khan dengan tenang.
"Kata laluan ? Tapi untuk apa ?"
"Haih. Macam ni lah saya cerita pada awak dari A sampailah Z. Dengar betul-betul. Sebab lepas ni, saya tak akan jawab soalan awak lagi", kata Tuan Khan dengan tegas. Zayn hanya diam menanti penjelasan dari ketuanya. Dia tahu Tuan Khan pasti tidak selesa apabila disoal bertubi-tubi tanpa henti.
"Sindiket Hitam ni adalah satu kumpulan penjahat yang terlibat dalam aktiviti pembunuhan dan penyusupan dadah. Ketua mereka, Kidil. Bekas perisik negara. Mereka ingin buru Dato' Seri Hafidzul kerana mereka yakin Dato' tahu kata laluan fail mereka di sistem kawalan komputer. Mereka perlukan kata laluan tu untuk padam segala kegiatan mereka dan yang paling penting, mereka ingin menghapuskan maklumat tentang kewujudan kumpulan mereka. Bukan mudah untuk tewaskan Kidil kerana dia pasti banyak akal untuk loloskan diri memandangkan dia merupakan bekas perisik negara. Saya cuma minta awak awasi Dato' Seri Hafidzul buat masa sekarang dan cari sedikit informasi untuk kita tundukkan Kidil", jelas Tuan Khan dengan panjang lebar. Berharap Zayn memahami setiap butir yang dikatanya.
"Jadi, tuan, cara untuk kita tumpaskan dia cuma satu. Kita perlu jumpa dan tahu dahulu kata laluan sebelum mereka agar kita dapat ambil dan serahkan pada polis. Tidak begitu, tuan ?", Zayn membuat kesimpulan sendiri. Mana tahu tebakannya benar belaka.
"Haaaa ! Itulah maksud saya ! Saya mahu kita jumpa dahulu sebelum mereka supaya kita boleh curi", Tuan Khan membalas dengan teruja. Bagus untuk mempunyai penyiasat yang tajam fikirannya seperti Zayn.
"Tapi, tuan, kita tak tahu lokasi sistem kawalan komputer tu"
"Kenalah usahakan untuk cari. Pastikan awak dapat maklumat yang kukuh. Saya dah lama bersabar dengan Sindiket Hitam tu. Susah nak tewaskan mereka. Otak bergeliga seperti kancil"
"Baiklah, tuan. Saya akan cuba yang terbaik untuk tangkap mereka", Zayn membalas dengan semangat yang berkobar-kobar. Dia ingin meyakinkan Tuan Khan tentang kemampuannya.
Kini, dia jelas mengenai misinya. Hanya menanti untuk pasangkan jerat pada masa yang betul. Yakin musuhnya pasti akan terjerat dan tidak mampu untuk melawan. Cuma perlukan masa yang sesuai dan sempurna. Zayn tidak sabar lagi untuk memulakan tugas ini. Deria-deria dan naluri sebagai seorang penyiasat mula berfungsi. Moga kali ini dia mampu untuk menjadi seorang hero. Hero yang tangkas menyelesaikan misi.