Dato' Seri Hafidzul berjalan mundar-mandir di bilik tidurnya. Kejap-kejap dia memandang ke arah jam dindingnya. Bilik tidur yang penuh dengan barangan mewah terasa suram apabila fikirannya kusut memikirkan strategi baharu. Bunyi detikan jarum jam menambahkan lagi gusar di dada Dato' Seri Hafidzul. Dia telah berjanji untuk berjumpa Kidil di Putra Majestic bagi membincangkan hal sulit. Hal yang sulit sehingga dia tidak mampu bercerita kepada sesiapa. Salah dia juga tidak berfikir dengan rasional sewaktu ingin menggunakan Kidil untuk membeli kondominium 20 tingkat di kota London. Jika dia tidak mahu sesiapa tahu bahawa dia telah menggunakan duit kerajaan untuk kepentingan sendiri, dia harus mengikut segala arahan Kidil biarpun boleh mengancam nyawanya sendiri. Kidil bukanlah seseorang yang boleh dipermainkan atau dibodohkan.
Masa terus berlalu. Entah kenapa terasa semakin laju. Dato' Sri Hafidzul perlu bersiap segera. Risau jika terlewat, lehernya menjadi lelongan. Sungguh nyawa bukanlah sesuatu yang boleh diganti.
Setelah bersiap, Dato' Sri Hafidzul bergegas menuruni tangga ke ruang tamu sambil diiringi peluh dingin. Isterinya, Datin Sri Aishah yang khusyuk menonton rancangan masakan di televisyen tersentak apabila mendengar suaminya membuka tombol pintu untuk keluar.
"Abang nak ke mana malam-malam ni ?", soal Datin Sri Aishah dengan lembut.
"Jumpa kawan"
"Seriuslah, bang ? Pukul 11:00 malam ni. Nanti lewat balik, abang demam", Datin Sri Aishah mula melangkah ke arah suaminya yang hanya tercegat di muka pintu.
"Abang pergi dululah ya", balas Dato' Sri Hafidzul tergesa-gesa.
"Kejap, abang pergi seorang diri ke ? Tak suruh Pak Munif yang bawa ?"
"Tak payah ganggu Munif, Aishah. Awak duduk rumah elok-elok. Abang tak balik lewat sangat pun", sekali lagi Dato' Sri Hafidzul berkata dengan tergesa-gesa. Matilah jikalau dia lambat sampai ke tempat pertemuannya dengan Kidil. Jauh di sudut hatinya dia berdoa agar tiada perkara yang tidak diingini berlaku.
---
"Datang pun kau. Aku ingat kau dah lupa janji kau", Kidil memulakan pertemuan antara dia dan Dato' Sri Hafidzul dengan sindiran. Lelaki itu terlewat 15 minit. Apa lagi agaknya alasan yang dia ingin buat kali ini ? Kesesakan lalu lintas ? Kemalangan ?
"Aku ... mi ... minta ... maaf", suara menggigil Dato' Sri Hafidzul mengundang tawa Kidil. Haih lelaki ini. Tergagap pula. Takut barangkali.
"Tak payah takutlah, Hafidzul. Ops, silap. 'Dato' Sri Hafidzul' "
"Apa kau nak, Kidil ? Duit yang kau minta dulu aku dah bagi. Apa lagi kau nak ?"
"Hahaha ... kalau kau tanya aku, macam-macam aku nak. Sekarang ni target aku cuma satu. Aku nak password sistem kawalan komputer tu"
"Bukan aku yang buat password tu", Dato' Sri Hafidzul membalas.
"Tipu !", Kidil lantas memukul meja yang berada di hadapannya, serta-merta membuatkan Dato' Sri Hafidzul terkedu. Kidil tahu lelaki tua di hadapannya ini pasti mempunyai sedikit sebanyak maklumat mengenai sistem kawalan komputer itu. Masakan dia tidak tahu ? Dia berada di sana sewaktu Perdana Menteri Malaysia, Dato' Sri Utama Said memprofil mereka sebagai kumpulan penjahat. Kidil tidak mampu memasuki bilik itu selagi tidak berjaya menemui kata laluan yang sebenar. Sistem kawalan komputer itu digunakan untuk menghantar rahsia-rahsia sulit negara. Memandangkan sistem itu sudah disukarkan tiga kali ganda dan tidak boleh digodam dari luar, dia harus pantas menemukan kata laluan itu. Sesukar mana pun, dia akan harungi. Asalkan dia dapat menghapuskan kewujudan kumpulan mereka di dalam fail itu.
"Kalau aku kata bukan aku, maka bukan aku. Kau pun tahu siapa yang bina kata laluan tu"
"Said ? Aku tak boleh sentuh dia"
"Kenapa kau tak boleh ? Kau sedang tanya orang yang salah !"
"Haih, kau fikir kalau aku minta pada dia, dia akan bagi ? Dia dan pengawal-pengawal dia ... tak mungkin aku mampu"
"Aku ingat Kidil ni hebat sangat. Tapi penakut rupanya", Dato' Sri Hafidzul duduk sambil menyilangkan kaki. Mengumpul saki-baki keberanian yang ada.
"Aku tak nak sentuh Said. Awal lagi untuk semua tu. Aku cuma mahu kau beri kerjasama, Hafidzul. Beritahu aku, apa kata laluannya !", Kidil pantas mencengkam leher Dato' Sri Hafidzul sehingga menyukarkan lelaki itu untuk bernafas. Kesabarannya punya batas tertentu. Dia tidak akan berkompromi lagi.
"Le ... pas ... kan ...", suara Dato' Sri Hafidzul semakin tenggelam. Kudratnya yang tersisa seakan tidak mampu untuk melawan. Melihat keadaan Dato' Sri Hafidzul yang semakin lemah, Kidil segera melepaskan cengkaman.
"Neil, ikat dia. Kemudian lepaskan gas beracun. Biar dia mampus dalam ni", arah Kidil setelah mendengus. Kini dia rasa meluat. Menyampah dan benci. 'Tak apa jika kau tidak mahu beritahu. Aku balas perbuatan kau ikut cara aku'
---
Bunyi penggera di telefon bimbit Zayn menandakan bahawa Dato' Sri Hafidzul telah pergi jauh dari rumah mewahnya. Zayn segera membuka aplikasi Google Map bagi melihat kedudukan Dato' Sri Hafidzul ketika ini. Nampaknya seperti Dato' Sri Hafidzul menuju ke Putra Majestic. Zayn harus segera mengikuti Dato' Sri Hafidzul agar misinya untuk mengawasi kekal terlaksana. Zayn cepat-cepat mencapai kunci motornya dan menuju ke sana.
"Memang betullah kereta Dato'", kata Zayn sesampainya dia di kawasan parkir Putra Majestic. Tidak jauh dari pandangannya, kelihatan sekumpulan lelaki keluar daripada ruang belakang bangunan itu. Mereka kelihatan mencurigakan. Seakan banyak aura negatif bersama mereka. Selepas melihat mereka pergi menaiki sebuah kereta berjenama Toyota Alphard, Zayn dengan perlahan menghampiri kawasan belakang bangunan Putra Majestic lalu melangkah masuk ke salah sebuah lorong gelap.
"Tempat apa ni ?", kata Zayn lalu terus berjalan ke hadapan. Sarang labah-labah yang melekit berada di sana dan sini. Bau busuk seperti bangkai dan tikus mula bertempiaran lari sewaktu mengetahui kehadiran Zayn di situ. Tangki air yang bocor menyebalkan Zayn apabila dia terpijak lopak kotor di atas jalan yang disusurinya. Tidak jauh di hadapan kelihatan sebuah bilik dihiasi pintu kaca yang di dalamnya penuh dengan asap putih. Membuatkan Zayn tidak mampu melihat apa-apa isi di dalamnya. Dia dengan penuh berhati-hati pergi menghampiri pintu itu. Dan kini jantungnya kian berdegup laju. Ternyata, dia berasa gemuruh.
Semakin dia menghampiri pintu itu, dia terhidu suatu bau yang aneh. Bukan seperti asap. Dan bukan juga seperti bau yang menyenangkan. Menyedari asap yang berada di dalam bilik itu mungkin gas yang berbahaya, Zayn pantas mengeluarkan tuala tangannya lalu menutup hidung agar dia bisa menahan nafas. Dia tidak punya masa yang lama untuk menyelongkar bilik itu. Sekadar ingin mencari tahu. Tiba-tiba, "Dato' !!!"
---
"Kami minta maaf, Datin. Kami tak mampu untuk menyelamatkan Dato'. Nampaknya gas beracun yang dihidu oleh Dato' banyak sehingga menyekat ruang penafasan Dato'. Kalau awal sedikit, saya yakin kami mampu untuk menyedarkannya", jelas permohonan maaf yang dilontarkan oleh seorang doktor di Hospital Bandar Jaya. Dia hanya menundukkan kepala kerana penuh rasa bersalah di dada.
"You tipu ! You belajar tinggi-tinggi tapi you tak mampu nak selamatkan nyawa suami I", Datin Sri Aishah yang diselubungi kesedihan dan air mata memarahi doktor di hadapannya itu. Hati dia sakit. Rasa seperti baru sekejap tadi suaminya memaklumkan yang dia bakal pulang awal, tetapi sekarang lain pula jadinya. Dia seakan tidak mampu menerima takdir Tuhan. Sewaktu menerima panggilan telefon, dia terkedu sehingga tidak mampu untuk berkata apa-apa.
"Datin, jangan macam ni. Doktor dah buat kerja dia. Saya tahu Allah lebih sayangkan Dato'", Zayn yang sedari tadi hanya menyandar di dinding hospital mula bersuara. Dia cuma ingin Datin Sri Aishah menenangkan fikiran. Sudah bagaimana lagi, ajal itu hanya Allah yang tahu. Kita tidak mampu berbuat apa-apa jika itu ketentuannya.
"Siapa you nak nasihatkan I?", air mata yang mengalir diseka Datin Sri Aishah.
"Saya yang jumpa Dato' tadi"
"Oh, entah-entah you yang bunuh Dato' ! I nak you dibicarakan !"
"Datin, bukan saya yang buat ! Kalau saya yang buat, buat apa saya bawa Dato' ke sini ?", Zayn pantas menafikan. Masakan dia mahu dirinya dipersalahkan atas kesalahan yang tidak dilakukannya. Hanya Tuhanlah yang tahu bagaimana cemasnya dia sewaktu melihat Dato' terbaring di bilik itu.